Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2014 April.

Membaca Bukan Sekadar Hobi

Bual Bahasa

Dr. Yahya Othman

Beliau banyak membuat kajian tentang pengajaran membaca dan pedagogi bahasa dan berpengalaman luas sebagai pendidik. Beliau baru sahaja pulang daripada berkhidmat di negara Brunei Darussalam sebagai pensyarah kanan Pendidikan Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam dan kini ditempatkan Jabatan Inovasi Pembelajaran dan Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Untuk itu, Dewan Bahasa baru-baru ini berkesempatan untuk menemu bual beliau bagi mendapatkan pandangan tentang kecenderungan membaca rakyat Malaysia kini dan sejauh mana kemahiran bahasa ini berjaya diterapkan dalam masyarakat setakat ini untuk memenuhi keperluan sebagai negara maju menjelang tahun 2020.

Membaca merupakan satu daripada kemahiran bahasa yang perlu dikuasai oleh setiap individu. Sejauh manakah kemahiran ini diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah?

Membaca ini kalau kita lihat dalam pengajaran di sekolah merupakan satu daripada perkara penting yang ada dalam pelajaran Bahasa Melayu. Pada peringkat sekolah rendah dan menengah, membaca ialah salah satu kemahiran bahasa yang perlu dikuasai. Jadi, kalau kita merujuk sukatan pelajaran, memang tertera jelas bahawa antara objektif yang perlu dicapai oleh murid ialah menguasai kemahiran membaca. Pada peringkat sekolah rendah, seseorang mesti dapat membaca dengan lancar dahulu Tahap 1, manakala mereka mesti menguasai makna teks yang dibaca pada Tahap 2. Di sekolah rendah juga, penekanan diberi kepada kemahiran berfikir melalui kemahiran merumus, meringkaskan dan menjawab soalan yang bukan sahaja pada aras rendah tetapi juga pada aras tinggi.

___

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa, April 2014.

Membaca Merangsang Pemikiran Aras Tinggi?

Agenda Bahasa

Membaca bukan sekadar hobi. Menurut Farida Rahim, membaca bukan sekadar membunyikan tulisan tetapi melibatkan aktiviti berfikir, psikolingusitik dan metakognitif. Membaca merupakan proses mendapatkan maklumat dan pengetahuan bagi tujuan membentuk makna. Dalam pengajaran bahasa, membaca merupakan satu daripada kemahiran bahasa yang mesti dikuasai dan melibatkan penggunaan otak kiri. Apakah pula hubung kait antara aktiviti membaca dengan aktiviti berfikir secara kreatif dan kritis yang lazimnya menggunakan otak kanan? Adakah budaya membaca yang sekian lama cuba disemarakkan dalam masyarakat selari dengan kemahiran berfikir aras tinggi yang kini sedang giat diterapkan dalam sistem pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025?

Sejak sekian lama, sistem pendidikan negara memberikan penekanan terhadap pembangunan kandungan pengetahuan yang kukuh menerusi mata pelajaran Sains, Matematik dan bahasa. Kini, penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira) yang dijadikan sasaran utama tidak lagi dianggap mencukupi bagi seseorang. Oleh itu, untuk keperluan masa hadapan, tumpuan bukan hanya terhad kepada usaha memperoleh ilmu pengetahuan, tetapi perlu diperluas kepada usaha membangun kemahiran berfikir aras tinggi. Peningkatan kadar literasi rakyat dari tahun ke tahun mungkin boleh dijadikan petunjuk kepada kejayaan pendidikan negara melahirkan generasi yang celik huruf. Namun persoalannya, cukupkah indeks ini menjadi bukti kepada kesediaan rakyat menyahut hasrat negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 nanti?

___

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa, April 2014.

Membaca Bukan dengan “Mata Zahir”

Bicara Bahasa, Nota Editor

Membaca aktiviti biasa bagi sesetengah orang tetapi mungkin tidak biasa bagi individu yang lain. Sedarkah kita bahawa membaca mampu menjadi aktiviti yang “luar biasa” apabila dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya? Dengan meningkatnya kadar literasi dan jumlah bahan yang dibaca oleh rakyat Malaysia, tentu kebanyakan daripada kita menganggap tabiat membaca sudah membudaya dalam masyarakat. Namun demikian, dapatan Kajian Olahan Semula Profil Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 2010 yang menyaksikan peningkatan pembacaan kepada lapan buah buku dalam setahun oleh golongan berusia antara 10 hingga 40 tahun itu sebenarnya masih belum boleh dibanggakan. Hal ini demikian kerana kebanyakannya lebih gemar membaca akhbar berbanding dengan bahan bacaan lain yang lebih bersifat ilmiah.

Aktiviti membaca dapat menjadi “luar biasa” apabila perkara yang dibaca bukan setakat bait-bait kata yang tertulis pada pandangan zahir, tetapi tembus ke lapisan makna yang tersurat hingga mampu menjentik minda yang sekian lama “berkarat”. Kebolehan menghubungkan pemikiran yang digagaskan oleh penulis melalui bahan yang dibaca dengan pengetahuan sedia ada tentunya mampu mencetuskan idea baharu di luar kebiasaan. Inilah kuasa luar biasa yang terselindung di balik aktiviti yang biasa dianggap sebagai hobi.

Sesungguhnya bagi golongan tertentu seperti golongan Ulul Albab misalnya, membaca lebih besar impaknya. Hal ini demikian kerana, melalui “pembacaan” mereka terhadap tanda keagungan Maha Pencipta itulah, maka tercetusnya kebijaksanaan yang menggerakkan hati mereka mencari hikmah di balik segenap kejadian dan mengutip mutiara pengajaran daripada setiap peringatan.

Mampukah generasi yang bakal mengisi Wawasan 2020 nanti berpemikiran sedemikian? Hasrat ini bukan suatu perkara yang mustahil apabila aktiviti membaca digabungjalinkan dengan kemahiran berfikir aras tinggi dan dijadikan agenda arus perdana bermula dari peringkat akar umbi hingga peringkat yang tertinggi. Semoga penerapan kemahiran berfikir aras tinggi yang sedang giat diterapkan dalam masyarakat hari ini berupaya melahirkan generasi yang bukan sekadar celik huruf tetapi celik hati dan minda ketika berhadapan dengan situasi mencabar seperti yang dialami sewaktu merungkai misteri kehilangan MH370.