Mengantarabangsakan Bahasa Melayu melalui PRPM

“Laman PRPM, jika dimanfaatkan dengan sebaiknya, dapat memberikan pelbagai input kebahasaan (bahasa Melayu) kepada orang ramai, khususnya pengguna bahasa kerana saya dapati melalui PRPM akan diperoleh input bahasa yang meliputi kamus Melayu dan Inggeris, istilah (Malaysia, Indonesia dan Brunei), ensiklopedia, puisi, bahasa sukuan (Sabah dan Sarawak), peribahasa, arkib khidmat nasihat DBP, tesaurus bahasa Melayu, kandungan laman WEB DBP dan kandungan laman WEB lain yang ditentukan oleh DBP.” – Dr. Muhammad Saiful Haq Hussin

Dr. Muhammad Saiful Haq Hussin, Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


“Saya menggunakan PRPM sebagai sumber rujukan tentang bahasa Melayu untuk melicinkan tugas saya sebagai penjawat awam. Sebelum giat memanfaatkan PRPM, saya pernah menggunakan KNB DBP melalui telefon. Kini, KNB DBP melalui telefon telah berkembang dan menjadi antara khidmat yang terdapat dalam PRPM. Jawapan yang terdapat dalam PRPM dapat disimpan dalam fail digital dan saya telah memanfaatkannya semasa berkuliah, berceramah dan berbengkel. Saya juga mempromosikan KNB DBP kepada pelajar dan kumpulan sasaran saya yang lain, khususnya golongan pendidik.” – Mohd. Isa Abd. Razak

Mohd. Isa Abd. Razak, bekas pensyarah yang aktif sebagai penulis blog.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

Kemala Sasterawan Negara Ke-11

Oleh Zaidi Ismail

Kami sudah di alam ghaib

Kami sudah di awan memutih

Cucu-cicit kami anak Melayu

Entah mengenang

Atau sudah membakar

Sejarahnya, menjadi debu-debu

yang tak berharga lagi.

Kearifan itu menemukannya

dengan “Surat Wasiat”

untuk anak bangsanya

Dia meninggalkan pesan

sewaktu di hujung usianya

agar sebarang ketempangan

dapat diperbetulkan.

“Hubaya karang tajam di dasar laut

Hubaya. Taufan mencabar

Ganas. Badai menggegar buas

Kapal nakhoda sombong

Terhempas

Bangsaku ubati

neurosis bangsa saraf pesimisme

Memformula

Melayu berjiwa besar

Mempertajam budi dan akal

Cekal dan tawakal.”

Demikianlah antara bait-bait puisi yang “didendangkan” oleh Sasterawan Negara Dato’ Dr. Haji Akmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Kemala dalam Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-11 yang diadakan pada 20 Mac lalu di Hotel Istana Kuala Lumpur. Majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong XIV, Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012

Pilihan Raya dan Bahasa

Oleh Zulkifli Salleh

Pada pertengahan Februari lalu, Latvia mengadakan pungutan suara atau referendum: Apakah bahasa saya? Keputusan pungutan suara yang diadakan itu menunjukkan penolakan yang jelas terhadap bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi kedua di negara itu. Seandainya keputusan adalah sebaliknya, maka bukan sahaja bahasa Rusia diterima sebagai bahasa rasmi kedua Latvia, tetapi juga bahasa itu menjadi salah satu bahasa dalam Kesatuan Eropah, tanpa memerlukan keanggotaan negara Rusia sendiri.

Beberapa pilihan raya telah dan akan berlangsung pada tahun ini. Pilihan raya presiden Rusia baru sahaja selesai pada bulan Mac lalu. Negara lain yang turut tersenarai ialah Perancis dan Amerika Syarikat, dan kemungkinan besar Malaysia. Dalam mana-mana pilihan raya, semasa kempen, fokusnya berkaitan dengan isu dan selepas keputusan diketahui, berkaitan dengan angka. Lazimnya, isu yang disentuh berkaitan dengan ekonomi, keselamatan, dasar luar, dan tidak ketinggalan peribadi calon yang bertanding.

Amerika Syarikat, yang akan mengadakan pilihan raya presiden pada bulan November ini, kini rancak dalam pemilihan awal Parti Republikan untuk menentukan calon presiden yang akan menentang Barack Obama daripada Parti Demokratik. Pada peringkat pemilihan awal ini, bahasa juga mendapat perhatian calon Republikan yang bertanding.

Apabila salah seorang calon, iaitu Newt Gingrich, memberitahu Saluran Yahudi, iaitu stesen televisyen kabel bahawa orang Palestin hanya “umat yang direka”, sehingga mencetuskan kontroversi, beliau menggunakan hujah bahasa dan budaya. Tegas beliau, tidak wujud bahasa dan budaya Palestin, sebaliknya yang wujud ialah bahasa dan budaya Arab. Gingrich bermaksud bahawa oleh sebab orang Palestin merupakan orang Arab kerana mereka bertutur dalam bahasa Arab, mereka adalah sebahagian kolektiviti yang tidak tentu bentuknya, dan dengan itu, kurang kualiti, iaitu bahasa, budaya, dan tradisi yang unik yang berkaitan dengan taraf negara. Menteri Kabinet Israel, Uzi Landau, bersetuju dengan Gingrich dan mendakwa bahawa “umat Palestin tidak mempunyai bahasa dan budaya mereka sendiri, sebaliknya merupakan sebahagian dunia Arab yang lebih luas.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012

Kad Undangan Perkahwinan Pengukuh Bahasa dan Tradisi Melayu

Oleh Sharil Nizam Sha’ri

Pemberian dan kiriman kad undangan ke majlis perkahwinan masih dipraktikkan dalam masyarakat Melayu pada hari ini. Majlis perkahwinan yang kini diadakan tanpa mengira waktu atau musim cuti sekolah menjadi wadah penggunaan kad jemputan kepada para tetamu undangan.

Bagi sesetengah individu, kad undangan dianggap biasa dan tidak bermakna. Lain pula halnya dengan pasangan pengantin yang menganggap kad tersebut mempunyai nilai dan merupakan pengikat kasih sayang antara mereka. Di samping itu, kad undangan juga dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan merapatkan hubungan sesama sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai untuk hadir bagi meraikan majlis penyatuan dua jiwa. Tanpa disedari, kad undangan perkahwinan mempunyai keunikan bahasa yang tersendiri yang jarang-jarang dijadikan fokus kajian oleh penyelidik.

Menurut Atikullah Abdullah dan Mohd. Shukri Hanafi, biarpun negara dan masyarakat menghadapi era globalisasi yang menyaksikan pelbagai bentuk budaya hidup baharu dan menjanjikan pelbagai perubahan dalam aspek k-ekonomi, k-masyarakat, pendidikan dan sebagainya, ternyata penggunaan kad undangan dalam masyarakat Melayu masih relevan dan “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan”.

Menurut Faisal Rosman dan Che Ibrahim Salleh, secara umumnya, bahasa yang terkandung dalam kad undangan perkahwinan menepati definisi bahasa. Bahasa ialah penggunaan bunyi, tanda dan simbol tulisan secara sistematik dan konvensional dalam masyarakat manusia untuk berkomunikasi dan penyataan kendiri. Bahasa juga merupakan kod dan di situ idea tentang dunia digambarkan melalui sistem isyarat konvensional yang arbitrari bagi tujuan komunikasi, kerjasama, interaksi dan pengenalan diri. Penjelasan ini menunjukkan bahawa bahasa ialah satu set prinsip sarwajagat yang sangat khusus, yang merupakan sifat intrinsik minda manusia dan sebahagian anugerah baka spesies manusia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012

Stilistik: Wahana Penghasilan Karya Kreatif

Oleh Julia Juis

Setiap individu yang tahu membaca mampu menulis sajak dan aneka genre penulisan, seperti cerpen, drama atau novel. Mereka yang bijak menulis dapat mencoret barisan kata lalu mengiktiraf tulisan tersebut sebagai sajak.

Walau bagaimanapun, tidak semua individu berkebolehan mencipta puisi, cerpen, drama atau novel yang mempunyai darjah estetika tinggi. Dalam bidang kesusasteraan, makna harfiah puisi ialah kelompok seni penulisan, merangkumi puisi tradisional, seperti pantun, syair, gurindam, qit’ah, rubah, masnawi, nazam serta puisi moden, iaitu sajak, yang bermula dengan kemunculan “Angan-angan dengan Gurindam” karya Omar Mustafa pada 18 Januari 1913 menerusi akhbar Utusan Melayu.

Namun demikian, Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh muncul dengan konsep “puisi” yang lebih menarik. Sekiranya Coleridge mendefinisikan poem atau sajak sebagai kata-kata terbaik dalam susunan terbaik, Muhammad memberikan nilai makna kata puisi dan sajak yang lebih mendalam. Semua orang dapat menulis sajak tetapi bukan semua sajak boleh diangkat sebagai puisi. Hal ini dikatakan demikian kerana takah nilai puisi adalah sangat tinggi berbanding dengan sajak lantaran aspek keindahan bahasa, gaya bahasa serta segala rupa estetika bentuk dan makna puisi yang dihasilkan. Hal ini menjadikan penghasilan puisi tidak semudah usaha menghasilkan sajak. Analogi ini dapat juga digunakan dalam semua genre penulisan yang ada.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

Dutch, Deutsch, Holland dan Netherlands

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Belanda pernah menjadi kuasa besar pada abad ke-17, meliputi kuasa laut dan ekonomi dengan jumlah kapal dagang yang pernah mencatatkan 16 ribu buah. Hal ini menggambarkan kemakmuran dan kekuasaan negara yang mempunyai sistem pemerintahan raja berperlembagaan.

Era ini dikenali sebagai Era Keemasan dan pada ketika itu, Belanda digeruni oleh kuasa lain, termasuklah Inggeris dan Portugal. Kuasa besar ini membolehkan Belanda meluaskan tanah jajahan dan perdagangan. Bukan sahaja di Asia seperti di Batavia, tetapi lebih awal lagi membina penempatan yang dikenali sebagai New Amsterdam di Amerika Utara. Pelayaran yang luas ini juga meliputi Afrika Selatan dan membentuk koloni di Cape. Demikian ampuh Belanda dalam rentetan sejarah perdagangan dan imperialisme dunia.

Belanda terlibat dalam pembentukan Dutch East India Company atau Verenigde Oost-indische Compagnie (VOC) pada tahun 1602. Pembentukan ini telah mengukuhkan kekuasaannya sebelum dibubarkan kerana telah bankrap pada tahun 1800 dan digantikan sebagai Dutch East Indies atau dikenali sebagai Hindia Belanda di bawah pemerintahan empayar Belanda. Perkataan Indies berasal daripada perkataan Latin, iaitu Indus yang bermakna Indian. Variasi ungkapan Indian ini dalam ungkapan Indonesia ialah Hindia.

Dalam bahasa Belanda, Dutch Indies disebut sebagai Nederlandsch-Indie. Ungkapan Dutch East Indies ditemui dalam dokumen Dutch East India Company seawal tahun 1620 dan berbeza-beza daripada peranan Dutch West Indies yang lebih dikenali sebagai Chartered West India Company yang diusahakan oleh pedagang Belanda untuk memonopoli perdagangan hamba Afrika, Brazil dan Amerika di lautan Karibia yang merupakan kawasan dikenali sebagai “Barat Indie”.

Belanda ialah ungkapan Melayu/ Indonesia yang merujuk negara dan penghuninya. Di kebanyakan negara, istilah Netherlands tidak wujud kerana penggunaan istilah Holland lebih dominan, khususnya dalam ungkapan bahasa Melayu dan Inggeris. Dalam masyarakat tradisi Melayu/Indonesia Holland, dikenali sebagai Hollanda apabila merujuk tradisi teks Tuhfat Al Nafis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

Leksis dalam Kisah Pelayaran Abdullah

Oleh S. Nathesan

Leksikologi merupakan bidang yang menganalisis bahasa pada peringkat perkataan, seperti juga dengan bidang fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Dalam bidang ini, leksikon, iaitu kosa kata atau leksis dalam sesuatu bahasa dikaji secara mendalam. Leksikologi juga bukan sahaja meneliti leksikon yang bersifat kontemporari, tetapi turut mengkaji kosa kata lama atau klasik yang pernah digunakan suatu waktu dahulu.

Oleh hal yang demikian, leksikon bahasa boleh dikaji secara sinkronik dalam ilmu leksikologi, iaitu penggunaan kosa kata pada satu-satu masa atau zaman tertentu dalam sejarah perkembangan bahasa tersebut. Menurut R.L.Trask dalam Key Concepts in Language and Linguistics, pendekatan sinkronik memfokuskan bahasa yang digunakan pada satu-satu masa, lalu dihuraikannya seperti yang sedia ada. Dalam Kamus Linguistik pula, sinkronik ditakrifkan sebagai perihal kajian bahasa yang ditumpukan pada satu-satu masa tertentu. Untuk meneliti kosa kata zaman Munsyi Abdullah, pendekatan sinkronik digunakan untuk mengkaji leksikon yang digunakan pada abad ke-19 (sekitar tahun 1830-an).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.