TEKNOLOGI DAN BAHASA BERGERAK SEIRING

Chiew Ruoh Peng

Orangnya masih muda. Tiada siapa yang menyangka bahawa beliau merupakan tulang belakang kepada syarikat The Name Technology Sendirian Berhad, pengeluar Dewan Eja Pro, perisian penyemak ejaan dan tatabahasa bahasa Melayu yang pertama. Setelah lebih 12 tahun perisian tersebut berada di pasaran, syarikat beliau terus berusaha menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna bahasa.

             Seiring dengan perkembangan teknologi, perisian ini tampil dengan pelbagai versi dan yang terkini lahirlah Dewan Eja Pro 8 yang memiliki beberapa ciri tambahan seperti penyemak tatabahasa bahasa Melayu, penyemak ejaan bahasa Melayu dan antara muka terjemahan dan kamus berwibawa termasuklah Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Inggeris Melayu Dewan. Kemunculan aplikasi Kamus Pro 2012 secara percuma di Google Play Store pula membolehkan pengguna merujuk kamus bahasa Melayu dan bahasa Inggeris hanya melalui penggunaan telefon bimbit.

           Komitmen yang ditunjukkan ini berlandaskan misi yang satu, iaitu membantu pengguna menulis dalam bahasa Melayu dengan betul. Hal ini membuktikan bahawa bidang perniagaan yang berkaitan dengan bahasa menjanjikan potensi yang cukup besar selain memperluas penggunaan teknologi sebagai alat pengembangan bahasa kebangsaan.

S1:  Apakah faktor yang mendorong syarikat tuan untuk meneroka bidang perniagaan yang berkaitan dengan bahasa yang selama ini jarang diceburi oleh syarikat lain? Apakah produk pertama yang berjaya dikeluarkan?

Sememangnya bidang perniagaan yang melibatkan bahasa jarang diceburi oleh syarikat perniagaan yang lain. Produk yang syarikat kami hasilkan itu ialah perisian penyemak bahasa Melayu. Syarikat ini mula ditubuhkan pada tahun 1996. Ketika itu keluarga saya berbincang hendak mewujudkan sebuah syarikat teknologi yang baharu tetapi masih tidak pasti bidang apa yang perlu kami ceburi. Kami menyedari betapa perlunya mempunyai sebuah perisian yang dapat mengenal pasti kesalahan ejaan dan perkataan tertentu, biarpun dalam bahasa Inggeris perisian yang bersifat begitu sudah lama wujud. Perisian tersebut bukan sahaja untuk rujukan, tetapi dapat membantu penulisan dan mengesan kesilapan ejaan secara automatik.

               Latar belakang pendidikan saya dalam bidang sains komputer. Waktu saya bersama-sama dengan rakan dan keluarga memulakan projek untuk membuat perisian ini, saya masih tidak mengetahui konsep pengurusan perniagaan yang sebenarnya. Saya cuma mengetahui bagaimana hendak membuat perisian komputer. Pada masa itu, bapa saya ada terfikir untuk melakukan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bapa saya berpendapat bahawa perlu ada individu yang mempunyai kepakaran bahasa dalam syarikat kami. Kredibiliti tersebut mesti ada kerana syarikat ini merupakan syarikat baharu.

MENYEBARKAN BAHASA KEBANGSAAN MENERUSI PENERBITAN DIGITAL

Oleh : Siti Ezaleila Mustafa

Beberapa tahun belakangan ini, berlaku perubahan besar dalam industri penerbitan. Masyarakat mula diperkenalkan dengan e-buku, e-periodikal, e-majalah, e-jurnal, buku audio, kandungan digital, dan multimedia. Media ini tidak lagi dicetak pada kertas, tetapi dihasilkan dan disimpan dalam bentuk elektronik sama ada dalam talian seperti laman web, portal dan laman social atau pun di luar talian seperti dalam bentuk CD-ROM. Google, Amazon dan Sony yang dilihat sebagai peneraju bekerjasama dengan penerbit dan perpustakaan untuk mendigitalkan buku-buku.

             Pembangunan teknologi maklumat dan rangkaian menjadikan platform penerbitan semakin berkembang maju sehingga menyebabkan penerbitan digital kini menjadi suatu norma dalam industri penerbitan dan perbukuan. Perkembangan ini disokong pula oleh kewujudan teknologi digital yang digunakan dengan meluas oleh pelbagai pemain industri termasuk pembaca bermula daripada perkhidmatan pengkomputeran dan Internet sehinggalah teknologi mudah alih dan pendigitalan kandungan. Situasi ini menambahkan kerancakan dalam industri penerbitan yang sedang beralih kepada persekitaran elektronik.

           Perkembangan teknologi dan penciptaan peranti mudah alih juga menyaksikan kaedah pembacaan tradisional tidak lagi dapat memuaskan keperluan pembaca. Maka, mereka mula beralih kepada pembacaan digital dengan mencari bahan bacaan yang dimuat naik ke alam maya lalu membacanya sama ada di skrin telefon pintar, tablet, atau pun komputer riba. Ini memaksa penerbit mengubah cara mereka bekerja dengan mengambil kira perubahan yang sedang berlaku dalam persekitaran digital kini.

 

PROMOSI BAHASA DI ALAM MAYA

Oleh : Maslin Masrom

Kemerosotan mutu penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat akhir-akhir ini akibat pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) seperti telefon pintar dan komputer tablet amat membimbangkan. Malangnya kini, bahasa yang sering digunakan dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sembang internet melalui media sosial seperti WhatsApp dan Telegram mula menular dalam komunikasi secara rasmi dan mempengaruhi penggunaan bahasa individu ketika menulis atau bertutur dalam situasi rasmi. Persoalannya, mungkinkah teknologi yang dianggap sebagai penyumbang kepada kemerosotan mutu penggunaan bahasa kebangsaan ini dapat dimanfaatkan untuk mempromosikan bahasa ini?

             Hakikatnya kini, TMK yang merangkumi teknologi komputer dan telekomunikasi ini dilihat semakin penting sehingga dianggap sebagai suatu keperluan dalam masyarakat. Buktinya penggunaan TMK dewasa ini mencakupi hampir kesemua aspek kehidupan. Menerusi TMK, banyak maklumat dalam pelbagai bahasa dapat diperoleh, malah bahasa berperanan sebagai sumber atau saluran komunikasi yang penting kepada pengguna TMK. Di Malaysia, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan antara bahasa utama yang digunakan dalam masyarakat. Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sedangkan TMK seolah-olah mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi utama. Dalam konteks ini, timbul persoalan, bagaimanakah TMK dapat membantu usaha memartabatkan bahasa Melayu?

HARGA SEBUAH PEMBANGUNAN

Oleh : Zulkifli Salleh

 Isu pemupusan bahasa terus mendapat perhatian. Beberapa faktor telah dikenal pasti, dan didapati ada hubung kaitnya dengan kepupusan habitat atau spesies. David Crystal dalam bukunya, Language Death, mengemukakan beberapa faktor yang menyebabkan sesuatu bahasa itu mati. Dalam pada itu, beliau turut mengakui persoalan kepupusan bahasa ini sebagai suatu perkara yang lumrah. Oleh sebab budaya ada kalanya muncul dan ada kalanya lenyap, maka demikian juga yang berlaku pada bahasa yang terdapat dalam sesuatu budaya yang muncul dan lenyap itu. “Jelas bahawa bahasa mati jika semua orang yang bertutur dalam bahasa itu mati.” Demikian hujah beliau dalam hal ini. “Banyak bahasa terancam, nazak, atau pupus berpunca daripada faktor yang mempunyai kesan dramatik terhadap kesejahteraan fizikal penutur bahasa berkenaan.”  Antara punca yang dikenal pasti oleh beliau termasuklah bencana alam seperti gempa bumi, taufan, tsunami, banjir, dan gunung berapi, di samping kebuluran, kemarau, dan wabak penyakit yang sesetengahnya dibawa masuk oleh penjajah ke sesebuah wilayah yang didiami oleh kaum peribumi.

            “Kesan kebuluran dan wabak penyakit berkaitan rapat dengan faktor ekonomi,” tulis Crystal lagi. “Kini wujud banyak kes yang menyebabkan keselamatan orang ramai terjejas secara langsung akibat eksploitasi ekonomi di kawasan mereka yang dijalankan oleh pihak luar.” Menurut beliau, “penggurunan”, pembasmian hutan, dan amalan pengairan yang tidak terancang, dengan pola cuaca yang berubah juga turut berlaku. Apabila tanah hilang kesuburannya, tanah itu tidak lagi mampu menyokong penduduknya, dan inilah fenomena yang berlaku berulang kali di Afrika pada tahun 1970-an dan 1980-an. Maka, berlakulah penghijrahan yang tidak diduga dan akhirnya komuniti tidak lagi berupaya untuk memulihara identiti, budaya tradisional dan bahasa mereka.

            Apabila sesebuah komuniti dipindahkan, menurut Crystal, banyak penakat tidak bersedia untuk kekal dalam habitat mereka, lalu mereka berpindah ke pusat petempatan. Di sinilah mereka secara perlahan-lahan kehilangan jati diri budaya mereka dalam persekitaran kemiskinan. Untuk terus hidup, mereka mempelajari seberapa banyak mungkin bahasa baharu seperti bahasa Portugis sebagaimana yang berlaku di Brazil.

 

MENYINGKAP GERBANG UNTUK KE SEBERANG

Hakikatnya, sempadan kini bukan lagi hambatan. Kewujudan pelbagai teknologi maklumat dan komunikasi terkini seperti buku elektronik, Facebook, blog dan WhatsApp memungkinkan bahasa Melayu dapat disebarkan secara meluas bukan sahaja dalam negara tetapi juga di seantero dunia. Tidak mustahil buku berbahasa Melayu yang diterbitkan di Malaysia dapat ditatap dan dijadikan bahan rujukan oleh penutur bahasa Melayu di luar negara hanya melalui perantaraan telefon pintar atau tablet.

            Kepada sesiapa yang ingin menulis dokumen dalam bahasa Melayu dengan betul pula, pengenalan produk seperti kamus elektronik serta penyemak ejaan dan tatabahasa ternyata amat membantu. Khidmat nasihat yang dipaparkan menerusi portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu atau ringkasnya PRPM yang diwujudkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka berupaya menjadi pusat sehenti untuk sesiapa yang musykil tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul.

            Ruangan yang terhad di media massa dan media elektronik arus perdana kini juga bukan lagi kekangan untuk mempromosikan bahasa kebangsaan. Kemunculan pelbagai wahana yang bukan sahaja luas jangkauan liputannya tetapi rendah kosnya pada era ledakan maklumat ini turut menyediakan ruang yang besar kepada sesiapa sahaja untuk “menyeberang sempadan”. Lantaran itulah, DBP menerbitkan akhbar digitalnya yang dikenali sebagai Klik Web DBP sebagai saluran untuk masyarakat menyedari hakikat kewujudan institusi berkenaan melalui makluman tentang aktiviti yang dijalankan. Diharapkan pendekatan ini mampu menarik khalayak yang lebih besar untuk menghayati erti perjuangan yang digalas oleh DBP selama ini.

            Cuma hanya ada satu lagi “tembok” yang masih berbaki, iaitu rasa kurang yakin terhadap kemampuan bahasa kebangsaan yang sekian lama tersergam kukuh dalam diri. Halangan dalaman ini mesti “diruntuhkan” kerana sikap ini secara diam-diam menjadi penghalang daya kreativiti dan inovasi daripada menerobos samudera maya yang sekian lama ditakluki oleh bahasa Inggeris yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai bahasa teknologi.

            Di sinilah perlunya penerapan budaya kreatif dan inovatif disuburkan dalam disiplin ilmu kemanusiaan seperti bidang bahasa. Dalam dunia persaingan yang cukup mencabar ini, tanpa kreativiti dan inovasi pastinya usaha murni yang ingin dijayakan akan kecundang. Penekanan terhadap persoalan ini yang pernah disuarakan oleh Profesor Dr. Ding Choo Ming dalam Klik DBP keluaran 17 Mei 2006 seharusnya difikir-fikirkan oleh semua pihak. Cuma, sejauh manakah kesediaan kita untuk mewujudkan satu tapak kecil dalam ruang siber yang maha luas itu semata-mata untuk mengangkat bahasa kebangsaan sebagai satu daripada bahasa penting di alam maya?

BAHASA BERLAGU DI BALIK LEDAKAN PELURU

Oleh : Nazri Hussein

“Hancurkan semua tentera Zionis,

bakar tentera dan pangkalan mereka,

mereka menggigil di ambang maut dan sembunyi di balik dinding,

hujani mereka dengan bedilan roket,

dunia mereka menjadi cerita ngeri.”

Demikianlah antara maksud rangkap seni kata lagu yang berkumandang di tengah-tengah gelora peperangan tatkala peluru tentera Israel menghujani bumi Palestin dan wilayah sekitarnya dalam siri peperangan yang tidak berkesudahan antara dua negara berjiran. Ternyata lagu ini mampu melemahkan semangat gerombolan tentera Israel apabila pergerakan Hamas, melalui sayap pergerakan ketenteraan mereka, Briged al-Qassam memuat naik seni kata lagu ini yang diterjemahkan ke dalam bahasa Hebrew atau Ibrani yang asalnya dinyanyikan dalam bahasa Arab. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa yang dilagukan turut memainkan peranan penting dalam situasi peperangan. Sudah tentu lagu ini jika didendangkan dalam bahasa Arab, tidak menimbulkan apa-apa kesan kepada tentera Israel yang sedang mengepung Gaza.

             Natijahnya berbeza apabila Hamas menterjemahkan setiap rangkap lagu ini ke dalam bahasa Hebrew yang merupakan bahasa yang dipertuturkan dan difahami oleh kaum Yahudi. Lagu ini akhirnya telah berjaya menimbulkan kegerunan dalam kalangan mereka, apatah lagi apabila seni kata lagu ini dinyanyikan dengan semangat yang berkobar-kobar, tidak ubah bagaikan ledakan bom, bunyi semboyan dan dentuman peluru yang mampu menggetarkan pihak seteru. Inilah antara taktik peperangan yang mungkin tidak pernah kita fikirkan sebelum ini bahawa bahasa mampu menimbulkan kesan psikologi kepada pejuang yang berada di medan pertempuran. Didapati bahawa bahasa dalam lirik lagu bukan sekadar untuk tujuan hiburan tetapi dapat menjadi terapi keazaman dan penawar jiwa kepada insan yang sedang diasak dengan peluru, bom, kereta kebal dan jet pejuang musuh.