Penterjemahan Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu

Oleh Awang Sariyan

Dalam era globalisasi dan ledakan teknologi maklumat, sebaran bahan ilmu dalam bahasa-bahasa utama dunia dilihat amat dekat dan begitu meluas sasarannya. Kepentingan dan keperluan pemodenan bangsa dan negara dapat dipertingkatkan melalui kegiatan penterjemahan ilmu daripada bahasa-bahasa antarabangsa yang maju dari segi pembinaan ilmu, seperti bahasa Inggeris, Perancis, Jepun, Jerman, Sepanyol, Arab dan Mandarin.

Penterjemahan ilmu daripada bahasa-bahasa utama dunia dilihat sejajar dengan hasrat untuk memperkasakan bahasa kebangsaan, khususnya dalam menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu budaya tinggi yang mencakupi semua bidang utama, iaitu ekonomi, sains dan teknologi, pendidikan, perundangan, teknologi maklumat, perubatan, dan lain-lain. Kegiatan penterjemahan ini mempunyai hubungan yang erat dengan industri perbukuan yang dapat mempertingkatkan pembangunan penulisan, penerbitan, pemasaran dan pembacaan bagi kepentingan ilmu serta budaya literasi dalam bahasa Melayu. Pembangunan industri perbukuan ini sejajar dengan matlamat Dasar Buku Negara, di samping dapat mempercepat usaha Memartabatkan Bahasa Melayu serta menggerakkan Pelan Memartabatkan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi. Impaknya dapat melahirkan warganegara yang berketerampilan dalam pelbagai bidang yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Pada masa yang sama, dalam usaha mengantarabangsakan bahasa dan sastera kebangsaan serta tamadun bangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong dan menggalakkan penterjemahan karya-karya asal dalam bahasa Melayu ke dalam bahasa-bahasa antarabangsa yang lain. Walaupun terdapat kendala yang menghambat proses penterjemahan ilmu daripada bahasa-bahasa utama dunia namun pihak kerajaan telah menyediakan prasarana yang kukuh untuk menggiatkan usaha ini dengan terdirinya Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan beberapa pusat kecemerlangan ilmu di institusi pengajian tinggi awam di negara ini. Negara kita harus mencontohi negara-negara maju yang lain dalam usaha menjana ilmu moden khususnya, sehinggakan negara-negara tersebut muncul sebagai kuasa utama dalam bidang-bidang yang signifikan dengan pembangunan negara.

Penterjemahan Pemecah Tembok Ilmu

Dr. Mohd Sukki Othman merupakan pensyarah kanan di Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga merupakan penceramah yang sering muncul dalam rancangan keagamaan di radio dan televisyen seperti Tanyalah Ustaz dan al-Kulliyyah. Selain itu, beliau pernah menghasilkan beberapa buah buku teks, buku rujukan dan buku sokongan pendidikan dalam bidang Pendidikan Islam dan Bahasa Arab untuk kegunaan sekolah rendah dan menengah. Karya hasil tulisan beliau juga banyak tersiar di akhbar dan majalah di samping buku untuk bacaan umum dan kanak-kanak. Baru-baru ini, editor Dewan Bahasa menemu bual beliau bagi mendapatkan pandangan beliau tentang isu fokus Dewan Bahasa pada bulan ini yang menyentuh peranan kegiatan penterjemahan dalam usaha memindahkan ilmu pengetahuan yang dihasilkan dalam pelbagai bahasa asing kepada bahasa Melayu bagi memberikan peluang kepada setiap anggota masyarakat memahami ilmu yang disampaikan.

S1:      Bidang penterjemahan dikatakan berfungsi sebagai wahana untuk menyebarkan ilmu dalam kalangan masyarakat. Bagaimanakah Dr. melihat kepentingan penterjemahan dalam hal ini?

Penterjemahan merupakan bidang yang sangat penting dan relevan pada sepanjang masa. Hal ini kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai bahasanya yang tersendiri yang digunakan sebagai bahasa pertuturan atau bahasa penulisan. Untuk memahami sesuatu masyarakat, sama ada dari sudut budaya, pemikiran, cara berfikir dan sebagainya, kita perlu memahami bahasa sesuatu kelompok masyarakat itu. Di sinilah terletaknya kepentingan penterjemahan yang bertujuan memindahkan maklumat dari satu kelompok masyarakat ke kelompok masyarakat yang lain. Oleh itu, kegiatan penterjemahan bukan sekadar membabitkan pemindahan perkataan antara dua bahasa, tetapi menjurus kepada pemindahan dan pengembangan ilmu pengetahuan, pemikiran, kebudayaan dan sebagainya dalam sesuatu masyarakat. Ringkasnya, terjemahan merupakan alat komunikasi dan wasilah untuk memindahkan ilmu pengetahuan, budaya masyarakat serta teknologi ke dalam masyarakat yang lain.

Ilmu pengetahuan dan bahasa sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berkaitan antara satu sama lain kerana ilmu pengetahuan dipindahkan melalui bahasa yang digunakan sama ada bahasa penulisan mahupun bahasa pertuturan. Sebagai contoh, pemindahan ilmu dari tamadun Islam lampau berlaku melalui terjemahan karya-karya Arab ke dalam bahasa Melayu. Meskipun ajaran agama Islam termasuk persoalan syariat dapat diperoleh dalam bahasa Arab, namun hanya sebilangan kecil sahaja masyarakat Melayu yang memahami bahasa Arab sedangkan keperluan untuk memahami syariat itu meliputi seluruh anggota masyarakat Islam. Di sinilah terletaknya kepentingan kegiatan penterjemahan dalam usaha memindahkan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada masyarakat yang memerlukan.

Penterjemahan dan Tuntutan Amanah Ilmu

Oleh Mohd Riduwan Wahab

Baru-baru ini Persidangan Penterjemahan Antarabangsa berlangsung lagi buat kali ke-14. Ini merupakan petanda bahawa bidang penterjemahan masih lagi berperanan di negara ini sebagai wahana penting dalam usaha memecahkan tembok ilmu, iaitu bahasa asing yang selama ini dianggap sebagai penghalang kepada masyarakat di segenap lapisan untuk menguasai ilmu dalam sesuatu bidang. Kepentingannya lebih dirasai apabila kerajaan baru-baru ini memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Tambahan pula, ucapan Timbalan Perdana Menteri ketika menyempurnakan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 Peringkat Kebangsaan pada 8 Oktober 2013 yang lalu secara jelas menegaskan iltizam tinggi kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Selaras dengan dasar MBMMBI, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan, termasuk dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Untuk itu beliau menggalakkan ahli akademik menghasilkan lebih banyak penulisan dalam bahasa Melayu di samping menggesa Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) supaya menggiatkan usaha penterjemahan karya antarabangsa ke dalam bahasa Melayu.

Oleh itu, ahli akademik dan pakar bidang sewajarnya menyahut seruan kerajaan ini kerana pada bahu mereka tergalas amanah untuk menyebarkan ilmu kepada masyarakat umum dalam bahasa kebangsaan yang lebih mudah difahami oleh mereka. Dengan ini, ilmu tidak lagi hanya berlegar sekadar di bilik kuliah dan diperdebatkan di seminar dan persidangan antarabangsa oleh segelintir golongan cerdik pandai semata-mata. Matlamat yang lebih penting adalah supaya ilmu itu dapat “diterjemahkan” dalam bentuk teknologi dan dimasyarakatkan dalam bahasa yang mereka fahami, seterusnya mampu dimanfaatkan hatta oleh golongan petani di desa. Dalam hal ini, penciptaan istilah perlu dibudayakan dalam diri ahli akademik bagi memenuhi tuntutan perkembangan ilmu yang pesat supaya kelambatan proses penterjemahan tidak lagi dijadikan alasan oleh sesetengah pihak untuk menafikan potensi bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.

_________

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2013.