MENILAI KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DI SEKTOR KERAJAAN

Oleh : Awang Sariyan

 Program Audit Bahasa Melayu (ABM) yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan satu daripada banyak inisiatif baharu yang dirancang untuk mengisi keperluan menilai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa dalam pelbagai bidang ketamadunan yang lain di negara ini. Secara khusus, program ABM dirancang untuk membuat penilaian terhadap kedudukan ataupun tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang perlu digunakan dalam pelbagai bidang kehidupan, berkaitan dengan tamadun negara dan juga untuk menilai mutu bahasa Melayu yang digunakan dalam urusan rasmi khususnya di sektor perkhidmatan awam. Bagaimanapun, dalam jangka panjang, ABM ini akan diunjurkan juga pelaksanaannya dalam sektor perdagangan yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta.

            Tumpuan pertama akan diberikan kepada sektor perkhidmatan awam sebagai susulan pelancaran Pekeliling Bil. 9 2011 berjudul “Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam” yang dilancarkan pada 28 Oktober 2011. Pekeliling itu penting oleh sebab di dalamnya terkandung penegasan yang lebih jelas tentang keperluan para penjawat awam, khususnya, menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi. Perkara ini secara langsung berkaitan dengan peruntukan dalam Perlembagaan, iaitu Perkara 152 yang menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi di tiga peringkat, iaitu peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Itulah asas DBP mencetuskan dan melaksanakan program ABM.

MENGAUDIT BAHASA “SI KETAM”

Oleh : Hasan Baseri Budiman

Walaupun sudah 57 tahun negara mencapai kemerdekaan, persoalan tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu masih terus diperkatakan. Setelah lebih setengah abad bahasa Melayu diberikan kedudukan penting dalam perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, seharusnya perkara ini tidak perlu lagi menjadi isu dan polemik yang tidak berkesudahan. Walaupun bahasa kebangsaan ini tidak dipertikaikan kedudukannya di sisi perlembagaan, namun kedudukannya sebagai bahasa rasmi nampaknya masih tidak dihayati dengan sepenuhnya.

               Kini sudah setengah abad bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar sekolah melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diwartakan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Ironinya, tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam majlis rasmi masih diragui sehingga memaksa Dewan Bahasa dan Pustaka memperkenalkan pendekatan baharu, iaitu Audit Bahasa Melayu (ABM).

            Berbekalkan Pekeliling Bil. 9 2011 berjudul “Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam” yang dilancarkan pada 28 Oktober 2011, program ABM dimulakan di sektor awam bagi menilai tahap dan mutu penggunaan bahasa dalam dokumen dan komunikasi kerajaan. Program penilaian terhadap dokumen rasmi kerajaan ini penting sebagai langkah permulaan untuk memastikan garis panduan yang ditetapkan menerusi pekeliling tersebut dipatuhi. Usaha ini diharapkan dapat memantapkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan di jabatan-jabatan kerajaan, dan menjadi medium rasmi komunikasi kerajaan. Namun begitu, skop ABM ini pada masa hadapan seharusnya diperluas meliputi komunikasi secara lisan dalam sebarang urusan, termasuklah pengendalian sesuatu mesyuarat atau sesi perbincangan, dan pengurusan kaunter.

AUDIT BAHASA MELAYU DISAMBUT BAIK

Oleh : Khairol Anuar Harith Fadzillah

 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “audit” didefinisikan sebagai pemeriksaan dan pengesahan kira-kira. Itulah juga makna umum yang tercetus di minda kebanyakan orang apabila disebut perkataan ini. Oleh sebab itu, aspek yang sering menjadi perhatian untuk diaudit ialah hal yang berkaitan dengan pengurusan kewangan dalam sesuatu jabatan. Kemunculan program Audit Bahasa Melayu (ABM) yang diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyingkap jendela pengertian baharu terhadap aspek yang perlu diberikan perhatian yang tidak kurang pentingnya, iaitu tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat.

              Program ABM ini merupakan inisiatif terbaharu DBP di bawah pelan strategik 2011-2015 yang dirangka oleh organisasi tersebut dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan rakyat. Di bawah program ini, DBP akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan kementerian untuk memastikan bahasa kebangsaan digunakan dengan sebaik-baiknya oleh rakyat Malaysia dalam urusan seharian. Oleh hal yang demikian, program ABM ini dijangkakan akan meningkatkan lagi keberkesanan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam khususnya. Program ini telah dimulakan di beberapa jabatan kerajaan dan kementerian seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi.

 

PUPUS HABITAT PUPUS BAHASA

Oleh : Zulkifli Salleh

Pada tahun 2011, David Harmon dan Jonathan Loh, yang mengendalikan Index of Linguistic Diversity (ILD), memberikan amaran tentang potensi “pemupusan massa” linguistik pada abad ke-21. ILD merupakan ukuran kuantitatif pertama yang pernah wujud tentang trend dalam kepelbagaian linguistik global, menyatakan bahawa hanya 80 peratus bahasa yang dituturkan pada tahun 1970 masih wujud pada tahun 2005.  Dengan kata lain, dalam masa 35 tahun, kepelbagaian linguistik global berkurangan sebanyak 20 peratus, bahkan kepelbagaian linguistik peribumi merosot lebih ketara di kebanyakan wilayah di dunia. Seterusnya, 16 bahasa dunia yang besar meningkatkan penguasaannya dalam kalangan penduduk dunia daripada 45 peratus (1970) kepada 55 peratus (2005).

            Walaupun terdapat 7000 bahasa yang dituturkan pada tahun 2011, kepelbagaian linguistik global kelihatan semakin merosot dan kadar bilangan penutur setiap bahasa ini pula sangat tidak seimbang. Ada beberapa bahasa yang setiap satunya mempunyai banyak penutur, manakala banyak bahasa lain pula mempunyai bilangan penutur yang kecil. Agihan ini, menurut ILD, terlalu terpencong, iaitu sebahagian daripada penduduk dunia bertutur dengan menggunakan satu atau beberapa bahasa daripada 25 bahasa “besar”, manakala selebihnya, bertutur dengan 6975 bahasa “kecil” yang lain.  Bahasa kecil ini akhirnya semakin hilang daya saing berbanding dengan bahasa “besar”. Daripada sejumlah bahasa “besar”  itu, 10 bahasa yang teratas terdiri daripada bahasa Cina (Mandarin), Sepanyol, Inggeris, Hindi, Bengali, Portugis, Rusia, Jepun, Jerman (Standard), dan Jawa.

BAHASA MELAYU PERLU DISERAP SEBAGAI KOMPONEN PROSPEK

Azih Muda

Perwatakannya sederhana tetapi tegas. Beliau berpengalaman luas dalam pergerakan kesatuan sekerja dan kini memegang jawatan Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) semenjak tahun 2007. Beliau baru sahaja dipilih sebagai Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk sesi 2014-2017 bagi menggantikan penyandang jawatan sebelum ini, iaitu Datuk Omar Osman yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut. Pengalaman selama 29 tahun dalam gerakan kesatuan sekerja melayakkan beliau untuk dilantik ke jawatan tertinggi itu. Tambahan pula, beliau bukan muka baharu dalam CUEPACS, malah sebelum ini beliau pernah memegang jawatan Timbalan Presiden 1 dalam pergerakan tersebut. Dari segi kerjaya pula, beliau mula berkhidmat dalam sektor awam pada tahun 1978. Kini, beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir Tertinggi di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

 

S1 : Pada 28 Oktober 2011 yang lalu, Pekeliling Bil. 9 2011 berjudul “Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam” dilancarkan. Dalam pekeliling ini terkandung penegasan yang lebih jelas tentang keperluan penjawat awam khususnya, menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi. Di manakah letaknya kepentingan program Audit Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memastikan pekeliling ini dipatuhi oleh warga penjawat awam?

Sebelum saya menjawab soalan tersebut, saya hendak menyatakan bahawa perlembagaan kita memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang perlu digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan. Dalam hal ini, kita ada 730 agensi kerajaan di seluruh negara yang akan berinteraksi antara satu sama lain. Pentingnya Audit Bahasa Melayu ini diberi penekanan kerana hari ini kita nampak penggunaan bahasa Melayu tidak menepati 100 peratus seperti yang dikeluarkan oleh DBP, umpamanya dalam surat-menyurat. Keduanya saya lihat penjawat awam ini tidak diberi latihan yang menyeluruh. Selain itu, latihan yang berterusan perlu diberikan kepada penjawat awam supaya mereka menggunakan bahasa Melayu yang betul ketika menulis surat atau laporan seperti yang ditetapkan oleh DBP.

               Pekeliling yang dikemukakan ke peringkat negeri, badan berkanun dan kerajaan tempatan juga mestilah dipatuhi. Tetapi realitinya perkara ini dipatuhi apabila adanya pertandingan sempena Bulan Bahasa atau pertandingan pengiklanan. Penggunaannya dari segi surat-menyurat ini kita nampak masih lagi terdapat penggunaan bahasa yang tidak tepat, tetapi masih juga ditandatangani oleh ketua jabatan. Ertinya, kedua-dua pihak tidak faham. Jadi aspek ini perlu diberi penekanan kepada kedua-dua pihak.

MENAKSIR DEMI SECANGKIR PENAWAR

Bilakah kali terakhir kita menerima keputusan yang menunjukkan tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu kita? Tentu rata-ratanya akan menjawab, ketika mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Masih sesuaikah lagi keputusan ini dijadikan petunjuk prestasi bahasa Melayu seseorang lebih-lebih bagi mereka yang sudah berpuluh-puluh tahun bekerja?

               Oleh hal yang demikian, Audit Bahasa Melayu (ABM) dalam Perkhidmatan Awam yang sedang rancak digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka boleh diibaratkan sebagai satu kaedah pentaksiran yang sesuai untuk menilai tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu yang sering dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Program ini diperkenalkan bukan sekadar untuk memantau pelaksanaan Pekeliling Bil. 9 Tahun 2011, Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam, tetapi menilai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa dalam pelbagai bidang ketamadunan yang lain di negara ini.Sebagaimana pentingnya peperiksaan dan penilaian dijalankan di sekolah, begitulah juga perlunya ABM sebagai wadah untuk memberikan gambaran dan maklumat semasa yang sahih tentang hasil pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan yang berkaitan dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara.

               Tujuan program ini bukan untuk mencari dan membongkar kesalahan dan kelemahan mana-mana pihak dalam isu penggunaan bahasa Melayu. Manfaat program berimpak tinggi ini sebenarnya dapat dinikmati oleh kedua-dua pihak, sama ada pihak yang diaudit ataupun pihak yang mengaudit. Hal ini demikian kerana ulasan dan cadangan yang terkandung dalam laporan audit ini nanti akan dapat dimanfaatkan dalam upaya memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dan mencadangkan pelan tindakan untuk peluasan dan pemantapan penggunaan bahasa Melayu selaras dengan perkara 5 dan 6 dalam Akta DBP.

            Sebagai susulan kepada program ABM ini, DBP akan dapat mengenal pasti aspek yang perlu ditingkatkan dalam penggunaan bahasa Melayu di jabatan atau kementerian. Berdasarkan analisis kekuatan dan kelemahan ini, DBP dapat menyediakan “penawar” yang lebih mujarab berupa modul kursus ataupun kursus penyegaran yang lebih berfokus untuk mengatasi “penyakit” bahasa yang masih berlaku di jabatan atau agensi kerajaan. Kemungkinan selepas ini akan ada kursus wajib bahasa Melayu sebagai satu daripada komponen penilaian untuk tujuan kenaikan pangkat yang boleh diserapkan dalam Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK yang diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dengan ini, ternyata limpahan kesan program ABM dapat dirasai oleh segenap warga penjawat awam dalam bentuk penggunaan bahasa Melayu yang lebih baik apabila berpeluang mengikuti kursus yang ditawarkan itu. Semoga langkah ini dapat memperkukuh semarak bahasa yang dipromosikan menerusi penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang diadakan pada bulan Oktober saban tahun.

 

.