Category Archives: Linguistik

Brakilogi dalam Bahasa Arab

Oleh Munif Zarirruddin Fikri Nordin

Aristotle menyifatkan bahasa sebagai seni. Unsur seni ini telah mempelbagaikan ciri yang ada pada bahasa, baik dari segi kosa kata sehinggalah semantik dan retorik. Unsur seni ini juga menjadikan bahasa sebagai subjek dan medium yang indah, cantik, menarik, baik dan unik. Salah satu ciri yang melengkapkan unsur seni ini ialah brakilogi.

Apakah yang dimaksudkan dengan brakilogi? Brakilogi ialah penggunaan kata yang sedikit dalam penyampaian makna yang banyak. Dengan kata lain, brakilogi memiliki sifat ringkas, tetapi tepat dan padat. Lawan brakilogi ialah pleonasme, iaitu penggunaan kata yang berlebihan dalam penyampaian makna yang dikehendaki. Dalam bahasa Arab, selain pleonasme, lawan brakilogi juga ialah kesetaraan, iaitu penggunaan kata yang setara dengan kadar makna yang disampaikan.

Dalam bahasa Arab, brakilogi, pleonasme dan kesetaraan merupakan bentuk gaya bahasa yang menghubungkan kuantiti kata dengan kadar makna. Pemilihan satu daripada ketiga-tiga bentuk berkenaan bergantung pada sesuatu faktor, seperti konteks, latar penyampai, latar penerima, kandungan maklumat dan jenis maklumat.

Brakilogi dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-ijaz, dan diperincikan dalam perbahasan retorik Arab (al-balaghah al-‘arabiyyah). Bab yang khusus tentang al-ijaz ialah ilmu al-ma‘ani, iaitu kajian yang berkisar tentang dua perkara. Pertama, membahaskan keselarasan antara kata (struktur bahasa dan bentuk susunan ayat) dengan keadaan pendengar dan situasi percakapan (dan penulisan) supaya bertepatan dengan tujuan yang hendak disampaikan. Kedua, membahaskan makna (hakiki atau bukan hakiki) yang dibentuk oleh unsur bahasa (yang terdapat dalam struktur bahasa dan bentuk susunan ayat).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.