Category Archives: Uncategorized

Mengangkat Nilai Ekonomi Bahasa Melayu di Sarawak

Oleh Dilah Tuah

Sejarah penglibatan orang Melayu dalam bidang perniagaan, sememangnya tidak dapat dinafikan. Pelabuhan Melaka, pernah mendapat julukan sebagai The Venice of the East pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, sehingga menarik minat Portugis untuk menawan kota tersebut. Hal ini banyak dipengaruhi, oleh kepesatan ekonomi orang Melayu di Melaka, yang semestinya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan utama di rantau tersebut. Pada ketika itu, bahasa Melayu menjadi bahasa utama atau lingua franca dalam semua urusan perniagaan di Kepulauan Melayu dan dikuasai dengan baik oleh pedagang-pedagang dari Timur dan Barat. Hal ini bermakna, setiap pedagang dari seluruh pelosok dunia yang berhajat untuk singgah di pelabuhan Melaka, atau menjalankan kegiatan perdagangan, mestilah pandai bertutur dalam bahasa Melayu.

        Di Sarawak, perkembangan ekonomi orang Melayu, tidak kurang hebatnya. Sejarah Sarawak yang bertalian dengan Kesultanan Melayu Brunei, sudah semestinya menggunakan bahasa Melayu sebagai medium perantara dalam urusan perdagangan, sama ada dengan masyarakat tempatan mahupun pihak luar. Penempatan awal masyarakat Melayu di Sarawak seperti di Lidah Tanah, Santubong, Kuching, Gedong, Kelaka, dan lain-lain, telah membuktikan komuniti Melayu telah berhubungan dengan bangsa luar, termasuk Cina dan bangsa Eropah. Malah, ketika pemerintahan James Brooke di Sarawak, bahasa Melayu masih menjadi medium utama dalam urusan perniagaan, khususnya yang melibatkan peniaga-peniaga Melayu dan Bumiputera. Namun, pada hari ini, ketika bahasa Melayu diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukannya dalam bidang ekonomi, dilihat semakin mengecil dan tersisih. Sehubungan dengan itu, penelitian ringkas ini akan cuba membongkar nilai ekonomi bahasa Melayu di Sarawak, yang dilihat kurang diberikan keutamaan dalam urusan perniagaan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran April

Bahasa dalam Zaman Pencerahan di Eropah

Oleh Mohd Tarmizi Hasrah

Bahasa, Perkembangan Akal dan Peradaban

“Tidak ada sebuah kota pun”, demikian Herder menulis, “yang terbangun di bawah alunan merdu Amphion, tidak ada sebarang tongkat sihir pun yang berdaya mengubah gurun yang gersang menjadi sebuah taman yang menghairahkan, akan tetapi bahasa, sang pembantu ulung manusia, telah melakukannya.”

Sambil memandang tepat ke arah jendela yang sedang luas terbuka, penulis pasti, kita akan berkatakata dengan perlahan, “sungguh, bahasalah yang melakukan segalagalanya!” Terhadap ungkapan ini, tentunya kita boleh bersetuju, tanpa sebarang bantahan pun, dengan Herder.

       Sememangnya bahasa ialah penjana peradaban. Bayangkanlah, tanpa bahasa, apakah yang akan terjadi kepada manusia keseluruhannya? Tanpa bahasa, bagaimanakah manusia membangunkan peradaban? Secara ringkasnya, tanpa bahasa, maka tiadalah pengungkapan sama ada hal-hal yang bersifat intelektual dan hal-hal keseharian. Jika difikirkan kesendengan ini, ternyata natijahnya menggetarkan sendi-sendi kita dan lemah longlai kita dibuatnya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari

Akronim dalam Tulisan Jawi

Oleh Munsyi Jawi

     Bagaimanakah ejaan akronim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu PBB dalam tulisan Jawi? Adakah pa-ya-baya- ba-ya atau pa-ba-ba? Untuk mendapatkan jawapannya, bacalah tulisan ini hingga akhir kerana aspek inilah yang akan menjadi fokus perbincangan ruangan ini pada bulan ini.

      Apakah akronim? Menurut Kamus Dewan edisi keempat, akronim bermaksud kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai satu perkataan. Perkataan DBP misalnya, merupakan kependekan hasil gabungan huruf-huruf pertama perkataan Dewan Bahasa dan Pustaka. Contoh akronim yang terhasil daripada gabungan suku kata pula ialah MARA kerana perkataan ini terbentuk daripada perkataan Majlis Amanah Rakyat. Dalam sistem tulisan Jawi, terdapat kaedah tertentu untuk mengeja akronim. Bagi akronim yang terbentuk daripada gabungan perkataan bahasa Melayu yang dilafazkan huruf demi huruf seperti DBP, perkataan ini hendaklah ditulis dengan menggunakan huruf dalam abjad Jawi dan dibubuh tanda titik selepas setiap huruf tersebut. Oleh itu, DBP dieja dal-ba-pa dan bukannya dal-ya-ba-ya-pa-ya. Dengan ini terjawablah persoalan tentang kaedah mengeja akronim bagi perkataan “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu” yang dibangkitkan pada permulaan tulisan ini. Kaedah pengejaan ini terpakai pada nama jabatan, organisasi, pertubuhan, syarikat dan seumpamanya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Ibn Khaldun: Pencetus Dekonstruktif

OLEH: MOHAMAD ALINOR ABDUL KADIR

Minat untuk membicarakan tajuk ini terbit daripada penelaahan terhadap Derrida sekitar lebih 10 tahun lepas. Penelaahan tersebut amat mengujakan kerana Garver (penterjemah buku Derrida) menyatakan bahawa segala perbincangan yang dibawakan oleh Derrida sebenarnya telah dibahaskan oleh Ibn Khaldun, 600 tahun yang lalu. Menurut Ibn Khaldun, sesuatu bahasa yang dituturkan oleh sesebuah masyarakat ditakrifkan sebagai ‘kelakuan berkaedah” atau “malaka sina’iyya”. Ibn Khaldun juga menganggap bahawa tatabahasa dan mantik atau logik adalah penghalusan daripada retorik. Pandangan ini dirasakan tepat, sebab logik menganggap bahawa huruf atau perkataan membentuk nama atau ayat yang membawa makna seperti yang terakam, dan kebenarannya tidak boleh dipertikaikan. Hal inilah yang disanggah oleh Wittgenstein, pada awalnya terhadap pandangan logikisme Frege-Russell dalam falsafah matematik, dan kemudiannya terhadap masalah tatabahasa dan logik secara umum. Perbincangan tentang Wittgenstein akan disentuh kemudian. Garver tidak mengkaji bagaimanakah konsep “malaka sina’iyya” tersebut berkembang dalam tamadun Islam, apatah lagi tamadun Melayu. Apakah fahaman yang ditakrifkan oleh Ibn Khaldun ini diasaskan oleh Sekolah Basrah atau Sekolah Baghdad yang berdebat panjang tentang falsafah bahasa Arab? Debat antara Abu Sa’id al-Sirafi dengan Abi Bishr Matta (Margoliouth) menunjukkan betapa lemahnya logik Greek tatkala diusahakan untuk diterima pakai dalam tatabahasa Arab. Unsur-unsur seperti yang disebut Ibn Khaldun itu banyak kali muncul dalam debat ini.

Isu ini pernah disentuh dahulu, namun menyimpang, seperti yang dinyatakan oleh Mohammad Alinor (2006), iaitu tentang bagaimana seorang sarjana Yahudi bernama Jehuda ben David Hayyuq menyedari bahawa akar kata Arab boleh dimanfaatkan untuk memahami akar kata Ibrani atau Hebrew. Sebelum beliau, sarjana-sarjana Yahudi tidak mengetahui (atau sengaja tidak peduli disebabkan permusuhan) bahawa bahasa Arab dan bahasa Ibrani mengikuti prinsip trilateral atau tiga-huruf. Kajian beliau disambung kemudiannya oleh Wilhelm Gesenius yang amat disanjung sekitar 1870-an. Pada tahun 1910, Noldeke menerbitkan teori ini melalui makalahnya yang tersiar dalam Beitrage zur semitischen Sprachwissenscaft (ms 109-207) dan Brockelmann dalam Grundrib der Verleichenden Grammatik der Semitsichen Sprachen. Kedua-dua kajian ini disambung oleh Delitzsch, Bloomfield, Bottcher, August, Muller, Stade, Phillipi, Dietrich, Furst, Kautzsch, Lambert, Maier, dan yang lain sehinggalah ke Chomsky (mulai 1951). Sukar untuk memastikan, tanpa usul periksa, bahawa teori tatabahasa terbitan atau generatif Chomsky merupakan bentuk yang maju bagi teori akar perkataan Arab/Ibrani, walaupun sejarah mengaitkannya. Teori Chomsky ini telah berkembang biak, dipakai kini oleh semua bahasa dunia termasuk tatabahasa Arab Moden. Dikesan sebanyak 16 tesis sarjana dan doktor falsafah dalam bidang bahasa atau linguistik memanfaatkan teori Chomsky untuk disesuaikan dengan bahasa Arab (data 1949- 1963 di Eropah). Dalam alam Melayu, teori Chomsky ini juga turut mempengaruhi tatabahasa Melayu. Namun, sesuatu yang patut diambil teladan ialah Za’ba pernah berusaha memanfaatkan teori akar perkataan Arab dalam pembangunan tatabahasa Melayu. Garver cuma melihat perkembangan konsep Ibn Khaldun tersebut kemudiannya dalam tamadun Barat moden. Bagi Garver, aliran Ibn Khaldun ini bertentangan dengan aliran Leibniz-Boole-Frege-Russell yang mengusulkan konsep simbol atau bahasa sejagat.

Pancarkan Citra Semangat Kebangsaan

“Para penyelidik dan saintis tempatan perlu menggalas cabaran bagi menghasilkan produk berjenama Malaysia yang mampu bersaing dalam pasaran global. Persaingan global tidak menjanjikan jaminan produk yang dihasilkan menembusi pasaran global kecuali ia benar-benar berkualiti dan bertaraf dunia serta mengikut kehendak pasaran.” Demikian antara saji pati ucapan Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin pada perasmian seminar Kesedaran Harta Intelek Negeri Perlis 2010.

                Penghasilan produk berjenama Malaysia untuk dipasarkan pada peringkat global memerlukan piawaian mutu yang tinggi. Hal inilah yang menjadi faktor penentu kebolehpasaran produk tersebut di samping mengangkat nama negara sebagai pengeluar produk yang berkualiti. Pun demikian, persepsi masyarakat umum tentang produk berjenama Malaysia masih pada tahap yang rendah lantaran dodoian produk luar negara yang dianggap lebih berprestij dan jaminan mutu yang tiada tolak bandingnya. Agenda promosi terancang dengan pancingan moto dan visual yang ‘menggemparkan’ dilihat sebagai salah satu kejayaan strategi pemasaran produk berkenaan. Kematangan dalam menaakul cita rasa serta kehendak pelanggan tempatan dan antarabangsa menjadi faktor teraju kelangsungan jangka hayat sesuatu produk di pasaran. Agenda sedemikian bukannya tidak terdapat pada pengeluar produk tempatan. Malah, usaha mempromosi serta mengatur strategi daya saing global produk keluaran tempatan dirancang oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), selaras dengan matlamat memacu aktiviti pembangunan industri ke arah pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.

               Di samping itu, minat yang semakin meluas pasaran dunia tentang produk halal merupakan asas penyebaran secara meluas produk jenama tempatan. Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) yang memasuki tahun ke-12 penganjurannya pada tahun 2015, mencatatkan perkembangan yang memberangsangkan dari segi sambutan penyertaan negara-negara luar. Kesedaran tentang aspek kebersihan dan ketinggian mutu dalam hasil produk halal menarik minat, bukan sahaja negara-negara Islam, malah, negara-negara bukan Islam. Permintaan yang amat tinggi terhadap produk makanan dan minuman halal yang dicatatkan pada Mihas 2014 menggambarkan bahawa produk halal mampu menarik minat pengguna waima pada peringkat global sekalipun. Terpulang kepada pengusaha produk tempatan untuk merebut peluang yang telah sedia tersaji.

              Tuntasnya, tanggapan bahawa produk jenama tempatan tidak mempunyai daya saing global yang tinggi adalah tidak benar. Nama bukan penentu kebolehpasaran sesuatu produk. Penjenamaan yang keinggerisan sifatnya bukan jaminan untuk memancing pelanggan. Pengawalan mutu, promosi, serta pemasaran yang strategik merupakan antara faktor utama kejayaan sesuatu produk menempa nama di pentas pasaran global. Jenama tempatan pancaran citra semangat kebangsaan.

Kesantunan Berbahasa Tonggak Pembinaan Bangsa Bermaruah

Oleh:  VIJAYALETCHUMY A/P SUBRAMANIAM

             AZIZUL HAJI ISMAIL

Manusia memerlukan bahasa dalam keseluruhan kehidupan. Sejak awal penciptaan sehinggalah saat manusia menemui kembali penciptanya. Melalui bahasa maka lahirlah sebuah cinta dalam kehidupan manusia dan juga menyebabkan masyarakat dalam sesebuah negara dapat hidup dengan aman dan sejahtera. Untuk menjadi sebuah bangsa yang “besar” serta dihormati sebagai salah satu bangsa yang bertamadun di dunia, elemen kesantunan berbahasa merupakan tonggak utama bagi melahirkan bangsa yang bermaruah dan berhemah tinggi. Hal ini bersesuaian dengan ungkapan “Mulia Bangsa Kerana Bahasa” dan “Bahasa Menunjukkan Bangsa”.

 

Namun perkembangan mutakhir ini menunjukkan nilai-nilai berkaitan kesantunan berbahasa semakin terhakis terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial. Perkataan yang selama ini menjadi tabu dalam masyarakat Melayu sudah menjadi “mainan” dalam kalangan pengguna media sosial dan dalam ceramah umum berkaitan politik serta dalam perbualan harian. Kata-kata makian, cacian, menghina, gelar-menggelar dan saling memfitnah seakan tidak dapat dibendung lagi sehingga kini seakan-akan telah sampai pada tahap “mengerikan” sehingga boleh menjatuhkan martabat bangsa dan martabat keinsanan.

 

Kesantunan Bahasa Secara Holistik

Aspek kesantunan bahasa perlu dilihat dari segi holistik iaitu aspek kehidupan manusia secara menyeluruh. Hal ini disebabkan jika membincangkan elemen kehidupan manusia, elemen agama perlulah disentuh iaitu berkaitan hubungan rohani antara manusia dengan Tuhan. Selain itu, hakikat sesuatu bangsa itu mempunyai akar jati diri yang menjadi pegangan sejak turun temurun berkait rapat dengan elemen kesantunan dan budi bahasa dari generasi ke generasi bagi membentuk tamadun bangsa. Hakikat hidup bernegara dan bersosialisasi dengan manusia lain yang menduduki sesebuah negara juga penting dalam kehidupan manusia moden pada masa kini. Aspek psikologi yang menyebabkan seseorang manusia itu unik dan berbeza antara satu sama lain juga perlu diberikan penekanan dalam membicarakan hal berkaitan kesantunan berbahasa.

Dasar Bahasa Kebangsaan Tuntutan Iltizam Kepada Penjawat Awam

Oleh: Datuk Dr. Awang Sariyan

Negara Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 (pada waktu itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu) melalui proses pembinaan negara (nation building) dengan berasaskan dasar-dasar kenegaraan yang tertentu. Dasar-dasar itu meliputi seluruh aspek kehidupan bernegara, iaitu politik dan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, undang-undang, dasar luar dan tidak terkecuali bahasa.

               Sebagai contoh, dari segi politik dan pentadbiran, dasar yang dijadikan landasan ialah sistem demokrasi berparlimen dengan paduan sistem raja berperlembagaan dan semangat serta amalan perkongsian kuasa antara pelbagai keturunan yang menjadi rakyat negara ini. Dari segi ekonomi, Dasar Ekonomi Baharu yang diasaskan pada tahun 1970 (walaupun kemudian bertukar nama dan pengubahsuaian strategi seperti Dasar Pembangunan Nasional dan sejak 2011 Model Ekonomi Baharu) menjadi cerminan dasar ekonomi negara dengan berlandaskan perkongsian nikmat ekonomi yang adil antara pelbagai keturunan dan lapisan rakyat.

              Bahasa sebagai jiwa bangsa (dan negara) turut menjadi salah satu dasar negara, melalui ketetapan Dasar Bahasa Kebangsaan dan disokong juga oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Dasar Pendidikan Kebangsaan mempunyai kaitan yang rapat dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dari segi ketetapan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara. Dasar Kebudayaan Kebangsaan pula yang teras pertamanya ialah “kebudayaan asal rantau ini” (yang merujuk kepada kebudayaan Melayu) ialah dasar yang menitikberatkan jati diri dan citra kebangsaan yang salah satunya berkaitan dengan peranan bahasa Melayu untuk menzahirkan jati diri dan citra kebangsaan.