Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2012 January.

Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi

Bicara Bahasa

Bahasa Melayu tinggi ialah bahasa yang bukan sahaja betul dari segi ejaan, sebutan dan tatabahasanya, tetapi juga bahasa yang betul dari segi penggunaannya. Penggunaannya pula tidak sahaja terhad dalam situasi rasmi, tetapi juga situasi tidak rasmi, baik dalam penulisan mahupun pertuturan.

Abdullah Hassan, dalam makalahnya Bahasa Melayu Tinggi Wahana Budaya Intelektual dan Tinggi menegaskan bahawa dua aspek yang perlu diberikan perhatian dalam penggunaan bahasa Melayu tinggi, iaitu mematuhi aspek peraturan bahasa dan peraturan tatabudaya. Aspek peraturan bahasa yang perlu dipatuhi dalam bahasa Melayu tinggi meliputi sebutan, ejaan, perkataan, ayat dan makna secara rapi. Aspek peraturan tatabudaya yang perlu dipatuhi pula adalah seperti penggunaan ganti nama, sistem gelaran dan panggilan sesuai dengan taraf orang yang berkomunikasi, dan pemilihan perkataan yang sesuai dengan konteks.

Apabila penggunaan bahasa Melayu tinggi diamalkan dengan meluas dalam kalangan rakyat Malaysia, maka amalan tersebut akan meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Amalan penggunaan bahasa Melayu rendah, seperti bahasa singkatan mesej singkat (SMS) dan bahasa rojak perlulah dihindarkan agar martabat bahasa Melayu terus terpelihara.

Dalam hal ini, semua pihak yang benar-benar mencintai bahasa Melayu perlulah bersikap positif  untuk menggunakan bahasa Melayu tinggi dalam semua urusan, baik rasmi mahupun tidak rasmi. Tahap kecintaan yang tinggi terhadap bahasa Melayu ini perlu diasuh sejak kanak-kanak lagi. Peranan ibu bapa dan pendidik dituntut sebagai suri teladan mulia untuk menjamin maruah bahasa Melayu tetap terpelihara sepanjang masa.

Zaidi Ismail

Bahasa Melayu Tinggi Wahana Budaya Intelektual

Agenda Bahasa

Oleh ABDULLAH HASSAN

Kebanyakan kita sudah menguasai bahasa Melayu dan dapat menggunakannya bagi berkomunikasi dalam hubungan keluarga, dengan sahabat, dengan petugas di pejabat, dan dalam konteks jual beli dan lain-lain bagi memenuhi keperluan harian kita.

Walaupun begitu, banyak orang berasa agak “sukar” mencuba berkata-kata apabila perlu berkomunikasi dengan pegawai pentadbiran di pejabat kerajaan atau syarikat, atau apabila diminta berucap dalam majlis rasmi atau semasa berada dalam konteks lain seperti itu.

Kita perlu menguasai bahasa Melayu tinggi untuk keperluan komunikasi dalam konteks rasmi dan hormat yang dikatakan di atas, sama ada di tempat kerja atau dalam majlis rasmi, dan konteks lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

Bahasa Melayu Tinggi, Bahasa Terbina

Agenda Bahasa

Oleh JENIRI AMIR

Apabila seorang nelayan di kawasan pesisiran dan petani di kawasan pedalaman berbual tentang kegiatan seharian, mereka cenderung menggunakan kosa kata, ungkapan dan ayat yang berlegar di sekitar pengalaman dan kegiatan harian mereka. Mereka tidak memerlukan ayat yang kompleks, berbanding dengan golongan professional termasuklah pensyarah di universiti. Bahasa yang digunakan oleh nelayan atau petani menjurus kepada bahasa terhad, manakala bahasa pensyarah dan pengarang cenderung menggunakan bahasa terbina. Bahasa terhad digunakan dalam suasana tidak rasmi dan untuk tujuan bersosial, manakala bahasa terbina digunakan untuk mengungkapkan pemikiran dan konsep kompleks.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

Menelusuri Sejarah Bahasa Melayu Tinggi

Agenda Bahasa

Oleh ROSLAN DAUD

Sesungguhnya, perjalanan bahasa Melayu tinggi sudah terlalu lama, iaitu selari dengan perkembangan bahasa Melayu itu sendiri. Penemuan tulisan membuktikan bahawa wujudnya sistem bahasa dalam masyarakat Nusantara.

Disebabkan oleh salah satu catatan dalam tulisan Cina yang  berbunyi “Mo-lo-yeu” ditemui pada tahun 644 dengan 645 Masihi (M), maka bahasa itu dinamai bahasa Melayu. Walaupun kerajaan Molo-yeu ini tidak dapat dibuktikan sama ada di Semenanjung Tanah Melayu, Jambi atau lain-lain, namun bahasa ini wujud dalam persekitaran Nusantara.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

Bahasa Melayu Tinggi dalam Ranah Pembinaan Negara Bangsa

Agenda Bahasa

Oleh NIK NOR AHMARIZAM NIK AHMAD

Mutakhir ini, penggunaan bahasa Melayu tinggi dalam kalangan masyarakat 1Malaysia, belum boleh dikatakan mencapai tahap yang membanggakan. Hal ini dikatakan demikian kerana masih ada pengguna bahasa Melayu, terutamanya golongan belia dan remaja yang belum memahami peranan bahasa Melayu tinggi dalam ranah pembinaan Negara bangsa, iaitu selaras dengan tema sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 (BBK), “1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara”.

BBK yang diadakan saban tahun adalah untuk menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dalam alaf baharu ini. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris atau disebut bahasa rojak masih tetap berlaku dalam kalangan masyarakat 1Malaysia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

Tulisan Arab dan Perkembangan Islam

Darihal Bahasa

Oleh ISMAIL SALLEH

Abjad Arab ialah aksara bahasa Arab yang digunakan untuk menulis teks dalam bahasa berkenaan. Penggunaannya yang terawal adalah dalam teks kitab suci al- Quran. Dengan tersebarnya agama Islam, bahasa Arab sebagai bahasa agama dipelajari dan digunakan oleh umat Islam daripada golongan bukan Arab yang diistilahkan oleh orang Arab sebagai kaum “Anjam” atau kaum asing. Sejarah penyebaran abjad Arab bersama dengan perkembangan Islam telah mempengaruhi sistem tulisan bahasa masyarakat bukan Arab di benua Eropah, Afrika dan Asia.

Bahasa Arab daripada keluarga bahasa Semitik, termasuk juga bahasa Hebrew. Hakikat ini memang kita sedia maklum melalui sejarah para nabi daripada kalangan orang Yahudi dan Arab. Nabi Ibrahim ialah bapa kepada dua bangsa, iaitu Arab dan Yahudi. Nabi Ismail berbangsa Arab dan Nabi Ishak berbangsa Yahudi. Abjad Arab tersebar seiringan dengan perkembangan agama Islam. Umat Islam yang telah mempunyai aksara bahasanya sendiri memilih untuk menggantikannya dengan abjad Arab. Hal ini terjadi di Eropah Barat seperti di Semenanjung Balkan dan Iberia, di Afrika Barat dan Timur.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

Manusia dan Bunyi Bahasa

Darihal Bahasa

Oleh SOLIHIN ABU HASSAN

Bahasa ditafsirkan sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia, iaitu antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya. Fonetik pula merupakan satu cabang ilmu linguistik yang meneliti selok-belok bunyi bahasa yang dihasilkan oleh alat pertuturan manusia. Misalnya, bunyi bahasa yang dihasilkan semasa berkomunikasi yang dihasilkan oleh organ pertuturan manusia. Bunyi yang dikeluarkan dari organ pertuturan manusia seperti bunyi batuk, bersiul, sendawa, berdaham dan berdengkur bukanlah dalam ruang lingkup ilmu fonetik. Bunyi tersebut tidak digunakan dalam pertuturan.

Bunyi bahasa yang menjadi tumpuan ilmu fonetik hanyalah bunyi bahasa yang dihasilkan oleh organ sebutan manusia dalam pertuturan, iaitu dari segi kaedah pengeluarannya, daerah pengeluarannya, dan alat pertuturan yang terlibat dalam menghasilkan bunyi bahasa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.