Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2012 February.

Seni Berbahasa, Bahasa Berseni

Bicara Bahasa

Sesuatu yang berseni lazimnya merupakan sesuatu yang indah. Yang dapat menghasilkannya, hanyalah orang yang berjiwa seni dan ada kemahirannya. Seni itu pula ada bermacam-macam, termasuklah seni berbahasa.

Seseorang yang ada seni dalam berbahasa akan dapat menghasilkan bahasa yang berseni, baik dalam tulisan mahupun ucapan. Dalam berbahasa, selain perlu menggunakan bahasa yang betul, kita juga boleh menggunakan bahasa yang berseni dalam karya tertentu, seperti karya sastera. Puisi, simpulan bahasa dan pantun merupakan antara karya sastera yang sangat menekankan unsur seni atau keindahan bahasanya. Melalui karya tersebut, penulis dapat menyampaikan sesuatu secara halus dan bijaksana. Misalnya, amanat, teguran dan jenaka dapat disampaikan secara halus tanpa menyakitkan hati yang membaca atau mendengarnya. Hal ini memperlihatkan betapa masyarakat Melayu begitu mementingkan kesusilaan dalam berbahasa yang menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.

Selain itu, bahasa yang berseni juga boleh digunakan dalam situasi tertentu, seperti ucapan dan pengacaraan majlis. Misalnya, menyelitkan pantun dan simpulan bahasa yang ada mesejnya berkaitan dengan sesuatu yang ingin disampaikan. Keupayaan mengungkapkan buah fikiran menggunakan gaya bahasa yang halus dan indah dapat menyampaikan maksud dengan cara yang lebih berkesan dan sopan. Bagi karyawan seni pula, bahasa yang berseni ini biasanya digunakan dalam lirik lagu.

Walau bagaimanapun, kini dalam dunia politik, ada pihak tertentu yang kurang memberikan tumpuan terhadap hal ini. Kata dan ungkapan yang bersifat kasar dilontarkan sesuka hati dan boleh menyinggung perasaan golongan tertentu. Hal ini sepatutnya tidak dilakukan oleh masyarakat yang berbudi bahasa dan mengamalkan nilai murni, seperti yang ditekankan oleh pihak kerajaan melalui “Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni”.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.

-Zaidi Ismail

Manipulasi Kuasa Bahasa Kreatif

Agenda Bahasa, Pilihan Utama

Oleh Nur Fatiha Fadila

Kamus Dewan mentakrifkan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang berfungsi sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Bagi melancarkan proses komunikasi, bahasa menjadi elemen penting dalam pelbagai sektor kehidupan. Penggunaan bahasa yang lancar, bersistem dan tepat menghasilkan daya perhubungan yang berkesan. Ketepatan penggunaan bahasa bukan sahaja mewujudkan hubungan yang baik dalam komuniti bahasa, malah menjadikan proses enkod dan dekod berjalan lancar sekali gus mencapai matlamat berbahasa.

Selain berperanan sebagai alat komunikasi manusia, bahasa berperanan besar membentuk pemikiran dan pandangan hidup manusia. Manipulasi bahasa kreatif yang baik memberikan impak kepada daya fikir khalayak penerima bahasa. Ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, kemasukan tulisan Jawi dan bahasa Arab telah memperkaya bahasa Melayu. Pada masa itu, bahasa Melayu bukan sekadar lingua franca yang berperanan dalam bidang perdagangan antarabangsa atau pentadbiran negeri Melaka, sebaliknya, sebelum zaman itu lagi telah menjadi wadah masyarakat melahirkan gagasan pemikiran berlandaskan kreativiti berbahasa.

Ketika zaman Melayu klasik (1400-1800), bahasa Melayu yang masih dipengaruhi ciri bahasa arkaik serta bahasa Arab telah digunakan sebagai senjata untuk berkarya oleh penglipur lara. Proses penggunaan bahasa secara berseni dan kreatif wujud, baik dalam konteks sastera lisan mahupun sastera tulisan. Komuniti Melayu klasik yang mempunyai pertalian erat dengan unsur alam telah menzahirkan pandangan mereka melalui pelbagai cara. Contohnya, pantun dua kerat yang diperturunkan yang lestari sehingga hari ini terhasil daripada daya cerap masyarakat terhadap alam yang membentuk ungkapan yang sarat dengan penghargaan terhadap budi seseorang tanpa penggunaan bahasa secara langsung:

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Za’ba mendefinisikan peribahasa sebagai susunan kata yang pendek, namun mempunyai makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Pentakrifan peribahasa ini membuktikan bahawa penguasaan terhadap bahasa kreatif mampu mewujudkan laras bahasa tersendiri yang bertujuan memberikan pengajaran secara santun.

Penggunaan bidalan , perumpamaan, pepatah dan petitih, perbilangan, kias ibarat serta tamsil dalam kategori peribahasa sejak zaman dahulu berfungsi menyampaikan sindiran, amanat dan teguran tanpa menyakitkan hati. Hal ini memperlihatkan betapa komuniti Melayu begitu mementingkan kesusilaan dalam berbahasa yang menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.

Dalam kebanyakan tamadun, kecekapan sasterawan menggunakan bahasa kreatif yang berseni sering menarik perhatian terutamanya oleh pemerintah. Kisah penyair atau penulis yang menemui ajal di penjara atau di tali gantung bukanlah kisah luar biasa dalam dunia kesusasteraan. Setiap pengkarya mempunyai prinsip tertentu dalam berkarya. Sesetengah sasterawan memilih menggunakan sastera dan bahasa kreatif sebagai sumber perjuangan. Bahasa dan dunia sastera diyakini berupaya menjadi “lidah masyarakat” bagi menyampaikan kritikan terhadap pemerintahan yang bercelaru.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.

Bahasa Berseni dalam Karya Sastera

Agenda Bahasa, Pilihan Utama

Oleh Nimoiz T.Y

Perkataan seni berasal daripada kata “sani” yang bermaksud ketulusan hati atau jiwa yang luhur. Bagi Plato, seni merupakan karya yang berasal daripada peniruan bentuk alam. Sebagai tambahan, Sidi Gazalba menyatakan bahawa seni itu indah dan indah itu baik. Secara jelasnya, seni berbahasa merujuk seni penulisan, terutama dalam membentuk kerangka gagasan keilmuan. Sesuatu penulisan yang penuh berseni lazimnya akan dipandang tinggi pada mata masyarakat berbanding dengan tulisan yang biasa-biasa. Oleh sebab itu, tidak hairanlah ada orang yang meletakkan garis sempadan antara sastera serius dengan sastera popular. Karya sastera popular lazimnya berorientasikan material . Sastera serius pula lebih kepada pembinaan modal insan dan jati diri bangsa.

Cerpen, novel, puisi dan drama merupakan antara genre sastera yang popular. Setiap pecahan karya sastera ini memiliki tatatingkat dan nilai seni yang tersendiri. Menilai karya puisi tidak sama dengan menilai novel atau drama. Hal ini dikatakan demikian kerana puisi memerlukan sentuhan bahasa kreatif dan imaginatif. Tidak seperti penulisan fiksyen atau drama, puisi menggunakan kata terpilih yang disusun dalam bentuk yang paling menarik. Hal ini samalah dengan definisi puisi oleh Samuel Taylor Coleridge, iaitu “kata-kata terbaik dalam susunan terbaik”. Ramayana dan Mahabharata dari India merupakan contoh sastera lama dalam bentuk puisi. Karya sastera terus mendapat tempat di hati masyarakat kerana dapat membentuk entiti kebudayaan tempatan, walaupun dalam masa yang sama, ada orang yang menidakkan sumbangan sastera dalam konteks pembangunan ekonomi dan fizikal negara.

Bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan. Sastera tidak akan hidup tanpa bahasa. Bahasa sastera pula akan hambar tanpa sentuhan seni yang efisien. Dalam medium penerbitan, terdapat banyak karya sastera yang hadir dengan sentuhan bahasa yang baik. Namun begitu, karya tersebut seakan-akan kaku tanpa suntikan seni. Seni dalam sastera umpama tablet yang akan memberikan kepuasan kepada pembaca. Jika tablet seninya terlebih dos, sasteranya akan kabur dan mungkin akan hilang terus. Hal inilah yang akan menjauhkan sastera daripada khalayak. Sebaik-baiknya, seni dalam sastera harus dikawal supaya tidak terlebih atau terkurang.

Karya sastera yang dianggap memiliki sentuhan seni paling tinggi ialah puisi. Antara penulis terawal yang dikatakan menulis puisi Melayu moden termasuklah Omar Mustafa dengan puisi yang dipercayai terawal, berjudul Angan-angan dengan Gurindam (Utusan Melayu, 18 Januari 1913). Untuk menghasilkan puisi yang baik, bahasa yang berseni amat diperlukan. Pemilihan kata yang tidak selektif sudah tentu akan menjadikan sesuatu puisi itu kosong, hambar dan tidak mempunyai kesan sensitiviti. Pada dekad mutakhir, ada penulis yang melebihkan aspek emosi dan maksud yang ingin disampaikan, dengan alasan puisi merupakan elemen kritikan. Namun begitu, seni masih menjadi pegangan utuh kerana puisi yang ditulis secara improvisasi (spontan dan tidak dirancang) lazimnya lemah dari aspek seni.

Cerpen pula dikatakan muncul pada abad ke-19 di Eropah serentak dengan terhasilnya majalah. Di Malaysia, cerpen pertama yang diterbitkan berjudul Kecelakaan Pemalas, ditulis oleh Al-Madrasi atau Nur Ibrahim, yang dimuatkan dalam Pengasuh sekitar dekad 1920-an. Baik cerpen mahupun novel atau drama, setiap genre sastera ini memerlukan sentuhan seni yang tersendiri. Bahasa berseni dikatakan hadir dalam sastera kerana ditulis oleh pengkarya dengan sentuhan seni yang tinggi. Terdapat pelbagai bentuk yang boleh diterapkan dalam sastera bagi menyampaikan perasaan atau amanat penulis, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Misalnya, penggunaan bahasa berkias untuk mengkritik sistem politik, ekonomi atau sosial dalam sesebuah tamadun bangsa.

Dalam karya sastera, penulis menggunakan unsur metafora, simile, anafora dan banyak lagi sebagai ganti ungkapan langsung. Di situlah letaknya keunikan karya sastera. Yang paling penting, karya sastera memerlukan sentuhan kreativiti yang tersendiri. Oleh itu, tidak hairanlah apabila karya puisi merupakan karya yang penuh dengan bahasa berseni yang indah, sesuai dengan peniruan alam seperti definisi seni oleh Plato.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.

Mengungkap “Bahasa Seni” dalam Sajak

Agenda Bahasa, Pilihan Utama

Oleh Hasan Baseri Budiman

Sajak merupakan lukisan imaginasi yang terbentuk daripada susunan kata yang digubah dalam bahasa yang indah. Sebagai karya estetika, sajak merupakan karya seni yang memiliki imej keindahan yang mampu memukau jiwa apabila kena dengan gaya gubahannya, termasuklah paduan harmonis seni bahasanya. Bahasa ialah elemen yang menentukan jati diri penyair. Penyair yang kehilangan seni bahasanya akan kehilangan segala-galanya. Salah satu tugas penting seseorang penyair adalah untuk terus memelihara, memperkaya dan mempertahankan bahasanya kerana seni berbahasa ialah perjuangan untuk menegakkan jati diri sajak.

Bahasa yang indah bagi penyair sepatutnya bahasa yang boleh memberikan kebebasan kepadanya untuk mengembangkan dan mengolahnya menjadi media komunikasi yang mudah dan lancar. Selama ini pun, keadaan yang diperlukan oleh penyair untuk menghasilkan sajak yang bagus hanya lahir daripada bahasa yang merdeka, yang bebas, yang lentur, yang tidak terkurung dan tidak terperangkap dalam pelbagai aturan dan tatabahasa yang kaku dan beku. Sajak “Kekasih” karya Usman Awang, misalnya, tidak mungkin lahir sebagai sajak yang puitis kalau penggunaan bahasanya tidak merdeka.

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu

Akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu

Akan kujahit bayu gunung
menjadi baju
pakaian malammu

Kemerdekaan bahasa sajak tersebut lahir daripada jiwa syahdu penyair Usman, tentang apa-apa yang dilihat matanya, dirasakan dan dicecap lidah dan kulitnya, yang dicium hidungnya, difikirkan otak dan sesuatu yang disimpan dalam hatinya. Ekspresi jiwa itulah yang telah membolehkan Usman menghadirkan rasa indah dan rasa kagum untuk berkongsi bersama-sama yang sudi menikmatinya. Sajak yang indah seharusnya berkomunikasi secara langsung dengan alam.

Oleh itu, seni bahasa sajak yang mengapresiasi unsur alam secara puitis tidak harus disalahtafsirkan jika ada waktunya disusun dalam sebaris kata yang agak janggal. Hal ini dikatakan demikian kerana seni bahasa sajak sebenarnya sudah dibekalkan dengan kebebasan penyair, iaitu lesen atau izin tidak tertulis yang diberikan kepada penyair untuk bebas memanipulasikan kata demi menimbulkan kesan tertentu dalam karyanya, walaupun terpaksa menyimpang daripada kaedah dasar bahasa yang mungkin melibatkan makna kosa kata, bunyi bahasa, makna atau tatakalimat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.

Mengungguli Modal Insan: Mencerna Kreativiti, Mencetus Inovasi

Darihal Bahasa

Kementerian Pelajaran ialah nadi utama dalam usaha membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara pada masa hadapan. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju amat bergantung pada keupayaan warga kementerian dalam menyediakan pendidikan berkualiti.

Oleh itu, setiap warga pendidik perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan melipatgandakan usaha bagi melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif dan inovatif untuk mengisi keperluan kini dan masa hadapan. Usaha murni berterusan oleh warga pendidik dalam melahirkan modal insan yang dihasratkan akan berupaya meningkatkan daya saing negara, melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan sekali gus menjadikan negara ini sebagai negara maju yang berpendapatan tinggi.

Kementerian Pelajaran diberikan peruntukan sebanyak RM37.28 bilion dalam belanjawan 2012. Peruntukan itu akan dibelanjakan secara cekap dan berhemah agar dapat memberikan kesan berganda yang positif kepada pembangunan pendidikan secara menyeluruh.

Infrastruktur dan Kebajikan

Bagi memastikan kelangsungan pembangunan pendidikan negara, dasar perancangan pembangunan pendidikan Rancangan Malaysia Ke-10 diteruskan dengan matlamat memantapkan infrastruktur dan meningkatkan kemudahan fizikal institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran. Pada tahun 2011, sebanyak RM1.03 bilion dibelanjakan untuk pendidikan prasekolah dan rendah, RM795.1 juta untuk pendidikan menengah, dan RM29.97 juta untuk aliran teknik dan vokasional. Program pembangunan luar bandar, Sabah dan Sarawak menelan belanja sebanyak RM525.7 juta dan sistem pengkomputeran sekolah sebanyak RM22.8 juta.

Bagi memastikan akses pendidikan berkualiti diteruskan kepada anak bangsa, tiga projek infrastruktur baharu dan 1967 projek sambungan dengan peruntukan sebanyak RM4.58 bilion telah diberikan untuk tahun 2012. Pendidikan sekolah bantuan kerajaan diteruskan dengan memperuntukkan belanja mengurus, termasuk emolumen guru dan geran per kapita, yang sama kepada semua sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah mubaligh. Usaha menyelenggarakan sekolah daif dan uzur di bandar dan luar bandar akan dilaksanakan dengan menaik taraf dan menyelenggarakan 600 buah sekolah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.

Ciri Bahasa Melayu Tinggi

Darihal Bahasa, Pilihan Utama

Oleh Choo Hung Fei

Menurut Nik Safiah Karim dalam kertas kerjanya, “Ke Arah Penguasaan dan Penghayatan Bahasa Melayu Tinggi: Matlamat Pengajaran Bahasa dan Sastera Melayu”, yang dibentangkan dalam Seminar Bahasa dan Sastera dalam Pendidikan ke-2, bahasa Melayu tinggi ialah bahasa yang digunakan untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran yang teknikal serta berfungsi sebagai sarana budaya tinggi. Terdapat dua perkara yang diutamakan untuk memastikan kita mencapai penggunaan dan seterusnya penguasaan bahasa Melayu tinggi, iaitu keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa.

Dalam hal ini, seseorang perlu menyampaikan fikiran dan hujah dengan tepat dan berkesan serta pemikiran yang logik. Keintelektualan bahasa dicapai melalui perbendaharaan kata dan struktur tatabahasa. Keintelektualan perbendaharaan kata boleh dicapai melalui pengembangan perbendaharaan kata dengan cara menambahkan istilah baharu. Penggunaan istilah ini bersifat khusus dan mungkin tidak difahami oleh kebanyakan orang.

Selain itu, keintelektualan bahasa juga dicapai melalui penukaran bentuk dan corak perbendaharaan kata dengan memberikan pengertian tertentu atau khusus bagi bidang tertentu kepada perkataan biasa dalam bahasa itu. Oleh itu, kata yang baharu ini bersifat tepat, spesifik dan abstrak. Penulis mengemukakan dua contoh petikan bagi menggambarkan penggunaan bahasa Melayu tinggi melalui kebijaksanaan penggunaan perkataan. Contoh pertama dipetik daripada Dewan Ekonomi, Januari 2000, halaman 23, seperti yang berikut:

Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) akan disenaraikan kembali ke dalam indeks MCSI pada bulan Januari. Indeks MCSI digunakan oleh pelabur antarabangsa dalam aktiviti pelaburan. Memandangkan kemasukan semula ini semakin hampir, BSKL kini mula diperhatikan oleh pelabur asing.

Dalam petikan tersebut, terdapat perkataan khusus bagi laras berkenaan, iaitu laras ekonomi dalam perniagaan saham, seperti Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), indeks MSSI dan pelabur. Istilah ini hanya difahami oleh orang yang terlibat dalam aktiviti ekonomi, terutamanya perniagaan saham. Masyarakat yang tidak berlatarbelakangkan ilmu ekonomi akan sukar untuk memahami petikan tersebut:

Sejauh mana barah serviks merebak boleh dikesan secara pemeriksaan klinikal, iaitu ketika pemeriksaan faraj di klinik atau bilik bedah. Pentingnya mengetahui ke mana arah barah itu merebak membolehkan doktor mengkategorikan peringkat seriusnya barah serviks.

Dalam petikan artikel “Wanita Sihat” yang ditulis oleh Dr. Suhaimi Isa dalam Berita Harian, 18 Disember 2000. Dalam petikan tersebut, terdapat penggunaan kata khusus dalam laras sains, iaitu bidang perubatan, seperti barah serviks, pemeriksaan klinikal, bilik bedah dan doktor.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.

Peminjaman sebagai Cara Memperkaya Bahasa

Darihal Bahasa

Oleh Victor Pogadaev

Terjalinnya hubungan kawasan antara bahasa dunia menyebabkan kehadiran kata pinjaman dalam bahasa. Terdapat bahasa yang kurang terdedah kepada pengaruh asing, seperti bahasa yang dituturkan di tempat terpencil pun bahasa yang “kemurnian”nya sengaja dijaga atas sebab tertentu. Contohnya, bahasa Iceland yang digunakan oleh penduduk sebuah pulau yang dahulunya selama beratus-ratus tahun mempunyai hubungan terbatas dengan tanah besar Eropah sehingga kemasukan kata pinjaman ke dalam bahasa tersebut terlalu kurang, berbanding dengan bahasa Scandinavia yang lain, seperti bahasa Sweden, bahasa Danish dan bahasa Norway.

Dalam pada itu, bahasa Tamil juga berbeza daripada bahasa serumpun dalam keluarga Dravidia kerana kurang meminjam kata daripada bahasa Sanskrit berbanding dengan bahasa Malayalam, bahasa Telugu dan bahasa Kanada. Keadaan ini terjadi bukan disebabkan oleh kawasan taburannya yang terpencil tetapi berkat tradisi dan norma bahasa sastera yang kuat serta falsafah nasionalisme yang sangat menonjol sejak dekad 1900-an yang tidak menggalakkan peminjaman bahasa.

Walau bagaimanapun, bahasa seperti ini tidak terlepas daripada kemasukan unsur asing, khususnya dalam era komunikasi yang tidak lagi memberikan peluang kepada sesuatu bahasa hidup secara tertutup. Elemen asing pasti hadir dalam perbendaharaan mana-mana bahasa yang dituturkan pada hari ini.

Bagi bahasa yang aktif mengadakan hubungan dengan bahasa lain, kandungan kata asing dalam perbendaharaan katanya adalah tinggi. Selepas penaklukan Norman dalam abad ke-11, bahasa Inggeris kehilangan sebanyak 60 peratus kata yang diwarisi daripada bahasa Inggeris lama dan digantikan dengan kata yang berasal daripada bahasa Perancis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.