Category Archives: Bahasa dan Ilmu Bahasa

PU1

Ingin Tahu tentang “Tahu”?

Oleh JYH WEE SEW

Bukan semua perkataan “tahu” wujud dalam bentuk frasa. Sesetengah kata terbitan tidak digunakan secara aktif dalam wacana bahasa Melayu.

Biasanya, pelajar bahasa asing yang telah memperoleh penguasaan bahasa lisan dan tulisan bahasa Melayu pada peringkat asas semakin petah bertanya tentang makna yang tersurat dalam penerbitan perkataan baharu. Oleh sebab setiap satu proses imbuhan menghasilkan kata terbitan yang berlainan, pelajar bahasa Melayu sebagai bahasa asing mencerakinkan setiap imbuhan dalam morfologi bahasa Melayu dengan seribu satu persoalan. Oleh itu, kosa kata merupakan bidang linguistik terapan yang mencabar dari segi pedagogi bahasa, khususnya dalam kaedah dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Contohnya, perkataan “tahu”.

Perkataan tahu tidak mudah diterangkan dalam morfologi bahasa Melayu, terutamanya dalam kalangan pelajar yang baru mula belajar bahasa Melayu pada peringkat universiti. Perkembangan penguasaan morfologi yang semakin berkembang mewujudkan minat terhadap medan makna yang terangkum dalam ragam ayat yang tersurat makna tentang proses ”tahu-menahu” dan minda penutur jati bahasa Melayu.

Terdapat beberapa ragam morfologi dalam huraian tahu menurut julat imbuhan bahasa Melayu. Medan semantik tahu yang rencam dengan pelbagai gabungan imbuhan ini terkandung dalam Jadual 1. Morfem terbitan berdasarkan kata kerja tahu memperlihatkan sebaran julat nahu pengetahuan yang bercapah luas dalam minda Melayu. Dari segi janaan makna, pembezaan terperinci tersebut difikirkan amat berfaedah demi memudahkan pemahaman pelajar bahasa asing. Secara umumnya, makna sesuatu perkataan boleh dikatakan tidak muncul dengan jelas pada tahap morfem, baik dalam bentuk morfem dasar mahupun morfem terbitan. Pada tahap ini, pengajar dan pelajar bahasa asing mula menyedari kepentingan sintaksis sebagai paras huraian makna bagi setiap kata terbitan yang terkandung dalam Jadual 1. Dengan aplikasi binaan ayat dan frasa, kemelut makna tahu yang sukar dileraikan dapat dicerakin pada tahap sintaksis. Dalam erti kata lain, rujukan dan makna sesuatu morfem dasar atau morfem terbitan hanya terungkap menerusi analisis nahu pada tahap frasa atau ayat yang mengandungi perkataan tersebut.

Bukan semua perkataan tahu wujud dalam bentuk frasa. Sesetengah kata terbitan tidak digunakan secara aktif dalam wacana bahasa Melayu. Selain itu, perkataan ini mungkin sudah menjalani proses penghakisan semantik sehingga nilai makna yang semakin terhakis diambil alih oleh perkataan lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.