Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib 2011 September.

Dari Hujung Jari ke Gegendang Telinga, dan ke Akal Fikir

Agenda Bahasa

Oleh Zahari Hashim

Apabila seseorang itu hilang salah satu panca inderanya, panca inderanya yang lain akan menjadi lebih peka dan aktif. Bagi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan, hujung jari akan menjadi lebih peka. Malah, dalam banyak hal, bahagian tersebut berperanan seperti mata.

Penggunaan singkatan “OKU” untuk maksud “orang kurang upaya” adalah sejajar dengan takrif yang terdapat dalam Akta Orang Kurang Upaya yang telah diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan pada tahun 2008. Ada juga kecenderungan oleh beberapa pihak untuk menggantikan maksud untuk huruf “k” daripada “kurang” kepada “kelainan”. Sebenarnya, apa-apa pun istilah yang digunakan, OKU tetap membawa maksud “kurang” dan “lain” kerana memang hakikatnya apabila kekurangan satu panca indera dapat menyebabkan berbeza daripada insan yang lain.

Apabila berbicara tentang OKU penglihatan, golongan ini sebenarnya terdapat dalam dua kategori. Yang pertama, golongan yang masih mempunyai sedikit penglihatan dan masih dapat melihat cahaya dan objek. Ada antara mereka masih mampu menulis dan membaca tulisan biasa. Selain itu, ada juga yang perlu menggunakan alat bantu, seperti kanta pembesar dan televisyen litar tertutup (CCTV). Golongan ini dipanggil golongan yang berpenglihatan terhad atau rabun.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Pembelajaran Bahasa Melayu Kanak-kanak Autisme

Agenda Bahasa, Pilihan Utama

Oleh Jessica Ong Hai Liaw

Autisme dihuraikan buat pertama kalinya oleh ahli psikologi, Leo Kanner (1943), sebagai sindrom kumpulan tingkah laku yang unik, iaitu satu masalah gangguan afektif, persepsi, linguistik, kognitif dan komunikasi. Kanner menyifatkan kanak-kanak autisme sebagai individu yang suka menyendiri dan terasing, berkomunikasi dengan pertuturan berulang, tertarik dengan objek bukan hidup dan sukar bertolak ansur jika ada perubahan dalam rutin harian. Dengan kata lain, kanak-kanak autisme berada dalam alam yang tersendiri. Autisme berkaitan dengan gangguan dalam komunikasi, interaksi dalam bersosial, gangguan deria, pola bermain yang berbeza dan sikap yang mempengaruhi emosi, seperti hidup dalam khayalan.

Kini, masyarakat Malaysia mula membuka mata dan memberikan perhatian khusus terhadap kanak-kanak autisme, terutamanya dalam bidang pendidikan. Hal ini terbukti dengan wujudnya Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKI) di sekolah dan di NASOM (National Autism Society of Malaysia). Melalui program ini, guru menggunakan kaedah peneguhan positif dan negatif untuk kanak-kanak autisme. Namun begitu, masih belum terdapat Sukatan Pengajaran Khas atau Modul Pembelajaran untuk kanak-kanak autisme. Menurut Razhiyah, kanak-kanak autisme mempunyai tumpuan belajar yang singkat, mudah jemu dan tidak berminat terhadap pembelajaran secara teori. Mereka lebih gemar akan sesuatu yang praktikal. Oleh itu, para pendidik seharusnya memainkan peranan penting bagi mencari kaedah yang terbaik untuk kanak-kanak autisme.

Kanak-kanak autisme boleh diajar untuk bertutur dan bergaul dengan masyarakat, bukannya dipinggirkan. Dalam konteks pembelajaran bahasa Melayu, persoalannya bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk mengajar kanak-kanak autisme? Oleh itu, tingkah laku dan emosi kanak-kanak ini harus dilihat dari sudut positif dan elemen ini harus digabungkan dalam proses pembelajaran bahasa Melayu khusus untuk mereka. Gejala gangguan sosial dan kemahiran asas sosial yang terdapat pada kanak-kanak autisme perlu ditangani dengan bijak. Proses pembelajaran yang bersahaja dan santai amat perlu bagi kanak-kanak autisme supaya mereka mempunyai minat untuk bertutur.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Menangani Masalah Disleksia

Agenda Bahasa, Pilihan Utama

Oleh Vijayaletchumy Subramaniam

Menurut Persatuan Disleksia Antarabangsa, disleksia merujuk aspek kesukaran membaca. Kegagalan membaca terjadi kerana mereka tidak dapat menterjemahkan dengan betul lambang bertulis, sama ada dalam huruf itu sendiri, dalam suku kata ataupun dalam perkataan. Individu disleksia berfikiran multidimensi, iaitu mempunyai intuisi yang kuat dan kreatif dalam menyelesaikan masalah. Mereka sangat cemerlang dalam aktiviti “belajar dan melakukan”, tetapi agak sukar untuk berhadapan dengan angka, nombor, simbol dan perkataan. Menurut Gupta, terdapat dua juta kes disleksia di seluruh Malaysia, iaitu 25 peratus daripada populasinya melibatkan pelajar sekolah. Walau bagaimanapun, melalui sistem pembelajaran yang betul, tidak mustahil pelajar disleksia berpotensi untuk berjaya. Banyak individu disleksia yang berjaya dan telah mencipta nama, antaranya termasuklah Albert Einstein, Henry Ford, Walt Disney dan Leonardo Da Vinci.

Menururt Mercer (1997), Hammond dan Hughes (1996), serta Spaafford dan Grosser (1996), antara punca yang menyebabkan disleksia termasuklah “keturunan” atau “genetik”. Kajian telah membuktikan bahawa disleksia disebabkan oleh kromosom 1, 15 dan 16 yang boleh diwarisi secara turun-temurun. Dalam kebanyakan kes, didapati ada ahli keluarga mengalami masalah yang sama, cuma yang membezakan mereka hanyalah tahap keseriusannya.

Selain itu, disleksia juga disebabkan oleh faktor “biologi”. Biasanya, kanak-kanak disleksia dilahirkan tidak cukup bulan atau pramatang, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Sejarah inilah yang menjadi punca kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan kanak-kanak. Kerosakan pada otak semasa dilahirkan menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami masalah pembelajaran. Namun, kes sebegini berada pada tahap yang minimum.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

DBP Tonggak Maruah Bahasa Melayu

Bahasa dan Masyarakat

Oleh Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad

Usia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saban tahun kian matang. Tarikh keramat 22 Jun 2011 sewajarnya diingati oleh semua pencinta bahasa dan sastera negara terutamanya dalam ranah gagasan murni 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Semua pihak seharusnya menyambut hari ulang tahun kelahiran penubuhan DBP yang ke-55 dengan perasaan bangga selain berazam untuk terus mendukung peranan dan mengangkat martabat DBP di persada kebangsaan dan antarabangsa.

Usia DBP yang telah menjangkau separuh abad menggambarkan bahawa tahap matang dan iltizam DBP untuk mengembangkan dan menyebarluaskan bahasa dan sastera di dalam dan luar negara tidak boleh diperlekeh dan dipandang sepi oleh masyarakat. Perjuangan suci DBP nan ikhlas semestinya mendapat tempat dalam jiwa masyarakat tanpa perasaan waswas. Hal ini dikatakan demikian kerana DBP lahir setahun sebelum negara merdeka dan menjadi institusi penting kerajaan yang memperjuangkan dan memajukan bahasa sebagai sebahagian daripada keperluan negara dan kebangsaan. Dengan kata lain, DBP sendiri lahir daripada gelombang dan gerakan siasah selain cita-cita para pejuang bahasa dan sastera.

Menurut Datuk A. Aziz Deraman (1999), mantan Ketua Pengarah DBP, “Pada alaf baharu ini, DBP terpaksa meneruskan perjuangan yang masih belum selesai untuk memartabatkan bahasa Melayu baik pada peringkat nasional mahupun internasional walaupun dengan apa-apa juga alternatif. Menjelang alaf tersebut, masyarakat Malaysia harus lebih bijak dan sensitif menanggapi keperluan dan situasi semasa bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang dan menduduki tempat yang sewajarnya”. Pandangan muluk Aziz jelas mengingatkan para pencinta dan pejuang bahasa Melayu bahawa maruah bahasa Melayu lewat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diincitkan oleh “kambing keramat” yang sentiasa berlegar-legar untuk mencari ruang dan kesempatan bagi “mengebat erat membuhul mati” bahasa Melayu di bumi bertuah ini. Dalam hal ini, tamsil yang nyata ialah permintaan Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang mahu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijadikan sebagai opsyen di sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Kerajaan kini sedang berusaha untuk memastikan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan dengan jayanya di sekolah rendah dan menengah mulai tahun 2011.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Dialek dan Masa

Bahasa dan Masyarakat

Oleh Solihin Abu Hassan

Bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Bahasa merupakan alat komunikasi yang paling berkesan yang digunakan oleh manusia untuk berinteraksi antara satu sama lain. Bahasa bukanlah satu fenomena semula jadi tetapi sesuatu yang dipelajari untuk memenuhi kehendak dan keperluan individu. Proses menguasai kecekapan berbahasa melibatkan soal luaran, seperti latar belakang fikiran penutur, kebudayaan dan taraf sesuatu bahasa dalam sesebuah negara.

Malaysia mempunyai pelbagai ragam bahasa yang berhubung kait secara langsung dengan pembahagian geografi atau kawasan daerah. Semakin besar jumlah penuturnya dan semakin luas daerah penyebaran bahasa itu, maka semakin banyaklah pula perbezaan yang wujud.

Bahasa merupakan alat untuk berkomunikasi walaupun berbeza cara sebutan dan intonasinya. Dalam bahasa Melayu, terdapat objek atau tindakan yang boleh mewakili beberapa istilah. Sebagai contoh, “babi” dan “khinzir” merupakan objek yang sama. Namun, menyebut babi dalam perbualan akan meninggalkan kesan emosi yang sangat berbeza berbanding dengan menyebut khinzir. Begitu juga halnya dengan istilah “isteri”, “bini” atau “orang rumah” dan istilah “perempuan”, “wanita” atau “betina”, yang meninggalkan kesan emosi yang berbeza, bergantung pada ragam sosial atau fungsi bahasa itu sendiri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Bahasa Melayu Satun – Semakin Pupus Atau Hidup Kembali?

Dunia Bahasa

Oleh Hara Shintaro

Apakah perkara yang terlintas dalam fikiran anda apabila terlihat nama tempat di selatan Thailand? Mungkin banyak orang teringat akan api pergolakan yang sedang bernyala-nyala di sana.

Pergolakan yang belum berkesudahan ini bermula pada awal tahun 2004. Sehingga kini, pergolakan tersebut telah meragut lebih daripada 3700 nyawa manusia dengan cara yang kejam, termasuklah pengeboman, tembakan, sembelihan dan juga pancungan kepala. Perkara yang luar biasa ini tidak lagi dianggap luar biasa di tempat berkenaan, sebaliknya seakan-akan telah menjadi “rutin harian” dalam kehidupan penduduk tempatan.

Dalam konteks Thailand, kawasan yang sedang mengalami kesulitan ini dikenali sebagai wilayah sempadan selatan, dan terdiri daripada wilayah Patani, Narathiwat, Yala dan sebahagian pantai timur Semenanjung Tanah Melayu, dan bersempadan dengan Malaysia, kecuali wilayah Patani. Kebanyakan penduduk di kawasan tersebut berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Bahasa yang digunakan oleh mereka dalam kehidupan seharian ialah bahasa Melayu dialek Patani. Dialek ini berada dalam kelompok yang sama dengan dialek Kelantan di kawasan timur laut Semenanjung, dan memiliki tahap saling memahami yang amat tinggi.

Selain itu, ada satu lagi wilayah di selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia, tetapi tidak mendapat musibah daripada pergolakan tersebut, iaitu wilayah Satun (nama asalnya Setul). Pada awal tahun ini, penulis, yang sekarang bertugas sebagai pensyarah bahasa Melayu di sebuah universiti kerajaan yang terletak di wilayah Patani, berpeluang melawat wilayah ini buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun berada di sana. Oleh sebab itu, kes tembakan dan pengeboman telah menjadi asam garam dalam kehidupan penulis. Penulis juga amat tertarik dengan perbezaan keadaan antara kedua-dua wilayah ini sehingga terasa seolah-olah berada negara yang berlainan.

Keadaan yang telah menjadi kebiasaan di wilayah sempadan yang lain – seperti tembakan, pengeboman, pemeriksaan askar atau polis di merata-rata tempat, rondaan kereta kebal, dan senjata api – tidak terdapat di sini. Sebaliknya, suasana keamanan dan kedamaian menjadi lumrah. Keadaan inilah yang telah menyerlahkan perbezaannya dengan wilayah lain di selatan Thailand sejak beberapa tahun yang lalu. Wilayah Satun yang sentiasa dalam keadaan aman sentosa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Akhbar, Sumber Perkataan Baharu

Leksikologi

Oleh S. Nathesan

Bahasa bersifat dinamik. Salah satu sifat kedinamikannya kelihatan pada pertambahan kosa kata atau leksikonnya. Perkataan, istilah dan ungkapan baharu sentiasa masuk ke dalam leksikon bahasa dari semasa ke semasa.

Banyak pihak yang menyumbang kepada penambahan perbendaharaan kata dalam satu-satu bahasa. Antara pihak yang sentiasa memberikan sumbangan kepada pengayaan perbendaharaan kata dalam bahasa termasuklah media, khususnya media cetak, seperti akhbar.

Kemasukan perkataan baharu dalam bahasa dirujuk sebagai neologisme, iaitu perkataan baharu yang belum diterima masuk dalam kamus utama bahasa tersebut. Umumnya, neologisme bermaksud perkataan, ungkapan atau penggunaan yang baharu. P. H. Matthews dalam Oxford Concise Dictionary of Linguistics (1977) mendefinisikan neologisme sebagai mana-mana perkataan baharu yang diperkenalkan ke dalam bahasa dengan beberapa prosesnya. Neologisme boleh terbentuk melalui proses seperti akronim, pemajmukan, pengimbuhan, ataupun melalui ciptaan kata baharu. Bidang leksikologi memang berminat untuk menjejaki kemasukan perkataan baharu seumpama ini dalam bahasa.

Salah satu ciri penting dalam laras akhbar ialah penggunaan perkataan baharu. Lazimnya, wartawan atau editor akhbar akan memperkenalkan banyak perkataan baharu dari semasa ke semasa dalam berita, laporan atau tulisan mereka. Biasanya, pihak akhbar bertindak pantas menjejaki dan melaporkan sebarang perkembangan baharu yang berlaku dalam masyarakat. Perkembangan tersebut mencakupi bidang seperti ekonomi, politik, sains dan teknologi, ataupun teknologi maklumat.

Sebarang perkembangan baharu yang dilaporkan dalam akhbar sudah tentu melibatkan penggunaan perkataan, istilah atau ungkapan baharu. Contohnya, istilah e-coli (singkatan daripada escherichia coli), iaitu nama yang diberikan untuk sejenis bakteria yang mencetuskan penyakit. Kini, istilah ini kerap digunakan dalam akhbar dan media berikutan wabak penyakit tersebut yang merebak di beberapa buah negara Eropah, khususnya di Jerman.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.