Category Archives: Bahasa dan Masyarakat

Bersahabat dengan Buku

Oleh Ramli Abdul Halim

Dengan rakyat Malaysia secara puratanya membaca dua halaman buku atau hanya dua judul buku setahun, tentulah hal ini menjadi persoalan pelbagai pihak, sama ada industri penerbitan dan pengedaran buku berpotensi untuk menjadikan pemainnya sebagai jutawan atapun sebaliknya. Statistik daripada pelbagai pihak, termasuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), menunjukkan bahawa tidak banyak perubahan berlaku terhadap kecenderungan membaca buku dalam kalangan rakyat Malaysia dari dahulu sehingga sekarang.

     Walaupun sekitar 10 ribu sebingga 14 ribu judul buku diterbitkan setahun dan jumlah ini agak besar, jumlah naskah yang dicetak untuk setiap judul terlalu kecil, kecuali buku yang dikategorikan sebagai novel popular. Penerbit besar pun, terutama pada waktu ini, menerbitkan satu-satu judul buku dengan jumlah cetakan hanya 1000 naskhah atau dalam jumlah yang lebih kecil lagi. Yang paling besar pun jumlah cetakannya hanyalah 5000 naskhah sahaja.

      Kalau purata setiap judul buku dicetak hanya 1000 naskhah, hal ini bermakna bahawa daripada 10 ribu sehingga 14 ribu naskhah yang dicetak, jumlah keseluruhannya hanya sejuta atau 1.4 juta naskhah sahaja. Daripada jumlah itu, yang dibeli dan dibaca sekitar 50 peratus atau lebih kecil lagi jumlahnya. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap judul buku yang diterbitkan hanya dapat dipasarkan dengan harga oenuh pada kadar tidak lebih daripada 50 peratus daripada jumlah yang dicetak. Yang selebihnya teroaksa dijual dengan potongan harga atau dilelong. Hal ini bermakna bahawa paling tinggi pun sekitar 500 ribu sehingga 14 ribu judul buku yang diterbitkan.

     Dengan hal yang demikian, untuk negara yang jumlah penduduknya sebanyak 30 juta orang dan seandainya hanya 10 peratus daripada jumlah itu yang membeli setiap judul buku yang sepatutnya terjual ialah tiga juta naskhah atau 3.4 juta naskhah, bukannya 500 ribu sehingga 540 ribu naskhah.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mei

HARGA SEBUAH PEMBANGUNAN

Oleh : Zulkifli Salleh

 Isu pemupusan bahasa terus mendapat perhatian. Beberapa faktor telah dikenal pasti, dan didapati ada hubung kaitnya dengan kepupusan habitat atau spesies. David Crystal dalam bukunya, Language Death, mengemukakan beberapa faktor yang menyebabkan sesuatu bahasa itu mati. Dalam pada itu, beliau turut mengakui persoalan kepupusan bahasa ini sebagai suatu perkara yang lumrah. Oleh sebab budaya ada kalanya muncul dan ada kalanya lenyap, maka demikian juga yang berlaku pada bahasa yang terdapat dalam sesuatu budaya yang muncul dan lenyap itu. “Jelas bahawa bahasa mati jika semua orang yang bertutur dalam bahasa itu mati.” Demikian hujah beliau dalam hal ini. “Banyak bahasa terancam, nazak, atau pupus berpunca daripada faktor yang mempunyai kesan dramatik terhadap kesejahteraan fizikal penutur bahasa berkenaan.”  Antara punca yang dikenal pasti oleh beliau termasuklah bencana alam seperti gempa bumi, taufan, tsunami, banjir, dan gunung berapi, di samping kebuluran, kemarau, dan wabak penyakit yang sesetengahnya dibawa masuk oleh penjajah ke sesebuah wilayah yang didiami oleh kaum peribumi.

            “Kesan kebuluran dan wabak penyakit berkaitan rapat dengan faktor ekonomi,” tulis Crystal lagi. “Kini wujud banyak kes yang menyebabkan keselamatan orang ramai terjejas secara langsung akibat eksploitasi ekonomi di kawasan mereka yang dijalankan oleh pihak luar.” Menurut beliau, “penggurunan”, pembasmian hutan, dan amalan pengairan yang tidak terancang, dengan pola cuaca yang berubah juga turut berlaku. Apabila tanah hilang kesuburannya, tanah itu tidak lagi mampu menyokong penduduknya, dan inilah fenomena yang berlaku berulang kali di Afrika pada tahun 1970-an dan 1980-an. Maka, berlakulah penghijrahan yang tidak diduga dan akhirnya komuniti tidak lagi berupaya untuk memulihara identiti, budaya tradisional dan bahasa mereka.

            Apabila sesebuah komuniti dipindahkan, menurut Crystal, banyak penakat tidak bersedia untuk kekal dalam habitat mereka, lalu mereka berpindah ke pusat petempatan. Di sinilah mereka secara perlahan-lahan kehilangan jati diri budaya mereka dalam persekitaran kemiskinan. Untuk terus hidup, mereka mempelajari seberapa banyak mungkin bahasa baharu seperti bahasa Portugis sebagaimana yang berlaku di Brazil.

 

PUPUS HABITAT PUPUS BAHASA

Oleh : Zulkifli Salleh

Pada tahun 2011, David Harmon dan Jonathan Loh, yang mengendalikan Index of Linguistic Diversity (ILD), memberikan amaran tentang potensi “pemupusan massa” linguistik pada abad ke-21. ILD merupakan ukuran kuantitatif pertama yang pernah wujud tentang trend dalam kepelbagaian linguistik global, menyatakan bahawa hanya 80 peratus bahasa yang dituturkan pada tahun 1970 masih wujud pada tahun 2005.  Dengan kata lain, dalam masa 35 tahun, kepelbagaian linguistik global berkurangan sebanyak 20 peratus, bahkan kepelbagaian linguistik peribumi merosot lebih ketara di kebanyakan wilayah di dunia. Seterusnya, 16 bahasa dunia yang besar meningkatkan penguasaannya dalam kalangan penduduk dunia daripada 45 peratus (1970) kepada 55 peratus (2005).

            Walaupun terdapat 7000 bahasa yang dituturkan pada tahun 2011, kepelbagaian linguistik global kelihatan semakin merosot dan kadar bilangan penutur setiap bahasa ini pula sangat tidak seimbang. Ada beberapa bahasa yang setiap satunya mempunyai banyak penutur, manakala banyak bahasa lain pula mempunyai bilangan penutur yang kecil. Agihan ini, menurut ILD, terlalu terpencong, iaitu sebahagian daripada penduduk dunia bertutur dengan menggunakan satu atau beberapa bahasa daripada 25 bahasa “besar”, manakala selebihnya, bertutur dengan 6975 bahasa “kecil” yang lain.  Bahasa kecil ini akhirnya semakin hilang daya saing berbanding dengan bahasa “besar”. Daripada sejumlah bahasa “besar”  itu, 10 bahasa yang teratas terdiri daripada bahasa Cina (Mandarin), Sepanyol, Inggeris, Hindi, Bengali, Portugis, Rusia, Jepun, Jerman (Standard), dan Jawa.

Evolusi Bahasa Melayu Sarawak

Oleh A. ZAIDI NORDIN

Kesamaran fakta dan pergantungan pada teori Barat menyebabkan sehingga kini, para pengkaji bahasa Melayu dan sejarawan masih dibelenggu persoalan dalam minda masing-masing akan kesahan tarikh dan susur galur sebenar kewujudan bahasa Melayu di Asia Tenggara. Penerimaan akan “lingkung waktu” sejarah awal penggunaan bahasa Melayu di Nusantara hanya ditandai dengan bukti daripada penemuan batu bersurat, tembikar dan beberapa teori yang agak kabur.

Merujuk tulisan, teori, hipotesis dan pandangan para sarjana Barat, antaranya termasuklah Hendrik A. Kern dari Belanda, Isidore Dyen dari Amerika Syarikat, Teodoro Llam Zon, John Crawfurd dan Robert Von Heine Geldern dari Austria, dapat dirumuskan bahawa sejarah asal keturunan bahasa Melayu itu berlaku dalam masa yang agak hampir dengan kehidupan penuturnya. Bahasa Melayu telah mengalami proses transformasi, evolusi dan pemodenan ekoran asakan perubahan seawal abad ketujuh lagi.

Para sarjana Barat menegaskan bahawa bahasa Melayu yang dituturkan di Nusantara berasal daripada kelompok bahasa Austronesia. Bahasa Austronesia pula tergolong dalam keluarga bahasa Austris yang dipercayai berasal dari wilayah Yunan, China. Bahasa ini berkembang melalui proses penyebaran secara perpindahan dan melalui peresapan, iaitu tanpa melalui proses perpindahan penuturnya.

Bahasa Melayu dipercayai telah berkembang seawal abad ketujuh. Ketika itu bahasa Melayu agak kuat dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit hingga abad ke 10 apabila pengaruh bahasa Arab pula meresapi bahasa Melayu melalui para pedagang dan mubaligh Arab.

Melayu-Proto telah bermigrasi ke Asia Tenggara pada 2500 tahun sebelum Masihi diikuti oleh Melayu-Deutro sekitar 1500 tahun sebelum Masihi. Menurut para pengkaji linguistik, bahasa tiga peringkat perkembangan, iaitu bahasa Melayu kuno (abad ketujuh hingga abad ke-13 zaman kerajaan Sriwijaya dan Kesultanan Melayu Melaka), bahasa Melayu klasik (abad ke-13 hingga abad ke-18) dan bahasa Melayu Moden (abad ke-19 – dimulai oleh Munsyi Abdullah).

Bahasa Melayu kuno dapat dibuktikan kewujudannya melalui penemuan batu bersurat di Kepulauan Sumatera, Indonesia. Antaranya termasuklah batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 Masihi), batu bersurat di Talang Ruwo, Palembang (684 Masihi), batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 Masihi) dan batu bersurat di Karang Brahi, Jambi (686 Masihi).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012

Estetika Pengulangan dalam Stilistik

Oleh NUR FATIHA FADILA

Pengulangan yang juga disebut sebagai repetisi merujuk gaya bahasa yang mengandungi pengulangan bunyi, pengulangan bahasa dan pengulangan struktur. Menurut Donald C. Freeman, aliran kedua dalam pendekatan stilistik ialah aliran yang meneliti gaya dari sudut pengulangan atau pengulangan pola. Hal ini bermakna dalam hasil ciptaan, para pengarang sering berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kesan dan kekuatan dengan melakukan pengulangan.

Dharmawijaya menyatakan bahawa unsur pengulangan ini digunakan untuk memenuhi beberapa fungsi. Pertama, menimbulkan irama atau suasana muzikal, terutamanya apabila puisi itu dideklamasikan. Kedua, menegaskan maksud tertentu sebagai persoalan utama bagi penyairnya. Ketiga, menarik tumpuan perhatian. Pengulangan berfungsi bagi menimbulkan kesan keindahan tertentu untuk mencapai intensiti.

Pengulangan Aspek Bahasa

Pengulangan aspek bahasa dalam puisi boleh diteliti dari segi pengulangan kata, frasa atau ungkapan, kalimat atau ayat berangkap. Pengulangan kata dalam puisi boleh berlaku di awal, tengah dan akhir serta di awal dan akhir baris atau rangkap puisi.

Anafora ialah pengulangan kata pertama pada setiap baris atau ayat. Sufian Husin menyatakan anafora sebagai satu cara pengulangan, iaitu perkataan yang sama diulang pada permulaan (atau lebih satu baris atau ungkapan). Cara begini sering wujud dalam puisi.

____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Ogos 2012.

Laras Khutbah Jumaat

Oleh ABDUL AZIZ MOHD TOP

Khutbah bermaksud pidato atau syarahan yang biasanya mengandungi ajaran atau nasihat keagamaan. Perkataan khutbah berasal daripada perkataan Arab “khataba” yang membawa pengertian memberikan ucapan. Khutbah merupakan medium utama yang disampaikan pada setiap hari Jumaat semasa masyarakat Islam berkumpul di masjid. Perhimpunan mingguan ini bukan sahaja menjadi rukun dalam solat Jumaat, tetapi juga merupakan perjumpaan dan kesempatan yang sesuai untuk menyalurkan sebarang maklumat atau isu semasa kepada para pendengar.

Kini, isi khutbah telah disesuaikan mengikut keadaan semasa supaya mampu menimbulkan kesedaran dan pengajaran bagi menguatkan keimanan terhadap ajaran Islam yang sebenar. Teks khutbah yang dihasilkan memerlukan persediaan yang rapi dan terancang agar mesej yang disampaikan berjaya meninggalkan kesan kepada sasarannya.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Ogos 2012.

Bahasa Memancarkan Budi Bahasa

Oleh AMINUDIN MANSOR

Bahasa yang dituturkan oleh seseorang merupakan pancaran akal budi dan rasa hati. Melalui bahasa, seseorang itu akan menuturkan apa-apa yang tersurat dan tersirat dari hati dan fikiran.

Bahasa yang baik akan memberikan manfaat kepada orang lain dan diri sendiri. Bahasa juga menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan dalam hubungan dengan orang lain. Pembangunan dan kemajuan yang sempurna itu merupakan paduan antara pembangunan dan kemajuan kerohanian dengan kebendaan.

Budi bahasa merupakan antara unsur kerohanian yang penting. Kepentingan budi bahasa dalam pembangunan dan kemajuan menyumbang kepada pembentukan tamadun. Secara jelas, bahasa menjadi media sosial, media perdagangan, media politik, media penyebaran ilmu pengetahuan, media pendidikan dan yang lebih utama, media penyebaran dakwah Islamiah.

Al-Quran memberikan sumbangan yang besar kepada bahasa manusia, terutamanya kepada bahasa Arab. Al-Quran menaikkan taraf bahasa Arab sebagai salah satu bahasa utama dunia dan menjadikan beberapa bahasa tempatan muncul sebagai lingua franca, baik di Afrika, Eropah mahupun Asia. Sumbangan al- Quran terhadap bahasa Parsi, Turki dan Melayu begitu jelas sekali.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012.