Category Archives: Iktibar Bahasa

Bahasa Alat: Pembentukan Negara Bangsa Jepun

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Ketika pembukaan Muzium National Kyushu pada Oktober 2005, Taro Aso Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Dalam Negeri Jepun menyatakan bahawa Jepun merupakan satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai ”satu bangsa, satu peradaban, satu bahasa, satu budaya dan satu etnik”. (The Japan Times, 18 Oktober, 2005). Sebenarnya ini bukanlah kali pertama ucapan seumpama ini ditegaskan oleh ahli politik kanan Jepun. Pada tahun 1986, Perdana Menteri Jepun, Yasuhiro Nakasone juga pernah menyatakan pendirian yang sama dengan menyatakan bangsa Jepun merupakan bangsa yang homogen. Bahasa Jepun merupakan alat terpenting untuk memajukan pembangunan ekonomi dan pendidikan negara tersebut.

Pembaharuan Meiji dan Budaya Ilmu

Ketika perhatian negara asing seperti Amerika Syarikat, Great Britain, Perancis dan Rusia terhadap Jepun semakin meningkat, Jepun, di bawah Kerajaan Meiji, mengambil sikap berhati-hati dan sentiasa memastikan mereka tidak terjajah oleh kuasa asing. Bagi memodenkan Jepun, Kerajaan Meiji mengadakan pembaharuan atau pemulihan Meiji yang membawa kepada perubahan politik dan struktur pemerinthan Jepun pada tahun 1860-an. Ketika itu berakhirnya Zaman Syogun Tokugawa atau dikenali sebagai Edo. Pembaharuan yang berlangsung selama 45 tahun ini membawa Jepun menjadi kuasa besar selepas beberapa dasar penting untuk memodenkan negara dilaksanakan. Antara faktor yang menjadi penyumbang besar termasuklah melalui industri terjemahan. Kedatangan Barat, membuatkan Jepun sedar bahawa mereka perlu mempelajari ilmu untuk berdaya maju. Justeru, dalam pengisytiharan Sumpah Lima Piagam 1868, salah satu dasar penting ialah pencarian ilmu antarabangsa untuk memperkasakan asas pemerintahan maharaja.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Pengalaman Bahasa dan Dunia Arab

Oleh Awang Azman Awang Pawi

     Bahasa Arab dianggap sebagai teras kepada bahasa dunia dari perspektif keagamaan. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Arab digunakan oleh Nabi Adam dan merupakan bahasa Syurga. Penyebaran bahasa yang meluas di serata dunia menyebabkan kepelbagaian bahasa tercipta. Bahasa Inggeris dianggap bahasa baharu berbanding dengan bahasa Arab yang dapat bertahan lama.

      Bahasa Arab merupakan satu-satunya bahasa Semit yang
mempunyai penutur yang besar. Bahasa Semit merupakan bahasa yang dituturkan di Timur Tengah, Afrika Timur dan Afrika Utara yang merupakan cabang rumpun timur laut bahasa Afro-Asia yang berasal dari luar Afrika. Bahasa ini berasal dari Arab Selatan sebelum berkembang dan menyeberang ke Ethiopia. Istilah Semit sendiri berasal daripada bahasa Latin, iaitu Semita dan Semiticus atau shem yang bermakna Syam. Golongan Samiyyah ini bertutur bahasa Arab kuno.

       Dalam bahasa Inggeris Semit dikenali sebagai semitic. Menurut sejarah, Syam merupakan salah seorang anak Nabi Noh. Namun, penggolongan istilah Semitik sebagai rumpun bahasa hanya berlaku pada tahun 1813. Dalam bahasa Semitik ini, bahasa Arablah yang merupakan bahasa terbesar, iaitu mempunyai penutur sebanyak 206 juta orang, diikuti oleh bahasa Amhar seramai 27 juta, bahasa Ibrani sekitar 7 juta dan bahasa Tigris seramai 6.8 juta penutur. Bahasa ini merupakan antara bahasa yang terawal dunia.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Bahasa Sanskrit Dalam Dunia Melayu

OLEH: AWANG AZMAN AWANG PAWI

Sumber Cina pada tahun 132 Masihi memberikan perspektif yang meluas tentang pengaruh bahasa Sanskrit dalam alam Melayu. Menurut sumber tersebut, seorang raja bernama Yetiao telah mengirimkan duta kepada maharaja Cina dan menyerahkan ufti. Sumber tersebut menyatakan Yetiao ialah nama bagi Jawadvipa dan nama rajanya pula ialah Dewawarman atau dalam teks Cina ditulis sebagai Tiao-pien.

         Dalam bahasa Sanskrit Jawadwipa bermakna Pulau Padi dan ini pernah disebut dalam epik Hindu Ramayana. Menurut epik tersebut, Jawadvipa menaungi tujuh kerajaan, Pulau Emas dan Perak yang merupakan salah satu tempat yang jauh dan kaya dengan emas. Di pulau Jawa itu terdapat gunung Cicira yang pernah dikunjungi dewa dan raksasa. Ahli geografi Yunani bernama Ptolemeus mengenali Pulau Jawa sebagai Labadiu yang bermaksud Pulau Padi berdasarkan versi Prakrit (Vlekke, 1961). Ptolemues dari Alexandria ialah orang Barat pertama mencatatkan keadaan kepulauan dunia Melayu.

         Prasasti tertua di Indonesia ditemui pada awal abad kelima, di Muara Kaman yang tidak jauh dari Sungai Mahakam, Kalimantan Timur. Prasasti itu merupakan suatu peninggalan kerajaan lama yang menggunakan bahasa Sanskrit. Prasasti ini ditulis atas arahan Raja Mulawarman yang menyebut nama bapanya sebagai Asvavarman dan datuknya bernama Kundungga (Vlekke, 1961). Berdasarkan nama yang dicatatkan pada prasasti itu, didapati bahawa nama berkenaan merupakan gabungan nama daripada bahasa Sankrit dan Indonesia. Kudungga bukanlah nama daripada bahasa Sanskrit manakala Mulawarman mewakili nama daripada bahasa Sanskrit. Di sinilah dapat dilihat unsur-unsur asimilasi mula berlaku dalam sejarah sejak sekitar 400 Masihi dan dinasti itu berasal dari Indonesia.

Pengalaman Bahasa Yunani Sebagai Bahasa Eropah Klasik

OLEH: AWANG AZMAN AWANG PAWI

Dalam konteks dunia alam Melayu, perkataan Yunani merujuk kepada negara Greece. Perkataan Yunani ini sebenarnya berasal daripada bahasa Aran, iaitu al-yunaan. Ia merupakan sebutan nama Arab bagi merujuk negara Greece. Perkataan al-yunaan ini pula berasal daripada perkataan lonia, yang merupakan salah sebuah wilayah dalam kumpulan bangsa Greece Purba. Bahasa Yunani sendiri berkaitan rapat dengan bahasa Macedonia klasik yang mempunyai unsur dialek Yunani. Malah ada juga pendapat yang menyatakan bahawa bahasa Yunani berkaitan rapat dengan bahasa Armenia atau menghampiri rumpun bahasa Indo-Irani dan hal ini masih lagi diperdebatkan. Kini bahasa ini masih dituturkan di Cyprus, negara bekas Yugoslavia, Russia, khususnya Macedonia, Bulgaria, Bulgaria, Albania dan Turki.

Bahasa Yunani ini merupakan salah satu cabang bahasa Indo-Eropah tertua yang bersifat bebas sejak 1400 SM yang terkandung dalam dokumen Yunani Mycenaea. Bahasa ini dikenali sebagai bahasa Greek dalam bahasa Inggeris. Ia menggunakan istilah Graeci, iaitu kata panggilan yang digunakan oleh orang Rom bagi merujuk kepada kesemua orang Yunani walaupun nama tersebut merujuk khusus kepada satu kaum di barat laut Yunani. Bahasa ini juga dikenali sebagai Hellenic yang digunakan dalam karya Iliad untuk merujuk kaum Thessalia. Terdapat hubungan sejarah Yunani dengan dengan empayar Rom Timur yang berpusat di Constantinople.

Bahasa Yunani awal dapat dilihat dalam penghasilan karya epic Homer dan hal ini penting dalam sejarah Eropah untuk memahami pemikiran, falsafah bahasa dan budaya Indo-Eropah Purba. Tradisi tatabahasa Yunani asli dihasilkan oleh penduduk Iskandariah pada zaman Helenistik. Dalam sejarah bahasa, bahasa Yunani ini penting bagi melihat perspektif perubahan dan dinamika antara bahasa yang awal di dunia ini. Berdasarkan perkembangan sejarah dan politik, perkembangan bahasa Yunani dapat dibahagikan kepada 5 peringkat, iaitu bahasa Yunani Mycenaea (sekitar 1500-1150), Yunani klasik (800-300 SM), Yunani Helenistik termasuk Yunani Kitab Baru (300 SM-200 M), Yunani Pertengahan yang terdiri daripada Yunani Byzantine (300-1100 M) dan Yunani Zaman Pertengahan (1100-1600 M) dan Yunani Moden (1600 hingga kini).

Bahasa Latin Kegemilangan dan Kepupusan

Oleh: Awang Azman Awang Pawi

 

Bahasa Latin merupakan bahasa yang pernah hidup sekitar 2000 tahun. Banyak perbendaharaan kata seharian dalam bahasa Perancis dan Inggeris dipinjam daripada bahasa Latin. Terdapat banyak istilah teknikal dalam bidang sains, perundangan, falsafah bahasa Inggeris dipinjam daripada bahasa Latin. Bahasa ini wujud di Semenanjung Itali sekitar abad ke-8 sebelum Masihi. Ia merupakan rumpun keluarga Indo-Eropah daripada cabang Italik dan mempunyai perkaitan dengan bahasa Greek. Bahasa Latin banyak dipengaruhi oleh bahasa Greek dan Italik. Bahasa ini asalnya dituturkan di kota Rom di Latium. Terdapat pengembangan bahasa yang sejajar dengan pengembangan pengaruh dan kuasa di kawasan lain di bahagian Mediterranean. Di sinilah pemerintah Rom mewujudkan colonia. Setiap colonia menjadikan bahasa Latin pertuturan mereka. Semua koloni disatukan oleh bahasa, budaya, adat-istiadat dan undang-undang Rom. Apabila berlaku penaklukan dan perluasan kuasa, bahasa Latin menjadi bahasa rasmi semua kerajaan yang dikuasai. Kesemua simbol utama didominasi oleh simbol kerajaan Rom. Di sinilah bahasa Latin mengambil tempat dan kedudukan.

Tidak ada peraturan khusus untuk menguasai bahasa Latin dalam kalangan negara yang dikuasai. Akan tetapi bahasa seperti Celtic, Syria, Greek (Yunani) dikekalkan. Bagi orang Romawi sendiri, budaya Yunani dianggap sebagai budaya tinggi dan sebagai prasyarat pendidikan sebenar. Penguasaan Greek wilayah timur begitu besar. Namun, pemikir bahasa Latin pintar dalam menyesuaikan bahasa Yunani ke bahasa Latin sehingga tidak terasa banyak pengaruh bahasa tersebut terhadap bahasa Latin dan bahasa tersebut kekal sebagai bahasa budaya peradaban Rom dan berfungsi menjadi bahasa rasmi sehingga pemerintahan Justine pada abad ke -6.

Bahasa Latin dapat dibahagikan kepada dua kategori. Bagi kategori pertama, iaitu golongan berpendidikan dan mempunyai darjat tinggi, mereka bertutur dalam bahasa tinggi yang dikenali sebagai sermo cotidianus. Bahasa ini juga dapat dilihat dalam surat-menyurat, kesusasteraan dan drama. Bahasa Latin rendah atau kasar pula digunakan oleh golongan kelas rendah dan tidak berpendidikan. Bahasa ini juga dikenali sebagai bahasa vulgar. Dalam konteks sejarah perkembangan bahasa, ia mempunyai beberapa era, iaitu era awal, klasik dan kegemilangan, sebelum ke Era Perak yang menunjukkan kemerosotan kualiti tulisan Latin secara keseluruhan. Bahasa ini muncul dengan legenda Romawi yang membawa kepada pengasasan Kerajaan Romawi yang turut mengembangkan budaya bahasa tersebut.