Category Archives: Khas

Apabila Dua Huruf Alif Bertemu

OLEH: MUNSYI JAWI

Secara amnya, kata-kata bebas yang membentuk rangkai kata umum, termasuk rangkai kata khusus dan kata majmuk, ditulis terpisah. Hal ini dapat dilihat pada contoh perkataan seperti “terima kasih” dan “tengah hari”. Begitu juga halnya dengan perkataan seperti “ibu bapa” dan “miskin kaya” yang dikategorikan sebagai rangkai kata setara. Kedua-dua perkataan ini ditulis terpisah sebagaimana perkataan yang membentuk simpulan bahasa. Antara contoh kata-kata yang membentuk simpulan bahasa ini termasuklah “makan angin” dan “pilih kasih”. Bagaimanakah pula halnya dengan kata-kata yang dieja serangkai sebagai bentuk yang telah mantap seperti “antarabangsa” dan “setiausaha”? Inilah antara persoalan yang bakal dibincangkan dalam keluaran ini dengan tumpuan kepada kes yang melibatkan pertemuan dua huruf alif.

Pembentukan kata menerusi proses pemajmukan pada dasarnya tidak mengubah ejaan perkataan asal yang membentuknya. Contohnya, perkataan “tengah hari” dieja ta-nga-ha ha-alif-ra-ya dan perkataan “ibu bapa” dieja alif-ya-ba-wau ba-alif-pa. Demikianlah juga dengan perkataan “antarabangsa” yang dieja alif-nun-ta-alif-ra-alif-ba-nga-sin-alif biarpun perkataan ini dieja serangkai.

Program BBK Memperkukuh Perpaduan Bangsa

Oleh ZAITON DAROIS

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) kembali lagi. Tahun ini merupakan tahun keempat sambutan BBK diadakan sejak 2009. Sambutan BBK peringkat Kebangsaan pada tahun ini akan diadakan di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan dengan tema “Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara”. Tujuan utama pelaksanaan BBK adalah untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia; menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan; mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan; dan menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa. Menerusi BBK, bahasa Melayu diharapkan menjadi wahana yang mengeratkan dan memperkukuh perpaduan pelbagai kaum di Malaysia, sekali gus menjadi tunjang pembinaan Negara bangsa.

BBK yang dilaksanakan sepanjang bulan Oktober setiap tahun, telah melalui pelbagai perubahan nama. Bermula dengan Kempen Minggu Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960-an, kemudiannya bertukar kepada Gerakan Cintai l a h Bahasa Kita (GCBK) pada tahun 1987 hingga 1996, Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) pada tahun 1996 hingga 2005 dan Minggu Sastera pada tahun 1987 hingga 1998. Namanya bertukar lagi, iaitu sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) pada tahun 1999 yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, akhirnya pada tahun 2009, BBSN menjadi BBK.

Pelancaran Minggu Bahasa Kebangsaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pusat ketika itu, Tun Syed Nasir telah diadakan pada 30 Januari 1960. Pada waktu itu, pelaksanaan Minggu Bahasa Kebangsaan bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap bahasa kebangsaan serta menggalakkan penggunaannya. Tempoh pelaksanaannya dilanjutkan sehingga 6 Februari 1960 dengan menukarkan namanya menjadi Bulan Bahasa Kebangsaan dan berlangsung sehingga tahun 1966.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

BBK Semarakkan Bahasa Kita

Oleh MOHD SYUKRI ANWAR

Sesebuah tamadun hanya akan berkembang menerusi perkembangan bahasanya. Jika runtuh sesuatu bahasa, maka akan runtuhlah tamadun sesebuah bangsa. Jika hal ini berlaku, bukanlah perkara mudah untuk membangunkan semula bahasa yang sudah musnah. Dalam konteks Negara Malaysia, bahasa Melayu tidak akan maju jika rakyatnya tidak bersatu dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Berdasarkan kajian, seseorang itu perlu didedahkan secara berkali-kali dan berulang kali supaya apa-apa yang ingin disampaikan mampu diingati dengan berkesan. Maka begitu jugalah halnya dengan bahasa. Setiap rakyat perlu sentiasa diingatkan tentang tanggungjawab mereka dalam memartabatkan bahasa Melayu serta mengamalkan penggunaannya dalam segenap urusan harian supaya rakyat tidak lupa dan lalai akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.

Sehubungan dengan hal itu, maka tepatlah apabila diwujudkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada bulan Oktober setiap tahun. Sambutan BBK ini dilaksanakan bagi mengingatkan tanggungjawab semua pihak dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan negara. Aktiviti yang menyeluruh di seluruh negeri yang antaranya termasuklah melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan beberapa agensi lain, turut bermatlamat untuk menarik khalayak yang lebih luas supaya sedar akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.