Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2011 October.

Memanfaatkan Bahasa, Ada Imbalannya

Bicara Bahasa

Bahasa dapat dijelmakan sebagai industri yang mampu menjanakan pendapatan yang lumayan jika kena dengan caranya. Namun hal ini, hanya dapat dilakukan oleh pihak yang berkemahiran tinggi dalam bahasa Melayu. Antara usaha yang dapat mendatangkan hasil, termasuklah bidang penulisan.

Dalam bidang penulisan, terutamanya penulisan buku, ada penulis yang memperoleh pendapatan ratusan ribu ringgit. Pendapatan ini tidak terhad hanya setahun. Sekiranya sesebuah buku itu masih terus dicetak ulang, seseorang penulis akan memperoleh pendapatan lagi pada tahun berikutnya menerusi royalti yang biasanya dibayar pada setiap akhir tahun. Royalti ini pula, bergantung pada jumlah buku yang dihasilkan oleh seseorang penulis.

Jika banyak buku yang dihasilkan oleh seseorang penulis itu laris di pasaran, maka banyaklah royalti yang diperolehnya. Misalnya, Ain Maisarah memperoleh pendapatan royalti melebihi RM100 ribu setahun (2010); Dr. Danial Zainal Abidin, RM80 ribu setahun (2008); Dr. Tengku Asmadi, RM20 ribu setahun (2008); manakala Ramlee Awang Murshid, lebih daripada RM500 ribu dalam tempoh lapan tahun. Hal ini pula tentulah turut berkait dengan pendapatan pihak penerbit.

Dalam bidang penulisan iklan pula, Haji Yusof Osman, penulis iklan bebas pernah menyatakan dalam Bual Bahasa November 2010 bahawa untuk mendapat gaji pengarah urusan, tidak semestinya perlu menjadi pengarah urusan. Beliau berkata sedemikian kerana kerja penulisan iklan juga dapat menghasilkan pulangan yang lumayan. Cuma, masih banyak yang belum mengetahui rahsia penghasilan di sebalik kerja tersebut.

Selain bidang penulisan buku dan iklan, bidang penulisan lain yang juga dapat menghasilkan pendapatan yang lumayan, termasuklah penulisan lirik lagu dan skrip filem atau drama. Begitu juga penyuntingan, penterjemahan dan penganjuran kursus yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Industri yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu sememangnya berpotensi untuk menghasilkan wang sekiranya kena dengan caranya.

-Zaidi Ismail

Buat Duit dengan Bahasa

Agenda Bahasa

Oleh Nimoiz T.Y

Buat duit” dengan bahasa bukanlah bermaksud kegiatan manipulasi bahasa untuk tujuan perdagangan. Atau lebih teruk lagi jika kita menggunakan istilah menjual bahasa untuk kepentingan material. Sebaliknya, tujuan utamanya adalah untuk memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu ke tempat yang sewajarnya sekali gus memperoleh hasil yang lumayan.

Industri bahasa tidaklah terhad kepada bidang penulisan semata-mata. Sektor bahasa menjangkau sangat jauh, daripada yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besar bidang yang merangkumi penerbitan akhbar dan majalah, penghasilan buku teks, pengiklanan, perfileman, penulisan teks ucapan, penciptaan moto, penciptaan slogan dan penjenamaan produk. Oleh itu, anggapan bahawa bahasa Melayu hanya sesuai untuk penulis, editor dan guru bahasa sahaja memang tidak tepat sama sekali. Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) juga memerlukan kemahiran berbahasa yang cemerlang semasa mengendalikan mesyuarat atau memberikan ucapan.

Industri Bahasa merupakan salah satu penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Namun, banyak orang yang tidak sedar akan sumbangan bahasa Melayu. Mereka membuat tanggapan bahawa bahasa bukanlah industri mapan utama, seperti sektor pembuatan, perkilangan, pembinaan, pertanian dan pelancongan. Bezanya, industri bahasa tidak dapat dilihat secara nyata, seperti pembinaan bangunan pencakar langit. Oleh sebab itulah, industri bahasa Melayu sering dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Tanpa disedari, peluang membuat duit dengan bahasa ini direbut oleh sesetengah orang sahaja. Industri pengiklanan misalnya, hanya direbut oleh orang Cina yang tahu mengambil peluang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Industri Bahasa: Jangan Sampai Mengikis Jati Diri

Agenda Bahasa

Oleh Azman Ismail

Istilah industri berasal daripada bahasa Latin, iaitu industria yang bererti buruh atau tenaga kerja. Dewasa ini, istilah industri sering digunakan secara umum dan luas, merangkumi semua kegiatan manusia secara komersial untuk memenuhi keperluan hidupnya bagi mencapai tahap kesejahteraan yang lebih baik.

Kegiatan industri sebenarnya sudah lama wujud di muka bumi ini dalam peringkat yang sangat sederhana, yang dikaitkan dengan bidang penternakan atau pertanian. Seiring dengan pesatnya perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi yang dimiliki manusia, kegiatan industri tumbuh dan berkembang semakin kompleks.

Pada era global, sektor industri menjadi lebih rencam dengan perkembangannya merangkumi pelbagai sektor, termasuklah sektor perkhidmatan, kebahasaan, penerbitan, percetakan dan perbukuan yang dapat dihubungkan dengan industri kreatif. Perkembangan baharu ini dianggap sebagai fenomena yang terangkum dalam ekonomi global yang merentasi sempadan geopolitik dan geografi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Meraih Pendapatan Melalui Bahasa

Agenda Bahasa, Pilihan Utama

Oleh Zamri Mohamad

Sosiologi industri merupakan satu subjek yang membawa bersama pemerhatian terhadap pengaruh interaksi bahasa sebagai satu sistem teras bagi mencetuskan evolusi dalam ekonomi itu sendiri. Dari sudut pandangan ahli sosiologi, perkara yang diangkat dan menjadi keresahan dalam industri merupakan perihal kawalan kos yang efektif dari segi transaksi nilai. Maksudnya, tahap kemampuan jumlah wang yang dilaburkan kepada sumber mentah dapat membawa keuntungan semula dan mengekalkannya bagi satu tempoh masa tertentu.

Kitaran interaksi antara kerajaan, pengamal industri, kumpulan berkepentingan dan individu bergantung pada keupayaan daya sistem yang diperkenalkan. Bahasa menjadi medium pengikat bagi merancakkan interaksi alam industri. Selain itu, bahasa juga menjadi salah satu aspek dalam penentuan kos melepas oleh pembuat keputusan.

Pengambilan pekerja asing dari negara serantau misalnya, tidak sekadar memenuhi keperluan majikan bagi mendapatkan tenaga kerja yang murah berbanding dengan pekerja tempatan, tetapi juga atas pertimbangan kos melatih. Kos ini diambil kira sebagai salah satu penentu pemilihan. Melatih bermaksud mengalihkan kemahiran bertujuan menggandakan proses yang sama.

Kos melepas kepada seorang majikan pula kepada pilihan yang dibuat, sama ada mahu mengambil pekerja tempatan ataupun dari negara jiran. Apabila melihat kos melatih dan tangga gaji yang lebih rendah serta persamaan bahasa yang memudahkan sistem kerja, maka pekerja asing menjadi pilihan dan warga tempatan dilepaskan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Potensi Masa Hadapan

Agenda Bahasa

Oleh Indirawati Zahid

Mempelajari bahasa tidak akan pernah merugikan pelajarnya. Bahasa sebagai alat komunikasi tidak akan pernah menggagalkan mana-mana individu dalam proses komunikasi yang berlangsung. Syaratnya, seseorang individu itu benar-benar menguasai bahasa yang dipelajari dari segala aspek seperti budaya dan masyarakat, selain aspek utama dalam bahasa, iaitu nahu.

Sama ada bahasa yang dipelajari itu merupakan bahasa pertama (natif) ataupun bahasa asing, bahasa kedua mahupun ketiga dan seterusnya, menguasai bahasa pada tahap yang cemerlang akan menjadikan seseorang individu itu berada dalam konteks bebas konflik apabila berinteraksi. Hubungan bahasa yang akrab dengan budaya dan masyarakat akan memudahkan sesuatu komunikasi berlangsung kerana tidak semua yang ada hubungan dengan budaya dan masyarakat dapat dimuatkan dalam buku tatabahasa sesuatu bahasa.

Melihat senario yang berlaku hari ini, mempelajari dan menguasai bahasa ternyata menyediakan banyak peluang pekerjaan dan pulangan pendapatan yang lumayan. Antara bidang yang boleh diceburi termasuklah bidang pendidikan, hiburan, pengurusan, perubatan, dan pelancongan.

Mempelajari dan menguasai bahasa akan menyediakan banyak peluang dalam dunia pendidikan, seperti menjadi guru bahasa, tutor bahasa, pensyarah bahasa, penyelidik bahasa dan juga jurubahasa.

Menjadi guru, tutor, atau pensyarah, semuanya akan membantu melahirkan generasi baharu yang peka dengan keperluan menguasai bahasa yang baik. Bidang pekerjaan seperti ini tidak akan berkurang permintaannya sekali gus akan membuka peluang pekerjaan yang tinggi juga. Sementara itu, pekerjaan sebagai penyelidik bahasa akan menyediakan ruang penerbitan buku terkini tentang penyelidikan dan ini juga akan menyumbang kepada penambahbaikan yang boleh dilakukan dari semasa ke semasa tentang sistem pendidikan yang akan dilaksanakan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Tsunami Bahasa di Malaysia

Darihal Bahasa, Pilihan Utama

Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani.

Pada 31 Ogos 2011 lalu, genaplah 54 tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada penjajah British. Daripada sebuah negara yang tergolong dalam kumpulan negara dunia ketiga, negara pertanian dengan hasil seperti getah, kelapa bali dan nanas, kini Malaysia telah melangkah laju sebagai negara industri dengan pelbagai hasil eksport berorientasikan teknologi dan pembuatan.

Bertuah dan beruntungnya kita menjadi warganegara Malaysia. Namun, satu perkara yang sepatutnya merunsingkan kita semua ialah isu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan tegasnya bahasa Melayu. Tentang perkara paling asas, iaitu nama bahasa Melayu sahaja, kita sering berbolak-balik. Sekejap bahasa Melayu, sekejap bahasa Malaysia, sekejap bahasa Melayu. Gunakanlah sahaja istilah yang benar, betul dan sah, iaitu “bahasa Melayu” (mengikut Perlembagaan Persekutuan).

Adakah kita berasa benci atau tidak selesa untuk belajar jika namanya bahasa Melayu, dan hanya akan suka dan selesa untuk belajar jika namanya bahasa Malaysia? Mungkin ada yang berkata ini perkara kecil. Jika kecil, mengapakah pula kita “bersusah-susah” untuk memberikan nama lain dan tidak betul pula? Sebenarnya, ada sesuatu pada nama. Nama ialah maruah. Oleh itu semua rakyat Malaysia patut berbangga dengan bahasa Melayu.

Tiada seorang pun rakyat Malaysia yang berhak membenci mana-mana bahasa atau nama bahasa, sama ada bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, ataupun bahasa Inggeris. Lihatlah, di mana-mana pun istilah bahasa Inggeris digunakan. Tidak pernah bahasa Inggeris menjadi bahasa Amerika, bahasa Australia, ataupun bahasa New Zealand. Penguasaan banyak bahasa memang sesuatu yang amat bermanfaat. Di Malaysia, bahasa Melayu mesti dijunjung dan bahasa Inggeris dikendong, dan janganlah dilakukan sebaliknya pula.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kesalahan Imbuhan dalam Terjemahan Bahasa Cina

Darihal Bahasa

Oleh Goh Sang Seong

Imbuhan mendukung fungsi nahu yang membawa makna. Dengan kata lain, sekiranya imbuhan yang digunakan dalam teks terjemahan salah, maka makna asal teks sumber yang ingin disampaikan juga akan turut terjejas.

Terdapat empat bentuk kesalahan imbuhan yang dikenal pasti dalam teks terjemahan bahasa Cina, iaitu perkataan berimbuhan yang sedia tidak wujud dalam kosa kata bahasa Melayu, perkataan berimbuhan yang disalahejakan, imbuhan yang salah daripada aspek fungsi sehingga menjejaskan maknanya, dan imbuhan yang salah kerana posisinya dalam kolokasi.

Kesalahan perkataan berimbuhan yang sedia tidak wujud.

Terdapat penggunaan perkataan berimbuhan yang tidak wujud dalam kosa kata bahasa Melayu. Contohnya:

1. “Pakcik Lim katakan mereka orang Melayu!” tiba-tiba Xiao Ling pula bersampuk.

2. Beransur-ansurlah Song Jiang dan bala tenteranya menyeberang ke tebing utara Sungai Huanghe. Lalu Li Jun sekalian diarahkan mengetua kapal-kapal perang untuk berkumpul di Sungai Wei, Weizhou, di hadapan.

3. Proses penerbitan bermula dari awal proses percetakan, penjalanan mesin cetak hingga penerbitan dihasilkan.

Dalam ayat (1) hingga (3), kesemua kata dasar yang digunakan sebagai padanan dalam teks sasaran tepat maknanya. Namun, mutu terjemahan dari aspek kekemasan tatabahasa kurang diyakini. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam ayat (1), perkataan “bersampuk” tidak tepat. Imbuhan yang menandakan kata kerja “sampuk” sebagai kata kerja tak transitif adalah “meN-“ dan bukan “beR-“. Dalam ayat (2) pula, penerbitan kata nama “ketua” menjadi kata kerja transitif yang diikuti objek “kapal-kapal perang” sepatutnya diberikan apitan dan menjadi “mengetuai”, bukannya “mengetua” yang tidak wujud dalam kosa kata bahasa Melayu. Perkataan “penjalanan” dalam ayat (3) pula tidak tepat kerana yang hendak dimaksudkan ialah mesin itu berjalan. Jadi, padanan yang lebih sesuai ialah “perjalanan”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.