Menilai Pemimpin Melalui Bicaranya

Dalam sistem pemerintahan beraja pada zaman dahulu, setiap titah raja merupakan perintah yang sentiasa diturut dan tidak akan sekali-kali disanggah. Begitulah taatnya rakyat terhadap raja yang memerintah pada ketika itu. Ketaatan yang tidak berbelah bahagi ini menyebabkan timbulnya kepercayaan bahawa sesiapa yang menderhaka kepada rajanya akan ditimpa tulah.

Kini, dalam era pemerintahan demokrasi, pemilihan pemimpin ditentukan oleh rakyat melalui proses mengundi. Rakyat mempunyai suara dan berhak menentukan pemimpin yang dipilih. Dalam pelaksanaan sistem demokrasi, wujud parti yang berlawanan, iaitu parti pemerintah dan parti pembangkang. Setiap kali tiba musim pilihan raya, kedua-dua pihak akan bertarung untuk memastikan parti masing-masing dipilih oleh rakyat. Pelbagai kempen diadakan di serata pelosok untuk meraih undi rakyat sehinggakan dianggap sebagai medan pertempuran.

Dalam kempen yang dijalankan, terserlah pelbagai gelagat dan ragam pemimpin dan calon parti. Ada yang menggunakan “bahasa memujuk” manakala ada yang menggunakan “bahasa provokasi”. Dalam “bahasa memujuk”, pelbagai janji dituturkan untuk memenangi hati pengundi. Walau bagaimanapun, pengundi kini semakin matang untuk menilai bicara yang dituturkan oleh pihak pemimpin dan parti. Sebaliknya, “bahasa provokasi” perlu dielakkan kerana boleh mencetuskan perbalahan, lebih-lebih lagi apabila menyentuh isu agama dan perkauman. Peristiwa 13 Mei perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Dalam setiap pertempuran, pasti ada pihak yang menang dan yang kalah. Dalam hal ini, pihak yang menang pastinya berpuas hati kerana berjaya meraih kepercayaan pengundi untuk menerajui kepimpinan negara. Walau bagaimanapun, bersama-sama kejayaan itu sebenarnya terpikul amanah untuk memimpin rakyat dan menunaikan janji yang telah ditaburkan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Keluaran kali ini memuatkan titah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah, yang perlu diambil iktibar oleh semua pihak.

Oleh Rahemah Ahmad

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, April 2013.