Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2011 November.

Pengkomputeran Bahasa, Wahana Pengantarabangsaan Bahasa

Nota Editor

Dahulu, hal yang berkaitan dengan bahasa dilakukan secara manual sahaja. Kini, segalanya berubah. Teks ditulis dalam pelbagai bentuk, termasuklah dalam bentuk digital yang berasaskan teknologi maklumat.

Di ruang siber dan di pasaran kini, terdapat pelbagai produk teknologi maklumat yang berkaitan dengan bahasa Melayu, termasuklah Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka (KDBP), kamus internet, Mykamus Dewan Pro v5.9, kamus elektronik Dewan Eja Pro, dan kamus elektronik Besta. Produk ini dihasilkan untuk memudahkan pengguna bahasa Melayu, terutamanya dalam menyelesaikan masalah bahasa dan membuat penyelidikan bahasa.

KDBP merupakan program yang digerakkan seawal tahun 1983, yang pada peringkat awalnya dikenali sebagai Pangkalan Data KDBP. Korpus ini merupakan korpus digital bahasa Melayu yang dibina oleh DBP untuk memudahkan pengguna bahasa melakukan penyelidikan bahasa Melayu. Korpus DBP juga dapat digunakan sebagai pusat pengumpulan data untuk penyediaan kamus. Sehingga bulan September 2011, di dalamnya telah terkumpul 105 juta kata daripada pelbagai genre yang telah diformatkan, dirakam dan disimpan secara berstruktur.

DBP turut menyediakan kamus internet yang dapat dicapai melalui http:// prpm.dbp.gov.my. Kamus yang dikenali sebagai Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) ini bukan sekadar kamus ekabahasa, tetapi juga meliputi kamus Melayu dan Inggeris, istilah (Malaysia, Indonesia dan Brunei), ensiklopedia, puisi, bahasa sukuan (Sabah dan Sarawak), peribahasa, arkib khidmat nasihat DBP, dan tesaurus bahasa Melayu. Kemudahan ini amat bermanfaat kepada pengguna yang berhadapan dengan masalah bahasa, terutamanya untuk mencari makna dan padanan sesuatu kata.

Selain produk tersebut, dalam ruang siber kini, terdapat pelbagai produk bahasa Melayu yang disebarkan secara percuma, termasuklah akhbar dan majalah dalam talian, seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, dan Dewan Sastera dan Tunas Cipta. Mykamus Dewan Pro v5.9, kamus elektronik Dewan Eja Pro, dan kamus elektronik Besta pula merupakan antara perisian dan produk yang dijual di pasaran.

Dengan adanya produk hasil daripada pengkomputeran bahasa, bahasa Melayu dapat dipelajari dan disebarkan dengan lebih mudah dan meluas dalam dunia siber yang tiada sempadannya. Yang penting, bahasa yang disebarluaskan itu merupakan bahasa Melayu tinggi atau bahasa yang berkualiti.

Bahasa Melayu dan Kamus Internet

Agenda Bahasa

Oleh NOORDIN ZAKARIA

Perkataan “kamus” berasal daripada bahasa Arab, iaitu qamus. Kamus asalnya merupakan sejenis buku rujukan yang menerangkan makna sesuatu kata dan berfungsi untuk membantu pengguna mengenal perkataan baharu. Selain menerangkan maksud perkataan, sesetengah kamus turut mengandungi panduan sebutan, etimologi dan contoh penggunaannya. Bagi menguatkan pemahaman pengguna atau pelajar bahasa, sesetengah kamus juga dilengkapi ilustrasi.

Tradisi perkamusan berkaitan secara langsung dengan perkembangan pelbagai aktiviti global, termasuklah perdagangan, penyebaran agama dan penjajahan. Kewujudan sesebuah kamus bergantung pada sesuatu keperluan. Contohnya, Kamus Wilkinson telah dicetak semula di Tokyo, Jepun, dan dijadikan bahan rujukan oleh mata-mata Jepun untuk membolehkan mereka bertutur dengan orang Melayu bagi mendapatkan maklumat tentang geografi Tanah Melayu dan budaya masyarakat Melayu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

TextSTAT Menganalisis Teks Berbantukan Komputer

Agenda Bahasa

Oleh RADIAH YUSOFF

Dari sudut kepenggunaan, perisian TextSTAT ini sangat sesuai digunakan terutamanya untuk pengajaran dan pembelajaran kursus seperti morfologi, sintaksis, analisis wacana, analisis teks, analisis kontrastif, dan linguistik korpus.

Terdapat pelbagai perisian konkordans yang digunakan untuk menganalisis data dalam bentuk teks, seperti WordSmith dan Language Explorer 2.0. Ada yang perlu dibeli, dan ada juga yang percuma.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

Hanya dalam Terjemahan

Darihal Bahasa

Oleh ZULKIFLI SALLEH

Dalam akhbar The Washington Post pada pertengahan September lalu, Martin Ford menulis perihal superkomputer IBM yang dapat meningkatkan penjagaan kesihatan. Dengan merujuk komputer itu sebagai “Dr. Watson”, Ford telah mengemukakan beberapa soalan, seperti “Berapa lamakah lagi anda mungkin berjumpa dengan Dr. Watson?” dan “Mampukah Dr. Watson menjadi lebih baik daripada doktor anda?”

Soalan itu bertujuan menunjukkan kehebatan dan kecanggihan komputer yang mampu mengatasi kebijakan manusia. Perkara ini dijelaskan oleh Ford bahawa Watson boleh menggodak berjuta-juta sejarah kes untuk mempelajari diagnosis yang berkemungkinan betul dan jenis rawatan yang paling berkesan. Secara serta-merta sistem tersebut memproses buku teks perubatan, rekod perubatan elektronik dan penyelidikan terkini yang diterbitkan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

Akronim dan Kependekan dalam Bahasa Melayu

Darihal Bahasa

Oleh SOH BEE KWEE

Dalam bahasa Melayu, akronim dan kependekan digunakan secara meluas, bukan sahaja dalam media cetak, seperti akhbar dan majalah, tetapi juga dalam media elektronik, seperti internet.

Persamaan yang ketara antara akronim dengan kependekan ialah kedua-duanya terbentuk daripada gabungan huruf pertama. Misalnya, ADUN dan JAIS yang merupakan akronim untuk Ahli Dewan Undangan Negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor. DEB dan BSN pula merupakan kependekan untuk Dasar Ekonomi Baru dan Bank Simpanan Nasional.

Walau bagaimanapun, sebutan bagi akronim dan kependekan adalah berbeza. Akronim disebut seperti kata biasa. Singkatan pula disebut huruf demi huruf, misalnya [D.E.B] dan [B.S.N]. Selain itu, ada juga akronim yang dibentuk oleh gabungan suku kata daripada dua perkataan atau lebih. Sebagaimana akronim, kependekan juga digunakan dengan meluas dalam media cetak dan elektronik. Ada juga antara kependekan yang biasa digunakan sememangnya berasal daripada kependekan bahasa Inggeris.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

Tempat dan Namanya

Darihal Bahasa

Oleh ATMAN

Semua tempat ada namanya. Sesuatu nama itu biasanya dipilih terlebih dahulu sebelum diberikan kepada sesuatu petempatan atau lokasi, seperti bandar, kampung, ladang, pekan, ataupun taman. Tindakan ini diambil untuk memudahkan orang ramai membuat rujukan atau panggilan bagi sesuatu tempat tersebut. Persoalannya, bagaimanakah sesuatu tempat itu mendapat namanya?

Pada  kebiasaannya, masyarakat tempatan yang akan memberikan nama untuk sesuatu tempat. Nama tersebut pula tidaklah muncul begitu sahaja atau secara sewenang-wenangnya. Biasanya, ada kisah atau cerita di sebalik setiap nama yang diberikan. Menurut David Crystal (1993), dalam The Cambridge Encyclopedia of English Language, nama yang diberikan untuk persekitaran membekalkan sumber maklumat yang cukup unik tentang sejarah, struktur, adat, kepercayaan dan nilai masyarakat tertentu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

Bahasa Melayu Teras Tamadun Bangsa

Darihal Bahasa

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa merupakan asas dan prasyarat utama perkembangan tamadun manusia. Perkembangannya bermula semenjak wujudnya manusia atau jika mengambil perspektif Charles Darwin, bahasa lahir serentak dengan kemunculan spesies homo sapiens.

Hipotesis tentang teori bahasa yang didukung oleh Darwin menyatakan bahawa bahasa hakikatnya muncul secara evolusi yang bermula daripada gerakan mulut apabila alat suara, seperti lidah, pita suara, dan hidung, berusaha meniru gerakan tangan untuk menimbulkan suara. Suara tersebut kemudiannya dihubungkan dalam suatu sistem yang mempunyai makna.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.