Pemeribumian Sains dan Teknologi: Bebaskan Jiwa Keinggerisan

Istilah pemeribumian sains mula diperkenalkan di Malaysia dalam dekad 1990-an oleh seorang tokoh sains tersohor. Editor Dewan Bahasa berpeluang untuk menemu bual pencetus gagasan pemeribumian ini, iaitu Profesor Dr. Shaharir Md. Zain, bagi mendapatkan pandangan beliau. Walaupun terlatih dalam bidang matematik tulen, khususnya fizik kuantum, beliau juga gigih memperjuangkan bahasa Melayu dan pengislaman ilmu. Beliau mahir dalam matematik pengurusan kewangan Islam, etnosains matematik Malayonesia, pengislaman sains matematik dan keterlestarian.

DB : Apakah langkah atau insentif yang boleh dilaksanakan untuk menggalakkan ahli sains dan ahli akademik menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu?

SMZ : Istilah ini saya perkenalkan khusus merujuk pemeribumian sains dan teknologi. Hal ini merupakan tindak balas saya terhadap ilmu yang terlalu berpusat ke Eropah. Bagaimanakah kita hendak menghakis tanggapan masyarakat dan pelajar bahawa ilmu sains dan matematik datang 100 peratus daripada bahasa Inggeris? Kita patut mencari jalan untuk membuat penyelidikan bagi menggali khazanah ilmu kita sendiri dalam bidang sains serta teknologi dan menggunakannya untuk menggantikan contoh dalam buku teks yang bersumberkan bahasa Inggeris.

Melalui pemeribumian ini, tujuan saya adalah untuk membebaskan jiwa keinggerisan umat Malaysia ini. Antara usaha yang dilakukan termasuklah menggali khazanah ilmu daripada batu bersurat serta manuskrip lama dan mencari unsur sains dalamnya. Jika dahulu, penyelidik mencari cerita penglipur lara untuk menilai dan menganalisisnya, tetapi biarlah orang sastera yang melakukannya.

Seperkara lagi yang saya tegaskan ialah ilmu yang ada sekarang perlu dinilai dengan menggunakan sistem nilai orang Melayu sekarang. Dahulu kita tidak pernah memikirkan konsep semua ilmu yang kita ambil itu sama ada sesuai dengan kita atau tidak. Kita perlu menilai ilmu dengan menggunakan apa-apa yang diajarkan oleh Islam dan menilainya menggunakan acuan budaya kita. Contohnya, dalam ekonomi sekarang, penilaian prestasi terbaik ialah penilaian dari segi kewangan yang paling tinggi, keuntungan yang paling hebat, atau kerugian yang paling sedikit. Hal ini merupakan konsep “baik” yang kita ambil dari Barat, iaitu yang terbaik ialah “yang paling”. Pepatah Melayu mengatakan “buat baik, berpada-pada” bukan “buat baik sebaik- baiknya”. Islam pula mengajarkan apa-apa yang terbaik ialah kesederhanaan. Umat Islam yang terbaik ialah golongan yang mengamalkan wasatiah atau kesederhanaan yang menjadi prinsip Islam. Proses menilai ilmu mestilah berasaskan ajaran peribumi. Oleh hal yang demikian, kita perlu menilai ilmu dalam acuan kita sendiri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Bahasa Melayu: Hala Tuju Selepas Merdeka

Oleh TENGKU FAUZIAH KU MAT dan AZLINA MD. SADIK

Cendekiawan dan ilmuwan umumnya maklum bahawa kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia atau bahasa antarabangsa merupakan fakta yang tercatat dalam sejarah perkembangan dan kebangkitan tamadun Melayu sejak zaman Sriwijaya pada abad ketujuh Masihi dengan kemuncaknya pada zaman Kesultanan Melayu. Kedudukan dan taraf bahasa Melayu diperkasakan lagi dengan termaktubnya Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tidak dapat dipersoalkan, apatah lagi dicabar.

Perjuangan meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang tinggi dan bermartabat perlu dikuatkan dengan iltizam dan pendekatan yang kreatif dan berani, agar bahasa Melayu bukan sahaja menjadi milik orang Melayu, malah menjadi milik rakyat Malaysia dan penduduk Nusantara. Namun begitu, perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu sejak hampir enam dasawarsa ini memperlihatkan pelbagai cabaran dan kendala. Tempias daripada proses globalisasi mula memberikan kesan terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penduduk di negara ini. Persoalan dan polemik bahasa semakin hangat diperdebatkan. Kehangatan ini amat terasa apabila isu keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah mula goyah. Wujud usaha untuk mengubah persepsi gemilang bahasa Melayu, yang kononnya lemah, layak digunakan di pasar malam, malah jauh sekali mampu digunakan di peringkat tinggi, apatah lagi di persada antarabangsa!

Sejajar perkembangan mutakhir , tiba masanya untuk masyarakat mengamati dan menghayati perubahan, pencapaian dan masa depan bahasa Melayu di bumi tercinta ini. Usaha melihat ke belakang seharusnya dijadikan landasan bagi menjana fikiran dalam usaha menegakkan maruah dan kedaulatan bahasa Melayu agar wahana komunikasi ini dapat digunakan dengan penuh penghayatan dan keyakinan dalam semua bidang.

Sesi forum “Dilema dan Hala Tuju Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka” juga telah diadakan sebelum pembentangan resolusi persidangan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Etimologi Jepun dalam Khazanah Melayu/Indonesia

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Jepun menjadi negara maju sejak zaman pemodenan Meiji, iaitu pada separuh kedua abad ke-19. Jepun merupakan antara negara Asia yang memahami erti pemodenan sebenar yang dapat memisahkan antara konsep pemodenan dan pembaratan. Negara maju ini masih kekal dengan tradisi budaya tinggi meskipun kemajuan mengatasi negara di Eropah mahupun di Amerika Syarikat. Di sinilah kita dapat melihat “kabuki”, iaitu teater tradisional Jepun yang masih segar dalam kehidupan moden Jepun dan dikembangkan di serata dunia. Kemajuan Jepun juga dikaitkan dengan bahasanya.

Politik Jepun matang sejak sebelum perang dunia pertama lagi apabila negara itu menolak cadangan menggantikan bahasa Jepun dengan bahasa Inggeris yang diusulkan oleh Arinori Mori pada tahun 1872. Rakyat Jepun sudah sedar sejak dahulu lagi bahawa penggunaan bahasa asing akan menggugat kestabilan masyarakat terutamanya dari segi pendidikan, perpaduan rakyat dan budaya ilmu tempatan. Pada masa yang sama, Jepun mengatasi tantangan bahasa Inggeris dengan menggiatkan industri terjemahan daripada bahasa asing ke bahasa Jepun. Kenyataan ini dapat dilihat melalui pasaran industri di Jepun yang dianggarkan bernilai 200 bilion yen pada tahun 2006. Di samping itu, terdapat dua ribu syarikat terlibat dalam industri terjemahan melalui media massa serta mempunyai lebih 30 ribu penterjemah bebas di Jepun.

Penyebaran bahasa Jepun berlaku secara lebih jelas selepas perang dunia kedua. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat hanya 65 penduduk Amerika yang boleh membaca dan menulis dalam bahasa tersebut sebelum perang dunia kedua. Di kepulauan Melayu, penyebaran bahasa Jepun dapat dikesan apabila berlakunya pendudukan Jepun. Sebelum itu, pengaruh bahasa Jepun sukar ditemui. Menurut Masanori Sato, daripada sejumlah 40 buah kamus dalam dunia Melayu, hanya lima kata pinjaman daripada bahasa Jepun ditemui sehinggalah perang dunia kedua. Profesor dari Kyoto Sangyo University ini mempunyai kepakaran dalam kajian pinjaman perkataan bahasa Melayu/Indonesia daripada bahasa Jepun. Daripada penelitian beliau terhadap 300 buah kamus Indonesia, didapati hanya 180 perkataan dalam bahasa Indonesia yang dipinjam daripada bahasa Jepun. Kajian beliau terhadap 50 buah buku teks pula, terdapat sebanyak 320 kata pinjaman daripada bahasa Jepun manakala dalam kajian karya sastera Indonesia, terdapat 200 perkataan. Kebanyakan perkataan tersebut sudah sebati atau diterima oleh kelompok pengguna perkataan atau frasa bahasa Jepun.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Alam Semula Jadi dalam Seorang Tua di Kaki Gunung

Oleh S. NATHESAN

Leksikologi secara umum difahami sebagai bidang yang memberikan tumpuan utama terhadap perkataan. Routledge Encyclopedia of Language Teaching and Learning mendefinisi kan leksikologi sebagai kajian tentang penggunaan perkataan, iaitu melihat kosa kata sebagai subset perkataan yang digunakan dalam konteks tertentu. Hal ini bermaksud aspek perkataan yang diteliti dalam bidang leksikologi termasuklah penggunaan perkataan dalam situasi tertentu, seperti dalam novel. Novel Seorang Tua di Kaki Gunung (STDKG) oleh Azizi Haji Abdullah mempunyai perkataan yang ada hubung kait dengan alam semula jadi dan dapat diteliti dari sudut leksikologi.

Alam semula jadi dapat difahami sebagai suatu landskap, iaitu pemandangan kawasan yang mengandungi unsur bukit-bukau, sungai, pedesaan, rimba dan kaki gunung. Kata yang berkaitan dengan alam semula jadi dalam STDKG merupakan kata Melayu tradisi yang diturunkan daripada generasi kepada generasi sehingga kini.

Novel STDKG memaparkan persoalan jurang antara dua generasi, iaitu golongan tua dan muda. Golongan tua, melalui watak Tukya cuba mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan tradisi yang amat rapat dengan kehidupan alam semula jadi. Salah satu kekuatan novel ini terletak pada aspek pelukisan latar.

Banyak perkataan yang terdapat dari halaman satu hingga 50 novel ini menghuraikan alam semula jadi di kawasan kaki Gunung Bongsu, Kulim, Kedah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Audit Bahasa Memartabatkan Bahasa Melayu

Oleh KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Menurut Kamus Dewan, “audit” didefinisikan sebagai pemeriksaan dan pengesahan kira-kira dalam konteks akaun. Perkara paling konvensional yang sentiasa menjadi perhatian untuk diaudit oleh pasukan khas lantikan kerajaan ialah hal yang berkaitan dengan pengurusan kewangan dalam sesuatu jabatan. Pengauditan tersebut amat menitikberatkan integriti dan akauntabiliti sesebuah agensi kerajaan.

Kini muncul pula program “audit bahasa” yang diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri. Apakah pula maksud audit dan pengauditan dalam konteks bahasa? Audit dan pengauditan ini ditakrifkan sebagai aktiviti pemeriksaan dan penggunaan bahasa dalam kalangan kakitangan kerajaan. Malah, perkataan audit mungkin menimbulkan konotasi yang menggerunkan dalam kalangan penjawat awam.

Hakikatnya, program audit bahasa Melayu bertujuan memantau penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat perkhidmatan awam. Program tersebut perlu dilakukan dengan melihat dua aspek utama, iaitu untuk meninjau sejauh mana bahasa Melayu diguna pakai dalam perkhidmatan awam serta kualiti penggunaan bahasa kebangsaan. Yang perlu diaudit ialah mutu penggunaan bahasa mencapai tahap ragam bahasa Melayu rasmi, iaitu menurut sistem ejaan, sebutan, tatabahasa, kosa kata dan laras bahasa yang tertib.

Tinjauan terhadap kedua-dua aspek tersebut lebih bermakna jika cara pelaksanaannya adalah berkesan dan terdapat impak yang berguna untuk pembangunan bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, DBP menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi kerajaan bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan itu setakat ini.

DBP melancarkan program audit bahasa yang bermula pada tahun 2012 untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan penjawat awam. Program audit ini merupakan inisiatif terbaharu DBP di bawah pelan strategik untuk 2011-2015 untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat tempatan. Di bawah program audit ini, DBP akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan kementerian untuk memastikan bahasa kebangsaan digunakan dengan sebaik-baiknya oleh rakyat Malaysia dalam urusan seharian.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Nonlinguistik dalam Komunikasi

Oleh AMINNUDIN SAIMON

Tatacara berbahasa selalunya dikaitkan dengan penggunaan bahasa sebagai sistem komunikasi. Terdapat pelbagai cara untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Antaranya termasuklah kaedah verbal dan nonverbal. Selain unsur verbal, unsur nonverbal yang selalunya terlibat dalam sistem komunikasi juga perlu dititikberatkan. Unsur nonverbal yang dimaksudkan ialah unsur paralinguistik, kinetik dan proksemika. Nonverbal bermaksud komunikasi tanpa kata. Berdasarkan maksud nonverbal itu sendiri, dapatlah difahami bahawa komunikasi boleh wujud dalam bentuk tidak berkata-kata.

Paralinguistik ialah ciri bunyi seperti suara berbisik, suara meninggi, suara rendah atau perubahan intonasi yang diikuti unsur verbal dalam berbahasa. Penutur mestilah memahami unsur ini semasa berinteraksi dengan orang lain sekiranya ingin dikatakan santun. Misalnya, semasa sesi seminar sedang berlangsung peserta hendaklah berbisik sekiranya ingin berinteraksi dengan rakan yang lain.

Gerak tangan, anggukan, gelengan, kerdipan mata dan ekspresi wajah seperti murung, masam dan senyum merupakan unsur kinetik atau gerak isyarat semasa berkomunikasi. Unsur nonverbal digunakan dalam komunikasi untuk menjelaskan unsur verbal. Contohnya, seorang ibu mengajak anaknya untuk berjumpa dengan doktor, anak menjawab “Tidak, tak mahu” sambil menggeleng-gelengkan kepala. Apabila penggunaannya terpisah daripada unsur verbal, fungsinya sama, iaitu untuk menyampaikan pesanan kepada penerima.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Bahasa Melayu dalam Iklan

Oleh NAWI ISMAIL

Pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak harus dijadikan isu kerana perkara ini telah pun termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, berdasarkan situasi semasa tindakan sesetengah pengguna bahasa Melayu yang membelakangi bahasa kebangsaan cukup dikesali. Pihak yang dimaksudkan itu bukan sahaja tidak mengambil tahu tentang peraturan penggunaan bahasa Melayu dengan betul tetapi juga berasa tidak perlu untuk mereka berbuat demikian. Bagi golongan ini, apa-apa bentuk bahasa pun boleh digunakan asalkan perkara yang ingin disampaikan difahami oleh pihak yang disasarkan.

Situasi sedemikian secara tidak langsung memperlihatkan kurangnya jati diri pihak yang berkenaan. Hal ini dikatakan demikian kerana warganegara yang bertanggungjawab seharusnya menyedari bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam setiap urusan rasmi. Warganegara yang mempunyai semangat patriotisme juga perlu yakin bahawa bahasa kebangsaan layak dan wajar digunakan dalam komunikasi, sama ada secara lisan atau tulisan. Namun begitu, perkara ini sesetengah pihak, termasuklah dalam periklanan.

Walaupun keperluan menggunakan bahasa Melayu dengan betul dalam periklanan kerap diuar-uarkan, khususnya oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun tidak ramai yang mempedulikannya. Pelbagai alasan diberikan untuk “menghalalkan” tindakan yang dilakukan bertentangan dengan peraturan berbahasa yang ditetapkan. Sesetengah pihak pula hanya menunjukkan kesungguhan pada peringkat permulaan tetapi keadaan sebaliknya berlaku tidak lama kemudian. Sikap beginilah yang memungkinkan kesilapan dalam dua contoh iklan yang berikut terjadi.

Jika diteliti, kedua-dua iklan yang diperturunkan tidak mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini. Dalam iklan yang pertama, tulisan dalam bahasa Melayu dengan ejaannya yang salah (sepatutnya keriting) berada di bawah tulisan dalam bahasa Inggeris. Iklan yang kedua pula terus mengetepikan bahasa Melayu meskipun perkara itu merujuk bumi Malaysia. Selain dua contoh yang dipaparkan, terdapat banyak lagi iklan yang sedemikian terpapar megah di premis tertentu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.