Dedahkan Nikmat Ilmu Kepada Masyarakat

Prof. Dr. Roosfa Hashim

Beliau tidak asing lagi dalam dunia perbukuan negara. Beliau berpengalaman luas sebagai wartawan majalah, editor buku di beberapa penerbit buku di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya serta pernah menjadi penyunting di Penerbit UKM. Projek pertama beliau di Penerbit UKM, Memoir Arena Wati telah berjaya meraih tiga hadiah utama dalam Anugerah Buku Kebangsaan 1992 dan beliau sendiri dianugerahi sebagai Editor Terbaik 1992 oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Selain menumpukan perhatian terhadap tugas sebagai editor, beliau juga giat menulis untuk akhbar dan majalah, menjadi penyusun indeks, serta mengendalikan bengkel penulisan dan penyuntingan untuk para pensyarah dan penulis. Selain tulisannya tentang penerbitan ilmiah, Roosfa Hashim juga menulis biografi beberapa tokoh di negara ini. Selepas meninggalkan Penerbit UKM, beliau menumpukan perhatiannya sebagai ahli akademik di universiti yang sama sehingga dilantik ke jawatan Prof. Madya. Beliau kemudian mendapat tawaran menjadi Pengarah Penerbit Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak setahun yang lalu. Genap setahun beliau menjadi Pengarah Penerbit UIAM, editor Dewan Bahasa mendapatkan beliau bagi meninjau pendapatnya tentang beberapa aspek dalam usaha mempopularkan istilah menerusi jurnal dan buku ilmiah.

Assalamualaikum, barangkali belum terlambat bagi Dewan Bahasa mengucapkan tahniah atas pelantikan Prof. sebagai Pengarah Penerbit UIAM. 

Prof. Roosfa: Waalaikumussalam, terima kasih. Pelantikan ini suatu amanah, tanggungjawab yang besar dan berat. Penerbitan suatu tugas keilmuan yang bukan mudah. Saya berharap dan berdoa agar saya dapat memberikan sedikit sebanyak sumbangan kepada UIAM khasnya dan umat Islam amnya.

Pada pandangan Prof., adakah usaha penggubalan dan pembentukan istilah dalam bahasa Melayu yang sudah sekian lama dilakukan hasil gandingan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dapat membantu meningkatkan taraf bahasa Melayu kepada bahasa ilmu?

Prof. Roosfa: Ada banyak cara kita dapat meningkatkan taraf bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Satu daripadanya adalah dengan mencipta dan membentuk istilah baharu. Ilmu berkembang dan istilah baharu memang perlu sebagai alat bagi setiap sarjana mengungkapkan ilmu mereka. Oleh itu, DBP telah membantu dan memberikan sumbangan besar dalam meningkatkan taraf bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, setiap sarjana mestilah juga memikul tanggungjawab bagi mencipta istilah baharu dalam bidang masing-masing. Tanggungjawab membentuk istilah baharu bukan hanya terletak pada DBP sahaja. Ironinya, apabila sarjana tidak mencipta istilah baharu, masyarakat menciptanya dan kemudian para sarjana pula mengambilnya dan mengungkapkannya dalam perbahasan mereka.

___

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa, Julai 2014

Istilah Bahasa Melayu Mampu Mengungkapkan Ilmu

Adakah bahasa mempunyai peranan dalam menentukan laluan ilmu? Adakah ilmu itu neutral? Adakah ilmu tidak berpihak kepada bahasa dan kebudayaan? Persoalan sebegini sering sahaja ditimbulkan oleh individu yang meragui kemampuan bahasa yang dimiliki oleh sesebuah bangsa untuk menentukan laluan bagi penghadaman ilmu. Dari segi teorinya, isu ini telah ditimbulkan oleh ahli bahasa pada abad ke- 19 yang telah mengutarakan pendapat bahawa bahasa ini mempunyai pengaruh dan peranan yang penting dalam menentukan laluan ilmu.

Kini, di Malaysia, ramai beranggapan bahawa bahasa Inggeris dianggap kononnya merupakan satu-satunya laluan bagi mendapatkan pengetahuan. Begitu juga di Indonesia yang menganggap kebudayaan Belanda sebagai sumbu ilmu. Jadi, di manakah letak bahasa Melayu yang dahulunya dikenali sebagai tunjang peradaban dan akar keilmuan?

Terdapat anggapan bahawa bahasa Melayu yang asli hanya mengandungi empat istilah sahaja iaitu tanah, besi, padi, dan babi. Walaupun keempat-empat istilah ini boleh diragukan dari segi ketepatan asal-usulnya, namun istilah tersebut sebenarnya merupakan istilah sains yang hebat dalam korpus keilmuan Melayu. Sebelum terciptanya teori atom, sarjana sains di Eropah menyatakan bahawa tanah yang digelar mereka sebagai earth, merupakan unsur asasi yang penting. Selain itu, terdapat istilah lain, iaitu besi dalam disiplin subjek kimia yang dikenali sebagai ferum. Penggunaan istilah ferum ini diajar di sekolah, sedangkan bahasa Melayu sendiri mempunyai istilah awalnya, iaitu besi. Jadi mengapa menggunakan istilah yang diambil daripada kebudayaan luar, sedangkan kebudayaan Melayu sendiri jelas memiliki etimologinya yang tersendiri?

_____

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa, Julai 2014