Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2012 March.

Bahasa Kita, Tanggungjawab Kita

Bual Bahasa

Disusun oleh Zaidi Ismail

“Dasar MBMMBI ini amat baik bagi mengingatkan rakyat akan peri pentingnya usaha berterusan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan lebih penting, sebagai bahasa ilmu dan pembinaan tamadun di Malaysia.”  – Kamal Shukri Abdullah Sani

Kamal Shukri Abdullah Sani merupakan Munsyi Dewan dan Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia. Beliau selalu memperkatakan isu PPSMI dan MBMMBI, baik dalam seminar mahupun penulisan makalah. Baru-baru ini, editor Dewan Bahasa telah berkesempatan menemu bual beliau untuk mendapatkan pandangannya tentang bahasa Melayu pasca-PPSMI dan penegasan MBMMBI.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Macam-macam Hawa Dingin

Sorotan Bahasa

Oleh Zaidi Ismail

Kini, ada macam-macam hal yang berkaitan dengan “hawa dingin”. Walau bagaimanapun, yang berkaitan dengan hawa panas, penulis masih belum menemukannya.

Antara hal yang berkaitan dengan hawa dingin yang telah digunakan dalam paparan iklan pada kenderaan termasuklah “Menjual Hawa Dingin”.

Bagi yang “kepanasan” pula dan inginkan kedinginan, bolehlah berkunjung ke “Pusat Hawa Dingin” yang ada di Taman Maju Jaya, Kuala Lumpur.

Sekiranya “hawa dingin” yang selalu digunakan itu rosak dan memerlukan alat gantinya, ada pula kedai yang menjual “alat ganti hawa dingin”. Kedai tersebut juga terdapat di Taman Maju Jaya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Membina Negara Bangsa melalui Etimologi: daripada Burma kepada Myanmar

Etimologi

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Tidak banyak yang mengetahui bahawa Burma pernah dijajah oleh kolonial Inggeris selama 62 tahun. Kesan daripada penjajahan dari tahun 1824 hingga 1886 membawa negara tersebut menjadi sebahagian daripada empayar India.

Hal ini menyebabkan negara yang kini mengandungi sekitar 54 juta penduduk ini menjadi sebahagian daripada pentadbiran wilayah India. Pentadbiran di bawah wilayah tersebut cuma berakhir pada tahun 1948 apabila Burma dipisahkan daripada pentadbiran tersebut lalu membentuk pentadbiran sendiri dan mencapai kemerdekaannya pada tahun itu juga.

Berbanding dengan Malaysia, sejarah negara tersebut dalam era awal kemerdekaan agak berbeza kerana Burma diperintah oleh pemerintahan tentera. Ne Win, komander tentera mempunyai pengaruh yang tinggi dalam sejarah politik Burma. Hal ini berlaku apabila Aung San dan enam ahli kabinet dibunuh oleh musuh politik yang diketuai bekas perdana menteri sebelum perang, Au Saw. Tidak kurang pula berlakunya persaingan etnik kerana negara yang diberikan jolokan sebagai negara Yugoslavia Asia Tenggara ini terdiri daripada kelompok Burma, Shan, Karen dan Rakhinei. Selain itu, terdapat juga etnik Cina, India dan Mon. Pembunuhan Aung San memberikan kesan yang berpanjangan kepada sejarah negara Burma.

Ne Win sebagai tokoh tentera pula membentuk sejarah pembentukan politik tersendiri di negara tersebut. Kecenderungan membentuk pasukan tentera yang kuat dan menguasai sistem pemerintahan tentera menimbulkan peningkatan ketegangan etnik meningkat. Era demokrasi berakhir apabila beliau merampas kuasa dan menolak konsep persekutuan kerana dikatakan akan merosak kesatuan negara. Pemerintahan tentera terus membentuk sejarah Burma untuk selama 26 tahun dan beberapa dasar seperti pengusiran orang asing, pengawalan media, pemenjaraan ratusan pemimpin politik atas alasan menentang kumpulan penentang menyebabkan negara tersebut tersisih daripada pengetahuan dunia luar. Oleh itu, Burma dilihat sebagai sebuah negara tertutup dan tidak banyak berhubung dengan negara luar.

Pada tahun 1962, ratusan penduduk terkorban apabila berlakunya demonstrasi pelajar Universiti Rangoon. Malah, bangunan kesatuan pertubuhan tersebut juga dibom. Pada tahun 1970-an pula terdapat beberapa demonstrasi menentang sistem pemerintahan ini tetapi dapat ditangkis oleh pihak tentera. Di sinilah bermulanya sejarah penguasaan kerajaan yang dikuasai Jeneral Ne Win berdasarkan sistem satu parti sehingga tahun 1988.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Kata Kopitiam dalam Bahasa Melayu

Etimologi

Oleh Atman Sn

Bilakah kali terakhir anda mengunjungi kedai kopitiam? Kini, perkataan “kopitiam” menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat kita. Di merata-rata tempat di negara kita, baik di bandar, pusat beli-belah, pasar raya, mahupun di pekan kecil, adanya kopitiam.

Kopitiam merupakan antara kedai makanan yang menyediakan perkhidmatan makan dan minum untuk pengunjungnya. Kedai kopitiam memang diminati oleh semua lapisan masyarakat Malaysia bukan sahaja untuk makan dan minum kopi, tetapi turut menjadi tempat untuk bersembang dan berbincang sesuatu. Oleh itu, kata kopitiam kelihatan sudah sebati dalam kalangan masyarakat kita.

Persoalannya, dari segi bahasa, adakah kata kopitiam ini merupakan kata yang berasal daripada bahasa Melayu atau kata pinjaman? Bilakah kata itu mula digunakan dan sejak bilakah pula mula digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat kita? Bagaimanakah salasilah kemasukan kata kopitiam ke dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu?

Asal usul kopitiam

Kata kopitiam merupakan kata yang berasal daripada bahasa Cina. Kopitiam merupakan sejenis masakan masyarakat Cina. Dalam Kamus Dewan, Edisi Keempat, entri kopitiam diberikan padanan makna “kedai kopi”. Selain itu, kata kopitiam turut ditandakan dengan maklumat etimologinya, iaitu tanda singkatan “C” (Cina) yang bermaksud kata tersebut berasal daripada bahasa Cina.

Bagaimanakah pula sejarah tercipta kata atau istilah tersebut? Masyarakat Cina telah mencipta kata kopitiam pada zaman dahulu lagi, yakni hasil gabungan antara kata “kopi” dalam Melayu dengan kata “tiam” dalam Cina. Ekoran penggunaannya yang semakin kerap, kata ini menjadi popular, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina. Kata kopitiam sememangnya tercipta dan berkembang di Malaysia seiring dengan pertumbuhan kedai kopitiam di mana-mana.

Kata kopitiam merupakan kata majmuk, iaitu gabungan kata “kopi” dan “tiam”. Kata kopi berasal daripada bahasa Melayu “Tiam” berasal daripada bahasa Cina, dialek Kantonis, yang bermaksud “kedai”. Sebenarnya, perkataan kopi dipinjam oleh bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris, iaitu coffee. Kata coffee pula masuk ke dalam bahasa Inggeris melalui bahasa Belanda, iaitu koffie. Kalau dijejaki lagi kata kopi, didapati bahawa kata ini berasal daripada kata bahasa Turki, iaitu kahveh. Demikianlah panjangnya etimologi kata kopi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Awan Nano Mengungkap Keindahan Bahasa Melayu di Pentas Juara Lagu

Reaksi Bahasa

Oleh Sharil Nizam Sha’ri

Kejayaan lagu Awan Nano sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL) masih segar dan berupaya meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa peminat muzik tanah air. Nyanyian yang berkesan dan penuh penghayatan oleh Hafiz, lagu hasil ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Buddhi Hekayat, ternyata menjadi pakej lengkap dan dominan sehingga layak ditabalkan menjadi juara AJL baru-baru ini. Gabungan suara, susunan muzik dan lirik yang mantap ini berjaya memukau para juri dan peminat sehingga jalan cerita dalam lagu ini merasuk sanubari insan.

Lagu tersebut mempunyai kekayaan melodi yang melambangkan jati diri dan identiti muzik Melayu, malah berpotensi untuk berada dalam senarai lagu malar segar yang akan bertahan dalam hati pencinta tempatan. Lantas, kehebatan lagu itu muncul sebagai juara AJL ke-26 turut disebabkan oleh keindahan bahasa yang digunakan oleh penggubahnya dan setiap baris liriknya dialunkan oleh penyanyinya dengan penuh padu dan bertenaga. Lagu yang dipersembahkan oleh Hafiz itu telah berjaya membuktikan bahawa bahasa yang indah dapat dijadikan “modal” yang berharga dalam sesuatu pertandingan. Secara tidak langsung juga, lagu tersebut turut memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang muzik tanah air ke mercu kegemilangan.

Bahasa bukan sahaja boleh digunakan untuk menyampaikan idea atau berkomunikasi dengan orang lain tentang sesuatu, tetapi bahasa yang baik juga dapat digunakan untuk menyampaikan idea melalui lirik lagu. Lagu Awan Nano telah berjaya menggarap peranan bahasa Melayu sebagai bahasa harian untuk menjanakan tradisi pemikiran dan amalan ilmu mengikut acuan kita sendiri. Lagu tersebut juga dapat menggerakkan penggunaan bahasa Melayu yang dapat membangunkan negara bangsa dan tamadun Malaysia yang kukuh bertunjangkan kesenian dan budaya Melayu dalam setiap aspek kehidupan.

Penggunaan kosa kata atau frasa, seperti melindungi, air matamu, tercapai, memayungi diri, menggores pipi, melimpahkan kasihnya dan banding setia, jelas membuktikan bahawa aplikasi yang mengungkap keindahan bahasa dan menjadi “nadi” lagu ini semakin mudah difahami dan diminati oleh penggemar muzik tanah air.

Puisi atau lirik lagu yang sarat dengan nilai keindahan, kebenaran dalam hidup dan kasih sayang dalam ikatan keluarga mampu menjadi sarana penting untuk menyalurkan segala unsur kebaikan dan meninggalkan gejala negatif hidup di dunia dan menyeru insan hidup dalam kebahagiaan dan kesejahteraan harmoni di dunia dan akhirat serta meninggalkan gejala negatif hidup di dunia.

Tema cinta dan kasih sayang yang diungkapkan dalam lagu ini merupakan tema yang sangat popular dan tidak pernah luput dalam kehidupan harian kita. Cinta yang lumrah dan selalu didendangkan ialah cinta kepada kekasih. Walau bagaimanapun, cinta sebenarnya lebih luas daripada itu, seperti cinta kepada ibu bapa, sanak saudara, tanah air, bangsa atau paling mulia, cinta kepada Tuhan (Alwi Salim, 1983). Ternyata, Awan Nano menjadikan cinta dan kasih sayang kepada ibu bapa sebagai tema yang digarap sehingga menyentuh hati nurani insan yang sentiasa merindui kasih sayang ibu bapa dalam hidup ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Bahasa Politik dan Keceloparan Penuturnya

Reaksi Bahasa

Oleh Muhammad Saiful Haq Hussin

Bahasa politik yang merujuk penggunaan dan pemilihan diksi dalam penulisan dan ucapan yang bersifat “retorik” sejak akhir-akhir ini kelihatan semakin meluas dengan pelbagai penggunaan kosa kata yang membawa konotasi buruk sehingga melahirkan perasaan bimbang dalam kalangan masyarakat. Kekeliruan timbul sekiranya pendefinisian kosa kata politik itu disinonimkan dengan parti politik yang membawa pelbagai ideologi yang berasaskan kepentingan kelompok dan puak serta kumpulan masing-masing.

Seni berbahasa secara mudahnya merupakan seni yang menggunakan bahasa dan disiplin ilmunya berkaitan rapat dengan asas penggunaan bahasa yang berkesan dalam komunikasi, sama ada secara lisan ataupun bertulis. Namun begitu, pada asalnya seni berbahasa merujuk seni pengucapan yang berkesan, yakni yang berkaitan dengan lisan.

Seni berbahasa juga merujuk kebolehan seseorang individu itu menguasai kemahiran berbahasanya dalam bentuk lisan atau penulisan. Malangnya, maksud yang difahami oleh kebanyakan orang jauh tersasar daripada maksud yang sebenarnya apabila maksud seni dalam berbahasa yang berkaitan secara langsung dengan politik itu telah disalahertikan sebagai sesuatu yang menimbulkan asosiasi kepada perbuatan yang tidak jujur, curang dan merosakkan.

Dalam hal ini, sebenarnya seni berbahasa lebih menjurus kepada kebolehan dan keterampilan untuk mempengaruhi khalayak kepada perkara yang dikehendaki. Dalam memenuhi tuntutan tersebut kelihatan masing-masing pihak akan bertindak tanpa memikirkan piawaian yang telah ditetapkan, sama ada dari sudut hukum-hakamnya mahupun dari sudut adat dan penghayatan falsafah moralnya. Berpegang pada disiplin retorik, bahasa digunakan sebagai wadah penerangan berbentuk pemujukan dan rayuan untuk mempengaruhi pendapat umum atau mendapatkan sokongan umum terhadap sesuatu atau mencapai matlamat yang dihajati dan lain-lain.

Menurut John Lyons, tulisan merupakan sejenis tanda atau lambang, sebagaimana halnya dengan bahasa itu sendiri. Tanda pula ialah sesuatu yang mewakili yang lain, iaitu yang mewakili maknanya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Perkataan dan Tempat Tinggal

Leksikologi

Oleh S. Nathesan

Semua tempat di dunia ini ada namanya, termasuklah nama tempat tinggal. Ada perkataan khusus yang digunakan untuk merujuknya. Persoalannya, adakah kita pernah terfikir tentang tempat tinggal kita dan evolusi nama tempat tinggal dari zaman ke zaman?

Kini, konsep tempat tinggal atau rumah sudah banyak berubah berbanding dengan zaman dahulu. Perubahan itu turut melibatkan penggunaan nama yang berbeza dan adanya kelainan istilah bagi tempat tinggal manusia. Seiring dengan hal yang demikian, muncullah pelbagai perkataan baharu dalam bahasa untuk merujuk tempat tinggal manusia.

Dalam hal ini, beberapa perkataan dalam bahasa Melayu yang ada hubung kait dengan tempat tinggal akan diperkatakan dari perspektif diakronik. Diakronik di sini membawa maksud tinjauan nama tempat tinggal dari sudut sejarah perkembangannya. Bidang leksikologi, bukan sahaja boleh digunakan untuk meneliti penggunaan perkataan terkini, tetapi boleh juga digunakan untuk mengkaji sejarah perkembangan perkataan dalam sesuatu bahasa, sebagaimana bidang etimologi.

Konsep Tempat Tinggal

Apabila tamadun mula berkembang, manusia mula memikirkan tempat tinggal mereka. Dengan hal yang demikian, muncullah konsep rumah buat pertama kalinya untuk maksud tempat tinggal manusia.

Pada zaman dahulu, rumah digunakan untuk berlindung daripada cuaca yang tidak menentu, haiwan buas dan serangga yang berbahaya kepada manusia. Kini, rumah yang tetap bermaksud tempat tinggal manusia yang ada pelbagai bentuk binaannya.

Dari segi sejarah, manusia mula menggunakan tempat tinggal yang sedia wujud di alam sekitar sebagai rumahnya. Nenek moyang kita dikatakan tinggal di dalam gua dan struktur lain yang wujud di alam sekitar pada zaman dahulu. Kini, gua tidak lagi menjadi tempat tinggal manusia, tetapi menjadi tempat tinggal haiwan di hutan belantara. Tempat tinggal haiwan tidaklah dirujuk sebagai rumah, tetapi dengan rujukan seperti sangkar, kandang, sarang dan reban.

Setelah zaman semakin berubah, manusia mula membina tempat tinggal sendiri yang diperbuat daripada kulit dan bulu haiwan. Pada Zaman Batu pula, manusia mula membina rumah daripada batu. Tempat tinggal khas, iaitu istana, pula dibina untuk golongan raja dan bangsawan. Selain itu, ada juga perkataan lain yang digunakan untuk merujuk tempat tinggal raja atau golongan bangsawan dalam bahasa Melayu, seperti mahligai, puri, keraton, palis dan rumah raja. Walau bagaimanapun perkataan keraton, yang juga bermaksud istana, tidak lagi digunakan di tempat kita, tetapi masih digunakan di Indonesia. Keraton merupakan kata pinjaman daripada bahasa Jawa.

Sekiranya disusurgalurkan tempat tinggal masyarakat tradisional Melayu, ada pelbagai nama yang pernah digunakan oleh mereka untuk menamakan rumah binaan mereka. Antaranya termasuklah rumah limas, rumah Minangkabau, rumah Melaka, rumah kutan, rumah bumbung limas, rumah tiang enam, rumah serambi Pahang, rumah Temuan, rumah Semai, rumah Jakun dan rumah panjang. Rumah tradisional Melayu itu dibina daripada pelbagai bahan, seperti kayu, rotan, akar, buluh dan dedaun yang didapati daripada sumber hutan terdekat. Kayu menjadi tunjang struktur bangunan rotan dan akar menjadi pengikat kayu atau batang pinang, buluh menjadi lantai atau dinding, dan daun rumbia atau nipah menjadi atap.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.