Menyukat Citra Bahasa Kebangsaan

Pada 1 Februari setiap tahun, Hari Wilayah Persekutuan disambut oleh warga yang mendiami Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kuala Lumpur dinobatkan secara rasmi sebagai Wilayah Persekutuan yang pertama pada 1 Februari 1974. Kemudian hal ini disusuli pula oleh Labuan pada 16 April 1984 dan Putrajaya pada 1 Februari 2001. Setiap wilayah persekutuan mempunyai wawasan tersendiri. Kuala Lumpur misalnya, mempunyai visi untuk menjadi bandar raya bertaraf dunia, manakala Putrajaya berperanan sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang utama. Labuan pula ingin muncul sebagai Pusat Kewangan Luar Persisiran Antarabangsa, Pulau Pelancongan Bebas Cukai Antarabangsa dan Pusat Pendidikan yang terkemuka.

Meskipun masing-masing mempunyai wawasan yang berbeza, ketiga-tiga wilayah persekutuan ini mempunyai peranan yang sama dalam memancarkan citra bahasa kebangsaan khususnya dalam penamaan bangunan, tempat rekreasi, kawasan perumahan, tempat awam, jalan dan sebagainya. Pada tahun 2014, genaplah usia 40 tahun Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Dalam tempoh sebegitu lama, sejauh manakah citra bahasa kebangsaan dapat dilihat pada bangunan atau paparan iklan yang tersergam menghiasi ibu kota negara ini?

Putrajaya pula kini sudah menjangkau usia 13 tahun sebagai Wilayah Persekutuan. Sudahkah Pusat Pentadbiran Kerajaan ini mampu mengangkat bahasa kebangsaan pada persada yang dapat dibanggakan? Bagaimanakah pula dengan peranan Labuan sebagai Pusat Kewangan Luar Persisiran Antarabangsa dalam mempromosikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perdagangan antarabangsa setelah 30 tahun diangkat menjadi Wilayah Persekutuan? Mampukah ketiga-tiga wilayah persekutuan ini menjadi contoh terbaik dalam menampilkan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penyatu pelbagai bangsa berlainan latar belakang dan keturunan yang wujud di negara ini?

Inilah persoalan yang perlu difikirkan oleh setiap warga Wilayah Persekutuan setiap kali menyambut Hari Wilayah Persekutuan selain bersyukur atas kemakmuran yang dinikmati kerana dengan adanya keamanan yang berteraskan bahasa kebangsaan ini, kita masih mampu hidup secara harmoni di bawah satu bendera di tanah air yang tercinta ini.

Demi Pembangunan, Bahasa Kebangsaan Tidak Wajar Dipinggirkan

Datuk Hj. Salleh bin Yusup

Beliau telah berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama 35 tahun bermula pada tahun 1978 sebagai Penolong Pengarah di Unit Pembangunan DBKL. Beliau mempunyai pengalaman yang luas sebagai Penolong Pengarah Kanan di Unit Audit Pengurusan, Pengarah di Jabatan Pengurusan Perumahan dan Jabatan Pembangunan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah DBKL. Hasil prestasi cemerlang yang ditunjukkan, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pengarah pada 1 Februari 2005 dan bertanggungjawab membantu Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam hal ehwal perbandaran Kuala Lumpur dan pentadbiran DBKL. Beliau juga memantau sektor perkhidmatan, pembangunan dan pentadbiran serta pentadbiran bagi Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah, antaranya dalam penyediaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020, perancangan dan penyeliaan projek pembangunan, penguatkuasaan undang-undang, pengurusan sisa pepejal, perkhidmatan kesihatan awam dan lain-lain.
Sehari sebelum menjelangnya saat persaraan sebagai Ketua Pengarah DBKL baru-baru ini, editor Dewan Bahasa berkesempatan untuk menemuramah beliau bagi mendapatkan pandangan tentang usaha pemerkasaan citra bahasa kebangsaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dilaksanakan oleh DBKL selama ini sepanjang kerjaya beliau dengan pihak berkuasa tempatan tersebut.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2014.

KUALA LUMPUR WILAYAH YANG MASIH TERJAJAH?

Apakah yang paling diingati apabila kita berbicara tentang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia yang berkeluasan 243 kilometer persegi dengan penduduk lebih 1.6 juta orang itu? Mungkin dari segi sejarahnya yang bermula dari lembah berlumpur yang kaya dengan hasil bijih timah, kemajuan pesat dengan bangunan pencakar langit, lokasi unik yang menjadi sebahagian wajahnya, atau penghuninya dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa dan warna kulit.

Sedarkah kita bahawa nama tempat merupakan satu daripada elemen yang tidak dapat dipisahkan daripada wajah sebuah bandar raya seperti Kuala Lumpur. Sememangnya ada sebahagian nama yang sejak dahulu lagi menjadi identiti Kuala Lumpur. Umpamanya, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit, nama yang sinonim dengan Kuala Lumpur sejak sekian lama, malah sudah menjadi mercu tanda yang amat mudah bagi orang dari luar Kuala Lumpur mengenali bandarraya ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2014.