Gagasan Satu Malaysia Berteraskan Satu Bahasa

Oleh SIDANG EDITOR

Bahasa dapat memainkan peranan sebagai wadah untuk menyatupadukan masyarakat. Dalam hal ini, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadikan bahasa Melayu asas persefahaman dan perpaduan melalui penggunaannya dalam kalangan rakyat pelbagai keturunan dan bangsa. Demikianlah caranya bahasa Melayu menjadi unsur penyatuan dan perpaduan kebangsaan dalam membentuk satu rupa bangsa bagi negara ini. Editor Dewan Bahasa berkesempatan untuk menemu bual Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar untuk meminta pandangan beliau tentang bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Beliau kini Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan Ketua Satu Gapena (Gabungan Persatuan Penulis Nasional).

“Antara halangan atau cabaran dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan termasuklah terdapatnya golongan yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini berlaku adanya kelonggaran dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ada pula golongan yang menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bukan bahasa komersial. Pemikiran demikian merupakan pemikiran yang kolot dan negatif. Sikap negatif ini merupakan sikap rakyat yang tidak setia sebagai warganegara. Sebagai warganegara Malaysia, setiap orang perlu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Golongan yang tidak menghormati bahasa kebangsaan tidak mencerminkan semangat patriotik dan akan merencatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Sistem pendidikan negara mestilah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Perkara 152 – Bahasa Kebangsaan, Akta 32 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidikan 1961, Akta 550 Akta Pendidikan 1996 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Etimologi Sambal, Gratis, Korting, dan Tempe

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Beberapa anak muda kelihatan sibuk melayan pengunjung di sebuah gerai makanan. Seorang perempuan kelihatan mengipas sate manakala seorang lagi membungkus sate yang dipesan. Suasana ini bukanlah berlaku di kedai Haji Samuri di Kajang ataupun Sate Khas Senayan di Jakarta. Sebaliknya, suasana ini dilihat di sekitar jalan Niewe Beestenmarkt, Leiden, Belanda, ribuan kilometer jauhnya dari Asia Tenggara. Apabila didekati gerai makan tersebut, terpapar frasa “Kip Sate” pada lekatan kertas di depan gerai tersebut. Gerai tersebut bersifat sementara bagi meraikan kemenangan penduduk Leiden pada 3 Oktober 1754 yang dikenali sebagai Hari Pembebasan Leiden. Pada hari tersebut, berlakunya pengunduran kolonial Sepanyol secara memalukan sebagai akibat kegigihan penentangan oleh penduduk Leiden setelah 80 tahun berlakunya peperangan.

Di mana-mana sahaja di negara yang dikenali sebagai negara Kincir Angin ini, terdapat restoran yang menjual pelbagai jenis sate seperti sate ayam, kambing ataupun daging. Dari tempat seperti Restoran Surakarta, Noordeinde di Leiden, Den Haag, Utrecht, hingga Amsterdam, sate mudah didapati. Sate sering disinonimkan sebagai berasal dari Indonesia pada awal abad ke-19. Namun sejarah sate dapat dikesan daripada pedagang Arab yang datang ke kepulauan Melayu yang turut mempengaruhi pedagang India Muslim pada awal kedatangan pada era tersebut. Istilah sate berasal daripada variasi sebutan Arab dan India Muslim yang disesuaikan dengan teras sebutan Jawa. Cara membuat sate juga disesuaikan daripada berunsur Arab pada awal kedatangan Arab kepada cita rasa tempatan.

Sejarah sate di Afrika pula dapat dikaitkan dengan sejarah penempatan Belanda yang bermula pada tahun 1647. Sejak tahun 1660, mereka mulai membawa buruh luar masuk ke Afrika. Sebelum itu, pada tahun 1652, Cape Town diasaskan untuk perdagangan Eropah dan Asia. Di sinilah bermula migrasi penduduk dari kepulauan Melayu, termasuk Jawa, sama ada sebagai pedagang ataupun buruh atau hamba. Di sinilah sate diperkenalkan di Afrika Selatan hingga kini dikenali sebagai “sosatie”. Walaupun pada tahun 1794, Syarikat Hindia Timur Belanda bankrap dan Afrika Selatan diambil alih oleh Inggeris, sate atau “sosatie” sebagai makanan pengaruh Indonesia di Afrika masih wujud.

Tidak ada makanan di Indonesia seasli tempe sebagai salah satu budaya benda kategori makanan tradisional masyarakat Jawa. Tempe sebagai makanan orang Jawa dapat dikesan daripada manuskrip Serat Centhini yang diselenggarakan oleh Adipati Anom Amengkunegara III dengan tiga pembantu, iaitu Kiai Ngabei Ranggasutrasna, Kiai Ngabei Yasadipura, dan Kiai Ngabei Sastradipura pada Januari 1814 dan siap pada tahun 1823. Manuskrip itu mengandungi ajaran agama, senibina, ilmu hubungan seksual, sufisme dan resipi makanan. Antara lain, manuskrip tersebut menyebut tempe sebagai masakan tempe dengan santan atau dalam bahasa Jawa disebut “jae santen tempe”. Berdasarkan sumber ini, tempe dipercayai berasal dari desa di kepulauan Jawa yang sudah berkembang sebelum abad ke-16.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Kata Sinonim

Oleh S. NATHESAN

Dalam bukunya Russian Lexicology, N. M. Shanskii berpendapat bahawa dalam ilmu leksikologi setiap perkataan dikaji dari pelbagai sudut. Antaranya termasuk dari sudut maknanya, kedudukannya dalam sistem perkataan secara umum, asal usulnya dan sifat stilistiknya. Apabila diteliti kosa kata bahasa Melayu, setiap perkataan memperlihatkan hubungan makna antara satu sama lain, iaitu makna dari segi antonimi, homonimi dan sinonimi.

Semua perkataan mendukung makna. Ada kalanya, terdapat dua perkataan atau lebih yang mendukung makna yang sama atau hampir sama. Dalam ilmu linguistik, khususnya dalam bidang semantik, perkataan sedemikian dirujuk sebagai kata “sinonim” atau perkataan seerti.

Sinonim didefinisikan dalam Kamus Dewan sebagai kata yang sama atau hampir sama maknanya dengan kata lain, seperti “cantik” dengan “indah” dan “cepat” dengan “pantas”. Howard Jackson dalam Key Terms in Linguistics menerangkan “sinonimi” sebagai hubungan maksud tentang kesamaan atau kesamaan makna. Dua perkataan dikatakan bersinonim apabila makna suatu perkataan bertindih dengan makna perkataan yang lain, seperti “ibu” dengan “emak” dan “murid” dengan “mahasiswa”.

Kesinoniman dapat dijelaskan dengan meneliti komponen makna yang terdapat dalam kedua-dua perkataan tersebut. Berdasarkan analisis komponen makna perkataan emak dan ibu, didapati bahawa kedua-dua perkataan tersebut berkongsi beberapa komponen makna yang sama. Ada juga komponen yang terdapat dalam kata ibu tidak terdapat dalam kata emak. Misalnya, dalam kata emak tidak terdapat komponen makna “haiwan”, “objek” dan “kawasan”. Oleh yang demikian, keduadua kata tersebut tidak dapat dianggap sebagai sinonim sejati. P. H. Matthews dalam Oxford Concise Dictionary of Linguistics mengkategorikan pasangan kata seperti ini sebagai “sinonim sebahagian”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Bahasa Rojak Punca dan Cara Mengatasi

Oleh SALLEH HASHIM

Menurut Kamus Dewan “ rojak” bermaksud 1 .Sejenis makanan daripada buah-buahan mentah dan sayur-sayuran campur yang berkuah: ~ manis; ~ ulek; 2. Berupa sesuatu yang bercampur aduk: eh, ini majalah ~! Ataupun rojek II; merojak menumbuk (sirih); projek; ~ sirih penumbuk sirih, gobek.

Apabila membicarakan “bahasa rojak”, kita tentulah merujuk bahasa bercampur aduk yang digunakan dalam tulisan dan juga lisan. Dalam majlis perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2012 pada 11 Oktober 2012, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia berkata, penggunaan bahasa rojak akan beransur-ansur menghakis kekuatan sesuatu bahasa. Kenyataan pemimpin nombor dua negara itu tidak harus dipandang remeh. Penggunaan bahasa rojak sudah semakin sebati dan menjadi barah bahkan bagai api di dalam sekam yang membakar senyap sehingga merosakkan kekuatan bahasa Melayu.

Meninjau dari perspektif sejarah, kita tidak dapat mengelak daripada penggunaan bahasa rojak seawal penjajahan ekonomi ketika kedaulatan Melaka sebagai sebuah empayar entrepot suatu ketika dahulu. Sebagai negeri pelabuhan, Melaka menarik ramai pedagang yang keseluruhannya bertutur lebih 80 bahasa daripada pelbagai bangsa dan budaya. Hal ini merupakan sebahagian daripada bahasa penghubung yang dikenali sebagai “bahasa rojak”. Semasa pemerintahan Parameswara, dua kumpulan pedagang akan mencuba untuk bertutur dalam apa-apa jua bahasa bagi mendapat keputusan yang terbaik dalam memahami antara satu sama lain, dan hasilnya ialah bahasa pijin atau bahasa rojak. Menjelang tahun 1511, Melaka mempunyai jumlah penduduk sebanyak 50 ribu orang termasuk komuniti pedagang yang bertutur dalam 84 bahasa.

Penjajahan Portugis, British, Jepun terus menyuburkan bahasa rojak di negara kita. Portugis mengekalkan bahasa dan budayanya di negeri Melaka sehingga ke hari ini, British datang dengan pengaruh bahasa Inggerisnya dan Jepun pula terkenal memaksa sekolah Jepun dan tulisan kanji kepada penduduk Tanah Melayu ketika itu. Dengan hal yang demikian, bahasa rojak tidak dapat dielakkan.

Isu bahasa rojak berlanjutan apabila pihak media turut menyumbang kepada percambahannya. Penggunaan Sure Heboh dalam media pernah menjadi polemik yang berpanjangan sehinggalah pihak kabinet masuk campur bagi meredakan keadaan. Zaman milenium turut menyaksikan banyak media terutama komik yang meremehkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Disleksia dan Kecelaruan Bahasa

Oleh MOHAMAD SHAFIQ ROHAIZAD BUYONG

Setiap ibu bapa mengidamkan anak yang cergas dan pintar dalam pelajaran. Namun begitu, perkara ini tidak berlaku kepada semua kanak-kanak yang dilahirkan di dunia ini. Setiap kanak-kanak mempunyai potensi dan tahap pencapaian masing-masing mengikut kemampuan. Penguasaan 3M, iaitu kemahiran “menulis”, “membaca” dan “mengira” merupakan salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap kanak-kanak. Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak yang diajar oleh guru boleh menguasai kemahiran 3M dengan sempurna.

Bagi kanak-kanak yang t e rgolong dalam kategori pelajar pintar, untuk menguasai 3M tidaklah mendatangkan sebarang masalah. Sebaliknya, 3M merupakan komplikasi besar kepada kanak-kanak yang menghadapi disleksia.

Perkataan disleksia berasal daripada perkataan Greek, iaitu dyslexia. Dys bermaksud “kesukaran” manakala lexia bermaksud “perkataan”. Menurut Newton dan Thomson, disleksia ialah kesukaran menggunakan leksikon. Word Federation of Neurology pula mendefinisikan disleksia sebagai kecelaruan bahasa yang berlaku dalam kalangan individu yang pernah mendapat pembelajaran bahasa di dalam kelas tetapi gagal memperoleh kemahiran membaca, menulis atau mengeja. Berdasarkan takrifan ini dapatlah dinyatakan bahawa disleksia merupakan salah satu fenomena kanak-kanak yang tidak dapat menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira setara dengan kanak-kanak yang normal.

Ramai yang beranggapan bahawa kanak-kanak disleksia ialah pelajar yang lembab. Anggapan ini terjadi kerana kanak-kanak disleksia dan kanak-kanak lembab mempunyai ciri yang hampir sama, iaitu sukar untuk menguasai kemahiran 3M. Takrifan ini perlu diperbetulkan kerana pelajar disleksia dan pelajar lembab mempunyai ciri perbezaan yang tertentu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Sebarang, Sembarang, Sebarangan, Sembarangan

Oleh AZIAH TAJUDIN

Bahasa Melayu memang kaya dengan perbendaharaan katanya. Banyak kata yang terdapat dalam bahasa Melayu yang kurang atau belum diketahui oleh sesetengah penuturnya. Kadang-kadang sesuatu kata itu wujud dalam bahasa Melayu tetapi tidak terdapat dalam kamus atau dalam penyemak ejaan. Hal ini tidak bermakna bahawa kata tersebut salah dan tidak boleh digunakan. Penyemak ejaan bukanlah satu-satunya cara untuk kita menentukan sama ada sesuatu kata itu betul atau salah untuk digunakan. Ketidakwujudan sesuatu kata dalam penyemak ejaan akan menimbulkan kemusykilan, kekeliruan atau kehairanan dalam kalangan penggunanya.

Kata sebarang, walaupun tidak terdapat dalam penyemak ejaan, tidak bererti bahawa kata tersebut tidak wujud dalam bahasa Melayu. Kata sebarang wujud dalam Kamus Dewan dan kamus lain. Hal ini bermakna pengguna tidak boleh bergantung semata-mata pada penyemak ejaan. Kata sebarang membawa maksud “apa-apa sahaja”, “sesiapa sahaja”, “mana-mana sahaja” atau “bila-bila sahaja”. Contoh penggunaan kata tersebut, yang diperoleh daripada data korpus, adalah seperti yang berikut:

i. Dari mulutnya yg ternganga besar itu, tidak keluar pun sebarang kata.

ii. Arak ialah sebarang minuman yang memabukkan dan menghilangkan kewarasan fikiran seseorang.

iii. Mengikut katanya, perkara itu akan habis di situ sahaja, tanpa sebarang siasatan.

iv. Dia tidak mempunyai sebarang senjata untuk mempertahankan diri.

v. Syakir tidak mempunyai sebarang peluang untuk melanjutkan pelajarannya.

Kata sembarang membawa maksud yang sama dengan kata sebarang, iaitu kata yang membawa maksud “apa-apa sahaja”, “sesiapa sahaja”, “mana-mana sahaja” atau “bila-bila sahaja”. Kata sembarang boleh digunakan secara bertukar ganti dengan kata sebarang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Semantik Leksikal Dialek Melayu Sarawak

Oleh HAMIDAH ABDUL WAHAB

Bahasa merupakan elemen yang mampu menyatukan individu yang bukan sahaja berlainan fahaman dan pegangan, malah berupaya bertindak sebagai alat penting dalam mengukuhkan semangat nasionalisme sesebuah negara. Bahasa juga memainkan fungsi yang maha besar dalam usaha mengurangkan jurang perbezaan serta melahirkan masyarakat yang harmoni dan menghormati antara satu sama lain, seiring dengan kepesatan dunia kini yang dilihat semakin meminggirkan aspek kesantunan dalam interaksi sosial. Strategi pembentukan dan pengukuhan sesebuah negara bangsa dapat dilaksanakan melalui pelbagai cara dan satu daripadanya ialah menerusi bahasa.

Berlandaskan hakikat bahawa bahasa bersifat dinamik, hidup dan berkembang sejajar dengan keperluan penutur serta senario kebahasaan setempat dan keseluruhan lingkungannya, penggunaan bahasa atau dialek merupakan salah satu cara   individu memanifestasikan hasrat, keinginan, akal dan pemikiran, serta apa-apa sahaja yang signifikan dengan topik pembicaraan yang terlibat. Pengguna dialek atau bahasa sedaya mungkin akan menggunakan medium perantaraan tersebut dengan memasukkan unsur budaya kerana bahasa pada dasarnya tidak dapat berdiri dengan sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa yang terpenggal daripada budaya merupakan bahasa yang “kosong” dan tidak memiliki jiwa serta perasaan sebenar masyarakat pengguna asal bahasa tersebut. Bahasa yang sebegitu merupakan bahasa yang tidak mengenal nilai rasa berbahasa dan cenderung disalah erti oleh pendengar atau pihak yang dilawan bicara.

Di Malaysia, dialek Melayu Semenanjung berbeza-beza antara negeri dengan negeri, antara kawasan dengan kawasan, dan juga berbeza dengan dialek di Sabah dan Sarawak. Selain faktor geografi, iaitu berdasarkan sempadan negeri, perbezaan juga melibatkan aspek kosa kata, semantik perkataan dan sebutan.

Dialek Melayu Sarawak merupakan salah satu dialek utama yang dituturkan oleh masyarakat Melayu di bumi Kenyalang. Dengan populasi sebanyak 21 peratus atau 462,270 orang, dialek ini bukan sahaja digunakan oleh orang Melayu, malah oleh penduduk bumiputera lain meliputi Iban, Bidayuh, Melanau, Kedayan dan Orang Ulu. Menurut Asmah Haji Omar, dialek Melayu Sarawak dikelompokkan kepada tiga subdialek berdasarkan kawasan, iaitu subdialek Kuching, subdialek Saribas dan subdialek Sibu. Pengelompokan dibuat berdasarkan perbezaan yang wujud antara subdialek tersebut, terutama meliputi bunyi vokal pada akhir suku kata sesuatu perkataan.

Sungguhpun dialek ini difahami dan digunakan secara menyeluruh oleh penduduk di Sarawak, terdapat sedikit kekangan dari aspek pemahaman bahasa apabila melibatkan penutur yang datang dari latar dialek Melayu yang berbeza, khususnya dari Semenanjung Malaysia. Fenomena ini dapat dianggap sebagai lumrah dalam pengadaptasian bahasa dan budaya bagi penutur yang mendiami sesuatu kawasan yang baharu bagi mereka. Aspek budaya antara masyarakat Melayu Sarawak dengan Semenanjung bukanlah berbeza secara total kerana masih terdapat titik persamaan dalam kebanyakan hal. Perbezaan melibatkan aspek budaya hanya dalam amalan adat resam tertentu, misalnya dalam adat meminang, majlis perkahwinan dan urusan kematian. Kelainan yang agak ketara ialah kadangkala timbul kekeliruan dalam kalangan penutur bahasa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.