Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Sukuan Umpama Irama dengan Lagu

Dr. Jeniri Amir merupakan ahli akademik yang sentiasa membicarakan hal ehwal politik Malaysia khasnya Sarawak dan penulis prolifik yang banyak menghasilkan karya berbentuk makalah dan buku yang membicarakan isu berkaitan tentang bahasa, sastera dan penulisan. Beliau kini menyandang jawatan Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Baru-baru ini, editor Dewan Bahasa telah berkesempatan menemu bual beliau bagi mendapatkan pandangan beliau tentang kedudukan bahasa kebangsaan dan bahasa sukuan dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Sarawak dan Sabah terutama selepas pembentukan Malaysia.

DB: Bolehkah Dr. nyatakan kepentingan bahasa sukuan dalam konteks dunia hari ini?

Bahasa sukuan merupakan lambang jati diri kewujudan suku kaum atau etnik di negara ini. Bahasa sukuan bukan sahaja berperanan sebagai suatu ciri yang menampilkan identiti sesuatu kaum, tetapi juga sebagai alat komunikasi utama dalam kalangan anggota etnik berkenaan seperti yang berlaku di Sabah dan Sarawak. Malah, bahasa sukuan dijadikan perantara dalam perhubungan antara orang yang berlainan bahasa ibunda di sesetengah tempat.  Biasanya  bahasa kaum yang dominan di sesuatu kawasan digunakan dengan agak meluas di kawasan berkenaan. Misalnya, di kawasan Sri Aman, Betong dan Saratok, Sarawak banyak orang Cina dan Melayu menguasai bahasa Iban dan menggunakan bahasa itu sebagai lingua franca. Bahasa sukuan dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan suatu kelompok masyarakat tertentu.

Persidangan Umum Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengisytiharkan 21 Februari sebagai Hari Bahasa Ibunda Sedunia pada setiap tahun. Bahasa sukuan yang diiktiraf melalui Hari Bahasa Ibunda ini menepati fungsi bahasa sebagai asas perpaduan dalam negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

Bahasa sukuan turut menjadi keperluan asas sesuatu kelompok masyarakat dalam pembinaan negara bangsa. Oleh itu, pelestarian bahasa sukuan perlu diteruskan kerana bahasa sukuan dapat dianggap sebagai warisan peribumi yang berperanan dalam mengekalkan perpaduan. Bahasa sukuan mempunyai peranan sebagai bahasa komunikasi yang berkesan di peringkat akar umbi antara pelbagai suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Kata Dialek

Oleh S. Nathesan

Satu daripada jenis perkataan yang terdapat dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu ialah kata dialek. Dialek juga dikenali sebagai loghat dalam bahasa Melayu. Kata dialek termasuk dalam kosa kata yang tidak formal dalam bahasa. Dialek dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu dialek geografi atau daerah dan dialek sosial.

Umumnya, dialek geografi difahami sebagai bahasa yang dituturkan di kawasan tertentu sahaja, seperti dialek Kelantan di negeri Kelantan, dialek Terengganu di negeri Terengganu, dan dialek Kedah di negeri Kedah. Dialek sosial ialah kelainan bahasa yang digunakan oleh ahli sesuatu kumpulan atau lapisan masyarakat, seperti bahasa istana yang digunakan oleh golongan diraja.

Penggunaan kata dialek terhad kepada percakapan dalam kalangan kumpulan penutur tertentu sahaja. Misalnya, kata “ketangi” (malu kerana kalah tanding atau kena tipu, Glosari Dialek Johor, 2013) dalam dialek Johor digunakan dalam kalangan masyarakat Johor sahaja, dan biasanya hanya difahami oleh kumpulan penutur tersebut. Demikian juga kata “santap” hanya digunakan oleh golongan istana.

Menurut Trudgill, P. dalam Sociolinguistics: An Introduction, dialek merujuk pelbagai jenis bahasa yang berbeza-beza, yang dibezakan dari segi perbendaharaan kata, tatabahasa dan sebutan. Seperti yang dijelaskan oleh Trudgill, setiap dialek memiliki kosa kata yang tersendiri. Oleh hal yang demikian, dialek yang terdapat di Malaysia juga masing-masing mempunyai kosa kata yang tersendiri.

_____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2013.

Bahasa Kebangsaan Penyebab Pupusnya Bahasa Sukuan?

Oleh Norazuna Norahim

Keterancaman bahasa ialah suatu proses yang memakan masa yang panjang dan disebabkan oleh beberapa faktor yang kompleks dan saling mempengaruhi. Oleh itu, dasar bahasa kebangsaan tidak harus terus dilabel sebagai satu-satunya faktor yang menyebabkan kepupusan bahasa sukuan di negara ini. Sentimen sedemikian timbul akibat situasi sosiopolitik di negara Barat yang mengamalkan dasar yang bersifat penyerapan atau asimilasi menyeluruh. Dasar ini menuntut komuniti pendatang yang menduduki negara mereka supaya mengadaptasi diri mereka sepenuhnya kepada bahasa dan budaya kumpulan majoriti. Imigran yang tidak menguasai bahasa utamanya akan tersisih daripada sistem pendidikan dan sektor pekerjaan jika tidak menguasai bahasa utama negara tersebut.

Sebaliknya, landskap sosiolinguistik di Malaysia amat berlainan dan Dasar Bahasa Kebangsaan di negara ini tidak menuntut asimilasi bahasa dan budaya secara menyeluruh. Fungsi Dasar Bahasa Kebangsaan adalah untuk mewujudkan bahasa sepunya bagi tujuan perpaduan dan integrasi nasional. Dasar kesatuan dalam kepelbagaian yang diamalkan ini merupakan asas bagi mewujudkan kestabilan negara. Dasar ini digubal bersesuaian dengan latar sosiopolitik di negara ini untuk memenuhi tuntutan dan keperluan sesebuah negara yang merdeka. Oleh hal yang demikian, Dasar Bahasa Kebangsaan tidak sewajarnya dengan mudah dikatakan sebagai penyebab kepupusan bahasa sukuan. Malah, dalam konteks di Sarawak, Dasar Bahasa Kebangsaan ternyata berjaya meningkatkan kesefahaman dan mewujudkan integrasi antara pelbagai kaum di Sarawak.

Tidak dapat dinafikan bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan ini telah meningkatkan martabat bahasa Melayu. Kesannya ialah fungsi bahasa Melayu dapat diperluas dalam pelbagai domain rasmi dan tidak rasmi, serta tersebar ke seluruh pelosok negara. Dasar ini juga meletakkan bahasa Melayu sebagai satu daripada pilihan bahasa perantara untuk tujuan interaksi antara kaum dan sesama kaum. Peranan bahasa kebangsaan ini tidak harus dipandang mudah. Tidak mungkin perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya tidak diwujudkan satu bahasa yang difahami oleh semua bangsa.

______

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2013.

BAHASA SUKUAN DIPELIHARA, BAHASA KEBANGSAAN DIPERKAYA

Oleh Mohd Riduwan Wahab

Tanggal 16 September tahun ini, genaplah 50 tahun usia pembentukan Malaysia. Penggabungan Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung Malaysia membuka episod baharu kepada sejarah perkembangan bahasa kebangsaan di negara ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa bumi kenyalang dan negeri di bawah bayu begitu kaya dengan bahasa sukuan masing-masing. Bahasa sukuan ini menyediakan khazanah yang begitu lumayan untuk diteroka sebagai sumber untuk memperkaya kosa kata dan istilah dalam bahasa kebangsaan. Hasilnya, kini dalam Kamus Dewan, terdapat begitu banyak perkataan bahasa sukuan diserapkan ke dalam bahasa kebangsaan. Contohnya, perkataan “merarau” yang sebelum ini diucapkan oleh suku kaum di Sarawak sememangnya berpotensi untuk menggantikan perkataan “makan tengah hari” kerana sifatnya yang ringkas dari segi bilangan suku kata. Manakala perkataan “gabi” yang berasal daripada Sabah pula dapat menggantikan “makan malam”. Kemasukan kosa kata ini ke dalam bahasa kebangsaan tentunya menambahkan lagi warna-warni keindahan bahasa kebangsaan.

Hal ini secara tidak langsung membuktikan bahawa bahasa kebangsaan selama ini tidak pernah menganaktirikan bahasa sukuan, apatah lagi mengancam kelangsungannya di bumi bertuah ini. Dalam sesetengah bidang yang berkaitan dengan kebudayaan tempatan, sememangnya perkataan daripada bahasa serumpun seperti bahasa sukuan ini lebih sesuai digunakan dalam pembinaan istilah berbanding dengan perkataan bahasa Inggeris.

Usaha pendokumentasian dan penyerapan kosa kata bahasa sukuan ini juga dapat dilihat sebagai suatu bentuk pengiktirafan terhadap bahasa sukuan, sekali gus menyerlahkan status bahasa sukuan yang bersifat sebagai “pelengkap” dan bukannya “pengganti” kepada bahasa kebangsaan. Oleh itu, warisan budaya tempatan yang berharga ini perlu dipelihara supaya tidak pupus ditelan zaman. Melalui usaha sebegini, pelibatan penduduk Sarawak dan Sabah dalam proses pembinaan korpus bahasa kebangsaan dapat dizahirkan lantas mempercepat proses integrasi nasional melalui bahasa.

Semoga pengiktirafan yang diberikan ini bakal membuahkan rasa kebersamaan dalam diri penduduk Sarawak dan Sabah untuk menggalas tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan di bumi tempat mereka berpijak. Rasa kebersamaan inilah yang mampu menjadi jambatan kukuh yang dapat menghubungkan penduduk di Semenanjung dengan penduduk Sarawak dan Sabah.

______

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2013.