Anda sedang membuat semakan seimbas dalam arkib Penterjemahan.

Terjemahan Humor : Tak Kelakarlah

Penterjemahan

OLEH: WAN HALIZAWATI WAN MAHMOOD

Humor atau jenaka merupakan sebahagian daripada bentuk komunikasi harian yang penting. Elemen ini juga membentuk komponen utama dalam hasil kesusasteraan komik, perfileman dan teater, serta kesenian, amnya. Hal ini berakarumbikan konteks budaya dan linguistik tertentu serta sebahagian daripada komunikasi antara budaya dan hiburan massa yang penting. Media dan televisyen hari ini juga banyak menawarkan pelbagai bentuk pilihan program hiburan santai yang berkonsepkan humor, selain bahan bertulis seperti komik, buku cerita kanak-kanak, satira politik sehinggalah papan tanda di sesuatu tempat atau lokasi. Amnya, humor dapat dibahagikan kepada 3 kategori, iaitu:

• humor atau jenaka universal,

• humor atau jenaka budaya, dan

• humor atau jenaka bahasa.

 

Raphaelson-West (1989:130) telah mengkategorikan humor atau jenaka ini kepada 3 jenis, iaitu:

• jenaka linguistik [misalnya permainan kata (puns)],

• jenaka budaya (misalnya humor sesama kaum,

bangsa, etnik), dan

• jenaka sejagat (misalnya humor yang tidak dijangka).

Humor juga boleh berlaku dalam banyak bentuk seperti slapstick fizikal, humor visual, jenaka gerak isyarat atau bunyi, aforisme, teka-teki, dan cerita-cerita pendek.

Ciri dan kategori humor ini telah menimbulkan keinginan sesuatu kelompok masyarakat itu untuk mengetahui dan menerokai keindahan jenaka sesuatu kelompok etnik yang lain sebagai suatu bentuk perkongsian budaya dan ungkapan pemikiran dan pengalaman yang berbeza. Artikel ini mengupas terjemahan humor yang perlu dimaknakan sebaik mungkin, agar konsep jenaka dalam bahasa sumber dapat diungkapkan dalam bentuk kesamaan yang paling hampir dalam bahasa sasaran. Dengan kata mudah, sesuatu yang kelakar itu seharusnya ‘dikelakarkan’ juga, sekalipun telah dipindahkan ke bahasa dan budaya yang berbeza.

 

Kualiti Terjemahan Berdasarkan Aspek Linguistik Dalam Filem

Penterjemahan

OLEH: CORETTA HERLIANA ANAK KURA

Perkembangan penterjemahan sari kata di Malaysia sama ada dalam kaca televisyen atau di pawagam dilihat semakin memberangsangkan. Terdapat penonton yang berpendapat mereka lebih suka menonton program asing yang mempunyai sari kata berbanding program yang dialih bahasa kerana mereka berpeluang secara tidak langsung mengenali bahasa asing tersebut dan mempelajari frasa ringkas dalam bahasa tersebut.

         Menurut Diaz Cintas (2008), penterjemahan audio visual memerlukan kemahiran yang seimbang daripada seseorang penterjemah dalam aspek teori dan aplikasi kerana tingkat kefahaman penonton menjadi kayu ukur untuk memastikan terjemahan tersebut berjaya mencapai matlamat. Masalah utama berkaitan penilaian kualiti terjemahan adalah disebabkan ketiadaan garis panduan yang khusus bagi menentukan kualiti terjemahan. Terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh penterjemah semasa menterjemah sari kata daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran dari segi aspek linguistik.

        Karl Buhler (1990) mentakrifkan penterjemahan audio visual sebagai bahasa yang digunakan secara serentak untuk melambangkan sesuatu perkara secara objektif. Keperluan penterjemah perlu mematuhi standard tatabahasa, gaya bahasa, serta norma leksikal dan semantik dalam bahasa sasaran menjadi salah satu syarat utama untuk digandingkan secara koheren dalam penilaian kualiti terjemahan dari segi aspek linguistik.

Menterjemahkan Madah Si Penutur

Penterjemahan

OELH: ANIS SHAHIRAH ABDUL SUKUR

Setiap kali membeli akhbar, kita pasti akan dihidangkan dengan pelbagai rencah kehidupan masyarakat dalam bentuk laporan berita. Di samping menulis berita dalam format laporan kejadian berdasarkan sumber bertulis, wartawan juga mendapatkan bahan berita daripada sumber lisan seperti ucapan, wawancara, perbualan telefon dan temu bual.

Kepentingan sumber lisan dijelaskan oleh Cappon (2000) apabila sarjana berkenaan mengaitkan berita dengan “apa-apa yang diperkatakan manusia dan cara mereka menyatakannya”. Laporan berita mengandungi pelbagai ucapan individu, sama ada tokoh politik, artis, polis, saksi kejadian kemalangan, mangsa banjir, dan sebagainya.

Istilah petikan digunakan dalam penerbitan berita tempatan bagi merujuk “ucapan penutur yang disalin dan ditulis semula dalam laporan berita”. Dalam konteks bahasa Inggeris, istilah quote sering digunakan. Penggunaan petikan mengekalkan makna penutur, emosi, malah melambangkan identiti penutur. Contohnya, perkataan “transformasi” dan “reformasi” sinonim dengan dua pemimpin tertinggi dalam parti politik yang berbeza di Malaysia.

Penterjemahan: Kesantunan dan Kesesuaian

Penterjemahan

Oleh: Wan Halizawati Wan Mahmood

Penterjemahan sebagai suatu aktiviti linguistik memang tidak dapat dipisahkan daripada elemen dan konsep budaya. Pemahaman mengenai budaya dan implikasinya amat penting dalam melakukan kerja-kerja penterjemahan. Kepelbagaian bahasa dan variasi budaya di dunia menjadikan proses penterjemahan itu suatu tugas yang sukar dan mencabar.

Apabila faktor budaya menjadi salah satu elemen penentu dalam kerja penterjemahan, maka penterjemah, tidak dapat tidak, akan terlepas pandang dalam mengambil kira aspek kesantunan dan kesesuaian dalam kerja yang dihasilkan, baik menterjemah teks bertulis mahupun teks media dan audiovisual. Aspek kesantunan dan kesesuaian mungkin bersifat sejagat dalam sebuah komuniti sosial, namun, prinsipnya tidak boleh sesekali diaplikasikan secara universal terhadap kesemua kelompok masyarakat di dunia memandangkan prinsip tersebut ditentukan dan dipengaruhi oleh budaya yang berbeza.

Situasi kesantunan dalam penterjemahan dari sisi yang berbeza, iaitu dalam tajuk akhbar, surat-surat rasmi dan perniagaan, terjemahan skrin, amalan budaya, dan penggunaan bentuk kata dan ungkapan perlu diteliti bagi melihat kesesuaian terjemahan.

 

 

Penjenamaan Karya Tempatan

Penterjemahan

Oleh: Wan Halizawati Wan Mahmood

Terjemahan merupakan suatu aktiviti memindahkan atau menyalin teks daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain. Dalam konteks yang lebih luas, kegiatan terjemahan dalam sesebuah negara berfungsi sebagai jambatan atau penghubung antara penulis asal dengan kelompok pembacanya. Usaha memacu dan mempergiat terjemahan karya bertulis berunsur falsafah dan budaya, serta filem dan animasi tempatan ke dalam bahasa asing bukanlah sekadar retorik untuk memperkenalkan negara Malaysia ke pentas dunia semata-mata.

              Sesebuah negara akan dikenali jika budaya tempatannya dapat menarik minat dan perhatian negara luar. Sebagai contoh, nasi lemak telah dipilih sebagai ikon makanan dalam usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia memperkenalkan Malaysia di pasaran Jepun. Kempen ‘Sudah Makan?’ (Have you eaten?) yang dilancarkan pada bulan September 2014 di Tokyo bertujuan mengangkat jenama dan identitI Malaysia pada peringkat antarabangsa. Selain itu, syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, Air Asia juga turut melakukan hal yang sama dengan memperkenalkan nasi lemak Pak Nasser, roti canai, kari ayam, sate ayam dan teh tarik dalam setiap penerbangan mereka kepada para penumpang.

              Justeru, hasil karya terjemahan juga tidak mustahil dapat mengangkat budaya tempatan. Usaha penterjemahan bukan saja membolehkan karya berkualiti sampai kepada lebih ramai pembaca, bahkan dapat membantu para pengkarya berkongsi idea dan pemikiran dengan khalayak yang lebih luas termasuk di luar negara. Lihat sahaja penulis novel Korea Selatan, Kyung-sook Shin melalui karyanya Please Look After Mom yang berjaya diterjemahkan dan dipasarkan ke 19 buah negara selepas mencatat jualan sebanyak 1.93 juta naskhah dalam negaranya sendiri. Sebuah lagi karya beliau iaitu A Lone Room juga telah diterjemahkan ke bahasa Perancis.

Evolusi Penterjemahan

Penterjemahan

Oleh : Wan Halizawati Wan Mahmood

 Terjemahan merupakan suatu aktiviti kuno yang telah lama bertapak dalam sistem peradaban manusia dan menjadi suatu cara komunikasi untuk mencapai sesuatu maksud. Melalui penterjemahan, bentuk komunikasi asal dipindahkan ke persekitaran atau latar yang berbeza supaya kandungan bentuk tersebut dapat dipersembahkan dalam cara yang mencapai maksud asal dengan menjadikan penterjemah sebagai mekanisme perantara. Pada awal kewujudannya, amalan penterjemahan ini dianggap sebagai suatu cara untuk mempelajari bahasa asing atau membaca teks bahasa asing.

             Dalam beberapa dekad yang lampau, bidang penterjemahan melalui fasa perkembangan dan mengalami perubahan yang begitu radikal. Perubahan ini bertitik tolak daripada situasi dunia kini yang dianggap sebagai sebuah perkampungan global. Cara komunikasi manusia kini berlaku dengan pantas dalam pelbagai sektor seperti media, perundangan, politik, pelancongan, kewangan dan ekonomi. Perkembangan skop komunikasi ini telah melahirkan beberapa lagi mod, bentuk, media, dan saluran komunikasi untuk menyampaikan maklumat dan maksud kepada orang ramai.

Kaedah Mudah Mempromosikan Khidmat Penterjemahan

Penterjemahan

Oleh : Anis Shahirah Abdul Sukur

Peluang untuk menterjemah sebenarnya terbuka luas dan tidak terhad pada kerja di syarikat penerbitan sahaja. Lihat di sekeliling anda atau layari laman sesawang di internet. Anda akan mendapati hampir kesemua produk dan perkhidmatan yang menggunakan bahasa sebagai medium perantara berpotensi untuk diterjemahkan, antaranya termasuklah iklan, buku, katalog, berita akhbar, dokumen syarikat, sijil, laman sesawang, dan brosur bank.

Beberapa contoh yang dinyatakan ini memberikan maklumat bahawa khidmat penterjemah sememangnya diperlukan di serata dunia. Namun begitu, khidmat ini perlu dipromosikan agar khalayak awam mengetahuinya. Dalam konteks ini, penterjemah dikehendaki menguasai kemahiran untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkannya.

Sebenarnya usaha mempromosikan khidmat penterjemahan sama sahaja seperti mempromosikan sesuatu jenama. Langkah pertama, penterjemah perlu mengenal pasti kelebihan yang hendak dihebahkan bagi menarik perhatian bakal pengguna perkhidmatan atau klien. Kelebihan seperti memiliki sijil menterjemah dan pengalaman menterjemah teks dalam bidang tertentu misalnya, dapat meningkatkan kebolehpercayaan terhadap kelayakan dan kredibiliti seseorang penterjemah.