UKM TEMBOK PENGHAKIS IMPERIALISME BAHASA

Oleh : Mohd Yusof HJ. Othman

Apabila kita menyebut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pemelihara amanah negara, persoalannya apakah yang ingin dipelihara? Apakah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh pihak yang mencetuskan gagasan idea penubuhan UKM kepada kita? Apakah harapan dan hasrat petani di kampung, penarik beca sehingga kepada pegawai kerajaan, individu, persatuan pelajar, persatuan guru, dan juga syarikat yang sanggup menghulurkan dana untuk penubuhan universiti ini? Biarpun jumlah dananya tidaklah mencapai RM1 juta, tetapi cukup besar maknanya pada waktu itu.

Saya bukanlah seorang daripada mereka yang mengagaskan penubuhan UKM, tetapi pelajar seangkatan dengan saya merupakan golongan pelajar awal hasil gagasan pendidikan yang dihasratkan oleh UKM. Falsafah pendidikan UKM istimewa, isi pendidikannya istimewa, dan sistemnya juga istimewa. Pada awal penubuhannya, sistem pendidikan di UKM berbeza daripada sistem universiti yang ada pada waktu itu, sama ada universiti dalam negara, mahupun luar negara. Universiti lain menggunakan bahasa Inggeris, sedangkan UKM menggunakan bahasa Melayu. Universiti lain menggunakan sistem penggal, manakala UKM menggunakan sistem suku tahun. Program di universiti lain berbentuk khusus menjurus kepada sesuatu bidang, sebaliknya UKM pula menyediakan program berbentuk multidisiplin.

MEMBENTENGI WILAYAH DARIPADA BAHASA PENJAJAH

Oleh : Zulkifli Salleh

 Selain China, Quebec, dan Perancis, Rusia juga cuba mengambil langkah yang sama untuk mencegah pencerobohan bahasa asing.  Hasilnya wujudlah rang undang-undang terbaru dari parlimen negara itu, Duma, yang bertujuan menyekat penggunaan yang tidak perlu. Penceroboh bahasa akan dikenakan denda yang berat. Pada tahun lalu,  wujud cadangan ahli politik supaya dibersihkan bahasa Rusia daripada kata pinjaman yang tidak perlu. Walau bagaimanapun, cadangan kali ini kelihatan serius. Rang undang-undang itu telah mendapat sokongan jawatankuasa budaya Duma yang diketuai oleh Vladimir Bortko, anggota Parti Komunis dan pengarah filem terkenal.  Walaupun masih jauh untuk dijadikan undang-undang, bahkan jika diluluskan pun, belum pasti akan dikuatkuasakan, menurut laporan Interfax, ketetapan itu melibatkan sekurang-kurangnya 31 perkataan asing, seperti shtraf (denda), deputat (timbalan), dan kodeks (kod).

            Alexey Kovalex walau bagaimanapun mengkritik langkah itu dalam The Guardian pada pertengahan Jun 2014, dengan alasan tidak realistik kerana perlu mengambil masa beberapa tahun dan melibatkan berbilion ruble wang pembayar cukai. Walau bagaimanapun, beliau menyatakan, bukan Rusia sahaja yang terpaksa bersusah payah untuk memelihara ketulenan leksikal dengan mengemukakan beberapa contoh seperti Iceland yang entri tesaurusnya tidak banyak berubah sejak abad ke-12, dan pemimpin boneka rejim Nazi Crotia yang pernah cuba bukan sahaja membersihkan dirinya daripada unsur “yang tidak diingini”, seperti orang Serb, Yahudi, dan Roma, tetapi juga bahasanya daripada perkataan “asing”.

IMPERIALISME BAHASA MENGANCAM DUNIA

Oleh : Azizul Haji Ismail

Bahasa merupakan antara anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya sebagai alat komunikasi dalam kehidupan manusia. Bukan itu sahaja, malahan Tuhan juga menganugerahkan bahasa tertentu kepada sesuatu bangsa. Bahasa turut menjadi salah satu teras utama dalam pembinaan negara bangsa selepas sesebuah negara mencapai kemerdekaan. Dalam konteks negara Malaysia, Dasar Bahasa Kebangsaan merupakan satu daripada dasar penting yang menjadi tunjang perpaduan dan kelangsungan negara bangsa di samping dasar-dasar lain, seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pembangunan Nasional. Namun demikian, mampukah dasar bahasa ini menjadi benteng kukuh untuk menangkis gelombang imperialisme bahasa yang semakin rakus menghakis identiti sesuatu bangsa dan bahasa? Dapatkah bahasa sebagai amanah daripada Tuhan ini dipertahankan tatkala ada bangsa tertentu yang cuba menjajah bangsa lain menerusi bahasa mereka semata-mata atas dasar kemajuan dan pemodenan?

            Imperialisme bahasa merupakan tindakan sesebuah bangsa atau negara yang cuba menguasai sesuatu bangsa atau negara lain melalui kuasa pengaruh bahasa mereka yang bukan hanya terhad melalui kuasa ketenteraan, politik, atau ekonomi. Penjajahan bentuk baharu ini melibatkan pemindahan bahasa paling berpengaruh kepada bangsa-bangsa lain melalui pelbagai wahana, seperti pentadbiran, perniagaan, pendidikan, dan teknologi maklumat, media dan hiburan. Amalan ini merupakan cebisan tinggalan penjajah yang dialami oleh banyak negara di benua Amerika, Afrika dan Asia yang pernah dijajah oleh Inggeris, Sepanyol, Perancis, Portugis dan Belanda ratusan tahun yang lalu. Kesan ini telah meninggalkan rasa rendah diri dalam jiwa penduduk negara yang dijajah lebih-lebih lagi apabila berlaku pertembungan budaya dan bahasa antara bangsa penjajah dengan bangsa yang dijajah.

           Menurut Galtung (1980), imperialisme bahasa lebih dipengaruhi oleh hal yang berkaitan dengan teknologi ketenteraan, komunikasi sosial, aktiviti kebudayaan dan pengaruh ideologi yang menghubungkan negara kuasa besar dengan negara kecil. Selain itu, imperialisme bahasa sering dieksploitasi oleh negara kaya atau maju bagi menguasai negara miskin atau sedang membangun demi kepentingan kemasukan modal ke negara tersebut.

IMPERIALISME BAHASA ITU BAHAYA

Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

 Beliau merupakan salah seorang Sasterawan Negara. Sebagai penulis yang sering memerhati senario masyarakat sekeliling, beliau bukan sahaja merakam tetapi turut meluahkan sudut pandangannya yang kritis menerusi karya hebat yang pernah dihasilkan seperti Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Arus dan Naratif Ogonshoto. Kehebatan karya beliau ini nyata terserlah apabila dinobatkan sebagai penerima beberapa hadiah sastera seperti Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979, Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Kebolehan beliau bukan hanya diiktiraf di dalam negara, malah turut mendapat penghargaan pada peringkat serantau apabila pada tahun 2002, beliau menerima anugerah SEA Write di Bangkok, dan Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara.

S.1: Setelah tamatnya era perang dunia, kita tidak lagi berhadapan dengan ancaman penaklukan negara kuasa besar. Namun begitu, tanpa kita sedar, suatu bentuk penaklukan baharu mula menjajah minda masyarakat dunia yang dikenal sebagai “imperialisme bahasa”. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “imperialisme bahasa” ini dan sejauh manakah bahayanya kepada masyarakat dunia?

Memang, kini seolah-olah tiada ancaman penaklukan negara kuasa besar ke atas negara-negara kecil. Namun begitu, keadaan ini mungkin tidak kekal, terutamanya apabila wujud kepentingan ekonomi. Sementara kita melihat tiadanya ancaman tersebut, sebenarnya imperialisme terus berlaku melalui pengembangan radas-radas ilmu pengetahuan, perniagaan dan budaya.

            Imperialisme bahasa merupakan satu konsep linguistik yang melibatkan pemindahan sebuah bahasa yang dominan kepada orang lain. Pemindahan itu melakarkan kuasa ekonomi dan budaya dominan yang datang bersama-sama dengan bahasa tersebut. Oleh sebab bahasa merupakan produk budaya, imperialisme linguistik tidak dapat dipisahkan daripada imperialisme budaya.

            Kalau kita membaca buku Robert Phillipson yang bertajuk Linguistic Imperialism yang diterbitkan pada tahun 1992, dinyatakan bahawa sejumlah penganalisis Rusia, sedar bahawa Barat telah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia kapitalisme dan untuk tujuan mendominasi dunia.

KITAKAH BANGSA YANG TERJAJAH ITU?

Setelah rakyat Malaysia menyambut ulang tahun hari kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos, ada satu lagi tarikh yang begitu bermakna dalam diari hidup warganegara Malaysia, iaitu Hari Pembentukan Malaysia yang disambut pada tanggal 16 September setiap tahun. Meskipun begitu, kita tidak sewajarnya alpa kerana dalam era dunia tanpa sempadan ini sesiapa sahaja boleh terdedah kepada pelbagai bentuk “belenggu ghaib” yang bukan sahaja mampu menjerat pemikiran bahkan tindak tanduk seseorang. Antara belenggu yang mampu meracuni minda masyarakat dunia khususnya yang bernaung di negara yang pernah menjadi tanah jajahan kuasa besar dunia termasuklah imperialisme bahasa. Penjajahan bentuk baharu ini tanpa kita sedari berupaya menggugat jati diri sehingga melahirkan generasi yang “berwajah Timur tetapi berlidah Barat”.

            Kerisauan yang dibangkitkan ini ada asasnya apabila kini semakin banyak individu yang lebih mahir berbahasa asing tetapi malangnya gagal berbahasa kebangsaan dengan baik. Bahasa kebangsaan dianggap sebagai bahasa komunikasi peringkat rendah yang hanya layak dituturkan dalam situasi yang terhad sewaktu berhubung dengan rakan sebangsa. Bukan itu sahaja, bahasa rasmi persekutuan ini turut dinafikan haknya sebagai bahasa pengucapan dalam situasi yang menyentuh persoalan yang lebih serius yang melibatkan perkembangan intelektual atau ketika memperkatakan hal ehwal ekonomi seperti belanjawan negara dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

            Oleh itu, Dewan Bahasa keluaran ini terpanggil untuk membicarakan isu imperialisme bahasa tambahan pula, dengan wujudnya perkembangan situasi terkini yang berlaku di luar negara yang memperlihatkan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine. Pencerobohan yang dilakukan kononnya untuk melindungi rakyat di Ukraine yang bertutur dalam bahasa Rusia khususnya di wilayah Crimea ini membayangkan bahawa bahasa kini mula dijadikan “lesen” untuk kuasa besar dunia mewajarkan tindakan pengilhakan terhadap negara lain. Dalam konteks tanah air, kita seharusnya bersyukur kerana kewujudan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Kebangsaan Malaysia setidak-tidaknya dapat menjadi benteng dan kubu yang kukuh untuk mempertahankan kelestarian bahasa kebangsaan daripada ancaman penjajahan bentuk baharu ini.

            Marilah kita perkukuh benteng yang sedia ada ini supaya terus utuh berhadapan dengan asakan “bahasa-bahasa penjajah” yang biarpun kita sedar akan kepentingannya dalam beberapa aspek, yang pada waktu yang sama mampu bersifat sebagai jerat yang memerangkap secara senyap. Kita tidak seharusnya menjadi pelanduk yang selalu lupa akan jerat kerana sedarlah bahawa jerat tidak selalunya melupakan pelanduk.