PU4

Merapatkan Jurang Bahasa Tiga Negara

Oleh SAIDAH KAMIN

Tarikh 1 hingga 8 Jun 2014 menyaksikan Indonesia mengambil giliran sebagai tuan rumah Sidang Ke-53 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM). Sidang yang berlangsung selama enam hari ini mempunyai tiga kegiatan utama, iaitu Sidang Pakar Ke-27 MABBIM pada 2 hingga 3 Jun, Seminar Kebahasaan MABBIM (4 hingga 5 Jun), dan Sidang Eksekutif Ke-53 MABBIM (6 hingga 7 Jun). Hotel Sultan di kota raya Jakarta, Indonesia yang memiliki segala kemudahan penginapan dan persidangan menjadi medan pertemuan tokohbahasa, para ilmuwan dan pejuang serta peminat bahasa sepanjang seminar dan sidang berlangsung.

Seperti biasa, Sidang Ke-53 MABBIM ini menghimpunkan kirakira 40 orang perwakilan dari tiga buah negara anggota MABBIM. Perwakilan Malaysia diketuai oleh Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, manakala perwakilan dari Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Dayang Hajah Aminah binti Haji Mokmin. Sementara tuan rumah Indonesiadiketuai oleh Prof. Dr. Mahsun.

___

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa, Jun 2014.

Serumpun Bak Serai

Majlis bahasa ini pada mulanya dinamai Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) ketika dibentuk pada tahun 1972 dan kemudiannya bertukar kepada Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dengan kemasukan secara rasmi Brunei sebagai anggotanya pada tahun 1985. Antara kejayaan yang dilakar oleh MABBIM dan mekar tersemat dalam lipatan sejarah termasuklah penyeragaman ejaan antara negara anggota, yang penggunaannya secara rasmi diisytiharkan pada 16 Ogos 1972. Maka lahirlah buku Pedoman Ejaan Rumi Bahasa Melayu dan Pedoman Pembentukan Istilah Bahasa Melayu pada tahun 1975, diikuti oleh Daftar Ejaan Rumi Bahasa Melayu pada tahun 1981 dan Pedoman Transliterasi Huruf Arab ke Huruf Rumi pada tahun 1984. Usaha penyelarasan ejaan dan istilah pada peringkat serantau memungkinkan komunikasi ilmu dalam bidang perdagangan, politik, ekonomi, sosiobudaya dan agama antara negara anggota menjadi lebih lancar.

Kini, MABBIM sudah berusia 42 tahun. Skop dan bidang kerjanya bukan lagi terhad pada istilah dan ejaan kerana bahasa bukan sekadar soal tatabahasa, ejaan, istilah dan kamus. Atas kesedaran bahawa bahasa perlu diperluas fungsinya sebagai pembina tamadun dan nilai bangsa, pelbagai wacana ilmu, penerbitan, penelitian dan kegiatan kebahasaan sewajarnya dipergiat supaya sejumlah khazanah istilah yang disepakati sejak sekian lama dimasyarakatkan dalam segenap bidang. Hal ini penting bagi merancakkan perkembangan bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa ilmu sekali gus menafikan tohmahan sesetengah pihak yang sering melabelkan bahasa ini sebagai bahasa yang hanya kaya dengan istilah tetapi tidak mampu mengungkap idea dalam pelbagai bidang ilmu.

Oleh itu, semangat kesepakatan untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu/Indonesia perlu diperkasakan bukan sahaja dalam negara anggota MABBIM tetapi merentasi setiap negara di rantau Asia Tenggara. Tidak mustahil pada masa akan datang, lebih banyak negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dilibatkan dalam MABBIM. Kesepaduan ini harus digembleng pada peringkat yang lebih luas supaya impian dan wawasan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN pada suatu hari nanti akan tercapai. Pada waktu itu, diharapkan bahasa Melayu/Indonesia mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa peradaban tinggi, setanding dengan bahasa Inggeris dan bahasa utama lain di dunia.