Category Archives: Leksikologi

Kata Dialek

Oleh S. Nathesan

Satu daripada jenis perkataan yang terdapat dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu ialah kata dialek. Dialek juga dikenali sebagai loghat dalam bahasa Melayu. Kata dialek termasuk dalam kosa kata yang tidak formal dalam bahasa. Dialek dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu dialek geografi atau daerah dan dialek sosial.

Umumnya, dialek geografi difahami sebagai bahasa yang dituturkan di kawasan tertentu sahaja, seperti dialek Kelantan di negeri Kelantan, dialek Terengganu di negeri Terengganu, dan dialek Kedah di negeri Kedah. Dialek sosial ialah kelainan bahasa yang digunakan oleh ahli sesuatu kumpulan atau lapisan masyarakat, seperti bahasa istana yang digunakan oleh golongan diraja.

Penggunaan kata dialek terhad kepada percakapan dalam kalangan kumpulan penutur tertentu sahaja. Misalnya, kata “ketangi” (malu kerana kalah tanding atau kena tipu, Glosari Dialek Johor, 2013) dalam dialek Johor digunakan dalam kalangan masyarakat Johor sahaja, dan biasanya hanya difahami oleh kumpulan penutur tersebut. Demikian juga kata “santap” hanya digunakan oleh golongan istana.

Menurut Trudgill, P. dalam Sociolinguistics: An Introduction, dialek merujuk pelbagai jenis bahasa yang berbeza-beza, yang dibezakan dari segi perbendaharaan kata, tatabahasa dan sebutan. Seperti yang dijelaskan oleh Trudgill, setiap dialek memiliki kosa kata yang tersendiri. Oleh hal yang demikian, dialek yang terdapat di Malaysia juga masing-masing mempunyai kosa kata yang tersendiri.

_____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2013.

Roti Canai, Roti Bakar, Roti Perancis

Oleh SAIDAH KAMIN

Di manakah agaknya pengguna bahasa perlu melihat untuk mencari makna sesuatu frasa nama seperti “roti canai” dan “sepana hidup”? Sudah pastilah sumber rujukan yang paling mungkin mengandungi huraian atau takrifnya ialah kamus. Frasa nama merupakan salah satu item leksikal yang biasanya dimasukkan ke dalam kamus, selain kata akar, kependekan atau singkatan, dan kata terbitan. Dalam bidang perkamusan, frasa nama boleh ditakrifkan secara umumnya sebagai gabungan kata nama sebagai kata utama atau kata intinya dengan kata lain, yang mempunyai maksud atau tingkah laku idiomatik yang tertentu.

Penyusun kamus kerap kali berhadapan dengan masalah dan dilema dalam mengenal pasti frasa yang berpotensi menjadi masukan dalam sesebuah kamus. Masukan di sini bermaksud item leksikal yang diberi takrif. Biasanya pertimbangan untuk memasukkan frasa ke dalam sesebuah kamus atau sebaliknya, bergantung pada jenis dan konsep kamus yang mahu disusun. Kamus kanak-kanak tidak pernah memasukkan frasa, manakala kamus pelajar sekolah menengah mungkin memasukkan frasa yang penting sahaja untuk pengetahuan mereka. Masalah yang sebenar timbul apabila penyusun kamus mahu membina kandungan kamus yang sasarannya pengguna umum sesuatu bahasa. Penyusun kamus memerlukan pertimbangan yang teliti dari segi pemilihan frasa yang mahu dimasukkan ke dalam kamus tersebut. Pelbagai faktor perlu diambil kira, antaranya termasuklah kekerapannya dalam korpus, kepentingannya kepada pengguna bahasa, potensinya dalam pembinaan dan pengembangan bahasa berkenaan, dan kepentingannya dalam perakaman bahasa tersebut.

Kita boleh lihat bagaimana kekerapan dan bentuk frasa roti dan sepana dalam korpus bahasa Melayu. Di samping korpus, Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (PRPM DBP) yang disediakan dalam talian untuk membantu pengguna bahasa, dapat juga membantu penyusun kamus untuk mencari calon frasa yang boleh dimaksudkan dalam kamus. Penyusun kamus juga perlu melihat data korpus internet untuk mencari calon frasa untuk kamusnya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Alam Semula Jadi dalam Seorang Tua di Kaki Gunung

Oleh S. NATHESAN

Leksikologi secara umum difahami sebagai bidang yang memberikan tumpuan utama terhadap perkataan. Routledge Encyclopedia of Language Teaching and Learning mendefinisi kan leksikologi sebagai kajian tentang penggunaan perkataan, iaitu melihat kosa kata sebagai subset perkataan yang digunakan dalam konteks tertentu. Hal ini bermaksud aspek perkataan yang diteliti dalam bidang leksikologi termasuklah penggunaan perkataan dalam situasi tertentu, seperti dalam novel. Novel Seorang Tua di Kaki Gunung (STDKG) oleh Azizi Haji Abdullah mempunyai perkataan yang ada hubung kait dengan alam semula jadi dan dapat diteliti dari sudut leksikologi.

Alam semula jadi dapat difahami sebagai suatu landskap, iaitu pemandangan kawasan yang mengandungi unsur bukit-bukau, sungai, pedesaan, rimba dan kaki gunung. Kata yang berkaitan dengan alam semula jadi dalam STDKG merupakan kata Melayu tradisi yang diturunkan daripada generasi kepada generasi sehingga kini.

Novel STDKG memaparkan persoalan jurang antara dua generasi, iaitu golongan tua dan muda. Golongan tua, melalui watak Tukya cuba mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan tradisi yang amat rapat dengan kehidupan alam semula jadi. Salah satu kekuatan novel ini terletak pada aspek pelukisan latar.

Banyak perkataan yang terdapat dari halaman satu hingga 50 novel ini menghuraikan alam semula jadi di kawasan kaki Gunung Bongsu, Kulim, Kedah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Kata Sinonim

Oleh S. NATHESAN

Dalam bukunya Russian Lexicology, N. M. Shanskii berpendapat bahawa dalam ilmu leksikologi setiap perkataan dikaji dari pelbagai sudut. Antaranya termasuk dari sudut maknanya, kedudukannya dalam sistem perkataan secara umum, asal usulnya dan sifat stilistiknya. Apabila diteliti kosa kata bahasa Melayu, setiap perkataan memperlihatkan hubungan makna antara satu sama lain, iaitu makna dari segi antonimi, homonimi dan sinonimi.

Semua perkataan mendukung makna. Ada kalanya, terdapat dua perkataan atau lebih yang mendukung makna yang sama atau hampir sama. Dalam ilmu linguistik, khususnya dalam bidang semantik, perkataan sedemikian dirujuk sebagai kata “sinonim” atau perkataan seerti.

Sinonim didefinisikan dalam Kamus Dewan sebagai kata yang sama atau hampir sama maknanya dengan kata lain, seperti “cantik” dengan “indah” dan “cepat” dengan “pantas”. Howard Jackson dalam Key Terms in Linguistics menerangkan “sinonimi” sebagai hubungan maksud tentang kesamaan atau kesamaan makna. Dua perkataan dikatakan bersinonim apabila makna suatu perkataan bertindih dengan makna perkataan yang lain, seperti “ibu” dengan “emak” dan “murid” dengan “mahasiswa”.

Kesinoniman dapat dijelaskan dengan meneliti komponen makna yang terdapat dalam kedua-dua perkataan tersebut. Berdasarkan analisis komponen makna perkataan emak dan ibu, didapati bahawa kedua-dua perkataan tersebut berkongsi beberapa komponen makna yang sama. Ada juga komponen yang terdapat dalam kata ibu tidak terdapat dalam kata emak. Misalnya, dalam kata emak tidak terdapat komponen makna “haiwan”, “objek” dan “kawasan”. Oleh yang demikian, keduadua kata tersebut tidak dapat dianggap sebagai sinonim sejati. P. H. Matthews dalam Oxford Concise Dictionary of Linguistics mengkategorikan pasangan kata seperti ini sebagai “sinonim sebahagian”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Senggara atau Selenggara

Oleh RUSMADI BAHARUDIN

Satu berita hangat pernah memenuhi dada akhbar tempatan dan sempat menjadi bualan rakyat Malaysia, iaitu tentang isu penyelewengan kos senggaraan kereta. Diberitakan bahawa kereta tersebut telah disenggara dengan kos penyenggaraan paling tinggi. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah turun padang untuk menyiasat kes itu kerana jumlah bayaran menyenggara kenderaan tersebut dikatakan terlalu besar.

Yang ingin diketengahkan dalam berita tersebut ialah penggunaan kata “senggaraan”, “disenggara”, “penyenggaraan” dan “menyenggara”, iaitu kata terbitan daripada kata dasarnya “senggara”. Dalam senarai kosa kata bahasa Melayu, ada satu lagi kata yang hampir sama maknanya dengan kata senggara, iaitu kata “selenggara”. Dalam konteks tertentu, kata “senggara” dan “selenggara” menampilkan gelagat semantik dan sosok sintaksis yang sering kali bertukar ganti ciri penggunaannya. Dalam kamus bahasa Melayu, ciri kesinoniman kedua-dua kata ini turut dirakamkan. Kamus Dewan telah pun merakamkan penggunaan kedua-dua kata ini sejak edisi pertamanya lagi, iaitu yang diterbitkan pada tahun 1970 dan yang paling mutakhir ialah edisi keempat, diterbitkan pada tahun 2005.

senggara; menyenggara, menyenggarakan mengurus(kan), mengendali(kan), menyelenggara(kan); penyenggaraan perihal menyenggarakan, pengendalian, pengurusan; selenggara.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012

Perkamusan dan Perkataan

Oleh S. NATHESAN

Ilmu leksikologi ialah kajian tentang kosa kata. Kamus pula merupakan catatan tentang kosa kata tersebut. Kamus dan tesaurus merupakan buku yang memuatkan beratus-ratus perkataan yang disusun mengikut abjad. Kamus dan tesaurus juga memuatkan beberapa keterangan mengenai perkataan dan frasa yang terdapat dalam bahasa. Apakah kaitan kamus dengan leksikologi?

Konsep kamus dan thesaurus hendaklah difahami terlebih dahulu. Menurut R.R. Hartmann dan James Gregory, kamus ialah sejenis rujukan yang menerangkan makna perkataan dan frasa tertentu melalui definisinya. Kini, kamus merupakan rujukan yang paling umum yang terdapat dalam bahasa, dan digunakan secara meluas oleh pengguna bahasa.

Tesaurus pula dapat dijelaskan sebagai buku yang mengandungi senarai perkataan seerti dan perkataan yang berkaitan maknanya yang disusun mengikut sistem atau olahan tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat. David Crystal dalam The Cambridge Encyclopedia of the English Language menerangkan tesaurus sebagai sebuah buku tentang perkataan atau frasa yang dikumpulkan berdasarkan maknanya.

Kedua-dua dokumen tersebut, iaitu kamus dan thesaurus memuatkan pelbagai maklumat penting tentang makna perkataan. Ahli leksikologi memanfaatkan maklumat yang diperoleh daripada kamus dan tesaurus dalam kerja mereka. Dalam hal pemerolehan perbendaharaan kata, kedua-dua dokumen ini didapati saling melengkapi, walaupun thesaurus didapati kurang dimanfaatkan oleh pengguna bahasa.

Bo Sevensén dalam Practical Lexicography: Principles and Methods of Making Dictionary menjelaskan beberapa hal tentang kamus. Kamus menghuraikan cirri umum tentang perkataan. Antara yang diperihalkan termasuklah ejaannya, sebutannya, kata yang diterbitkan daripadanya dangolongan perkataan tersebut. Selepas diberikan maklumat asas ini barulah makna dan penggunaan perkataan tersebut dinyatakan dalam kamus.

R. R. Hartmann dan Gregory James dalam Dictionary of Lexicography berpendapat bahawa leksikologi sebagai cabang linguistik relevan dalam beberapa hal berhubung dengan binaan kamus, seperti menerangkan cara perkataan dan frasa dijana, digabung, diubah suai dan didefinisikan. Kamus juga menjelaskan cara penggunaan perkataan yang berubah-ubah dalam bahasa berdasarkan parameter, seperti dialek, aspek keformalan dan peraturan. Perihal tersebut ada hubung kait dengan bidang perkamusan, iaitu ilmu mengenai penyusunan kamus.

M. A. K. Halliday dalam Lexicology and Corpus Linguistics menyatakan bahawa terdapat dua kaedah utama untuk menghuraikan perkataan. Yang pertama melalui kamus dan yang kedua melalui tesaurus. Jelas beliau, sumber maklumat yang terbaik bagi ilmu leksikologi ialah kamus atau tesaurus. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kajian leksikologi, kamus dan thesaurus tidak boleh dikesampingkan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Kata Slanga

Oleh S. NATHESAN

“Fulamak, lagu baru Ramli Sarip mantaplah brader. Dia punya goreng sikit punya garing, gua tangkap lentok, gua punya kepala.” Demikianlah gaya penggunaan bahasa yang dipetik daripada Berita Harian, 8 April 1990. Sudah tentu bahasanya bukan bahasa baku. Ungkapan itu kelihatan bersifat bahasa percakapan dan digunakan khusus oleh kumpulan sosial yang tertentu. Bahasa tersebut dikenali sebagai “bahasa slanga” dalam ilmu linguistik. Bahasa slanga memiliki perbendaharaan kata yang tersendiri. Kata slanga merupakan salah satu jenis perkataan yang termasuk dalam kosa kata tidak formal.

Leksikologi, seperti yang dijelaskan oleh Haruko Momma (2008) dalam Companion to the History of Language, ialah kajian tentang struktur leksikon, termasuk kata slanga. Slanga merupakan sejenis kosa kata yang tidak formal dalam bahasa, termasuk dalam bahasa Melayu. Ahli leksikologi memang berminat untuk mengetahui kosa kata baharu yang wujud dalam masyarakat bahasa, termasuk yang diciptakan oleh subkumpulan bahasa tersebut, seperti slanga. Ahli leksikologi mahu mengetahui sama ada kata slanga sudah diterima oleh masyarakat bahasa itu, atau digunakan oleh kelompok tertentu sahaja (Howard Jackson, 2001).

Francis Katamba dalam English Words mendefinisikan slanga sebagai istilah yang digunakan untuk menghuraikan salah satu variasi bahasa yang mempunyai kosa kata yang tidak formal atau yang bukan standard. Menurut Asmah Haji Omar dalam Ensiklopedia Bahasa Melayu, slanga ialah kata dan frasa yang digunakan dalam situasi yang tidak formal dan tidak boleh dikatakan sebagai halus. Sterkenburg pula mentakrifkan slanga sebagai label penggunaan yang menandakan item leksikal yang tidak dianggap sebahagian daripada bahasa persuratan yang standard, dan selalunya terhad kepada pekerjaan, kelas dan kumpulan sosial yang tertentu. Bagi Teo Kok Seong pula, slanga ialah gaya atau fesyen pertuturan oleh sesuatu kumpulan atau golongan. Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan, slanga ialah kata atau ungkapan yang tidak tergolong dalam bahasa baku dan kata slanga biasa digunakan dalam percakapan tidak rasmi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012.