Cabaran Menghasilkan Buku Ilmiah Berbahasa Melayu

Oleh Jeniri Amir

Jika anda berkunjung ke negara yang bahasa utamanya bukan bahasa Inggeris, anda pasti akan menyaksikan buku dalam bahasa kebangsaan negara tersebut menguasai rak kedai buku di ibu kota, bandar utama dan lapangan terbang. Jarang-jarang buku berbahasa Inggeris mendapat tempat di rak buku berkenaan kerana yang mendominasi ruang ialah buku dalam bahasa ibunda negara itu. Jika tidak percaya, kunjungi sahaja negara seperti Indonesia, Thailand, Jepun, Korea, China, Turkey, Georgia, Perancis, Jerman, Sepanyol, Vietnam dan lain-lain. Itulah yang dapat saya saksikan di negara tersebut dan saya mengagak mungkin keadaan yang sama juga berlaku di negara lain yang tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama atau bahasa rasmi. Lain pula ceritanya di Singapura, United Kingdom atau Amerika Syarikat.

Di manakah silapnya apabila keadaan sebaliknya berlaku di negara kita yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara? Di Malaysia, buku berbahasa Melayu, khususnya buku ilmiah terpinggir bagai melukut di tepi gantang. Sebaliknya, buku dalam bahasa Inggeris diperagakan dengan gah di kedai buku ternama di ibu kota dan juga di lapangan terbang. Ketika pasaran buku di negara kita tampak meriah dengan kehadiran buku agama dan novel popular, buku ilmiah seolah-olah tenggelam dalam arus deras buku-buku ini.

Benarkah tidak ada tempat bagi buku ilmiah di negara kita? Apakah cabaran dalam menulis dan menerbitkan buku ilmiah berbahasa Melayu di negara ini? Apakah harapan kita terhadap penerbitan buku ilmiah berbahasa Melayu? Isu penerbitan buku berbahasa Melayu dalam bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan lain-lain sudah sekian lama dibincangkan tetapi belum ada jalan penyelesaian sehingga kini.  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini mengesyorkan agar penerbitan buku ilmiah dalam bahasa Melayu diperkasakan. Beliau ingin melihat lebih banyak buku ilmiah berbahasa Melayu diterbitkan, dan penulis buku ilmiah diberi pengiktirafan sewajarnya. Penulisan dan penerbitan buku ilmiah sering dikaitkan dengan pensyarah dan penerbit universiti meskipun pihak lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM) dan beberapa agensi kerajaan turut memainkan peranan.

Menulis itu Amal Jariah

Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain merupakan penyelaras di di Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, Kelantan. Namun dalam kesibukan menjalankan tugas, beliau masih berkesempatan menghasilkan beberapa buah buku dalam bidang kepakaran beliau, iaitu Perbidanan dan Sakit Puan semata-mata untuk memenuhi keperluan masyarakat terhadap buku berbahasa Melayu dalam bidang kritikal. Berkat kesungguhan beliau dalam memenuhi tanggungjawab ini, maka terhasillah  beberapa buah buku yang diusahakan secara bersama-sama dengan rakan sejawatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, Kelantan. Untuk itu, Dewan Bahasa baru-baru ini berpeluang untuk menemu bual beliau untuk mencungkil pengalaman yang dilalui oleh beliau sewaktu menghasilkan manuskrip buku-buku berkenaan. Pengalaman berharga yang dikongsikan ini diharapkan dapat menyuntik semangat lebih ramai pensyarah untuk menghasilkan karya berbahasa Melayu terutamanya dalam bidang kritikal.

S1:      Bagaimanakah bermulanya bibit-bibit hubungan kerjasama antara pihak Prof. dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam penerbitan buku?

Idea tersebut tercetus sejak tahun 2008 lagi. Pada masa itu wakil Bahagian Buku Umum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkunjung ke PPSP untuk memberikan taklimat. Seusai taklimat tersebut, sekumpulan pensyarah yang berminat menulis buku berkumpul untuk mendapatkan idea berkenaan projek penulisan buku umum.

Ketika itu kami kurang berkeyakinan untuk menulis sebagai penulis solo. Maklumlah kami belum biasa kerana tiada pengalaman. Namun begitu, hajat kami besar untuk mencuba semoga ilmu dan pengalaman yang tersurat di fikiran dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh orang ramai dan menjadi sedekah amal jariah kami pada hari kemudian. Impian kami juga adalah untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada peringkat pengajian tinggi.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, kami menyahut cabaran tersebut. Kami bersepakat untuk menulis sebuah buku yang berjudul Kesihatan Wanita Meniti Usia Emas. Karya tersebut ditulis oleh sekumpulan penulis seramai 17 orang kesemuanya yang terdiri daripada pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK). Buku ini memberikan maklumat kepada pembaca tentang aspek penjagaan kesihatan sebagai persediaan untuk menghadapi usia emas. Malangnya, karya ini mengambil masa yang agak lama. Hampir empat tahun baru dapat diterbitkan. Editor yang menanganinya bertukar-tukar. Para penulis judul ini pula sibuk dengan tugasan masing-masing dan tidak dapat memberikan komitmen bagi menyiapkan penulisan lebih awal. Alhamdulillah, akhirnya karya ini berjaya juga diterbitkan dan telah dilancarkan pada bulan Januari 2012.

Projek penulisan buku umum antara DBP dengan USM menjadi lebih rancak lagi pada tahun 2009 dan 2010.  Pada masa itu, pihak Ketua Editor dan  para editor Bahagian Sains dan Teknologi DBP memberikan komitmen yang sepenuhnya bagi menjayakan projek ini. Hampir 10 sesi bengkel bersiri telah dijalankan bagi mendedahkan aspek peluang penerbitan dan penulisan di samping untuk tujuan pemurnian manuskrip. Hasil usaha sama ini telah menghasilkan banyak kertas cadangan judul dan buku-buku dalam bidang perubatan, pergigian dan kesihatan.

Agenda Penggantian Buku Import dalam Bidang Kritikal

Oleh Mohd Riduwan Wahab

Kini kita sudah berada di tahun 2014 dan hanya tinggal enam tahun lagi kita akan melangkah ke tahun 2020, tahun yang bakal memperlihatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju mengikut acuan sendiri. Negara maju ditunjangi kukuh oleh budaya ilmu dalam kalangan masyarakatnya dan disokong kuat oleh sumber manusia yang mencukupi dalam segenap bidang termasuklah bidang kritikal seperti seni bina, perubatan, farmasi dan pergigian.

Bagi menggalakkan lebih ramai generasi muda menyertai kerjaya sektor ini, negara memerlukan lebih banyak buku berbahasa Melayu dalam bidang berkenaan supaya penyebaran ilmu dapat diperluas dalam bahasa kebangsaan yang ternyata lebih mudah dihayati dan difahami. Agenda memperbanyak buku dalam bahasa kebangsaan ini merupakan usaha yang dapat menyokong kelancaran pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang baru diperkenalkan oleh kerajaan bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Agenda besar ini boleh diibaratkan kepentingannya sama seperti usaha negara melaksanakan penggantian kereta import dengan melahirkan kereta buatan Malaysia pertama, iaitu Proton Saga pada awal tahun 1980-an dahulu.

Anugerah Buku 2013 yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Anugerah PERSAMA yang dianjurkan oleh Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA)  dan lain-lain merupakan pengiktirafan yang mampu menyuntik semangat dan minat para karyawan untuk menghasilkan buku berbahasa Melayu dalam pelbagai bidang termasuklah bidang kritikal. Inilah gelanggang untuk para sarjana dan cendekia negara mempamerkan kepakaran dalam bidang masing-masing dengan mengungkapkan ilmu yang ditekuninya selama ini dalam bahasa kebangsaan menerusi buku yang dihasilkan. Sumbangan besar tenaga pakar bidang ini merupakan sumbangan yang cukup bermakna kepada negara dalam menyahut seruan kerajaan yang kini beriltizam untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Sempena dengan kehadiran tahun 2014 ini, satu daripada azam yang  seharusnya tersemat dalam diri setiap para sarjana dan ilmuwan adalah menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku berbahasa Melayu dalam bidang masing-masing sebagai amal jariah dirinya kepada masyarakat dalam melengkapi taksonomi ilmu dalam bahasa Melayu.

_________

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2014.