Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2012 July.

Bahasa Melayu Khazanah Budaya yang Tinggi Nilainya

Bual Bahasa

Oleh Zaidi Ismail

Dalam hal penamaan sesuatu produk dan perkhidmatan, bahasa Melayulah sepatutnya diutamakan. Walau bagaimanapun, hal ini masih “dilepas pandang”. Bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris masih lagi diberikan keutamaan, khususnya untuk produk yang ingin dipasarkan di luar negara. Perlukah bahasa Inggeris diutamakan untuk produk tersebut? Untuk mengetahuinya, baru-baru ini, editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual Hara Shintaro, pensyarah Bahasa Melayu di Universiti Prince of Songkla (PSU), Thailand yang berasal dari Jepun, untuk mendapatkan pandangannya tentang bahasa jenama.

“Bagi penamaan tempat awam, bangunan dan sebagainya, sebaik-baiknya kekalkanlah bahasa tempatan. Misalnya, bangsa Eropah menamakan tanah jajahannya sesuka hati mereka sahaja, seperti Georgia, Victoria dan Port-au-Prince. Setelah nama tempatan dari Eropah digunakan, lama-kelamaan orang tempatan pun melupakan nama asal tempat tersebut. Sebagai orang Jepun, saya berasa lega kerana Nagasaki, Kobe dan Yokohama kekal dengan nama asal, tidak dijadikan Carolina, Puerto Rico, San Juliana dan sebagainya.

Di Korea pula, sebaik-baik sahaja Korea mengisytiharkan kemerdekaan daripada Jepun, mereka menghapuskan nama ibu negara yang dipaksakan oleh pemerintah penjajah, iaitu Keijou. Kini, kota tersebut dikenali dengan nama Seoul, salah satu kota raya yang paling terkenal di Asia. Di sini jelaslah penamaan tempat berfungsi sebagai lambang kemerdekaan.”

Hara Shintaro

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Hikayat Tiga Negara, Karya Historiografi Klasik China

Peristiwa Bahasa

Oleh Zaidi Ismail

Alam Melayu telah melahirkan karya pensejarahan atau historiografi yang diakui sebagai karya besar pada peringkat antarabangsa, terutamanya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang diiktiraf sebagai antara warisan persuratan dunia oleh UNESCO. Demikian juga Hikayat Hang Tuah yang sarat dengan nilai-nilai moral, keagamaan, adat-istiadat Melayu, serta kesultanan dan ketuanan Melayu yang masyhur. Nilai-nilai kesetiaan kepada raja dan negara yang diolah dalam karya klasik Melayu dan China, seperti Hikayat Tiga Negara merupakan nilai luhur yang seharusnya dipertahankan sebagai nilai dan amalan yang abadi untuk kestabilan masyarakat dan negara.

Semasa melancarkan Hikayat Tiga Negara pada 17 Mei lalu, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia berkata, “Sinergi dan perkongsian pintar dalam bidang penerbitan buku, termasuklah bidang penterjemahan karya sastera dan sejarah, seperti karya agung Hikayat Tiga Negara merupakan suatu manifestasi kecintaan kita terhadap budaya ilmu, terutamanya dalam konteks buku sebagai wadah ilmu pengetahuan yang malar segar.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Keunikan Keluarga Bahasa Austronesia

Dunia Bahasa

Oleh VICTOR POGADAEV

Seperti keluarga bahasa lain, keluarga bahasa Austronesia juga mempunyai keunikannya tersendiri. Keunikan keluarga berkenaan ialah jumlah ahlinya yang masih tidak ditetapkan.

Angka paling rendah yang disebut adalah lebih kurang 500 bahasa dan angka yang paling besar adalah sekitar 1000 bahasa. Taburan geografi keluarga bahasa Austronesia sangat luas dan masih ada kemungkinan bahasa yang belum dikenali akan ditemui. Keadaan ini menyukarkan cubaan untuk memberikan anggaran yang tepat dan menyusahkan usaha perbandingan, apalagi bahasa bahagian barat rantau Austronesia tidak mempunyai tulisan lama. Perbezaan antara bahasa dengan dialek juga agak sukar ditentukan, terutamanya bahasa yang tiada rekod bertulis.

Di kawasan New Guinea, masih banyak tersimpan teka-teki linguistik kerana di sana bahasa Austronesia sepanjang beribu-ribu tahun berada dalam kontak bahasa Papua. Bahasa tersebut memperlihatkan ciri percampuran bahasa dan amat sukar digolongkan.

Klasifikasi Genetik Keluarga Bahasa Austronesia

Pada abad ke-19, ahli linguistik membahagikan keluarga bahasa Austronesia ke dalam empat kumpulan besar, iaitu Indonesia, Polinesia, Melanesia dan Mikronesia. Sepanjang abad ke-20, penggolongan itu berkali-kali disemak dan diperincikan. O. Dempwolff secara umumnya masih berpuas hati dengan klasifikasi itu tetapi menyatukan bahasa Polinesia, Melanesia dan Mikronesia ke dalam satu subkeluarga.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Siam kepada Thailand

Etimologi

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Kerajaan tua Siam yang terkenal dalam sejarah Asia Tenggara ialah Sukhotai dan Ayuthia. Banyak tinggalan sejarah dan tamadun masyarakat tersebut sentiasa dalam ingatan sejarah.

Sukhotai dan Ayuthia mewakili dunia Siam yang besar. Negara yang tidak pernah dijajah ini mempunyai penduduk hampir 70 juta. Banyak peristiwa menarik dalam sejarah Siam, termasuklah Raja Mongkut mengirimkan gajah kepada presiden Amerika tanpa mengetahui keadaan fizikal Amerika ketika itu. Baginda menjalin hubungannya dengan Amerika sebelum perang saudara di Amerika Syarikat. Dengan kata lain, baginda dianggap sebagai raja yang moden di Asia Tenggara.

Selain itu, Anna and the King of Siam merupakan gambaran cerita yang berlatar belakang istana Siam. Cerita tersebut berkisar mengenai guru bahasa Inggeris yang mengajar 58 orang anak dari istana. Kisah anak istana merupakan anak raja sememangnya realiti sejarah kerana Raja Chulalongkorn, misalnya, mempunyai 153 orang isteri dan daripada jumlah itu, 35 orang isterinya melahirkan 76 orang anak. Raja Mongkut pula mempunyai tidak kurang daripada 50 orang isteri dan 35 orang isterinya melahirkan 82 orang anak.

Kalangan penduduk Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan negara Thailand sering kali merujuk negara itu sebagai Siam berbanding dengan nama Thailand. Nama Thailand agak asing bagi masyarakat di sempadan. Generasi tua di Malaysia juga selesa menyebut Siam berbanding dengan Thailand. Ternyata, nama Siam lebih sebati dengan masyarakat tersebut. Hal ini berlaku kerana beberapa pertimbangan sejarah.

Sebenarnya, nama Thailand merupakan “nama baharu” kepada Siam kerana nama Siam sudah lama wujud sekurang-kurangnya pada abad ke-12. Hal ini bersandarkan rekod sumber Cina pada tahun 1282/3 yang menyatakan kewujudan kerajaan yang dikenali sebagai “Xian” yang disebut juga sebagai “Hsien” atau “Sien”. Hsien dalam bahasa Cina bermakna emas. Hal ini sesuai dengan potensi dan keadaan di situ yang menjanjikan kedudukan yang baik dari segi ekonomi dan kesejahteraan hidup.

Pada masa yang sama, terdapat sumber sejarah yang mencatatkan bahawa wilayah tersebut merupakan pusat perdagangan emas dan dikaitkan juga dengan patung ritual agama yang diperbuat daripada emas. Menurut Putera Chula Chakrabongse, kerajaan “Xian” ini membuat hubungan baik, lebih-lebih lagi apabila Raja Ram Kamheng berkunjung ke Peking sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1294 dan 1300. Baginda turut membawa pakar dari China bagi menubuhkan kilang membuat pasu di Sukhotai dan di beberapa buah bandar lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Kata Kolokial

Leksikologi

Oleh S. NATHESAN

Umumnya, perkataan dalam bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada dua jenis yang utama, iaitu perkataan formal atau rasmi dan tidak formal atau tidak rasmi. Kata rasmi ialah kata yang digunakan dalam bahasa rasmi, manakala kata tidak rasmi ialah kata yang digunakan dalam situasi tidak rasmi. Antara kata yang termasuk dalam golongan ini termasuklah kata basahan, kata slanga dan kata bahasa pasar. Kata basahan ialah kata yang digunakan dalam percakapan harian dan belum diterima sebagai kosa kata Melayu baku.

Kata basahan ini juga dirujuk sebagai kata kolokial dalam bahasa Melayu, khususnya dalam konteks linguistik. Kata kolokial ini digunakan dalam bahasa basahan, iaitu bahasa yang bersifat tidak baku dan bahasa percakapan atau bahasa mulut.

Dalam Kamus Dewan, edisi, keempat, bahasa basahan ditakrifkan sebagai bahasa yang digunakan dalam percakapan sehari-hari. Dengan hal yang demikian, kata basahan bermakna kata yang digunakan dalam bahasa basahan untuk komunikasi harian, seperti dalam situasi bersembang atau berbual dan lazimnya dalam situasi tidak rasmi.

Menurut David Crystal dalam The Cambridge Encyclopedia of Language, kosa kata bahasa harian cenderung bersifat informal dan domestik, terhad dan tidak eksplisit kerana penutur bahasa menghadapi masalah tertentu, seperti masalah ingatan, tumpuan dan persepsi semasa bertutur. Oleh hal yang demikian, mereka memilih kata kolokial dalam pertuturan. Adakalanya, dalam situasi keterlaluan, kata rapu, seperti kacauwali (kecuali), digunakan dalam perbualan bahasa harian. Kata rapu dimaksudkan sebagai nonsense word dalam bahasa Inggeris.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Media Baharu: Di Manakah Peranan Editornya?

Reaksi Bahasa

Oleh ZALILA ISA

Era komunikasi sekali lagi mengalami perubahan daripada bentuk percetakan kepada bentuk yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang lebih besar cakupannya sehingga mengubah landskap komunikasi masyarakat tanpa sempadan. Melalui era ini, internet merupakan jaringan yang menjadi wahana utama bagi media baharu untuk menghubungkan masyarakat ke seluruh dunia. Melaluinya, dunia menjadi tanpa sempadan dan maklumat berada di hujung jari.

Teknologi yang hadir ini mengubah dunia komunikasi masyarakat . Komunikasi tanpa sempadan dan sekatan ini membolehkan masyarakat “bersuara” dan bukannya bergantung pada bahan yang dibaca oleh mereka sahaja. Masyarakat sudah mula melibatkan diri dalam komunikasi sarwajagat dan mula berani menyuarakan pendapat masing-masing. Apabila segala-gala yang ingin disampaikan dapat ditulis secara mudah dalam dunia internet, situasi itu terlihat seolah-olah “si bisu yang mendapat suara”.

Perubahan secara drastik juga melanda dunia maklumat dalam masyarakat. Jika dahulu, mereka hanya bergantung pada bahan bercetak yang kebanyakannya perlu dibayar, tetapi kini dengan kehadiran internet, mereka mampu mencapai segala jenis maklumat dengan mudah dan murah. Melalui internet, wujud lambakan maklumat, seperti laman web, blog dan laman sosial untuk tujuan interaktif, seperti Facebook dan Twitter. Laman web yang wujud bagaikan cendawan selepas hujan juga mempunyai sifat tersendiri, seperti memberikan maklumat kepada masyarakat, mempromosikan produk dan perniagaan, atau sekadar menambah kenalan dan mengisi ruang silaturahim antara penggunanya, meliputi lokasi di seluruh dunia. Terlihat, kehidupan lebih mudah dan sangat berbeza berbanding dengan zaman media cetak dahulu.

Bahan bacaan sudah pelbagai dan bukan lagi bersifat konvensional dalam bentuk bahan bercetak, seperti buku dan akhbar. Kehadiran peranti canggih yang menyokong penggunaan internet juga mengubah tatacara hidup dan daya pemikiran masyarakat. E-buku dikatakan menguasai dunia pembacaan generasi Y. Hal ini disahkan sendiri oleh Amazon. com dalam laman webnya yang mendakwa bahawa lebih daripada 550 ribu judul e-buku dijual pada harga AS$9.99 sahaja.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Bahasa Memancarkan Budi Bahasa

Bahasa dan Masyarakat

Oleh AMINUDIN MANSOR

Bahasa yang dituturkan oleh seseorang merupakan pancaran akal budi dan rasa hati. Melalui bahasa, seseorang itu akan menuturkan apa-apa yang tersurat dan tersirat dari hati dan fikiran.

Bahasa yang baik akan memberikan manfaat kepada orang lain dan diri sendiri. Bahasa juga menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan dalam hubungan dengan orang lain. Pembangunan dan kemajuan yang sempurna itu merupakan paduan antara pembangunan dan kemajuan kerohanian dengan kebendaan.

Budi bahasa merupakan antara unsur kerohanian yang penting. Kepentingan budi bahasa dalam pembangunan dan kemajuan menyumbang kepada pembentukan tamadun. Secara jelas, bahasa menjadi media sosial, media perdagangan, media politik, media penyebaran ilmu pengetahuan, media pendidikan dan yang lebih utama, media penyebaran dakwah Islamiah.

Al-Quran memberikan sumbangan yang besar kepada bahasa manusia, terutamanya kepada bahasa Arab. Al-Quran menaikkan taraf bahasa Arab sebagai salah satu bahasa utama dunia dan menjadikan beberapa bahasa tempatan muncul sebagai lingua franca, baik di Afrika, Eropah mahupun Asia. Sumbangan al- Quran terhadap bahasa Parsi, Turki dan Melayu begitu jelas sekali.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012.