Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2012 November.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia: Cabaran dan Harapan

Bual Bahasa

Oleh SIDANG EDITOR

Profesor Madya Datuk Dr. Hj. Mohamad Ali Hasan merupakan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN). Beliau adalah antara individu penting dalam membantu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyediakan keperluan pendidikan terbaik untuk para pelajar. Bagi mendapatkan pandangan beliau tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang baru dilancarkan, Sidang Editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual beliau.

“Pada pandangan saya, setiap pembaharuan yang dibuat perlu diberikan ruang dan peluang dalam pelaksanaannya. Saya seorang yang terbuka dan sedia memberikan laluan untuk kementerian membuktikan keberkesanannya. Pada dasarnya, kita berhasrat untuk melahirkan murid yang berfikir, mampu berfikir mengenai perkara yang bernilai tinggi dan rajin membaca. Jadi, perubahan yang dilakukan ini merupakan pendekatan yang baik serta memberikan penekanan kepada sistem pendidikan yang menarik dan seronok. Dengan cara ini, murid dapat berkongsi pandangan dan pendapat sama ada pandangan kritikal atau sesuatu yang membina hasil daripada daya fikir mereka sendiri. Hal ini akan memberikan ruang inovasi untuk pembinaan jati diri dalam diri mereka. Saya percaya bahawa kaedah ini berupaya menghasilkan murid yang berfikiran matang dan dapat membuat keputusan semasak- masaknya berdasarkan sumber yang ada. Jika kita imbas semula, sistem pendidikan terdahulu berorientasikan peperiksaan 100 peratus. Mungkin melalui PBS ini, kita memperuntukkan 40 peratus dikhaskan untuk penilaian berterusan dan baki peratusan itu diperuntukkan untuk peperiksaan. Hal ini membolehkan murid belajar dan berfikir secara berterusan. Maka, sudah tentu hal ini merupakan satu perkembangan yang positif. Saya juga berpendapat bahawa perubahan sistem pendidikan ini dapat mengurangkan sikap murid yang cenderung belajar pada saat- saat akhir sebelum peperiksaan. Murid kita akan belajar secara berterusan dan bukan hanya menunggu apabila waktu peperiksaan semakin hampir.”

– Profesor Madya Datuk Dr. Hj. Mohamad Ali Hasan

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012

Martabatkan Bahasa Kebangsaan Kita

Peristiwa Bahasa

Oleh DIARANI MAT ADAM

Dengan tema “Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara”, sekali lagi Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Kebangsaan dilancarkan pada 10 Oktober 2012. Pelancaran BBK ini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan. BBK merupakan salah satu acara tahunan negara yang dianjurkan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Tema BBK tahun ini berkaitan secara langsung dengan Dasar Bahasa Kebangsaan yang membentuk satu bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan.

Dalam ucapan pelancarannya, Muhyiddin menegaskan bahawa tema BBK 2012 ini bertepatan dengan usaha kerajaan yang menyeru warga Malaysia untuk menghargai bahasa kebangsaan sebagai tonggak tamadun negara dan budaya Malaysia. Katanya, penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca perlu diberi penekanan supaya bahasa itu benar-benar menjadi tali pengikat semua rakyat berbilang kaum.

Muhyiddin menambah, “Kita perlu memartabatkan bahasa kebangsaan secara menyeluruh, selain memartabatkannya di peringkat kebangsaan. Kerajaan sentiasa menyokong penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa demi menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. Dalam mengharungi dunia globalisasi kini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dilihat semakin terpinggir. Sering kali ejaan dan sebutan tidak digunakan dengan betul dalam siaran radio, televisyen, Internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan dalam laman sosial, seperti facebook dan twitter.”

Muhyiddin juga mengharapkan agar semua pihak mengambil inisiatif untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Tegas beliau, penggunaan “bahasa rojak” yang berleluasa menggambarkan situasi kehilangan bahasa dalam kalangan masyarakat, yakni apabila sejumlah besarnya tidak fasih berbahasa Melayu sepenuhnya, sama ada secara lisan ataupun tulisan. Jika perkara ini tidak dibendung, kekuatan bahasa Melayu akan terhakis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012.

“Lagi Power, Lagi Best”: Inikah Wajah Iklan Kita?

Reaksi Bahasa

Oleh ZAIDI ISMAIL

Pada 31 Ogos lalu, genaplah 55 tahun negara kita mencapai kemerdekaannya. Dari awal kemerdekaan dicapai hingga kini, bahasa Melayu terus memainkan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Bahasa inilah yang sepatutnya digunakan dan diutamakan, baik dalam lisan mahupun tulisan, khususnya dalam situasi rasmi. Bahasa yang digunakan itu pula perlulah bahasa yang betul, bukannya bahasa yang bercampur aduk dengan bahasa asing atau disebut juga sebagai “bahasa rojak”. Bahasa yang tidak melambangkan jati diri kebangsaan ini sepatutnya tidak digunakan sama sekali. Penggunaannya menggambarkan kita seolah-olah miskin kosa kata sehingga terpaksa mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing dalam sesuatu ungkapan. Begitu juga dalam hal iklan dan pengiklanan. Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul perlu diutamakan berbanding dengan bahasa rojak. Setahun lalu, semasa melancarkan wajah baharu Produa Myvi, syarikat berkenaan telah menggunakan slogan baharu yang turut dipamerkan dalam iklannya, iaitu “Lagi Best”. Penggunaan slogan tersebut tersebar luas di media, sama ada media cetak mahupun media elektronik. Papan iklan juga tidak terkecuali dalam menggunakan slogan tersebut untuk tujuan promosi.

Banyak pihak yang tidak bersetuju dengan penggunaan slogan tersebut, terutamanya golongan pencinta bahasa Melayu. Sebagai sebuah syarikat yang berkaitan dengan kerajaan, syarikat pengeluar tersebut tidak sepatutnya “meremehkan” penggunaan bahasa Melayu di “bumi sendiri” walaupun tujuannya jelas untuk menarik minat pembeli atau dengan kata lain untuk tujuan promosi.

Setelah setahun berlalu, ternyata ketidaksetujuan dan “bantahan” dar ipada para pencinta bahasa Melayu itu seolah-olah hanya dipandang sebelah mata, baik oleh syarikat berkenaan mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Hal ini dikatakan demikian kerana pada tahun ini, Produa Myvi, sekali lagi muncul dengan slogan baharu hasil daripada penambahan slogan sebelumnya, iaitu “Lagi Power, Lagi Best”. Slogan ini telah digunakan dalam papan iklan yang dipasang di tempat awam, antaranya termasuklah di Jalan Tun Razak berhampiran pusat bandar raya Kuala Lumpur dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012

Senggara atau Selenggara

Leksikologi

Oleh RUSMADI BAHARUDIN

Satu berita hangat pernah memenuhi dada akhbar tempatan dan sempat menjadi bualan rakyat Malaysia, iaitu tentang isu penyelewengan kos senggaraan kereta. Diberitakan bahawa kereta tersebut telah disenggara dengan kos penyenggaraan paling tinggi. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah turun padang untuk menyiasat kes itu kerana jumlah bayaran menyenggara kenderaan tersebut dikatakan terlalu besar.

Yang ingin diketengahkan dalam berita tersebut ialah penggunaan kata “senggaraan”, “disenggara”, “penyenggaraan” dan “menyenggara”, iaitu kata terbitan daripada kata dasarnya “senggara”. Dalam senarai kosa kata bahasa Melayu, ada satu lagi kata yang hampir sama maknanya dengan kata senggara, iaitu kata “selenggara”. Dalam konteks tertentu, kata “senggara” dan “selenggara” menampilkan gelagat semantik dan sosok sintaksis yang sering kali bertukar ganti ciri penggunaannya. Dalam kamus bahasa Melayu, ciri kesinoniman kedua-dua kata ini turut dirakamkan. Kamus Dewan telah pun merakamkan penggunaan kedua-dua kata ini sejak edisi pertamanya lagi, iaitu yang diterbitkan pada tahun 1970 dan yang paling mutakhir ialah edisi keempat, diterbitkan pada tahun 2005.

senggara; menyenggara, menyenggarakan mengurus(kan), mengendali(kan), menyelenggara(kan); penyenggaraan perihal menyenggarakan, pengendalian, pengurusan; selenggara.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012

Bahasa Kewartawanan: Membersihkan “Sampah” dalam Bahasa

Darihal Bahasa

Oleh NOORDIN ZAKARIA

Kita biasa mendengar tuduhan merendah-rendahkan keupayaan bahasa Melayu, kononnya bahasa Melayu terlalu berjela-jela dan tidak mampu memberikan makna yang tepat. Adakah tuduhan ini benar dan berasas? Adakah bahasa Melayu tidak mempunyai keupayaan atau pengguna bahasa ini sendiri sebenarnya tidak mampu menggunakannya dengan betul?

Sesetengah orang mungkin tidak menyedari kewujudan satu laras bahasa yang mampu menangkis tanggapan negatif tersebut. Laras berkenaan ialah laras kewartawanan (journalistic language).

Dari segi makna, laras bahasa ialah sejenis kelainan gaya dan disiplin bahasa berdasarkan penggunaannya dalam bidang tertentu. Kelainan itu dapat dilihat dari segi pemilihan kata, ayat atau istilah berdasarkan keperluan dan kesesuaian bidang berkenaan. Ahli bahasa bersepakat menyatakan bahawa perbezaan laras bahasa bukan suatu kesalahan atau larangan. Malah, menurut Kamarudin Husin menerusi bukunya, “Laras Bahasa”, bukanlah sesuatu yang aneh bagi seseorang memiliki beberapa laras bahasa yang berbeza sama ada berbentuk lisan atau tulisan. Dalam konteks ini, tidaklah menjadi suatu kesalahan apabila mengaplikasikan bahasa kewartawanan dalam penggunaan harian, dan bahasa ini bukan semata-mata untuk bidang kewartawanan.

Apakah bahasa kewartawanan? Bahasa kewartawanan merupakan satu daripada laras bahasa yang pelbagai seperti juga laras bahasa sains, perubatan, undang-undang, perniagaan, sukan, agama, sastera dan seni. Laras bahasa kewartawanan biasanya digunakan oleh wartawan semasa menulis berita dan rencana. Berbanding dengan rencana, berita biasanya lebih banyak mempunyai ciri bahasa kewartawanan. Ciri asas bahasa kewartawanan ialah mudah, ringkas, padat dan tepat serta mementingkan fakta. Ciri utama laras bahasa ini ialah penjimatan perkataan (economy of words). Dalam kata lain, laras bahasa ini ialah bahasa “antipemborosan perkataan”.

Berdasarkan ciri utama dan ciri asas inilah bahasa kewartawanan mampu membersihkan “sampah” dalam bahasa. Contoh mudah “sampah” dalam bahasa ialah frasa “mengekorinya dari belakang”. Berbeza dari sudut ilmu logik, sekali imbas tidak ada kesalahan tatabahasa yang ketara pada frasa ini. Malah, sebahagian besar ahli bahasa akan menganggap ayat ini sudah “sempurna” dan bebas daripada kesalahan bahasa. Namun, di sisi bahasa kewartawanan, frasa tersebut mengandungi kesalahan yang amat ketara dan besar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012.

Ejaan Nama Arab: Versi Inggeris dan Versi Melayu

Darihal Bahasa

Oleh MUNIF ZARIRRUDDIN FIKRI NORDIN

Dunia hari ini ialah dunia maklumat. Melalui maklumat, kuasa, hegemoni dan kebenaran ditonjolkan semaksimum mungkin. Sejajar dengan itu, nilai maklumat bukan sekadar terletak pada kandungan maklumat dan pihak yang menyalurkan maklumat, tetapi juga terletak pada bahasa yang digunakan dalam penyaluran maklumat berkenaan.

Maklumat dalam bahasa yang mewakili kuasa dan hegemoni dunia sangat tinggi nilainya sehingga memaksa pihak lain mengakui akan kebenaran kandungan maklumat berkenaan. Dalam konteks ini, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang menguasai dan mengawal dunia maklumat. Dengan bersumberkan maklumat dalam bahasa Inggeris, maklumat kemudiannya diterjemahkan dan disebarkan ke dalam bahasa lain yang berbeza-beza latar belakang agama dan budaya, termasuk bahasa Melayu.

Sebagai penerima dan pembeli maklumat, bahasa Melayu menerima dan membelikan pelbagai berita dan peristiwa seluruh pelosok dunia daripada bahasa Inggeris. Satu perkara yang menarik dalam penerimaan, penterjemahan dan penyebaran maklumat daripada bahasa Inggeris ialah ejaan nama Arab. Dari sudut sejarah dan budayanya, ejaan nama Arab mempunyai hubungan linguistik yang jauh lebih awal dengan bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris.

Pada keseluruhannya, tidak semua ejaan nama Arab berbeza dalam kedua-dua versi Inggeris dan Melayu. Yang menjadi fokus makalah ini ialah ejaan nama Arab versi Inggeris yang berbeza daripada versi Melayu. Perbezaan ini boleh menimbulkan kekeliruan dan kekhilafan linguistik bagi ejaan nama Arab dalam bahasa Melayu di Malaysia. Perbezaan ini juga boleh memberikan implikasi, khususnya terhadap kewibawaan bahasa Melayu yang sejak sekian lama memiliki sistem korpus ejaan nama daripada huruf Arab kepada huruf Rumi yang sistematik.

Satu daripada contoh mutakhir perbezaan ejaan nama Arab dalam kedua-dua versi berkenaan ialah nama Presiden Mesir yang baharu dipilih oleh rakyat negara itu dan majlis beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir yang kelima pada 30 Jun 2012. Pada 1 Julai 2012, majlis tersebut telah mendapat liputan akhbar, termasuk akhbar dalam talian. Laporan yang dibuat oleh tiga buah akhbar, iaitu akhbar harian versi bahasa Inggeris antarabangsa, akhbar Mesir dan akhbar harian versi Melayu, didapati nama presiden itu dieja berbeza-beza.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012.

Bahasa Melayu Era Jamak Budaya

Darihal Bahasa

Oleh MOHD. TARMIZI HASRAH

John Wilkins, seorang ilmuwan dan salah seorang pengasas Akademi DiRaja British (British Royal Society), menulis sebuah karya berjudul An Essay Towards a Real Character and a Philosophical Language. Karya ini bertujuan untuk mencari bahasa pengganti kepada bahasa Latin (ketika itu berperanan sebagai bahasa ilmu di Eropah) yang sudah mula memperlihatkan tanda kemerosotannya. Salah satu bahasa yang dicadangkan oleh Wilkins ialah bahasa Melayu. Namun begitu, cadangan tersebut hanya sekadar tercoret di atas kertas sahaja. Untuk menjadi bahasa sejagat yang dapat dipakai oleh semua bangsa di dunia dalam semua ranah tidak hanya ditentukan oleh faktor dalaman bahasa itu, tetapi faktor luaran juga menjadi penentunya.

Faktor dalaman merujuk bentuk struktural sesebuah bahasa. Bentuk ini mencakupi pemiawaian sistem nahu, sistem ejaan dan leksikal. Dari segi faktor dalaman, bahasa Melayu tidak dapat dinafikan setanding dengan bahasa utama di Eropah, seperti bahasa Perancis, Itali, Jerman dan Belanda. Sejarah telah mengkhabarkan kepada kita bahawa karya nahu bahasa Melayu yang sistematik pertama kali muncul pada tahun 1603M oleh Frederick de Houtman; pada tahun 1612M oleh Casper dan Wilterns; dan pada tahun 1623M oleh Joannes Roman. Penerbitan karya nahu dan kamus yang boleh dikatakan berturut-turut seperti ini menjadikan bahasa Melayu tergolong dalam kelompok antara bahasa terawal yang memiliki karya nahu.

Sejarah juga mencatatkan bahawa penggunaan bahasa Melayu ketika itu mencakupi pelbagai ranah seperti sosiolinguistik, ekonomi, politik dan sosial. Malah, lebih daripada itu, bahasa Melayu ialah penyatu semantik antara pelbagai bangsa yang menghuni seluruh Malayonesia, yakni Alam Melayu atau Nusantara. Melalui dokumen yang sampai kepada kita ternyata pusat pemerintahan yang secara natifnya bukan berbahasa Melayu , namun dalam urusan rasmi, iaitu urusan antara kerajaan dengan urusan perekonomian yang dijalankan berwahanakan bahasa Melayu. Penyatuan semantik melalui penggunaan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu sangat penting. Dalam hal ini, kepentingannya tercermin dalam praktis ranah yang lain, misalnya dalam ranah agama dan pendidikan. Wujudnya penyatuan semantik membolehkan para ilmuwan mendidik dan menyampaikan ajaran luhur kepada manusia di Malayonesia.

Faktor dalaman tersebut jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu secara sederhana memenuhi ciri untuk menjadi bahasa sejagat. Untuk menjadi bahasa sejagat pula, bahasa Melayu perlu memenuhi tuntutan dan sokongan kuat faktor luaran, iaitu faktor yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial. Malayonesia, ketika Wilkins menulis karyanya itu juga kuat dari segi politik, ekonomi dan sosial. Pusat pemerintahan di wilayah ini memiliki sistem politik yang teratur bagi membolehkan keteraturan sistem ekonomi dan sosial. Malah, salah satu sebab penjajah Portugis atau Feringgi tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai ketika menjajah Melaka seperti yang dilakukan oleh penjajah Sepanyol di Amerika Selatan kerana Malayonesia merupakan wilayah yang berbudaya. Oleh sebab berlakunya penjajahan di Malayonesia, iaitu di wilayah yang menggunakan bahasa Melayu, maka bahasa ini dipandang lemah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012.