Bahasa Melayu Mempunyai Masa Depan yang Cerah

Oleh DIARANI MAT ADAM

Bagi mengantarabangsakan bahasa Melayu, masyarakat Malaysia seharusnya berbangga menggunakan bahasa itu dengan baik dan benar sebagai contoh yang tepat bagi masyarakat dunia yang ingin belajar bahasa Melayu. Penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa asing di luar negara, khususnya di institusi pengajian tinggi membuktikan kemampuannya setanding dengan bahasa utama dunia. Sidang Editor Dewan Bahasa telah menghubungi Profesor Madya Dr. Victor A. Pogadaev untuk mendapatkan pandangan beliau tentang perkara ini.

“Kini, bahasa Melayu telah berkembang di Moscow. Antara pusat pengajian yang mengajarkan bahasa Melayu termasuklah Institut Negara-negara Asia dan Afrika di Universiti Negara Moscow Lomonosov, Institut Perhubungan Antarabangsa di bawah Kementerian Luar Negara, Institut Sains Kemanusiaan, Institut Pelajaran Timur Amali, Institut Ketimuran dan Universiti Negara St. Petersburg. Malah, terdapat pelajar dari Universiti Amur di Blagoveshensk dan Universiti Timur Jauh di Vladivostok menunjukkan minat terhadap bahasa Melayu tetapi terhalang disebabkan oleh kekurangan tenaga pengajar.

Yang membanggakan ialah bahasa Melayu telah ditawarkan sebagai mata pelajaran teras, bukan pilihan. Para mahasiswa dikehendaki mempelajari bahasa tersebut selama empat hingga lima tahun, sesuai dengan sistem pendidikan masing-masing. Untuk makluman, bahawa Universiti Negara Moscow Lomonosov ialah satu-satunya institusi pengajian tinggi di Eropah yang mengamalkan pengajaran secara berasingan antara bahasa Melayu (Malaysia) dengan bahasa Melayu (Indonesia). Berbeza daripada negara lain,Rusia mengamalkan penerbitan kamus bahasa Indonesia dan bahasa Melayu secara selari.”

– Profesor Madya Dr. Victor A. Pogadaev

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012.

Bahasa Kebangsaan Memupuk Semangat Perpaduan

Oleh ZAIDI ISMAIL

“Selaras dengan perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa kebangsaan 1967 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan penggunaannya sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memperkasa dan memperluas penggunaan bahasa kebangsaan yang baik, betul dan santun dalam Perkhidmatan Awam.” kata YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia semasa merasmikan “Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Pendidikan” pada 28 Jun lalu, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Selanjutnya, kata Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin, “Kerajaan sentiasa tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan akan memastikan bahasa tersebut menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran dalam usaha kita membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu. Saya yakin, sistem pendidikan kita mempunyai peranan besar dalam memperkasakan bahasa kebangsaan dan memupuk semangat perpaduan nasional. Melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, rakyat di negara kita bukan sahaja dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik, tetapi juga menghayati nilai-nilai perpaduan dan jati diri nasional yang ingin diterapkan.”

Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Ketua Satu GAPENA (Gabungan Penulis Nasional), dalam Ucap Utamanya, “Cabaran Terhadap Pelaksanaan Bahasa Melayu dalam Pentadbiran dan Sistem Pendidikan Kebangsaan” pula berkata, “Walaupun Malaysia sudah 55 tahun merdeka dan mempunyai dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun negara kita masih tidak menonjol sebagai negara yang dihormati mendaulatkan bahasa kebangsaan di persada dunia antarabangsa seperti Jepun, China, Jerman, Korea dan Perancis. Bahasa asing masih berleluasa dan dominan penggunaannya serta masih lagi digunakan di tempat-tempat awam, pusat pengajian tinggi awam dan swasta, dan pemimpin-pemimpin kita lebih berbangga bertutur dalam bahasa asing apabila berdepan dengan rakyat Malaysia. Mereka seolah-olah malu menggunakan bahasa Melayu dan tidak rasa bersalah apabila menggunakan bahasa asing.”

Beliau selanjutnya menyatakan bahawa disebabkan oleh segolongan rakyat kita yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, para pejuang bahasa dan nasionalis yang mempunyai semangat patriotisme cinta kepada negara Malaysia yang bermaruah dan berdaulat, bangkit menegur dan mengkritik golongan yang tidak patriotik ini. Malangnya, yang berjiwa patriotik dan berusaha membina negara bangsa Malaysia yang bersatu itu dituduh pula sebagai tidak mengikut perkembangan zaman dan perkembangan globalisasi, rasis dan sebagainya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012

Kata Slanga

Oleh S. NATHESAN

“Fulamak, lagu baru Ramli Sarip mantaplah brader. Dia punya goreng sikit punya garing, gua tangkap lentok, gua punya kepala.” Demikianlah gaya penggunaan bahasa yang dipetik daripada Berita Harian, 8 April 1990. Sudah tentu bahasanya bukan bahasa baku. Ungkapan itu kelihatan bersifat bahasa percakapan dan digunakan khusus oleh kumpulan sosial yang tertentu. Bahasa tersebut dikenali sebagai “bahasa slanga” dalam ilmu linguistik. Bahasa slanga memiliki perbendaharaan kata yang tersendiri. Kata slanga merupakan salah satu jenis perkataan yang termasuk dalam kosa kata tidak formal.

Leksikologi, seperti yang dijelaskan oleh Haruko Momma (2008) dalam Companion to the History of Language, ialah kajian tentang struktur leksikon, termasuk kata slanga. Slanga merupakan sejenis kosa kata yang tidak formal dalam bahasa, termasuk dalam bahasa Melayu. Ahli leksikologi memang berminat untuk mengetahui kosa kata baharu yang wujud dalam masyarakat bahasa, termasuk yang diciptakan oleh subkumpulan bahasa tersebut, seperti slanga. Ahli leksikologi mahu mengetahui sama ada kata slanga sudah diterima oleh masyarakat bahasa itu, atau digunakan oleh kelompok tertentu sahaja (Howard Jackson, 2001).

Francis Katamba dalam English Words mendefinisikan slanga sebagai istilah yang digunakan untuk menghuraikan salah satu variasi bahasa yang mempunyai kosa kata yang tidak formal atau yang bukan standard. Menurut Asmah Haji Omar dalam Ensiklopedia Bahasa Melayu, slanga ialah kata dan frasa yang digunakan dalam situasi yang tidak formal dan tidak boleh dikatakan sebagai halus. Sterkenburg pula mentakrifkan slanga sebagai label penggunaan yang menandakan item leksikal yang tidak dianggap sebahagian daripada bahasa persuratan yang standard, dan selalunya terhad kepada pekerjaan, kelas dan kumpulan sosial yang tertentu. Bagi Teo Kok Seong pula, slanga ialah gaya atau fesyen pertuturan oleh sesuatu kumpulan atau golongan. Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan, slanga ialah kata atau ungkapan yang tidak tergolong dalam bahasa baku dan kata slanga biasa digunakan dalam percakapan tidak rasmi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012.

Baba dan Peranakan Pembentukan Bahasa dan Kebudayaan

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Dalam kalangan negara yang pernah dijajah, khususnya kepulauan Melayu, kedatangan etnik Cina merupakan antara penyumbang penting kepada pembentukan kebudayaan “baharu ” . Kebudayaan tersebut terhasil daripada usaha etnik Cina yang cuba mengadaptasi kebudayaan asal dengan kebudayaan peribumi di dunia Melayu. Dalam konteks percampuran sosial ini, terbentuklah istilah Baba dan Peranakan yang popular pada zaman kolonial.

Menurut Frank Swettenham, istilah Baba merujuk anak lelaki Negeri-negeri Selat tanpa mengira sama ada anak tersebut Cina, Inggeris, Hindustani mahupun campuran E ro p a h . Baba bermaksud lelaki atau bapa menurut pengertian orang Melayu. Seorang Baba bermakna seorang lelaki yang lazimnya menjadi ketua keluarga. Keturunan Baba bermaksud keturunan campuran Cina di Negeri Selat.

Menurut Tan Chee-Beng, Baba ialah masyarakat Cina yang mengaitkan diri mereka sebagai penutur bahasa Melayu dan beridentitikan budaya Melayu. Beliau percaya kewujudan Baba ini terhasil daripada imigran Cina yang berkahwin dengan wanita tempatan dan mempelajari bahasa Melayu serta menjadikannya sebagai bahasa ibunda mereka. Inilah usaha terawal masyarakat Cina dalam menyesuaikan diri dengan budaya tempatan.

Ada yang mengatakan bahawa istilah Baba berasal dari Indonesia, yang bermaksud “bapak” atau “tuan”, dan digunakan sebagai tanda hormat terhadap status seseorang itu dalam masyarakat. Variasi daripada penggunaan istilah “bapak” bertukar menjadi Baba setelah zaman-berzaman. Hal ini menunjukkan bahawa istilah Baba sudah lama wujud di kepulauan Melayu.

Sebenarnya, Baba merupakan kata pinjaman daripada bahasa Parsi untuk panggilan sapaan sebagai tanda hormat bagi datuk dan nenek. Baba juga merujuk lelaki kelahiran negeri Selat. Istilah ini pada mulanya dipopularkan oleh penutur Hindustani dan kemudian menjadi rujukan khusus kepada kelompok lain. Begitu juga dengan istilah Nyonya yang sangat popular pada zaman kolonial. Nyonya bermaksud wanita atau mevrouw dalam bahasa Belanda. Menurut Joo Ee Khoo, etimologi Nyonya dipercayai daripada ungkapan Jawa sebagai kata hormat. Makna Nyonya dalam masyarakat kolonial Belanda di Indonesia ialah wanita asing yang sudah berkahwin. Masyarakat Jawa pada dahulu kala cenderung menyebut Nyonya terhadap warga asing dan yang menyerupai warga asing. Lazimnya, Nyonya merupakan gelaran wanita kelas tinggi dalam masyarakat kolonial di Indonesia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012.

Evolusi Bahasa Melayu Sarawak

Oleh A. ZAIDI NORDIN

Kesamaran fakta dan pergantungan pada teori Barat menyebabkan sehingga kini, para pengkaji bahasa Melayu dan sejarawan masih dibelenggu persoalan dalam minda masing-masing akan kesahan tarikh dan susur galur sebenar kewujudan bahasa Melayu di Asia Tenggara. Penerimaan akan “lingkung waktu” sejarah awal penggunaan bahasa Melayu di Nusantara hanya ditandai dengan bukti daripada penemuan batu bersurat, tembikar dan beberapa teori yang agak kabur.

Merujuk tulisan, teori, hipotesis dan pandangan para sarjana Barat, antaranya termasuklah Hendrik A. Kern dari Belanda, Isidore Dyen dari Amerika Syarikat, Teodoro Llam Zon, John Crawfurd dan Robert Von Heine Geldern dari Austria, dapat dirumuskan bahawa sejarah asal keturunan bahasa Melayu itu berlaku dalam masa yang agak hampir dengan kehidupan penuturnya. Bahasa Melayu telah mengalami proses transformasi, evolusi dan pemodenan ekoran asakan perubahan seawal abad ketujuh lagi.

Para sarjana Barat menegaskan bahawa bahasa Melayu yang dituturkan di Nusantara berasal daripada kelompok bahasa Austronesia. Bahasa Austronesia pula tergolong dalam keluarga bahasa Austris yang dipercayai berasal dari wilayah Yunan, China. Bahasa ini berkembang melalui proses penyebaran secara perpindahan dan melalui peresapan, iaitu tanpa melalui proses perpindahan penuturnya.

Bahasa Melayu dipercayai telah berkembang seawal abad ketujuh. Ketika itu bahasa Melayu agak kuat dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit hingga abad ke 10 apabila pengaruh bahasa Arab pula meresapi bahasa Melayu melalui para pedagang dan mubaligh Arab.

Melayu-Proto telah bermigrasi ke Asia Tenggara pada 2500 tahun sebelum Masihi diikuti oleh Melayu-Deutro sekitar 1500 tahun sebelum Masihi. Menurut para pengkaji linguistik, bahasa tiga peringkat perkembangan, iaitu bahasa Melayu kuno (abad ketujuh hingga abad ke-13 zaman kerajaan Sriwijaya dan Kesultanan Melayu Melaka), bahasa Melayu klasik (abad ke-13 hingga abad ke-18) dan bahasa Melayu Moden (abad ke-19 – dimulai oleh Munsyi Abdullah).

Bahasa Melayu kuno dapat dibuktikan kewujudannya melalui penemuan batu bersurat di Kepulauan Sumatera, Indonesia. Antaranya termasuklah batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 Masihi), batu bersurat di Talang Ruwo, Palembang (684 Masihi), batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 Masihi) dan batu bersurat di Karang Brahi, Jambi (686 Masihi).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012

Cabaran Bahasa Melayu dan Gagasan 1Malaysia

Oleh ABDULLAH MOHD YASSIN

Terdapat beberapa teori yang mengatakan bahawa penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang dinamai Austronesia, iaitu satu rumpun bahasa yang tergolong ke dalam satu keluarga bahasa besar yang bernama keluarga bahasa Austris di samping rumpun Austroasia dan Tibet-Cina. Rumpun bahasa Austronesia pula terbahagi kepada empat cabang, iaitu bahasa Nusantara, Polinesia, Melanesia dan Mikronesia.

Bahasa Melayu tergolong ke dalam cabang Nusantara yang mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak, iaitu kira-kira 200—300 bahasa. Ditinjau dari aspek globalisasi penutur bahasa sekarang, jumlah penutur bahasa Melayu berada pada tangga keempat, iaitu 300 juta penutur selepas bahasa China 1.3 bilion, Sepanyol 399 juta dan Inggeris 309 juta.

Sungguhpun bahasa Melayu melalui jurai keturunan serta realiti sejarahnya sebegitu rupa, namun Bahasa Melayu telah melalui tiga zaman nyata, iaitu Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan kini Bahasa Melayu Moden. Sebagai bahasa yang menjadi tonggak tamadun, melalui perancangan rapi sama ada perancangan taraf dan perancangan korpus telah meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang akan memacu negara ke arah satu mercu gemilang pada masa akan datang.

Penggunaan istilah “Melayu” pula muncul buat pertama pada kira-kira 100-150 Masihi dalam karya Ptolemy, Geographike Sintaxis, yang menggunakan istilah “maleu-kolon”. G. E. Gerini menganggap istilah itu berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu malayakom atau malaikurram, yang merujuk kepada Tanjung Kuantan d i Semenanjung Malaysia. Sebaliknya, Roland Bradell menganggap tempat itu merujuk kepada Tanjung Penyabung. Pelbagai istilah telah diutarakan untuk merumuskan tentang “Melayu” seperti “Malaya dvipa” yang bermaksud “tanah yang dikelilingi air”, “Mo-lo-yu” yang dimaksudkan itu ialah kerajaan yang terletak di Jambi di Pulau Sumatera, serta juga Sriwijaya yang terletak di daerah Palembang.

Gelombang pertama bangkitnya tamadun Melayu bermula pada zaman yang dikenali sebagai zaman Melayu kuno, iaitu zaman munculnya kerajaan Melayu tua, seperti Campa, Langkasuka dan Sriwijaya. Kerajaan Melayu lama yang dianggap oleh para sejarawan sebagai mercu tanda kebangkitan tamadun Melayu awal ialah kerajaan Sriwijaya yang bertahan dari abad ketujuh hingga abad ke 13 Masihi yang menjelmakan citra utama tamadun Melayu, iaitu sistem pemerintahan yang utuh, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian ilmu. Bahasa Melayu pada zaman itu menerima sekian banyak kosa kata serta unsur tatabahasa bahasa Sanskrit, telah memainkan peranan dalam tiga aspek penting tamadun, iaitu sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian agama.

Gelombang tahap kedua perkembangan tamadun Melayu pula ditandai oleh kebangkitan kerajaan Melayu dalam bentuk sistem kesultanan. Kesultanan Melayu Melaka yang muncul pada awal abad ke-15 dapat dianggap menjadi pembuka babak sejarah baharu tamadun bangsa Melayu. Kemunculannya banyak membawa perubahan terhadap Tanah Melayu dan juga rantau Asia Tenggara dan juga menjadi penyambung kewujudan empayar di Alam Melayu, sesudah runtuhnya empayar Sriwijaya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012.

Bahasa Melayu Mendamaikan Nusantara

Oleh PHAOSAN JEHWAE

Bahasa Melayu menjadi bahasa yang sangat penting di Nusantara. Bahasa Melayu berperanan dalam pelbagai situasi. Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa penyebaran agama, bahasa politik, bahasa pendidikan dan bahasa perdagangan.

Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi lingua franca bagi negara di Asia Tenggara sejak zaman berzaman. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa perhubungan antara orang yang tinggal di Nusantara dengan kaum pendatang seperti pedagang, diplomat dan pengembara. Di Thailand, bahasa Melayu pernah menjadi bahasa perhubungan dan bahasa diplomasi antara Siam dengan pedagang yang datang. Selama berabad-abad bahasa Melayu menjadi mesej kedamaian di Nusantara. Kedatangan penjajah Inggeris dan Eropah di Nusantara mengurangkan sedikit peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca tetapi bahasa Melayu tetap menjadi bahasa yang sangat penting.

Bahasa Melayu/Indonesia di Nusantara merupakan bahasa yang banyak digunakan. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura. Selain sebagai bahasa rasmi di negara tersebut, bahasa Melayu juga menjadi bahasa komunikasi dan bahasa perhubungan yang penting di beberapa buah negara di Asia Tenggara seperti di Patani (Selatan Thai), Moro (Filipina), Kemboja dan Kepulauan Burma. Bahasa Melayu yang digunakan itu memiliki persamaan dan perbezaan disebabkan keluasan jarak antara negara-negara tersebut. Perbezaan wujud disebabkan latar belakang geografi dan budaya masing-masing.

Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan suku bangsa. Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Dengan kedudukannya itu, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa kesatuan dan bahasa pemersatu dalam kalangan penduduk Malaysia.

Walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, Malaysia tidak menghalang rakyatnya yang berbilang bangsa dan kaum untuk bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing dan mempelajari apa-apa bahasa sekalipun. Rakyat Malaysia dapat menguasai bahasa utama dunia, misalnya, dapat menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Asia Tenggara; menguasai bahasa Tamil, salah satu bahasa utama negara India; dan menguasai bahasa Cina, penguasa ekonomi dan teknologi baharu dunia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012.