Meruntuhkan Mitos Nilai Ekonomi Bahasa Melayu

Nilai ekonomi sesuatu bahasa sering dikaitkan dengan tahap penerimaan bahasa tersebut dalam urusan perniagaan dan urusan pentadbiran negara. Walau bagaimanapun, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ini sering dihambat oleh mitos bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi. Dewan Bahasa menemui Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk meminta pandangan beliau tentang nilai ekonomi bahasa Melayu pada masa kini.

DB :

Apakah cabaran yang dihadapi untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mempunyai nilai ekonomi?

SMZ :

Cabaran utama untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi adalah untuk melaksanakan peraturan dan undang-undang berhubung bahasa Melayu yang telah digubal dan dimaktubkan. Masalah pertama, pemerintah terpaksa bertolak ansur dengan pihak yang memegang kuasa politik dan ekonomi. Kita berhadapan dengan keadaan politik yang sukar dan komposisi kaum yang saling bersaing, dan setiap kaum mempunyai agenda sendiri. Tentu sahaja mereka mahukan bahasa mereka dijadikan bahasa utama. Oleh itu, kerajaan “terpaksa” berhemah dalam melaksanakan peraturan tersebut.

Kedua, kedegilan dan kesombongan syarikat korporat. Syarikat korporat sentiasa

memberikan alasan bahawa mereka berurusan dengan dunia luar dan berurusan pada peringkat antarabangsa. Sikap mereka ini merupakan cabaran yang besar kerana kuasa ekonomi dipegang oleh mereka.

Kita perlu meruntuhkan pemikiran mitos mereka yang beranggapan bahasa Inggeris memperlihatkan imej hebat. Sebaliknya, kita perlu meyakinkan mereka bahawa penggunaan bahasa Melayu penting untuk menunjukkan kita mempunyai identiti nasional yang teguh. Namun begitu, amat sukar untuk meyakinkan mereka kerana kebanyakannya terdiri daripada golongan yang berpendidikan luar negara. Mereka tidak terlibat dengan perjuangan nasionalisme; sebaliknya mereka terdedah dengan dunia antarabangsa. Golongan ini sukar untuk kita pengaruhi. Oleh itu, kerajaan perlu memikirkan satu pelan tindakan dan menguatkuasakannya. Kita tidak boleh lagi bertolak ansur kerana bahasa Melayu akan terus dipinggirkan.

BAHASA INGGERIS: Metodologi dan Sejarah

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Hubungan Inggeris di dunia Melayu dimulai dengan minat hubungan perdagangan. Seawal tahun 1614, hubungan ini disinonimkan dengan penerbitan yang dihasilkan oleh pedagang Inggeris. Penerbitan berbentuk manual praktis ini merupakan penerbitan pertama Inggeris dalam dunia Melayu yang diberi judul Dialogues in the English and Malaiane Languages: or Certaine Common Forms of Speech, First Written in Latin, Malaian, and Madagascar Tongues. Berdasarkan catatan sejarah, pelayaran awal Inggeris ke timur ini sebenarnya sudah bermula lebih awal daripada itu, iaitu sejak tahun 1603. Di sinilah peluang orang Inggeris untuk mempelajari bahasa Melayu.

Minat terhadap dunia Melayu telah mendorong kepada penerbitan seterusnya, iaitu A Brief Vocabulary of The Malayan Tongue pada tahun 1673 dan penerbitan ketiga pula di Oxford pada tahun 1677. Di sinilah bermulanya hubungan awal Oxford dengan dunia Melayu. Hubungan bahasa Melayu dan Inggeris pada awal abad ke-17 lebih kepada bibit pengenalan dunia Nusantara kepada dunia barat. Dunia idaman barat ialah eksotik timur yang penuh dengan imaginasi liar terhadap bayangan timur yang mereka sendiri kurang teroka. Ketika itu, persaingan kuasa imperialis untuk merebut peluang di timur mendorong kepada penerokaan melalui pelayaran, survei, kajian saintifik dan penguasaan secara kekerasan mahupun secara lunak dan halus yang dikenali sebagai hegemoni.

Dalam konteks ini, penerokaan secara survei paling banyak dilakukan, sama ada secara rasmi mahupun sebaliknya. Survei secara rasmi dilakukan oleh pentadbir kolonial, pihak imperialis yang berminat untuk meneliti bagi mendapatkan maklumat berkenaan sesuatu masyarakat tersebut. Bagi pihak imperialis, lebih banyak sumber berkaitan dengan sesuatu masyarakat itu diperoleh, lebih mudah mereka memahami jiwa dan hati nurani masyarakat timur yang mempunyai potensi untuk dijajah. Bukan sahaja Inggeris, malah pihak Belanda, Sepanyol dan Amerika Syarikat turut berminat untuk mengetahui alam timur.

Kajian bahasa dianggap sebagai pusat segala pemikiran, sikap dan sistem nilai kehidupan sesebuah masyarakat. Tanpa pengetahuan berkenaan bahasa masyarakat tersebut, mustahil penerokaan dan kajian dapat dilakukan dengan lebih lengkap. Aspek bahasa sesuatu masyarakat itu merupakan kompleksiti perjalanan hidup mereka. Oleh itu, pengetahuan tentang sejarah bahasa amat penting untuk melihat keaslian, kreativiti, inovasi dan kearifan masyarakat tempatan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Roti Canai, Roti Bakar, Roti Perancis

Oleh SAIDAH KAMIN

Di manakah agaknya pengguna bahasa perlu melihat untuk mencari makna sesuatu frasa nama seperti “roti canai” dan “sepana hidup”? Sudah pastilah sumber rujukan yang paling mungkin mengandungi huraian atau takrifnya ialah kamus. Frasa nama merupakan salah satu item leksikal yang biasanya dimasukkan ke dalam kamus, selain kata akar, kependekan atau singkatan, dan kata terbitan. Dalam bidang perkamusan, frasa nama boleh ditakrifkan secara umumnya sebagai gabungan kata nama sebagai kata utama atau kata intinya dengan kata lain, yang mempunyai maksud atau tingkah laku idiomatik yang tertentu.

Penyusun kamus kerap kali berhadapan dengan masalah dan dilema dalam mengenal pasti frasa yang berpotensi menjadi masukan dalam sesebuah kamus. Masukan di sini bermaksud item leksikal yang diberi takrif. Biasanya pertimbangan untuk memasukkan frasa ke dalam sesebuah kamus atau sebaliknya, bergantung pada jenis dan konsep kamus yang mahu disusun. Kamus kanak-kanak tidak pernah memasukkan frasa, manakala kamus pelajar sekolah menengah mungkin memasukkan frasa yang penting sahaja untuk pengetahuan mereka. Masalah yang sebenar timbul apabila penyusun kamus mahu membina kandungan kamus yang sasarannya pengguna umum sesuatu bahasa. Penyusun kamus memerlukan pertimbangan yang teliti dari segi pemilihan frasa yang mahu dimasukkan ke dalam kamus tersebut. Pelbagai faktor perlu diambil kira, antaranya termasuklah kekerapannya dalam korpus, kepentingannya kepada pengguna bahasa, potensinya dalam pembinaan dan pengembangan bahasa berkenaan, dan kepentingannya dalam perakaman bahasa tersebut.

Kita boleh lihat bagaimana kekerapan dan bentuk frasa roti dan sepana dalam korpus bahasa Melayu. Di samping korpus, Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (PRPM DBP) yang disediakan dalam talian untuk membantu pengguna bahasa, dapat juga membantu penyusun kamus untuk mencari calon frasa yang boleh dimaksudkan dalam kamus. Penyusun kamus juga perlu melihat data korpus internet untuk mencari calon frasa untuk kamusnya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Memartabatkan Bahasa Melayu di Selatan Thailand

Oleh SURAIYA CHAPAKIYA

Usaha memartabatkan bahasa Melayu merupakan perkara penting bagi semua pihak tidak kira lelaki, perempuan, bangsa dan suku kaum. Hubungan sesama manusia merupakan perkara yang sangat mulia di sisi Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Menyayangi. Firman Allah dalam al-Quran 49: 13 bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan keadaan dan amalan kamu”.

Di negara Thailand, majoriti masyarakat menggunakan bahasa Thai sebagai bahasa komunikasi harian. Bahasa Thai merupakan bahasa yang paling penting dan berfungsi sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ibu kota, bahasa pendidikan, bahasa kesusasteraan dan bahasa Lingua franca antara kaum. Namun begitu, majoriti pengguna bahasa Melayu ialah masyarakat yang tinggal di selatan Thailand. Bahasa Melayu yang digunakan itu terbahagi kepada dua dialek, iaitu dialek Melayu Patani dan dialek Melayu Satun. Dialek Melayu Patani digunakan di empat wilayah selatan Thailand, iaitu di wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan meliputi beberapa daerah wilayah Songkhla. Bahasa Melayu yang dituturkan oleh masyarakat di selatan Thailand hampir sama dengan bahasa Melayu dialek Kelantan. Manakala dialek Melayu Satun pula ialah dialek yang digunakan oleh masyarakat Melayu di beberapa daerah di wilayah Satun.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Perjuangan BAHASA dalam Mendaulatkan Bahasa di Sabah

Oleh ISMAIL SALLEH

Berdasarkan bukti daripada batu bersurat, bahasa Melayu telah muncul sebagai bahasa perantaraan atau lingua franca di Nusantara sekitar abad kelima Masihi. Hakikat ini diakui oleh para sarjana yang memperkatakannya, antaranya termasuklah Vlekke, Ismail, Al-Attas, Amat Juhari, Hashim dan Collins. Menurut Sabihah, pada zaman kegemilangan kerajaan Brunei sebagai kuasa maritim, iaitu pada akhir abad ke-14, hampir seluruh kepulauan Borneo hingga ke Sulu berada di bawah kekuasaan Brunei. Dalam hal ini, Sabah (Borneo Utara) juga tidak terkecuali. Bahasa Melayu Brunei yang digunakan oleh masyarakat Brunei dan Kedayan di pantai barat Sabah menjadi bahasa perhubungan penting antara masyarakat, khasnya masyarakat Bajau di pedalaman serta pelbagai suku peribumi yang lain. Masing-masing suku menggunakan bahasa sendiri dalam kalangan suku mereka, tetapi apabila perhubungan antara suku dengan suku yang lain, mereka terpaksa menggunakan bahasa Melayu.

Menurut Jamdin Buyong, dalam hubungan sosioekonomi dan budaya, suku kaum Bajau tidak dapat berinteraksi dengan suku kaum Kadazan atau Dusun dengan menggunakan bahasa Bajau, dan suku kaum Kadazan atau Dusun tidak dapat berinteraksi dengan suku kaum Murut dengan bahasa Kadazan atau Dusun. Demikian juga halnya yang berlaku dalam kalangan suku kaum peribumi yang lain. Untuk perhubungan seperti ini, suku-suku kaum tersebut lebih mudah menggunakan bahasa Melayu Brunei. Mereka menggunakan bahasa etnik suku masing-masing hanyalah dalam lingkungan suku kaum sendiri. Oleh itu, bahasa Melayu Brunei begitu penting dalam kehidupan setiap suku kaum peribumi di Sabah.

Hakikat ini memperlihatkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa pentadbiran kerajaan dan perhubungan dalam kalangan rakyat jelata yang terdiri daripada pelbagai suku. Bahasa Melayu bukan sahaja digunakan dalam kalangan suku Melayu, malah dijadikan juga bahasa perhubungan luas antara suku Melayu dengan pelbagai suku kaum lain.

Apabila kerajaan Brunei menyerahkan pentadbiran Sabah kepada North Borneo Chartered Company (NBCC) pada akhir abad ke-19, bahasa Melayu dianggap penting oleh NBBC bagi melicinkan pentadbirannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

“Mencipta” Kerjaya melalui Bahasa Melayu

Oleh MOHD. HELMI AHMAD

Malaysia merupakan negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya. Seharusnya, bahasa Melayu menawarkan peluang yang luas dalam menggerakkan sektor industri pekerjaan. Oleh itu, bahasa Melayu harus diletakkan pada tahap yang sewajarnya dalam usaha menggembleng tenaga, kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan negara.

Oleh itu, usaha meletakkan bahasa kebangsaan pada kedudukan sewajarnya bermula dari akar umbi lagi. Bermula seawal persekolahan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan berterusan ke peringkat pengajian tinggi, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sektor pendidikan. Sejak itu, usaha menyemai kecintaan dan kesepaduan dalam mempelajari bahasa Melayu terus menjadi agenda pembangunan negara.

Melihat pada penawaran pengajian bidang bahasa Melayu pada peringkat sarjana muda, kerajaan meletakkan sasaran bahawa graduan dalam bidang bahasa Melayu mempunyai peluang dalam pasaran kerjaya. Segala-galanya bergantung pada keupayaan graduan dalam menimba ilmu, menghayati, menggunakannya serta menterjemahkannya dalam lapangan kerjaya. Kualiti modal insan ini sebenarnya menjadi kayu ukur pada majikan untuk menawarkan pekerjaan. Seharusnya, tidak timbul desas-desus mengatakan bahawa graduan bidang bahasa Melayu tidak laku dalam pasaran kerja.

Bagaimanakah “mencipta” kerjaya melalui bahasa Melayu? Barangkali itulah persoalan yang dilontarkan oleh bakal graduan dan graduan dalam bidang pengajian bahasa Melayu, apatah lagi masyarakat di luar. Graduan yang baharu sahaja menamatkan pengajian sering terperangkap dengan tawaran pekerjaan yang sedia ada. Sudah tentulah graduan akan melihat status kerjaya dan pulangan pendapatan yang bakal diperoleh. Seboleh-bolehnya mereka mahukan kerjaya yang mempunyai status, berpangkat tinggi dan bergaji besar sesuai dengan kelayakan yang dimiliki.

Pada hakikatnya, graduan bidang bahasa Melayu mampu mencipta kerjaya sendiri. Itulah keistimewaan yang dimiliki oleh graduan bidang bahasa Melayu. Untuk mencipta kerjaya, perancangan yang strategik diperlukan. Pertamanya, tetapkan bahawa kerjaya yang hendak dicipta itu untuk jangka masa pendek, sederhana mahupun panjang. Pertimbangan juga harus dilakukan sama ada status kerjaya itu tetap, sementara ataupun sampingan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Mengangkat Nilai Ekonomi Bahasa Melayu

Oleh ARIFF MOHAMAD

Sejak sekian lama, terdapat suara yang mempertikaikan keupayaan bahasa Melayu dalam bidang perniagaan, saham, korporat, perbankan dan penjenamaan produk. Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dalam konteks hari ini masih tidak meluas. Hal ini berlaku dalam lingkungan masyarakat tempatan, apatah lagi di peringkat antarabangsa. Isu nilai bahasa Melayu dalam bidang ekonomi yang pelbagai bidang pecahannya perlu diberi perhatian secara serius.

Bahasa Melayu dikatakan tiada nilai ekonomi, tiada nilai komersil dan sukar digunakan dalam urusan perdagangan. Hakikatnya, dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu telah dipelajari oleh setiap individu sejak peringkat sekolah rendah. Apatah lagi, bahasa Melayu dijadikan subjek utama dan subjek wajib lulus dalam peperiksaan di sekolah. Namun demikian, bahasa Melayu tetap dikalahkan oleh bahasa Inggeris dalam banyak situasi terutama dalam bidang ekonomi.

Urusan manusia yang berkaitan dengan ekonomi ini berbagai-bagai bentuk dan peringkatnya. Dalam hal ini, bahasa Melayu masih digunakan dalam peringkat tempatan dan hubungan yang bersifat dalam kelompok yang kecil, bergantung kepada masyarakat yang menuturkannya. Keadaan sedemikian juga berlaku dalam bahasa yang lain seperti bahasa Tamil dan bahasa Cina. Namun demikian, pada peringkat yang lebih besar dan luas, penggunaan bahasa Melayu didapati semakin berkurangan.

Suasana ini tidak seharusnya berlaku kerana bidang ekonomi itu bukan ditentukan oleh bahasanya tetapi pelaksanaan, proses dan aktiviti perdagangan itu. Ekonomi melibatkan urusan wang, untung rugi, dan proses yang bersinergi yang hanya memerlukan bahasa sebagai objek yang kedua. Objek yang pertama di sini ialah wang. Namun demikian, urusan kewangan ini perlu mengutamakan bahasa apabila dijalankan dalam peringkat antarabangsa, contohnya urusan antara warga Malaysia dengan warga Perancis, bahasa Inggeris digunakan melainkan warga Perancis tersebut boleh menggunakan bahasa Inggeris atau warga Malaysia itu boleh berbahasa Perancis dengan baik.

Sikap tidak yakin terhadap bahasa Melayu memberi persepsi yang merendahkan bahasa Melayu itu sendiri. Keadaan sedemikian berlaku di negara ini. Rancangan yang melibatkan perbincangan kewangan seperti Money Matters, dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Rancangan yang tidak berkaitan dengan ekonomi dan kewangan, contohnya Majalah Tiga menggunakan bahasa Melayu. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahasa Inggeris sahaja yang boleh digunakan untuk urusan ekonomi. Adakah ekonomi itu hanya untuk orang yang mahir dalam bahasa Inggeris?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.