Category Archives: Pedoman Karya

Tiada Hari Tanpa Menulis

Oleh Jeniri Amir

      Larry Brown pernah menulis dalam Publishers Weekly, bahawa tidak ada penulis yang dikatakan born writer. Penulis tidak dilahirkan. Penulis perlu dipupuk dan dilatih. Penulis perlu sentiasa mempertajam kemahiran dan memperkaya pengalamannya dalam bidang penulisan. Bakat semata-mata, tanpa digilap, tidak akan membawa penulis tersebut ke tahap yang lebih tinggi. Menulis memerlukan kemahiran yang perlu dipelajari, sebagaimana seseorang belajar menyusun bata dan menjadi tukang kayu. Anda perlu menulis beberapa perkataan sebelum dapat menghasilkan sesuatu yang dapat diterbitkan. Siapakah penulis atau pengarang? Penulis merupakan mereka yang menyusun gagasan, dan kemudiannya, dengan bantuan penerbit, menyebarkannya, sama ada dalam bentuk rencana, artikel ilmiah atau buku. Dari segi teori, apabila perjanjian atau kontrak ditandatangani atau karya berkenaan sudah diserahkan kepada editor, seperti dalam kes rencana untuk akhbar atau majalah, bermakna penulis telahmenyerahkan karya dan hak menerbitkan karya itu kepada penerbit.

      Buku yang laris jualannya di pasaran, atau penulis yang karyanya diminati pembaca akhbar, pasti membantu melonjakkan jualan buku atau akhbar terbitan organisasi media terbabit. Jika hal ini berlaku, maka hal ini menguntungkan penerbit, dan secara tidak langsung, turut memberikan sumbangan dari segi pendapatan kepada syarikat atau organisasi media yang terbabit. Dalam hubungan ini, penulis perlu mempunyai idea yang menarik dan terkini. Idea yang menarik wujud hasil kreativiti berfikir, sumbang saran, perbincangan dengan rakanrakan, menghadiri seminar, forum dan sebagainya. Idea juga tercetus hasil pembacaan yang luas tentang pelbagai isu dan bidang. Segala ilmu dan pengalaman terbabit diadunkan dan dicanaikan, tanpa kita ketahui bila ilmu itu bakal digunakan. Suatu ketika, pasti ilmu dan pengalaman tersebut dicanaikan dalam karya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November