Memanfaatkan Bahasa, Ada Imbalannya

Bahasa dapat dijelmakan sebagai industri yang mampu menjanakan pendapatan yang lumayan jika kena dengan caranya. Namun hal ini, hanya dapat dilakukan oleh pihak yang berkemahiran tinggi dalam bahasa Melayu. Antara usaha yang dapat mendatangkan hasil, termasuklah bidang penulisan.

Dalam bidang penulisan, terutamanya penulisan buku, ada penulis yang memperoleh pendapatan ratusan ribu ringgit. Pendapatan ini tidak terhad hanya setahun. Sekiranya sesebuah buku itu masih terus dicetak ulang, seseorang penulis akan memperoleh pendapatan lagi pada tahun berikutnya menerusi royalti yang biasanya dibayar pada setiap akhir tahun. Royalti ini pula, bergantung pada jumlah buku yang dihasilkan oleh seseorang penulis.

Jika banyak buku yang dihasilkan oleh seseorang penulis itu laris di pasaran, maka banyaklah royalti yang diperolehnya. Misalnya, Ain Maisarah memperoleh pendapatan royalti melebihi RM100 ribu setahun (2010); Dr. Danial Zainal Abidin, RM80 ribu setahun (2008); Dr. Tengku Asmadi, RM20 ribu setahun (2008); manakala Ramlee Awang Murshid, lebih daripada RM500 ribu dalam tempoh lapan tahun. Hal ini pula tentulah turut berkait dengan pendapatan pihak penerbit.

Dalam bidang penulisan iklan pula, Haji Yusof Osman, penulis iklan bebas pernah menyatakan dalam Bual Bahasa November 2010 bahawa untuk mendapat gaji pengarah urusan, tidak semestinya perlu menjadi pengarah urusan. Beliau berkata sedemikian kerana kerja penulisan iklan juga dapat menghasilkan pulangan yang lumayan. Cuma, masih banyak yang belum mengetahui rahsia penghasilan di sebalik kerja tersebut.

Selain bidang penulisan buku dan iklan, bidang penulisan lain yang juga dapat menghasilkan pendapatan yang lumayan, termasuklah penulisan lirik lagu dan skrip filem atau drama. Begitu juga penyuntingan, penterjemahan dan penganjuran kursus yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Industri yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu sememangnya berpotensi untuk menghasilkan wang sekiranya kena dengan caranya.

-Zaidi Ismail