All posts by Rencana

Dirgahayu DBP: 56 Tahun Memartabatkan Bahasa dan Persuratan Melayu

KHAS

Sempena Sambutan Ulang Tahun DBP ke-56 (1956-2012)

Oleh A. GHAFAR ABDULLAH

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lahir daripada aspirasi rakyat untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, melalui kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta DBP (Pindaan dan Perluasan) 1995 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Disemak1971) telah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan (Akta 32) 1963/1967 semakan 1971 memayungi perjuangan DBP memartabatkan bahasa Melayu.

Pada 22 Jun 2012, DBP menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-56. Sepanjang kewujudannya sebagai organisasi perancang bahasa yang tunggal di negara kita, DBP telah melaksanakan perancangan korpus bahasa sehingga menjadikan bahasa Melayu bahasa moden yang mampu mengisi keperluan pembangunan negara. Usaha menyempurnakan sistem ejaan rumi yang menjadi ejaan rasmi telah disepakati melalui gagasan Majlis Bahasa Indonesia- Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1972. Pada tahun 1985 majlis ini disertai Brunei Darussalam dan kini dikenali sebagai Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia. Penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu pada tahun 1997 telah meningkatkan citra bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia.

Selaras dengan perkembangan usaha pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, lebih satu juta istilah dalam ratusan bidang ilmu dan profesional digubal. Sehingga kini DBP telah menerbitkan lebih daripada 122 daftar istilah dan 63 kamus istilah dalam pelbagai bidang. Serentak dengan kemajuan yang berlaku, DBP membangunkan prasarana menggunakan teknologi canggih bagi merancakkan dan memudahkan usaha pembinaan dan penyelidikan bahasa Melayu. Bagi tujuan tersebut, DBP telah membangunkan Sistem Pangkalan Data Korpus Bahasa Melayu. Bank Data bahasa Melayu ini menghimpunkan sejumlah 115 juta patah perkataan daripada pelbagai teks.

Usaha penyelidikan dan pembangunan (P&P) bahasa dan kesusasteraan Melayu dipergiatkan secara terancang dan berterusan. Pengisian program P&P yang tuntas menghasilkan data yang dianalisis dan diterbitkan berkaitan dengan sejarah dan perkembangan bahasa dan persuratan Melayu serta bidang yang berkaitan dengannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Kemajuan Bahasa Melayu: Setengah Abad Mendatang

KHAS: Sempena Sambutan Ulang Tahun DBP ke-56 (1956-2012)

Oleh Awang Sariyan

Upaya meneliti jejak pemerkasaan bahasa Melayu, lebih setengah abad yang silam di Malaysia, bertitik tolak dari tahun kemerdekaan negara dan rencana membaharui babak untuk tempoh yang mendatang berhubungan secara langsung dengan cita-cita dan ehwal pembinaan negara Malaysia sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah satu asas kontrak sosial rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Perkembangan bahasa Melayu, dalam hubungannya dengan pembinaan bangsa dan negara, tidak cukup sekadar dihuraikan dari sudut perkembangan sistem bahasanya (tatabahasa, sistem ejaan, sebutan, kosa kata dan laras bahasa), meskipun aspek itu memang penting dalam menentukan sosok bahasa yang menjadi sendi tamadun. Perkembangan korpus bahasa Melayu itu baru menggambarkan sebahagian hakikat, sedang perkembangan yang lebih mendasar ialah yang berkaitan dengan pemenuhan dan pengisian Dasar Bahasa Negara. Perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan yang langsung dengan roh bangsa, dengan asas jati diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita luhur bangsa dan negara. Sia-sialah pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa Melayu dengan cita-cita besar membina tamadun bangsa dan negara, kerana dari tahap awal pertumbuhan dan perkembangannya, bahasa Melayu senantiasa menjadi petunjuk dan kayu ukur kemajuan bangsa.

Di peringkat supranasional pula, pembicaraan tentang perkembangan dan perancangan bahasa Melayu wajarlah dipertalikan dengan cita-cita besar membentuk persatuan umat Melayu sebagai bangsa besar, yang di sisi rencam dengan kepelbagaian etnik dan budayanya di seluruh alam Melayu, masih dapat menampilkan keperibadian yang bernaung di bawah tonggak-tonggak utama tamadun, terutama bahasa Melayu dan agama Islam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Stilistik: Wahana Penghasilan Karya Kreatif

Oleh Julia Juis

Setiap individu yang tahu membaca mampu menulis sajak dan aneka genre penulisan, seperti cerpen, drama atau novel. Mereka yang bijak menulis dapat mencoret barisan kata lalu mengiktiraf tulisan tersebut sebagai sajak.

Walau bagaimanapun, tidak semua individu berkebolehan mencipta puisi, cerpen, drama atau novel yang mempunyai darjah estetika tinggi. Dalam bidang kesusasteraan, makna harfiah puisi ialah kelompok seni penulisan, merangkumi puisi tradisional, seperti pantun, syair, gurindam, qit’ah, rubah, masnawi, nazam serta puisi moden, iaitu sajak, yang bermula dengan kemunculan “Angan-angan dengan Gurindam” karya Omar Mustafa pada 18 Januari 1913 menerusi akhbar Utusan Melayu.

Namun demikian, Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh muncul dengan konsep “puisi” yang lebih menarik. Sekiranya Coleridge mendefinisikan poem atau sajak sebagai kata-kata terbaik dalam susunan terbaik, Muhammad memberikan nilai makna kata puisi dan sajak yang lebih mendalam. Semua orang dapat menulis sajak tetapi bukan semua sajak boleh diangkat sebagai puisi. Hal ini dikatakan demikian kerana takah nilai puisi adalah sangat tinggi berbanding dengan sajak lantaran aspek keindahan bahasa, gaya bahasa serta segala rupa estetika bentuk dan makna puisi yang dihasilkan. Hal ini menjadikan penghasilan puisi tidak semudah usaha menghasilkan sajak. Analogi ini dapat juga digunakan dalam semua genre penulisan yang ada.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.