Kembali ke Landasan

Walaupun usia kemerdekaan negara sudah menjangkau 57 tahun, usaha “memerdekakan” jiwa rakyat yang terbelenggu dengan “minda tertawan” tidak pernah selesai. Apabila membaca Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir (1996) yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, ternyata perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak pernah lekang daripada cabaran. Buku ini merakamkan peristiwa penting yang dialami oleh negara dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan pada zaman awal kemerdekaan negara. Pada saat-saat getir ini, yang dapat dirasai melalui ucapan Tun Syed Nasir yang termuat dalam buku ini, bahasa kebangsaan masih “bergelut” untuk mendapat tempat dalam hati jiwa anak watan sendiri. Kini, selepas lebih setengah abad, peristiwa seumpama ini masih menjadi bahan berita apabila memperkatakan isu bahasa. Tidakkah negara telah mempunyai sekian banyak akta dan dasar yang dapat dijadikan pancang yang menyokong perkembangan bahasa di buminya sendiri?

Pewartaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu menerusi akta dalam perlembagaan dan pelbagai dasar yang diperkenalkan tidak menjamin laluan mudah seratus peratus kepada bahasa ini untuk berada di puncak martabat. Ada kalanya kita “tersasar” daripada landasan yang telah dibina saban tahun hanya kerana mengejar tuntutan semasa akibat asakan globalisasi.

Dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris) yang sudah masuk tahun ketiga pelaksanaannya kini diibaratkan seperti kembalinya kita ke landasan asal yang tidak pernah sedikit pun berubah, iaitu meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan. Dalam masa yang sama, keperluan untuk melahirkan generasi yang menguasai pelbagai bahasa sebagai wadah memperlengkap diri dengan pelbagai disiplin ilmu tidak pernah diabaikan. Inilah gagasan yang ingin kerajaan bawa bagi mengisi sebuah negara yang maju dalam acuan sendiri menjelang tahun 2020. Seharusnya isyarat ini difahami dan dihayati oleh rakyat supaya agenda negara dapat dijayakan tanpa menafikan hak mana-mana pihak.

Sempena ulang tahun kemerdekaan yang bakal diraikan pada 31 Ogos nanti dan semangat Aidilfitri yang baru sahaja disambut oleh umat Islam, ayuh kita kembali ke landasan yang hala tujunya sudah cukup jelas untuk dijadikan tunjang perjuangan. Ini bukanlah perjuangan bangsa Melayu semata-mata. Perjuangan ini milik setiap warganegara yang memahami hakikat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung dan menghayati slogan “Malaysia, di sini lahirnya sebuah cinta”. Selamat Hari Kebangsaan ke-57.