Category Archives: Wacana Jawi

Akronim dalam Tulisan Jawi

Oleh Munsyi Jawi

     Bagaimanakah ejaan akronim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu PBB dalam tulisan Jawi? Adakah pa-ya-baya- ba-ya atau pa-ba-ba? Untuk mendapatkan jawapannya, bacalah tulisan ini hingga akhir kerana aspek inilah yang akan menjadi fokus perbincangan ruangan ini pada bulan ini.

      Apakah akronim? Menurut Kamus Dewan edisi keempat, akronim bermaksud kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai satu perkataan. Perkataan DBP misalnya, merupakan kependekan hasil gabungan huruf-huruf pertama perkataan Dewan Bahasa dan Pustaka. Contoh akronim yang terhasil daripada gabungan suku kata pula ialah MARA kerana perkataan ini terbentuk daripada perkataan Majlis Amanah Rakyat. Dalam sistem tulisan Jawi, terdapat kaedah tertentu untuk mengeja akronim. Bagi akronim yang terbentuk daripada gabungan perkataan bahasa Melayu yang dilafazkan huruf demi huruf seperti DBP, perkataan ini hendaklah ditulis dengan menggunakan huruf dalam abjad Jawi dan dibubuh tanda titik selepas setiap huruf tersebut. Oleh itu, DBP dieja dal-ba-pa dan bukannya dal-ya-ba-ya-pa-ya. Dengan ini terjawablah persoalan tentang kaedah mengeja akronim bagi perkataan “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu” yang dibangkitkan pada permulaan tulisan ini. Kaedah pengejaan ini terpakai pada nama jabatan, organisasi, pertubuhan, syarikat dan seumpamanya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November