Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2014 March.

Hanya kerana Bahasa, Banyak Pengguna Terpedaya

Bual Bahasa

Mohd Yusof Abdul Rahman

Beliau terlibat aktif dalam pergerakan kepenggunaan semenjak tahun 1992 dan berpengalaman dalam menerajui Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan semenjak tahun 2002 hingga kini. Selaku Pengarah Komunikasi di Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), beliau sering dilantik menganggotai pelbagai jawatankuasa yangmelibatkan kepentingan pengguna. Pengalaman beliau yang luas ini telah melayakkan beliau untuk dinobatkan sebagai penerima anugerah Tokoh Pengguna Peringkat Negeri Selangor pada tahun 2003.

Sesuai dengan Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia pada 15 Mac setiap tahun, baru-baru ini, editor Dewan Bahasa berkesempatan untuk menemuramah beliau bagi mendapatkan pandangan tentang kedudukan bahasa kebangsaan dalam sektor perniagaan, terutamanya dalam dokumen perjanjian jual beli dan paparan iklan. Menerusi wawancara ini juga, beliauberkongsi pendapat tentang sejauh mana peranan yang dapat dimainkan oleh bahasa kebangsaan dalam mewujudkan pengguna yang “celik” maklumat dan bijak dalam membuat keputusan.

___

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa, Mac 2014.

“Mencelikkan” Pengguna dengan Bahasa Kebangsaan

Agenda Bahasa

Satu daripada lapan hak pengguna ialah hak untuk mendapatkan maklumat. Hak ini antara lain melindungi pengguna daripada penerangan, pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, menipu atau menyeleweng. Oleh itu, pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk membuat keputusan. Persoalannya sejauh manakah keberkesanan maklumat ini jika tidak disampaikan secara sempurna melalui wahana bahasa yang dapat difahami dengan baik oleh pengguna?

Walaupun penyampaian maklumat meliputi aspek pengiklanan, pada umumnya, maklumat utama dan terperinci bagi sesuatu transaksi kewangan yang melibatkan pengguna dizahirkan melalui surat cara perjanjian. Surat cara perjanjian ini biasanya digunakan dalam urusan jual beli rumah atau hartanah, sewa beli kenderaan, jual beli secara kredit, pembiayaan perumahan, pembelian polisi insurans dan langganan televisyen berbayar, talian telefon, internet atau jalur lebar. Maklumat yang terkandung dalam surat cara perjanjian bertulis ini, dalam konteks undang-undang dinamakan sebagai terma kontrak. Terma kontrak merupakan elemen utama dalam pembentukan sesuatu kontrak yang sah dan merangkumi semua tanggungjawab pihak yang berkontrak. Kegagalan mematuhi mana-mana terma kontrak oleh pihak yang terlibat pasti ada implikasi undang-undang termasuklah kemungkinan dibawa ke muka pengadilan.

___

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa, Mac 2014.

Dengan Bahasa, Hak Pengguna Terbela

Bicara Bahasa, Nota Editor

Kita semua pengguna. Sebagai pengguna, kita berhak untuk mendapatkan maklumat bagi memastikan kita dapat membuat keputusan dengan bijak. Jika maklumat yang dipaparkan sama ada dalam dokumen perjanjian, iklan atau panduan pengguna disebarkan dengan menggunakan bahasa yang tidak difahami, dapatkah pengguna membuat keputusan dengan bijak?

Di sinilah terletaknya kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wadah untuk menyalurkan maklumat yang berhak diketahui oleh pengguna tentang produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Kini, terdapat usaha murni sesetengah pihak yang cuba mewujudkan edisi dwibahasa bagi dokumen perjanjian yang asalnya dirangka dalam bahasa Inggeris bagi memudahkan pengguna. Namun demikian, sejauh manakah terjemahan ini dimanfaatkan oleh pengguna atau mereka sekadar menandatanganinya tanpa membaca terma dan syarat yang terkandung dalam dokumen tersebut? Jika inilah sikap yang ditunjukkan, maka tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini banyak pengguna menderita akibat terperangkap dalam jerangkap kerana kecuaian diri sendiri. Dalam hal ini, kita perlu ingat bahawa orang tua-tua pernah berpesan, “pelanduk melupakan jerat tetapi jerat tidak melupakan pelanduk”.

Oleh hal yang demikian, dokumen perjanjian dalam bahasa kebangsaan perlu dilihat sebagai suatu kemestian dalam setiap urus niaga yang turut perlu diperjuangkan oleh persatuan pengguna. Kewujudannya menjadi jambatan kepada pengguna untuk mendapatkan lapan hak pengguna yang termaktub dalam Garis Panduan Perlindungan Pengguna Bangsa-bangsa Bersatu, 1985. Sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia yang disambut pada 15 Mac setiap tahun, kesedaran ini perlu diterapkan dalam pemikiran setiap pengguna supaya menyedari hakikat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Bahasa kebangsaan bukan setakat berperanan sebagai bahasa pemersatu dalam kalangan rakyat negara ini, malah turut berfungsi dalam menjamin keadilan sosial kepada pengguna yang bertutur dalam bahasa ini.

Oleh itu, selain pelbagai akta diwujudkan bagi melindungi hak-hak pengguna, kerajaan perlu mewartakan kewajipan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap dokumen perjanjian sebagai satu lagi tanda keprihatinan kerajaan terhadap rintihan pengguna yang kini dihimpit dengan pelbagai masalah dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu ini. Kepada pihak persatuan pengguna, sekalung ucapan tahniah seharusnya diberikan atas kesungguhan mereka selama ini menyebarkan ilmu kepenggunaan kepada masyarakat melalui pengunaan bahasa kebangsaan. Semoga dengan ilmu yang disampaikan ini, pengguna mampu membezakan antara kaca dengan permata.