Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2013 August.

Memartabatkan Bahasa Melayu melalui Penterjemahan Sari Kata

Darihal Bahasa

Oleh Che Wan Ida Rahimah Che Wan Ibrahim

Usaha penterjemahan sari kata di Malaysia pasti menyumbang kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat nasional, serantau dan global. Selari dengan kemajuan bidang penyiaran negara masa kini, perkembangan aktiviti penyarikataan negara mengangkat bahasa Melayu bagi mendukung pelbagai disiplin ilmu termasuklah undang-undang, perubatan, teknologi maklumat serta pelbagai bidang ilmiah penting yang menunjangi kemajuan bahasa di pentas global. Hakikatnya, menonton filem berlainan bahasa melibatkan pelbagai aksi yang berlainan, iaitu kita mendengar dalam bahasa yang lain dan pada masa yang sama, kita membaca (sari kata) dalam bahasa sendiri. Secara konsepnya, penterjemahan sari kata melibatkan terjemahan dialog serta maklumat lain dalam bentuk satu atau dua baris tulisan secara sinkroni dengan ujaran sumber dan lazimnya dipaparkan di bahagian bawah skrin televisyen (TV).

Di Malaysia, terdapat tiga matlamat utama penyarikataan. Pertama, sari kata disediakan agar rancangan TV dan filem berbahasa asing yang ditayangkan boleh ditonton dan difahami oleh segenap lapisan masyarakat, terutamanya yang tidak memahami bahasa sumber atau yang kurang fasih dengan bahasa asalnya. Aktiviti penterjemahan telah berkembang pesat untuk beberapa dekad lamanya di negara yang tidak menuturkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama termasuklah Malaysia. Malah, di Malaysia lebih daripada 60 peratus rancangan TV merupakan rancangan yang diimport dari negara asing dan pastinya dihasilkan dalam pelbagai bahasa. Pada mulanya, kurang daripada 50 peratus daripada rancangan berkenaan diterjemahkan, namun peratusan berkenaan semakin meningkat tahun demi tahun. Hal ini disebabkan oleh permintaan dan desakan majoriti khalayak tempatan yang sukar memahami bahasa asing. Apabila berlaku masalah komunikasi antara budaya disebabkan perbezaan bahasa, penterjemahan sari kata pasti menjadi alternatif yang signifikan.

Bahasa Melayu Asas Kemerdekaan Kita

Agenda Bahasa

Oleh Teo Kok Seong

Salah satu asas penting kemerdekaan sesebuah negara ialah bahasa negaranya.  Bahasa negara boleh wujud, sama ada dalam bentuk bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi. Keadaan menjadi lebih afdal lagi jika bahasa negara itu wujud dalam bentuk kedua-duanya. Melalui bahasa negara sendiri, negara yang merdeka itu tidak perlu lagi mengikut telunjuk penjajah yang didapati memaksa semua pihak menggunakan bahasanya untuk pelbagai tujuan.

Sesungguhnya paksaan merupakan sejenis perhambaan.  Hal ini dapat dilihat semasa kita dijajah oleh British. Pada masa itu, penggunaan bahasa Inggeris diwajibkan kepada semua pihak dan dijadikan sebagai bahasa rasmi.  Penggunaan bahasa Melayu hanya dibenarkan setelah mendapat kelulusan penjajah British. Bahasa Melayu  perlu terlebih dahulu diungkapkan gagasannya dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan kembali ke dalam bahasa Melayu, walaupun untuk pemahaman sesama Orang Melayu. Hal ini bukan sahaja tidak masuk akal, malah merupakan penghinaan. Begitulah hakikatnya apabila kita dijajah. Kekayaan ekonomi negara diambil, kuasa politik dilesapkan, dan khazanah budaya pula dibawa pulang ke Britain. Yang paling malang ialah nasib bangsa dan negara turut berada dalam tangan mereka.

Sewaktu penjajahan, kita bukan sahaja dihendaki menggunakan bahasa Inggeris, malah perlu mengamalkan budaya Inggeris yang tersemat dalam bahasa itu.  Contohnya, selepas sendawa kita perlu memohon maaf melalui ungkapan bahasa Inggeris excuse me, kerana perbuatan tabii yang tidak disengajakan itu dianggap jijik dalam budaya Inggeris. Berlainan sekali dengan budaya Melayu yang berteraskan ajaran Islam. Perbuatan luar kawalan yang melibatkan angin dikeluarkan daripada perut melalui mulut berserta bunyi itu perlu disyukuri dengan ungkapan alhamdulilah, tanda nikmat kekenyangan daripada Tuhan yang Esa. Dalam konteks ini, bahasa Inggeris bukan sekadar sistem komunikasi, malah cara hidup.  Bagi yang pernah belajar di sekolah aliran Inggeris sebelum dimansuhkan pada tahun 1970, mungkin pernah didenda oleh guru bahasa Inggeris apabila tidak segera memohon maaf setelah sendawa dan bersin. Guru besar pula mengenakan denda sekiranya pelajar menggunakan bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris dalam kawasan sekolah.

Perjuangan Mengisi Kemerdekaan dengan bahasa Kebangsaan Penuh Dugaan

Bual Bahasa

Datuk Zainal Abidin Borhan merupakan nama yang tidak asing lagi dalam bidang kebudayaan tanah air. Beliau yang kini dilantik sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan mulai 15 Disember 2011 pernah menjawat jawatan Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (2006-2011). Selain itu, beliau aktif dalam gerakan memperjuangkan bahasa dan kebudayaan sewaktu menjadi Setiausaha I Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Baru-baru ini, editor Dewan Bahasa telah berkesempatan menemu bual beliau di Yayasan Karyawan bagi mendapatkan pandangan beliau tentang perjuangan mengisi kemerdekaan dengan bahasa kebangsaan.

Sebagai individu yang bergiat aktif dalam pertubuhan yang memperjuangkan bahasa kebangsaan, apakah faktor yang mendorong Datuk terlibat secara langsung dalam hal ini?

Sebenarnya penglibatan saya didorong oleh beberapa faktor. Barangkali pendorong utama yang menarik saya untuk bergiat dalam hal ini ialah semangat yang saya warisi daripada keluarga saya terutama datuk di sebelah emak saya, iaitu Allahyarham Haji Muhammad Shah bin Yusof yang merupakan pensyarah di Kolej Melayu Melaka dan pengarang buku panduan tatabahasa Melayu yang berjudul “Senjuh Suratan” dalam versi Jawi pada tahun 1911 diterbitkan buat pertama kalinya oleh Kolej Melayu Melaka dan kemudiannya diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Bapa saya sendiri, Datuk Wira Borhan Mat Yaman juga merupakan tokoh bahasa dan kebudayaan yang memperjuangkan kemerdekaan. Saya juga banyak terlibat dalam pertandingan seperti koir dan syarahan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ketika Bulan Bahasa Kebangsaan ketika di bangku sekolah pada tahun 1960-an.

Ketika menjadi tutor dan pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, saya mula didedahkan dengan aktiviti kebahasaan oleh pensyarah-pensyarah seperti Tan Sri Ismail Hussein, Tan Sri Taib Osman dan Profesor Dato’ Asmah Omar yang ada pada ketika itu mengajar di jabatan tersebut. Penglibatan semakin meluas apabila saya masuk ke dalam GAPENA sebagai Setiausaha II, yang pada ketika itu memperjuangkan semangat kebangsaan pada tahun 1970-an. Saya ditugaskan bersama-sama dengan anggota GAPENA yang lain untuk membentangkan kertas kerja di beberapa di ceramah, bengkel, seminar kecil, kongres dan konvensyen ke seluruh negara tentang isu-isu kebahasaan dengan kerjasama pertubuhan politik dan kelompok-kelompok tertentu. Ketika isu PPSMI, saya berpengalaman menghadiri beberapa pertemuan dan perbincangan yang melibatkan tokoh-tokoh pejuang bahasa dengan para pemimpin tertinggi kerajaan bagi membincangkan isu berkenaan.

PERJUANGAN MENGISI KEMERDEKAAN DENGAN BAHASA KEBANGSAAN BELUM SELESAI

Bicara Bahasa

Oleh Mohd Riduwan Wahab

Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan setahun sebelum tanah air mencapai kemerdekaan hasil gagasan yang disuarakan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang berlangsung pada tahun 1956. Ini merupakan petanda bahawa sebuah negara yang merdeka memerlukan sebuah badan yang bertanggungjawab membina dan mengembangkan bahasa sebagai identiti yang bakal mengisi ‘kemerdekaan’ sesebuah negara yang berdaulat. Bahasa seumpama roh yang bakal menghidupkan pembangunan fizikal sesebuah negara yang merdeka. Bermula daripada detik itulah gerakan pembinaan korpus bahasa dan pembinaan taraf bahasa dijalankan dengan giat dan terancang. Gerakan ini merupakan manifestasi jerih payah perjuangan tokoh dan ilmuwan bahasa dalam memenuhi aspirasi Laporan Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan Laporan Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Rahman Talib 1960 yang kemudiannya menjadi ciri penting dalam Akta Pelajaran 1961.

Biarpun peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, perjuangan memartabatkan bahasa ini sebagai bahasa rasmi masih dihambat pelbagai cabaran. Masakan tidak, peruntukan ini gagal diterjemahkan dalam bentuk amalan apabila masih kedapatan majlis rasmi yang rata-rata khalayaknya terdiri daripada warganegara Malaysia dikendalikan dalam bahasa asing. Situasi ini memaksa Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 untuk menegaskan peruntukan yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu.

Sebenarnya laluan perjuangan mengisi kemerdekaan dengan bahasa kebangsaan ini masih panjang meskipun kita kini telah menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-56. Sempena ulang tahun kemerdekaan ini, kita perlu bermuhasabah dan meneliti jauh ke dalam diri tentang sejauh mana sumbangan kita sebagai rakyat Malaysia dalam memastikan ‘roh’ kepada negara, iaitu bahasa kebangsaan terus hidup untuk mengisi ‘jasad’ kemerdekaan negara. Sempena ulang tahun kemerdekaan yang telah menjangkau usia lebih lima dekad ini, marilah kita berdoa semoga bahasa kebangsaan akan tetap merdeka dan tidak akan kembali ‘dijajah’ dan merempat di bumi sendiri. MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!