Bahasa Membangunkan Akal Budi Bangsa

Oleh AMINUDIN MANSOR

Secara umumnya, dalam kehidupan harian, bahasa memainkan peranan penting. Bahasa melalui pertuturan, penulisan dan juga komunikasi akan melengkapkan kehidupan bermasyarakat. Tanpa bahasa manusia tidak dapat berkomunikasi dengan baik. Lantaran itu, bahasa dikatakan berperanan dan dapat membangun akal budi bangsa.

Konsep akal budi melalui bahasa dapat dilihat melalui akal anugerah Allah SWT yang istimewa kepada manusia. Akal manusia mempunyai batasan tertentu untuk bertindak, bergaul dan belajar mengikut fahaman dan anutan agama masing-masing. Bagi orang mukmin umpamanya, Allah SWT menganugerahkan akal yang disertakan dengan taufik dan hidayat.Manakala budi dalam al-Quran bermaksud adab, sopan santun serta orang yang berakhlak dan beriman. Hal ini dijelaskan dalam beberapa ayat tentang adab pergaulan orang mukmin terhadap Rasulullah SAW pada zaman baginda, yang menjadi pedoman dan pengajaran kepada orang Islam hingga sekarang.

Dari sudut pengertian, budi mempunyai pengertian yang amal luas. Menurut Teuku Iskandar, budi berasal daripada kata Sanskrit Buddhi bermaksud bijak, baik pekerti dan mulia atau intelektual (wisdom).

Bahasa Melayu terkenal dengan kesopanan, kesantunan dan kehalusan budi bahasa. Melalui bahasa, iaitu pertuturan dan penulisan yang baik dan tepat akan dapat membentuk akal budi bangsa. Rangkuman ketiga-tiga konsep di atas yang diamalkan dalam kehidupan harian dapat membentuk dan mendidik seseorang dalam percakapan dan penulisan.

Bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh akhlak Islam. Penggunaan kata seperti “assalamualaikum”, “alhamdulillah” dan “syukur” telah menjadikan seseorang itu bersopan santun dalam berbahasa. Kesantunan ini juga jelas tergambar apabila bangsa Melayu itu menuturkan perkataan itu dengan lembut dan bermakna. Syariat Islam dan akhlak sangat berkait rapat dengan bahasa. Nabi Muhammad SAW diutus menjadi rasul dengan tujuan utama untuk manusia menyempurnakan akhlak sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis, “Bahawasanya aku diutus Allah untuk menyempurnakan keluhuran akhlak (budi pekerti).” (Riwayat Ahmad).

Oleh itu, akhlak dan budi pekerti sangat berkait rapat dalam membangunkan akal budi sesuatu bangsa. Melalui pertuturan dan penulisan dengan bahasa yang berakhlak dan berbudi pekerti akan menjadikan seseorang itu sentiasa bersopan santun dalam menggunakan bahasa, khususnya bahasa Melayu yang menjadi bahasa penting dalam komunikasi seharian.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Program BBK Memperkukuh Perpaduan Bangsa

Oleh ZAITON DAROIS

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) kembali lagi. Tahun ini merupakan tahun keempat sambutan BBK diadakan sejak 2009. Sambutan BBK peringkat Kebangsaan pada tahun ini akan diadakan di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan dengan tema “Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara”. Tujuan utama pelaksanaan BBK adalah untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia; menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan; mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan; dan menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa. Menerusi BBK, bahasa Melayu diharapkan menjadi wahana yang mengeratkan dan memperkukuh perpaduan pelbagai kaum di Malaysia, sekali gus menjadi tunjang pembinaan Negara bangsa.

BBK yang dilaksanakan sepanjang bulan Oktober setiap tahun, telah melalui pelbagai perubahan nama. Bermula dengan Kempen Minggu Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960-an, kemudiannya bertukar kepada Gerakan Cintai l a h Bahasa Kita (GCBK) pada tahun 1987 hingga 1996, Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) pada tahun 1996 hingga 2005 dan Minggu Sastera pada tahun 1987 hingga 1998. Namanya bertukar lagi, iaitu sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) pada tahun 1999 yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, akhirnya pada tahun 2009, BBSN menjadi BBK.

Pelancaran Minggu Bahasa Kebangsaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pusat ketika itu, Tun Syed Nasir telah diadakan pada 30 Januari 1960. Pada waktu itu, pelaksanaan Minggu Bahasa Kebangsaan bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap bahasa kebangsaan serta menggalakkan penggunaannya. Tempoh pelaksanaannya dilanjutkan sehingga 6 Februari 1960 dengan menukarkan namanya menjadi Bulan Bahasa Kebangsaan dan berlangsung sehingga tahun 1966.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

BBK Semarakkan Bahasa Kita

Oleh MOHD SYUKRI ANWAR

Sesebuah tamadun hanya akan berkembang menerusi perkembangan bahasanya. Jika runtuh sesuatu bahasa, maka akan runtuhlah tamadun sesebuah bangsa. Jika hal ini berlaku, bukanlah perkara mudah untuk membangunkan semula bahasa yang sudah musnah. Dalam konteks Negara Malaysia, bahasa Melayu tidak akan maju jika rakyatnya tidak bersatu dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Berdasarkan kajian, seseorang itu perlu didedahkan secara berkali-kali dan berulang kali supaya apa-apa yang ingin disampaikan mampu diingati dengan berkesan. Maka begitu jugalah halnya dengan bahasa. Setiap rakyat perlu sentiasa diingatkan tentang tanggungjawab mereka dalam memartabatkan bahasa Melayu serta mengamalkan penggunaannya dalam segenap urusan harian supaya rakyat tidak lupa dan lalai akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.

Sehubungan dengan hal itu, maka tepatlah apabila diwujudkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada bulan Oktober setiap tahun. Sambutan BBK ini dilaksanakan bagi mengingatkan tanggungjawab semua pihak dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan negara. Aktiviti yang menyeluruh di seluruh negeri yang antaranya termasuklah melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan beberapa agensi lain, turut bermatlamat untuk menarik khalayak yang lebih luas supaya sedar akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Terpinggirkah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perundangan?

Oleh NAZRUZILA RAZNIZA MOHD NADZRI

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di mahkamah pernah menjadi perbincangan hangat pada tahun 2009. Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Abdul Malik Ishak bersama Hakim Azhar Ma’ah dan Hakim Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dalam penghakiman mereka pada 2 November 2009 memutuskan bahawa kegagalan perayu untuk memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa Melayu menjadikan rekod rayuan yang difailkan oleh perayu tidak berguna dan cacat yang tidak boleh dipulihkan.

Alasan penghakiman tersebut dinyatakan oleh Hakim Abdul Malik Ishak, “Keutamaan bahasa Malaysia atau bahasa Melayu di dalam mahkamah tidak boleh dinafikan. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama-sama seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan juga seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 menetapkan semua prosiding, selain memberikan keterangan oleh seorang saksi, di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah mesti dalam bahasa kebangsaan.”

Hakim Abdul Malik Ishak juga membangkitkan penghakiman yang dibuat di Mahkamah Tinggi bagi menyokong alasan beliau. Dalam satu kes lain, Hakim Nik Hashim telah menolak permohonan yang difailkan melalui notis usul yang dikepilkan dengan afidavit yang keduaduanya disediakan dalam bahasa Inggeris. Memandangkan kes ini adalah pada peringkat Mahkamah Rayuan, maka keputusannya memberikan impak yang besar kepada perkembangan undangundang negara. Melalui system “duluan kehakiman” (judicial precedent) yang diamalkan dalam sistem kehakiman negara, hakim terikat untuk memutuskan kes berdasarkan keputusan kes terdahulu jika mempunyai persamaan fakta dan juga persoalan undang-undangnya. Makin tinggi peringkat mahkamah yang memutuskan kes terdahulu terutamanya Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, makin terikatlah mahkamah yang lebih rendah untuk mengikuti keputusan tersebut.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Memartabatkan Bahasa Kebangsaan Tanggungjawab Semua

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Tugas dan tanggungjawab untuk meningkatkan martabat bahasa kebangsaan masih terus menjadi persoalan penting dan klise di negara kita. Kebiasaannya masyarakat dengan mudah menuding jari kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila timbul sesuatu isu berkaitan bahasa kebangsaan, seolah-olah tanggungjawab ini dipikul oleh DBP semata-mata. Masyarakat lupa apabila satu jari menuding ke arah DBP, empat jari lagi terarah kepada diri kita sendiri. Hal ini menunjukkan tugas dan tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa kebangsaan merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.

Bahasa kebangsaan sudah terpateri kemas dalam undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Malaysia. Namun begitu, yang menyedihkan kita ialah roh dan semangat Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dilihat tidak dihayati sepenuhnya dan seolah-olah sengaja dilupakan dan tidak dipedulikan oleh segelintir rakyat kita sendiri. Andai kita berpaksikan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan, kita tidak perlu bersusah payah memikirkan cara dan kaedah untuk meningkatkan martabatnya. Bahasa itu sudah pun diletakkan dan diiktiraf pada kedudukan yang cukup tinggi di negara kita.

Yang berlaku pada hari ini ialah nasib bahasa kebangsaan umpama melukut di tepi gantang. Hal ini ditambah pula dengan pelbagai usaha dan inisiatif sesetengah pihak yang cuba mengagungkan serta mahu memartabatkan bahasa Inggeris atas pelbagai alasan dan justifikasi tersendiri. Kita tidak menafikan kepentingan dan keperluan bahasa Inggeris tetapi jangan sampai mengorbankan imej, maruah dan kedudukan bahasa kebangsaan. Usaha berterusan pihak kerajaan yang mengambil langkah khusus untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu harus dipuji. Misalnya, Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Awam telah ditubuhkan untuk melaksanakan penggunaan bahasa kebangsaan, memantau dan merancang program kebahasaan bagi mencapai matlamat pelaksanaan bahasa kebangsaan di kementerian dan agensi masing-masing.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Bahasa Slanga Remaja: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

Oleh MUHAMMAD DAUD

Perbincangan tentang bahasa slanga sering mendapat perhatian daripada banyak pihak terutama pihak yang cakna akan bahasa. Namun begitu, ada beberapa kekeliruan yang timbul berkaitan makna sebenar bahasa slanga kerana ada pihak yang menganggap bahasa slanga merupakan dialek daerah. Ada yang mengaitkan bahasa slanga dengan cara pertuturan yang dipengaruhi oleh bahasa asing, iaitu sebutan bahasa Melayu mengikut cara sebutan bahasa asing. Ada juga yang menyatakan bahawa bahasa slanga sebagai bahasa mesra.

Walaupun bahasa slanga ini merupakan bahasa yang tidak formal dan rendah kedudukannya, kajian terhadap bahasa ini tetap dijalankan dengan teliti kerana bahasa slanga ditinjau sebagai satu gejala pertuturan manusia tanpa menghiraukan siapa penuturnya dan pandangan masyarakat terhadap jenis pertuturan ini.

Perkembangan bahasa slanga yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama dalam kalangan remaja amat membimbangkan ahli bahasa dan pencinta bahasa Melayu kerana bahasa ini dikatakan akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi di negara kita. Kita tidak mahu nanti bahasa slanga berleluasa di negara kita dan secara tidak langsung menghakis keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Menurut Kamus Oxford, mendefinasikan sebagai Slanga satu perbendaharaan kata yang khusus digunakan oleh sekumpulan manusia yang rendah kedudukannya. Manakala Nik Safiah Karim mendefinisikan slanga sebagai bahasa terhad (restricted language) kerana mempunyai cirri tertentu dan hanya digunakan dan difahami oleh golongan tertentu sahaja. Slanga menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula ialah

kata, ungkapan dan sebagainya yang tidak tergolong dalam bahasa baku, iaitu bahasa yang digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Dapatlah disimpulkan bahawa bahasa slanga ialah bahasa yang digunakan oleh satu kelompok manusia dan hanya kelompok berkenaan sahaja yang memahaminya. Dalam konteks lokasi juga, bahasa slanga berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Ketulenan: Tonggak Penting Martabat Bahasa Melayu

Oleh TEO KOK SEONG

Martabat bahasa Melayu boleh diteliti daripada pelbagai sudut. Antaranya termasuklah kedudukannya dalam perundangan dan kehidupan sosial masyarakat, serta tahap kepentingan yang diberikan kepadanya sebagai bahasa negara. Martabat bahasa Melayu boleh juga diteliti dari sudut ketulenannya, antara lain merangkumi penggunaan yang betul, kesatuan yang utuh dan tiada pencemaran. Pendekatan begini didorong oleh andaian tersirat bahawa ketulenan bahasa Melayu boleh menjadikan bahasa Melayu hebat dari pelbagai segi. Antaranya termasuklah mutu dan wibawa yang berkait rapat dengan martabat.

Ketulenan yang dimaksudkan ialah penjelmaan hasrat komuniti bahasa Melayu, khususnya penutur jatinya untuk melestarikan bentuk asli dan mengurangkan penyerapan bentuk asing secara berwenang, baik dari segi perkataan, binaan ayat mahupun gaya wacana. Dengan kata lain, ketulenan merujuk keazaman orang Melayu sendiri untuk memastikan bahasa Melayu tidak terlalu mudah, selain banyak dipengaruhi oleh bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia yang terpenting.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.