BAHASA MELAYU DI CHINA

Jasa dan sumbangan pejuang bahasa luar negara yang turut mengembangkan dan memartabatkan bahasa Melayu di luar negara turut dihargai. Penghargaan tersebut telah “diterjemahkan” melalui Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa.

Profesor Wu Zong Yu telah membuktikan kepada dunia bahawa ketokohan dalam keilmuan Pengajian Melayu bukan milik mutlak tokoh berbangsa Melayu atau dari alam Melayu. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan bahasa Melayu varian Tanah Melayu di China, iaitu dengan menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) seawal tahun 1962.

Selepas 50 tahun mengharungi cabaran, bahasa Melayu telah berkembang mekar bukan sahaja di Beijing, malah hampir seluruh China atas usaha gigihWu Zong Yu. Jasa beliau dalam mengembangkan bahasa Melayu meliputi keterlibatannya dalam program pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di pusat pengajian atau badan akademik, institut penyelidikan bahasa dan budaya antarabangsa, serta mewujudkan kerjasama kebahasaan dan persuratan Melayu di China.

Kejayaan besarnya dalam mengembangkan pengajian Melayu di China begitu memuncak apabila tertubuhnya Kursi Pengajian Melayu di China pada tahun 2008, seterusnya meningkatkan program ilmiah, termasuklah penubuhan program pascasiswazah dalam bidang pengajian Melayu. Malah, pembukaan program bahasa dan pengajian Melayu di beberapa buah universiti lain turut diusahakannya. Sehingga kini, terdapat tujuh buah universiti di China yang menawarkan program bahasa dan pengajian Melayu.

Atas jasa dan sumbangan itulah, Wu Zong Yu ditabalkan sebagai Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa. Usaha yang dilakukannya itu seharusnyalah menjadi pendorong kepada warga tempatan untuk ikut serta memantapkan dan menyebarluaskan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Zaidi Ismail

ANUGERAH TOKOH PEJUANG BAHASA MELAYU ANTARABANGSA

Oleh AWANG SARIYAN

Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin di Melaka pada 13 Oktober 2011 lalu bukan sahaja menyaksikan ketekalan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat negara, bahkan turut membuka lembaran penting perkembangan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Pengurniaan Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa kepada Profesor Wu Zong Yu dalam majlis itu menandai pengiktirafan kerajaan Malaysia kepada usaha mengantarabangsakan bahasa dan persuratan Melayu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

WU ZONG YU, LAKSAMANA CHENG HO KEDUA

Oleh AZMAN ISMAIL

Penelitian oleh ahli linguistik Amerika Syarikat, Noam Chomsky, tentang gen dan bahasa mendapati bahawa individu atau masyarakat yang memiliki kemampuan memahami sesebuah bahasa secara lengkap akan lebih berupaya mengenali ciri kelompok yang memiliki bahasa tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana berdasarkan aspek kajian semantik dan etimologi kata, bahasa merupakan cerminan watak, sifat, perangai dan budi pekerti penggunanya.

Salah satu bahasa yang digunakan oleh sebahagian masyarakat di dunia ialah bahasa Melayu. Dalam perkembangannya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling berpengaruh di Asia Tenggara dan bahasa kebangsaan empat negara di rantau ini, iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, dan Singapura. Bahasa Melayu juga merupakan salah satu daripada lima bahasa dunia yang mempunyai jumlah penutur terbesar, selepas bahasa Inggeris, Mandarin, Sepanyol dan Arab.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

BBK BUKAN SEKADAR SAMBUTAN

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang diraikan saban tahun bukan sekadar satu acara tahunan. Sambutan BBK merupakan sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memarbatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara kita. Usaha ini dikatakan satu perjuangan kerana bahasa  Melayu tidak akan berada pada darjat yang semulia ini tanpa perjuangan para pejuang bangsa yang terdahulu.

Ketika negara kita masih berada di bawah penjajahan Inggeris, bahasa Inggeris berada pada kedudukan yang amat tinggi. Bahasa tersebut telah digunakan dalam segala urusan rasmi dan dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah Inggeris. Mereka yang mengikuti pendidikan Inggeris biasanya mendapat peluang pekerjaan dan peluang ekonomi yang lebih baik berbanding dengan mereka yang bersekolah aliran Melayu dan aliran bahasa ibunda yang lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

BAHASA, SASTERA DAN BUDAYA, PENGISIAN JIWA MASYARAKAT

Oleh INDIRAWATI ZAHID

Apabila berbicara tentang bahasa, secara langsung kita tidak boleh mengabaikan sastera dan budaya yang melengkapkan jiwa sesuatu kelompok masyarakat. Keterikatan ini membentuk jiwa yang hidup, seperti manusia yang bernyawa, kerana yang menentukan kelangsungan ketiga-tiga perkara ini ialah manusia itu sendiri, yang menjadi anggota masyarakatnya. Ketiga-tiga perkara yang dinyatakan ini saling melengkapi sehingga menyebabkan agak sukar menyatakan yang mana satu lebih penting daripada dua yang lain itu (antara sastera dengan budaya).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

INTERPRETASI DAN KEKANGAN ILMU PENTERJEMAHAN

Oleh VIJAYA LETCHUMY SUBRAMANIAM

Penterjemahan ialah pentafsiran makna sesuatu bahasa kepada bahasa yang lain, sama ada melalui wahana lisan, penulisan atau perlambangan. Penterjemahan juga disifatkan sebagai kunci kepada persefahaman antarabangsa, terutamanya dalam jagat komunikasi dan perdagangan global. Tamadun Eropah Barat dikatakan wujud melalui penterjemahan, khususnya melalui bahan ilmiah dari negara Islam bagi memenuhi keperluan baharu cendekiawan Eropah.

Penterjemahan merupakan pekerjaan yang memerlukan kesungguhan. Tanpa kesungguhan, hasil terjemahannya akan mengecewakan. Sekiranya diterbitkan, mungkin pembacanya akan terkeliru dengan maksud sebenar teks sumber. Oleh itu, penterjemahan seharusnya dilakukan dengan berpandukan prinsip tertentu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

KAMUS DI MALAYSIA LEBIH BANYAK,LEBIH BAIK DAN LEBIH MENARIK

Oleh VICTOR A. POGADAEV

Di Malaysia, bidang leksikografi telah mencapai kejayaan yang besar bukan sahaja dari segi banyaknya kamus yang diterbitkan, tetapi juga dari segi cara penyusunannya atas dasar ilmiah yang pada keseluruhannya sesuai dengan aliran utama leksikografi antarabangsa.

Keperluan terhadap kamus baharu dan yang lebih sempurna amat digalakkan dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai alat pemersatu penduduk Malaysia yang berbilang bangsa, dan bagi menggalakkan penggunaannya dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.