Penilaian Kemahiran Bahasa Melayu Setaraf MUET: Suatu Keperluan

Oleh Ahmad Zaidi Nordin

Langkah pihak berwewenang mewajibkan pelajar yang ingin memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) supaya menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) dilihat sebagai usaha yang baik dalam memperkukuh bahasa berkenaan pada peringkat pengajian tinggi. Namun begitu, ironinya usaha tersebut dilihat seperti terlalu mengagungkan bahasa Inggeris apabila kelulusan peperiksaan ini dijadikan syarat utama pelajar untuk memasuki universiti. Kesannya secara tersirat, pelajar yang tidak tahu berbahasa Inggeris akan tertutup peluangnya untuk melangkah ke menara gading.

MUET yang diadakan pada bulan Mac, Julai dan November setiap tahun ini mempunyai empat kertas yang setiap satunya menilai kemahiran yang berbeza. Pelajar perlu menjawab hingga lulus Kertas 1 untuk kemahiran mendengar, Kertas 2 untuk kemahiran bertutur, Kertas 3 untuk kemahiran membaca, dan Kertas 4 untuk kemahiran menulis.

Persoalannya di sini perlukah pelajar dinilai semula dengan keempat-empat kemahiran ini yang sememangnya telah dinilai tahap kemahiran bahasa Inggeris mereka pada peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)? Adakah kelulusan bahasa Inggeris dalam kedua-dua peperiksaan tersebut belum cukup untuk menjadi syarat kemasukan ke IPT? Apakah pula fungsi dan peranan peperiksaan bahasa Inggeris pada peringkat Matrikulasi dan Politeknik kepada pelajar lepasan institusi ini?

Melihat perkembangan semasa ini, mengapakah tidak timbul pula cadangan untuk mewujudkan suatu penilaian khusus untuk menguji kecekapan berbahasa Melayu pelajar sebelum memasuki IPT yang kedudukannya setaraf MUET? Pewujudannya tentu dapat menyedarkan pelajar tentang kepentingan bahasa Melayu walaupun kononnya mereka telah mahir berbahasa Melayu yang cemerlang apabila mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat SPM. Inilah masa yang cukup sesuai untuk menjayakan hasrat ini tatkala kerajaan memberikan laluan yang luas untuk sebarang usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris dalam bidang pendidikan. Komponen penilaian khas bahasa Melayu ini boleh dirangka berdasarkan komponen pengujian MUET, iaitu:

1)    menguji kemahiran mendengar untuk tujuan pemahaman;

2)    menguji kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu dengan kesantunan berbahasa atau nahu yang bersesuaian;

3)    menguji kemahiran membaca dengan lancar dan skima yang betul; dan

4)    menguji kemahiran menulis, iaitu menghasilkan ayat-ayat yang betul strukturnya atau menulis karangan dengan sempurna.

Perlukah Belajar Bahasa Melayu di Institut Pengajian Tinggi?

Profesor Madya Dr. Zarina Othman merupakan Felow Bersekutu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Kemahiran Bahasa di Pusat Pengajian Umum (PPU), Universiti Kebangsaan Malaysia. Berdasarkan jawatan tersebut, beliau dilantik sebagai penyelaras pembinaan Modul Komunikasi Bahasa Melayu Antarabangsa yang merupakan hasil usaha Kementerian Pengajian Tinggi (kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan) untuk mewujudkan satu modul yang seragam bagi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran kursus Bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa pada peringkat pengajian tinggi di Malaysia. Usaha ini dilaksanakan bagi menjayakan hasrat kementerian untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Untuk itu, editor Dewan Bahasa baru-baru ini menemu bual beliau bagi memperoleh penjelasan lanjut tentang modul yang diusahakan itu di samping mendapatkan pandangan berhubung dengan kepentingan penawaran kursus Bahasa Melayu pada peringkat pengajian tinggi.

S1:      Pada 6 April 2012, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa penawaran dan pelaksanaan Kursus Pengajian Umum diselaraskan kepada semua IPT (institusi pengajian tinggi) dalam negara termasuk IPTS (institusi pengajian tinggi swasta), IPTA (institusi pengajian tinggi awam) dan Politeknik. Penyelarasan ini dibuat bagi menyeragamkan pengajaran kursus mata pelajaran wajib di IPTA dan IPTS dengan mengambil kira keperluan pembelajaran pelajar tempatan dan antarabangsa. Bahasa Melayu merupakan satu daripada mata pelajaran yang terlibat dalam penyelarasan ini. Apakah pandangan Dr. tentang perkara ini?

Saya memang bersetuju dengan saranan menteri untuk dilaksanakan pengajaran kursus Bahasa Melayu sebagai salah satu mata pelajaran yang wajib.di IPTA dan IPTS. Pihak kementerian mahu supaya semua pelajar yang melanjutkan pelajaran di Malaysia mendapat peluang untuk belajar Bahasa Melayu secara rasmi di universiti tempat mereka belajar. Kursus ini dikendalikan secara berasingan oleh pihak universiti masing-masing. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya, mengambil pelajar masuk dan kemudian pelajar tersebut akan belajar Bahasa Melayu dan pada penghujung pengajian, pelajar mesti ada kelulusan dalam Bahasa Melayu. Jika seseorang itu pelajar Sarjana atau Doktor Falsafah, oleh sebab masa pengajiannya tidak lama, jadi mereka digalakkan untuk mengambil kursus Bahasa Melayu di semester pertama dan kedua supaya tidak berlaku kes pelajar tidak dapat mengikuti viva selagi tidak memenuhi syarat ini.

Sebelum ini penyelarasan belum dilaksanakan secara seratus peratus kerana ada universiti yang menawarkan kursus Bahasa Melayu ini hanya dalam satu semester dan ada juga yang menawarkannya dalam dua semester seperti di UKM, iaitu Bahasa Melayu I dan Bahasa Melayu II kepada pelajar antarabangsa. Untuk pelajar dari negara serantau seperti Brunei, Singapura, Indonesia dan Selatan Thai, mereka tidak mengambil kursus Bahasa Melayu sebagai bahasa asing, tetapi mereka wajib lulus mengambil kursus Bahasa Melayu Akademik I dan Bahasa Melayu Akademik II. Kursus ini berbeza dengan Kursus Bahasa Melayu sebagai bahasa asing dari segi silibus. Fokusnya pula lebih kepada penulisan dan gaya penulisan bahasa Malaysia. Bagi menjayakan usaha memartabatkan bahasa Melayu, UKM tidak menerima penggunaan bahasa Melayu dengan lenggok bahasa Melayu di negara asal masing-masing dalam penulisan akademik seperti tesis, begitu juga untuk melatih pelajar berkomunikasi dengan pensyarah dengan menggunakan bahasa Melayu.

Berbeza dengan pelajar dari Selatan Thailand yang mengambil Bahasa Melayu Akademik, pelajar di Utara Thailand akan mengambil Bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Pelajar dari Brunei, Singapura dan Indonesia pula sekiranya mereka ada sijil yang menunjukkan mereka memiliki kelulusan yang setara dengan kelulusan Bahasa Melayu kita, mereka akan dikecualikan dari mengambil kursus Bahasa Melayu. Kelulusan ini tidak kira sama ada diperoleh di negara asal mereka atau mereka pernah berkursus Bahasa Melayu di sini. Kita juga ada menemu duga pelajar ini untuk memastikan tahap mereka. Jika mereka dikecualikan dari mengikuti kursus tahap satu, mungkin mereka tidak dikecualikan dari tahap dua. Saya bangga apabila UKM melaksanakan tindakan sebegitu kerana pada saya itu merupakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Mutu Bahasa Melayu Kita Hanya Setaraf Sijil Pelajaran Malaysia

Oleh Mohd Riduwan Wahab

Pada 6 September 2013 yang lalu, Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 telah dilancarkan oleh Timbalan Pendana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. Dalam laporan tersebut ada satu perangkaan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan yang menarik untuk diperhatikan. Perangkaan tersebut secara jelas memaparkan peratusan pelajar yang mencapai sekurang-kurangnya tahap kepujian dalam peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2010. Berdasarkan perangkaan ini didapati hanya 75 peratus murid mencapai sekurang-kurangnya gred kepujian dalam SPM pada tahun 2010. Daripada jumlah ini, prestasi murid bumiputera dilihat lebih baik dengan catatan sebanyak 84 peratus berbanding 63 peratus bagi murid Cina dan 57 peratus bagi murid India. Jika keputusan ini dijadikan penanda aras kepada pencapaian bahasa Melayu generasi muda yang bakal mewarisi negara pada suatu kelak, masih banyak tindakan yang perlu diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini demikian kerana dengan berbekalkan gred kepujian inilah seseorang berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Kelulusan inilah juga yang bakal menjadi “tiket” untuk seseorang diterima bekerja dalam sektor awam di negara ini.

Setelah sekian lama bahasa Melayu menjadi mata pelajaran teras dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di negara ini, masih relevankah kelulusan minimum ini dijadikan kayu ukur utama bagi menilai kemahiran berbahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia? Mengapakah untuk bahasa Inggeris kita berusaha sedaya upaya mewujudkan penilaian Malaysian University English Test (MUET)? Tidakkah kelulusan bahasa Inggeris pada peringkat SPM sudah memadai? Adakah hal ini disebabkan oleh sebahagian besar kursus di institusi pengajian tinggi diajarkan dalam bahasa tersebut? Persoalannya kini di manakah letaknya nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila seseorang menjejakkan kaki ke menara gading?

Namun begitu, tahniah diucapkan kepada pihak universiti yang prihatin dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan menawarkan kursus Bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa. Dalam masa yang sama, kita tidak seharusnya alpa dengan pencapaian kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar tempatan semata-mata kerana mereka telah lama didedahkan dengan mata pelajaran ini sewaktu di peringkat sekolah. Kita tidak mahu melihat pada suatu nanti ada dalam kalangan pelajar antarabangsa yang lebih mahir berbahasa kebangsaan berbanding pelajar tempatan lantaran kealpaan kita hari ini.

_________

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2013.