PU4

Pengajian Melayu Mempromosikan Kearifan Peribumi

Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin

Beliau berpengalaman luas dalam bidang Semantik dan Pragmatik dan banyak membuat penyelidikan tentang bidang ini melalui pelbagai geran yang diperuntukkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar,Kementerian Pendidikan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Hasil kajiannya ini dibentangkan dipelbagai forum sama ada di dalam atau luar negara sehingga ada antaranya yang layak diiktiraf sebagai pemenang anugerah kertas kerja terbaik pada peringkat kebangsaan dan dunia. Kejayaan ini telah melayakkan beliau untuk tersenarai sebagai penyelidik cemerlang. Baru-baru ini, beliau dipertanggungjawabkan untuk menerajui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, sebuah institusi penyelidikan yang memfokuskan kajian dalam empat bidang tujahan utama, iaitu Arkeologi dan Budaya Visual Melayu, Bahasa, Persuratan Melayudan Linguistik, Pembinaan Teori dan Epistemologi Melayu serta Sains dan Teknologi Alam Melayu.

Untuk itu, Dewan Bahasa baru-baru ini berkesempatan untuk menemu bual beliau bagi mendapatkan pandangan tentang Pengajian Melayu dan potensi bidang pengajian ini dalam era teknologi maklumat dan komunikasi. Selain itu, wawancara ini bertujuan untuk menyelami hasrat dan tekad beliau dalam merangka hala tuju yang bakal dibawa selaku nakhoda baharu ATMA.

Pengajian Melayu salah satu bidang tertua di Malaysia. Pengajian ini lahir bersama-sama dengan penubuhan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada pandangan Prof., adakah bidang pengajian ini diwujudkan bagi melahirkan ilmuwan bahasa, sastera dan budaya sahaja?

Dari sudut sejarah, dahulu di UKM adanya Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM), pada waktu itu belum masuk sains, teknologi dan sebagainya. Gagasan pada tahun 70-an adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebab universiti ini (UKM) memang ditubuhkan sebagai universiti yang memartabatkan bahasa Melayu, satu-satunya universiti yang menerima kemasukan pelajar dari sekolah aliran Melayu. Dahulu kita ada sekolah berpengantar bahasa Inggeris dan pengantar bahasa Melayu.

___

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa, Mei 2014.

iperistiwa bahasa

Ke Manakah Hala Tuju Pengajian Melayu?

Tajuk seperti ini pernah diperkatakan oleh banyak sarjana dalam bidang Pengajian Melayu, seperti Mohd Taib Osman, Ismail Hussein, Roolvink, Carr-Saunders, Rustam Sani, Nik Safiah Karim, Muhammad Haji Salleh dan ramai lagi. Namun demikian, tajuk klise ini terus diperkatakan lantaran Pengajian Melayu kini masih berhadapan dengan pelbagai cabaran dan sedang mengharung badai gelombang. Membicarakan tajuk seperti ini menjadikan isu ini terus segar, lalu membuatkan pihak yang terlibat sentiasa memikirkan langkah untuk menangani cabaran ini seterusnya menyusun strategi dan tindakan.

Sebelum penubuhan Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya Singapura pada tahun 1953, bidang ilmu ini khasnya yang berkaitan dengan masyarakat dan budaya Melayu, sebenarnya terlebih dahulu menarik minat para pegawai kolonial seperti Skeat, Blagden, Winstedt, Wilkinson, Swettenham dan lain – lain untuk mengkaji segala aspek tradisi persuratan Melayu.

___

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa, Mei 2014.

PU3

Episod Baharu Pengajian Melayu

Rencana yang ditulis oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa di Utusan Malaysia pada 1 April 2014 yang lalu tentu mengejutkan banyak pihak. Dalam rencana tersebut, beliau membangkitkan maklumat terkini yang sedang berlaku di Universiti Leiden di Hague, Belanda tentang pengecilan jabatan kajian dunia Melayu/Indonesia. Akibatnya, sebahagian daripada artifak berhubung dengan seni budaya dan khazanah manuskrip lama berkaitan dengan dunia Melayu yang tersimpan di sana sedang dinilai dan dirancang untuk diserah oleh pihak berkuasa universiti tersebut. Khabarnya, tindakan ini merupakan susulan daripada perkembangan mutakhir yang memperlihatkan berlakunya penguncupan populariti Pengajian Melayu/Indonesia akibat penurunan permintaan terhadap penyelidikan pascasiswazah yang berkaitan dengan Melayu dan Indonesia. Perkembangan ini mungkin bertentangan dengan situasi yang berlaku di China kerana Pengajian Melayu/Indonesia di Universiti Beijing dan beberapa pusat pengajian lain di negara itu dilaporkan sedang meningkat.

Isu ini seharusnya membuka mata institusi yang menawarkan kursus Pengajian Melayu di negara ini supaya melihat situasi ini sebagai peluang dan bukannya ancaman kepada Pengajian Melayu. Mungkin inilah masanya untuk pihak berwewenang dan ahli akademik dalam bidang ini berganding bahu untuk mengalihkan pusat penyelidikan yang dahulunya dijuarai oleh dunia Barat ke rantau ini. Usaha pemindahan ini umpama sirih pulang ke gagang kerana di sinilah tempat asal khazanah bahan kajian dunia Melayu Nusantara. Jika dahulu, kajian dalam Pengajian Melayu banyak dihasilkan berdasarkan kaca mata penjajah, tetapi dengan komitmen ahli akademik tempatan, skop kajian dapat diperluas dengan berorientasikan sudut pandang yang berbeza.

Dalam hal ini, Malaysia dapat menawarkan diri sebagai peneraju kepada perkembangan baharu ini kerana terbukti bahawa khazanah alam Melayu sememangnya kaya dengan keunikan dan keistimewaan yang bersifat Malaysiana yang mampu diketengahkan untuk paparan mata dunia. Yayasan Warisan Negara dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil inisiatif awal untuk mengesan dan mengumpul khazanah warisan Melayu di luar negara berhubung dengan adat, budaya, sejarah, dan pentadbiranbagi mengangkat kearifan peribumi.Sebenarnya banyak kearifan peribumi yang berpotensi untuk dikomersialkan dan seterusnya dimanfaatkan demi kepentingan sejagat.

Untuk itu, bidang Pengajian Melayu perlu “dihibridkan” dengan bidang-bidang lain seperti keusahawanan, farmasi, dan bioteknologi bagi mewujudkan tasawur baharu kepada pengajian ini supaya tetap malar segar dalam mendepani arus globalisasi. Selain memberikan nilai tambah kepada kursus yang ditawarkan dan meningkatkan daya saing graduan lulusan bidang ini dalam sektor pekerjaan, pendekatan berani ini secara tidak langsung akan dapat mempromosikan budaya dan bahasa Melayu ke seantero dunia.