Masih Relevankah Bulan Bahasa Kebangsaan?

Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan merupakan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau merupakan tokoh yang disegani dalam bidang bahasa dan memiliki pengalaman yang luas dalam bidang berkenaan, bukan sahaja sebagai ahli akademik di dalam dan luar negara malah pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. Baru-baru ini, editor Dewan Bahasa telah berkesempatan menemu bual beliau bagi mendapatkan pandangan beliau tentang program tahunan terbesar Dewan Bahasa dan Pustaka, Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang dianjurkan pada bulan Oktober setiap tahun dan kini diangkat menjadi agenda besar negara pada peringkat kebangsaan.

S1:      BBK mula diperkenalkan semenjak tahun 1960-an lagi. Apakah tujuan asal kempen ini dilaksanakan sehingga kini diangkat sebagai satu daripada agenda besar pada peringkat kebangsaan?

Pada tahun 1960-an, kita tahu bahawa pada saat negara kita baru mencapai kemerdekaan. Salah satu tonggak pembinaan negara kita ialah penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu bahasa perhubungan awam seluruh warganegara pelbagai keturunan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu untuk bidang pendidikan dan aspek kehidupan yang lain. Oleh sebab itu, diadakan gerakan bahasa kebangsaan yang mulanya dikenali sebagai Minggu Bahasa Kebangsaan dan kemudian Bulan Bahasa Kebangsaan pada zaman Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada ketika itu. Tujuannya adalah untuk membangkitkan kesedaran dan penglibatan seluruh masyarakat dalam pelbagai sektor kehidupan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Itu tujuan asal pada ketika itu dan objektif itu sampai sekarang berterusan oleh sebab kita melihat keadaan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu itu sampai sekarang pun belum mencapai tahap yang cukup memuaskan.

Banyak lagi ruang pembaikan, penambahbaikan dan penglibatan, bahkan dalam keadaan sekarang ini berlaku penurunan, iltizam dan penyertaan masyarakat kerana banyak faktor, antaranya globalisasi dan soal kemalapan semangat kebangsaan. Pada peringkat awal, mereka semua terlibat dalam suasana kemerdekaan untuk membina negara tetapi apabila negara sudah mula makmur dan maju, orang sudah mengecap nikmat kemerdekaan, kebanyakan orang seakan-akan sudah melupakan tonggak-tonggak dan asas-asas negara seperti bahasa kebangsaan. Mereka menganggap perkara ini sudah selesai tetapi sebenarnya tidak selesai kerana selagi kita hidup dan selagi tamadun berkembang, bahasa itu perlu dilestarikan. Apabila kita meninggalkan bahasa kebangsaan, kempen-kempen ini perlu digerakkan supaya jangan sampai Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai satu dasar negara yang penting terabai, kerana dasar itu sama pentingnya dengan Dasar Ekonomi, Dasar Pertahanan dan dasar-dasar lain. Objektif itu pada keseluruhannya masih tetap berterusan, hanya soalnya sekarang cabarannya semakin gawat dan ini menyebabkan saya kira BBK tidak boleh dihentikan. Memandangkan cabaran semakin hebat, BBK ini masih tetap relevan.

Semarakkan Cinta Kita pada Bahasa Kebangsaan

Oleh Mohd Riduwan Wahab

Bulan Oktober kembali lagi. Jika bulan Ogos diingati kerana padanya terdapat tarikh keramat kemerdekaan negara, bulan Oktober sebenarnya tidak kurang pentingnya kepada kita sebagai rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana pada bulan Oktober inilah berlangsungnya Bulan Bahasa Kebangsaan, satu agenda tahunan negara yang khusus diadakan untuk memugar rasa cinta kita kepada bahasa kebangsaan. Meskipun sambutannya tidak begitu gah seperti sambutan ulang tahun kemerdekaan, namun sambutan ini cukup bererti bukan sahaja kepada pencinta bahasa kebangsaan tetapi kepada setiap individu yang mengaku dirinya sebagai warganegara Malaysia.

Walaupun dipanggil dengan pelbagai nama semenjak diperkenalkan, kempen ini tetap meneruskan tradisinya sebagai kesinambungan kepada kempen bahasa dan sastera kebangsaan yang diadakan semenjak tahun 1960-an. Pada peringkat awal pengenalan, kempen ini dikenali sebagai Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Seterusnya, kempen ini dijenamakan semula dengan nama yang berbeza, iaitu Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) pada tahun 1987 hingga 1996, Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996 – 2005), Minggu Sastera (1987 – 1998) dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) (1999 – 2008). Bermula pada tahun 2009, gerakan ini dinamai sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan selaras dengan usaha melestarikan gagasan 1Malaysia yang bermatlamat untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hal ini menandakan bahawa bahasa merupakan satu daripada unsur terpenting dalam menjayakan aspirasi kerajaan ini.

Oleh sebab itu, kempen ini mula diangkat martabatnya menjadi agenda tahunan besar negara dengan pelibatan pelbagai pihak di semua peringkat sama ada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. Hal ini menunjukkan bahawa tanggungjawab memperkasakan bahasa kebangsaan bukan semata-mata tergalas di bahu Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi sewajarnya dipikul bersama-sama oleh setiap lapisan masyarakat dalam segenap aspek kehidupan. Dengan mengamalkan resepi “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan pasti dapat dijayakan dengan mudah. Sesungguhnya, BBK merupakan pendekatan yang signifikan dalam usaha menyemarakkan semangat permuafakatan dalam menyuburkan rasa cinta dan kemegahan rakyat terhadap bahasa kebangsaan.

____________

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2013.