All posts by Agenda Bahasa

Pemimpin dalam Puisi

Oleh HAMZAH HAMDANI

Apabila berbicara mengenai pemimpin, kita akan selalu memikirkan manusia yang seharusnya mempunyai sifat, sikap dan usaha yang baik demi kepentingan mereka yang dipimpinnya. Pemimpin yang bersifat dan bersikap tidak baik akan membawa mereka yang dipimpinnya ke jalan kemusnahan. Sejarah telah menyaksikan kisah pemimpin yang zalim, bukan sahaja membawa kehancuran kepada bangsanya malah memporak-perandakan dunia, seperti kisah Firaun dan Hitler. Sikap kepimpinan mereka dipengaruhi oleh cita-cita peribadi yang menyimpang daripada jalan kemanusiaan atau jalan yang diredai Allah SWT.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra, Rasulullah SAW bersabda, “Setiap kamu ialah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap orang yang dipimpinnya.” Hal ini bermakna, setiap orang diamanahkan oleh Allah SWT sebagai pemimpin, sama ada pemimpin kepada diri sendiri, ahli keluarganya, masyarakatnya, negerinya, ataupun negaranya. Kita tidak akan terlepas daripada pertanggungjawaban amanah tersebut, iaitu apa-apa yang telah kita lakukan terhadap mereka yang kita pimpin. Amat berat amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita seandainya kita menyedarinya. Namun begitu, banyak manusia yang berlumba-lumba untuk mengejar kedudukan sebagai pemimpin, terutama pemimpin yang kelak membawa imbalan kepada kemasyhuran dan kekayaan.

Pada kebiasaannya, dalam masyarakat tradisi, kepimpinan ialah tugas yang diwariskan. Putera raja akan mewarisi takhta ayahandanya dalam sesebuah kerajaan. Demikian juga kepimpinan para pembesar akan diwariskan kepada anaknya. Terdapat juga pemimpin yang lahir kerana bakat dan keberaniannya, seperti tokoh legenda Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka mewarisi kepimpinan generasi terdahulu dan tidak perlu berjuang menonjolkan diri untuk diterima sebagai pemimpin. Dalam masyarakat feudal, orang bawahan menerima kepimpinan dengan taat setia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Keindahan Bahasa dalam Puisi Penyair Tradisional dan Moden

Oleh SALMAN SULAIMAN

Bahasa tulisan ialah medium penyampaian pemikiran dan wadah pengucapan untuk menyebarkan maklumat serta ilmu yang digunakan sejak dahulu lagi. Salah satu penyampaian ilmu tersebut adalah melalui karya puisi yang dihasilkan oleh para penyair sejak beberapa abad yang lampau. Menurut Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku kajian terkemuka beliau, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Hamzah Fansuri ialah sasterawan dan penyair yang menulis pada abad ke-16 yang selayaknya diberi gelaran Bapa Kesusasteraan Melayu Moden. Kenyataan Syed Muhammad Naquib ini menolak dakwaan sarjana yang menobatkan Abdullah Munsyi sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden.

Ketokohan Hamzah Fansuri sebagai penulis yang menggunakan medium bahasa Melayu untuk menyampaikan pemikiran dan ilmu pengetahuan kepada para pembacanya menyerlah dalam sekian banyak hasil karya tulis beliau seperti Asrar u’l-‘Arifin, Sharabu’l-‘Asyikin dan Al-Muntahi. Antara puisi beliau termasuklah Syair Jawi fi Bayan ‘Ilm al-Suluk wa al-Tawhid, Syair Perahu, Syair Si Burung Pingai dan Syair Dagang. Setelah meneliti karya Hamzah Fansuri yang menggunakan keindahan bahasa Melayu sebagai medium penulisan ini, Syed Muhammad Naquib menegaskan, “Beliaulah manusia yang pertama menggunakan bahasa Melayu dengan secara rasional dan sistematik; yang dengan inteleknya merangkum keindahan fikiran murni yang dikandungkannya dalam bahasa yang telah diperolahkan hingga sanggup berdaya menyusul lintasan alam fikiran, yang berani menempuh saujana lautan falsafah.”

Kita dapat melihat keindahan bahasa yang digunakan oleh Hamzah Fansuri dalam puisi beliau. Salah satu puisi beliau yang terkenal ialah Syair Perahu. Lenggok bahasa dan adunan kata bahasa Melayu dalam puisi tersebut sangat indah seperti dalam rangkap yang berikut:

Ingati sungguh siang dan malam,

lautnya deras bertambah dalam,

angin pun keras, ombaknya rencam,

ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,

angin yang keras menjadi teduh,

tambahan selalu tetap yang cabuh,

selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah ahad dengan masanya,

datanglah angin dengan paksanya,

belajar perahu sidang budimannya,

berlayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,

ilmu Allah akan [dayungnya]

iman Allah nama kemudinya,

“yakin akan Allah” nama pawangnya.

Apabila berulang-ulang kali menikmati Syair Perahu ini, kita akan faham bahawa perahu yang dimaksudkan bukannya perahu biasa tetapi perahu iman dan juga perahu kehidupan. Puisinya ini mengandungi nilai falsafah yang tinggi, iaitu perlunya kelengkapan yang cukup untuk meneruskan perjalanan hidup yang panjang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Bahasa SMS Penyeri Landskap Bahasa Melayu pada abad ke-21?

Oleh SUPYAN HUSSIN

Sebelum abad ke-21, kita mempunyai landskap bahasa Melayu yang diwarnai oleh pantun, syair, sajak, gurindam, peribahasa, bidalan, dan dialek daerah dalam rumpun Melayu itu sendiri. Menjelang abad ke-21 pula, bahasa Melayu mula dilanda bahasa SMS atau sistem pesanan ringkas yang mencabar keutuhan bahasa Melayu untuk terus relevan dan lestari. Bahasa SMS merupakan kod bahasa yang digunakan dalam telekomunikasi internet, telefon bimbit serta telefon pintar. Bahasa terdiri daripada kod teks yang diringkaskan dan piktograf (simbol termasuk smiley dan emotikon) bagi menyampaikan mesej dalam konteks komunikasi tidak formal. Kod yang digunakan dalam bahasa SMS, sama ada singkatan teks atau piktograf, amat bersesuaian dengan maksud dan tujuan SMS yang bermakna Short Message Service. Sesungguhnya, kewujudan bahasa SMS pada era teknologi maklumat masa kini telah menambahkan seri perkembangan bahasa Melayu. Input baharu dalam bahasa SMS tidak menjejaskan keutuhan bahasa Melayu; malahan menjadikan bahasa Melayu terus hidup berkembang dan relevan dalam telekomunikasi moden.

Perbahasan mengenai sama ada bahasa SMS merosakkan bahasa baku atau tidak telah berlaku hampir sedekad lalu, dan kesimpulannya tidak semua bahasa SMS merosakkan bahasa Melayu baku dalam konteks komunikasi tidak formal. Bahasa SMS hanyalah bersifat sementara sehinggalah teknologi yang ternyata berubah begitu pantas itu mampu menawarkan khidmat pesanan ringkas yang membenarkan pengguna menulis

pesanan lebih daripada 160 aksara seperti yang terdapat dalam aplikasi SMS yang lain, iaitu Whatsapp dan Viber. Kini aplikasi SMS sudah memiliki penyemak ejaan yang boleh membetulkan ejaan pengguna sebelum suatu pesanan dihantar. Hal ini bermakna isu pencemaran bahasa Melayu dalam penggunaan SMS akan lenyap begitu sahaja. Dalam erti kata lain, bagi konteks formal seperti komunikasi, peperiksaan, tugasan, dan penulisan kertas kerja, bahasa SMS seharusnya dilarang penggunaannya. Guru,ketua jabatan,ketua pengarang akhbar, penyunting siaran televisyen, dan pihak yang berkaitan perlulah sensitif terhadap penggunaan bahasa baku dan bahasa SMS dalam semua konteks komunikasi formal tersebut. Kebenaran untuk menggunakan bahasa SMS dalam apa-apa jua bentuk penulisan formal merupakan tindakan yang akan merosakkan bahasa Melayu baku.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Unsur Alam Mewarnai Lirik Lagu Melayu

Oleh M MASCITAH MANSOR

Tiada kata secantik bahasa,

Untukku puji adinda,

Tiada gambar secantik lukisan,

Nakku tunjuk perasaan.

Terdengar sahaja alunan lagu nukilan P. Ramlee dan Jamil Sulong ini, perasaan kita menjadi asyik dan terbuai-buai sejenak. Selain kemerduan suara Allahyarham P. Ramlee, lirik dan seni kata tersebut memercik rasa sehingga menimbulkan kesan yang mendalam dan sangat bermakna kepada pendengar. Ungkapan “tiada kata secantik bahasa” begitu menyerlahkan keupayaan dan keunikan bahasa kita. Di samping pemilihan kata yang tepat, unik dan indah, ungkapan tersebut cuba menyampaikan mesej tentang sifat dan nilai bahasa Melayu yang tinggi tiada taranya.

Merujuk Kamus Dewan, “cantik” bermaksud sangat menarik apabila dipandang dan sangat elok (bagus dan molek). Hal ini jelas menunjukkan bahawa interaksi sosial melalui penyampaian lagu, bukan hanya melodi yang menjadi nadi lonjakan sesebuah lagu itu. Lirik lagu yang bermutu turut menjadi sandaran sesebuah lagu diminati dan berharga. Penyataan ini diteguhkan lagi dengan pendapat penyair Zurinah Hassan, “Menulis lirik perlu menggunakan bahasa yang baik. Bahasa kita memang cantik, orang kita kaya dengan perbendaharaan kata, kita ada perumpamaan yang boleh kita gunakan. Menulis lirik ialah satu tanggungjawab. Sampai hari ini saya menulis lirik dengan kamus di sebelah saya.”

Latar belakang penulisan lirik lagu berkaitan rapat dengan industri muzik. Hal ini bermula dengan muzik dalam industri filem, diikuti oleh muzik dalam industri penyiaran. Lagu Hitam Manis dan Terkenang Semasa Dahulu menjadi popular kerana wujudnya media filem dan radio pada tahun 1950-an. Lagu ciptaan Allahyarham P. Ramlee juga dipopularkan melalui radio. Pada pertengahan tahun 1960- an, “kumpulan gitar rancak” atau kugiran yang sekarang dikenali sebagai “pop yeh yeh” telah melanda tanah air.

Apabila membicarakan tentang kejayaan sesebuah lagu, banyak faktor yang menjadi penentunya. Antaranya termasuklah peranan pencipta lagu, penggubah muzik, pemuzik, jurutera bunyi dan tidak ketinggalan tanggungjawab yang perlu digalas oleh penulis lirik. Penulis lirik tidak henti-henti mencari ilham dan menjanakan idea bagi menghasilkan nukilan yang indah, baik dan berseni. Bagi menghasilkan lirik yang bermutu, permainan bahasa amat penting. Oleh itu, sebelum bersandiwara dengan bahasa, kita hendaklah mengetahui dan memahami erti bahasa. Bahasa bukan hanya sebagai wadah perhubungan atau interaksi semata-mata, malah bahasa mampu melangkaui sempadan. Bahasa ialah pemancar daya intelektual individu, masyarakat, bahkan bangsa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Mampukah Bahasa Melayu Menjanakan Ekonomi?

Oleh A. RAZAK ADAM

Bahasa Melayu menduduki tempat ketujuh dalam kalangan bahasa yang mempunyai banyak penutur di dunia, iaitu daripada lebih kurang 6,900 bahasa yang terdapat di dunia. Kedudukan sepuluh bahasa utama dituturkan penduduk dunia mengikut turutan jumlah penutur terbanyak ialah Mandarin, Inggeris, Hindi, Sepanyol, Arab, Rusia, Melayu, Portugis, Benggali dan Perancis. Hal ini menunjukkan ba hawa bahasa Melayu mempunyai kekuatan yang luar biasa di sebalik gembar-gembur yang dijajakan kononnya bahasa Melayu tidak mempunyai kekuatan untuk diketengahkan sebagai bahasa ekonomi pada masa kini.

Nilai ekonomi sesuatu bahasa bermaksud kebolehan bahasa itu mengungkapkan ilmu yang ada. Kebolehan bahasa itu bergantung kepada kekuatan penuturnya. Kekuatan penuturnya dari sudut ekonomi berkait dengan bilangan penutur dan mutu bahasanya. Jatuh bangun atau kuatnya sesuatu bahasa itu amat berkaitan dengan keikhlasan atau kesungguhan penuturnya untuk menggunakan bahasa tersebut. Keikhlasan dan kesungguhan penutur jatinya menggunakan bahasa itu mampu menarik pengguna lain untuk menggunakan bahasa tersebut bagi melaksanakan urusan yang berkaitan. Sesuatu bahasa itu juga harus mampu mengungkapkan ilmu yang saban hari bertambah dengan pelbagai disiplin ilmu baharu yang wujud untuk menjadikan bahasa itu bernilai ekonomi. Dengan yang demikian kesungguhan penutur dan kemampuan serta sifat bahasa itulah yang akan menentukan sama ada bahasa itu mampu dinobatkan sebagai bahasa yang mempunyai nilai ekonomi ataupun tidak. Untuk membuktikan bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi, kita harus melihat dari perspektif sejarah dari dahulu sehingga kini dan peluang yang mampu ditawarkan oleh bahasa tersebut sebagai bahasa bernilai ekonomi dalam mendepani cabaran ilmu pada masa akan datang.

Bahasa Melayu t e l a h berkembang sejajar dengan peralihan zaman dan agama yang dianuti penduduk alam Nusantara ini. Sebagai bukti, prasasti Batu Bersurat Terengganu yang ditulis sekitar abad ke-14 menunjukkan terdapat peningkatan dari segi jumlah perkataan Melayu berbanding dengan perkataan Sanskrit yang banyak digunakan dalam prasasti yang dijumpai sebelumnya. Hal ini menunjukkan bahawa agama Hindu dan seterusnya agama Islam yang dianuti oleh orang Melayu telah membawa bersama-samanya kemajuan.

Kemajuan ini dapat dilihat dalam aspek ilmu yang dipunyai oleh orang Melayu setelah mereka hidup beragama. Agama Islam yang menekankan keperluan terhadap ilmu dalam kehidupan umat telah masuk ke alam Melayu dan turut membawa perbendaharaan kata bagi mengayakan bahasa Melayu yang sedia ada. Kosa kata bahasa Melayu telah berkembang pesat. Banyak perkataan baharu telah tercipta bagi mengungkapkan konsep tasawuf, tauhid, undang-undang dan syariah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Nilai Ekonomi Bahasa Melayu

Oleh ZAITUL AZMA ZAINON HAMZAH

Bahasa merupakan identiti penting bagi sesebuah negara bangsa. Bahasa juga memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan negara. Dari segi sejarah, bahasa Melayu terbukti menjadi lingua franca dan bahasa perdagangan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Hal ini sekali gus memperlihatkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang pernah memiliki nilai ekonomi yang tinggi.

Melalui peranannya sebagai lingua franca, bahasa Melayu digunakan untuk menggubal undang-undang. Antara undang-undang dalam sejarah peradaban Melayu yang terawal termasuklah Hukum Kanun Melaka (HKM). HKM atau Undang-undang Melaka didapati lebih tua daripada Undang-undang Laut Melaka dan Undang-undang Pahang, malah menjadi acuan bagi membuat undang-undang yang lain di negeri-negeri Melayu.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca pada zaman kegemilangannya pada sekitar abad ke-15 telah menampakkan kedudukannya sebagai bahasa yang menonjolkan peradaban bangsa Melayu selain berfungsi sebagai bahasa yang mempunyai nilai ekonomi wang. Pada masa kini tidak dapat dinafikan faktor globalisasi dan kepelbagaian kemajuan sains dan teknologi telah menimbulkan persaingan sehingga kita tiada pilihan lalu terpaksa memilih satu bahasa bertaraf antarabangsa, iaitu bahasa Inggeris dan sekali gus mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi global. Walau bagaimanapun, sekiranya diteliti dan diperhalusi, sebenarnya faktor globalisasi dan kepelbagaian kemajuan sains dan teknologi juga dapat memberi ruang kepada bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan bahasa yang mempunyai nilai ekonomi sekiranya dimanfaatkan dalam konteks negara kita, Malaysia dan Asia amnya.

Mengimbau kembali zaman kesultanan Melayu Melaka, para pedagang datang ke Melaka, khususnya dan Asia Tenggara amnya untuk berniaga. Komoditi utama yang menyemarakkan dunia perdagangan ketika itu ialah rempah ratus dari Kepulauan Maluku. Kepesatan perdagangan di Melaka terbukti melalui catatan perdagangan bangsa Portugis, iaitu Tome Pires yang menyatakan “di pelabuhan Melaka biasanya terdapat 84 bahasa yang dituturkan oleh para pedagang yang datang”. Sejajar dengan itu, bahasa Melayu mengambil tempatnya sebagai lingua franca kerana operasi perdagangannya terletak di kawasan geografi bahasa Melayu. Kedatangan para pedagang yang dikatakan pada setiap tahun terdapat sekurang-kurangnya 100 buah kapal yang besar dan kira-kira 30 hingga 40 buah kapal yang kecil ke pelabuhan Melaka adalah disebabkan kemudahan yang disediakan oleh pemerintah Melaka. Hal ini secara tidak langsung membuktikan faktor geografi dan kuasa pemerintah memainkan peranan penting dalam menentukan nilai ekonomi bahasa Melayu ketika itu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Berikan Nilai kepada Bahasa Melayu

Oleh JENIRI AMIR

Bahasa Inggeris sering dianggap memiliki nilai ekonomi yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa global yang dituturkan dan difahami kebanyakan warga dunia. Bagaimanakah pula dengan bahasa Melayu? Adakah bahasa Melayu memiliki nilai ekonomi atau nilai ekonominya tidaklah setinggi nilai ekonomi yang diberi kepada bahasa Inggeris? Jika bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi atau nilai ekonominya rendah, mengapakah perkara itu berlaku? Nilai ekonomi merujuk sejauh mana sesuatu bahasa diberi nilai dari segi komersial, peluang mendapat pekerjaan atau memiliki potensi untuk seseorang yang menguasai dan menggunakannya menanjak dalam kehidupan, kerjaya dan profesionnya. Nilai ekonomi sesuatu bahasa bukan kerana bahasa itu diterima pada peringkat dunia atau tidak, tetapi cara pengguna bahasa itu menanggapi dan memberikan nilai kepada bahasa, itulah yang lebih utama.

Jika penggunanya memandang rendah, apatah lagi memperlekeh bahasa itu, jangan diharap bahasa itu akan mempunyai nilai ekonomi dan berpotensi untuk dijadikan aset bagi membantu penggunanya memperbaik kerjaya atau profesionnya. Bahasa yang memiliki nilai ekonomi akan sentiasa mendapat tempat di hati pengguna. Banyak orang akan berebut-rebut untuk mempelajarinya apabila menyedari bahawa bahasa itu mampu mengubah nasib dan kedudukan mereka. Bahasa yang memiliki nilai ekonomi yang tinggi digunakan dengan meluas, bukan sahaja dalam bidang pentadbiran, malah dalam bidang perniagaan dan periklanan.

Banyak orang mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin kerana menyedari bahawa bahasa itu berpotensi untuk mengubah nasib dan kedudukan mereka. Dengan menguasai bahasa Inggeris mereka berpendapat bahawa masa depan mereka lebih cerah untuk menapak maju dalam kehidupan. Mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapat pekerjaan dalam sektor swasta kerana sektor swasta memberikan nilai yang lebih tinggi kepada bahasa Inggeris. Adakah benar potensi ini ada kaitan dengan nilai ekonomi bahasa itu atau sebenarnya berkaitan rapat dengan sikap masyarakat yang condong terhadap bahasa Inggeris?

Jika kita mempunyai sikap yang betul terhadap bahasa Melayu, dengan terlebih dahulu memberikan tempat yang sewajarnya kepada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan itu, sudah pasti dengan sendirinya bahasa itu akan mempunyai kedudukan istimewa di hati rakyat dan pengguna. Nilai ekonomi bahasa Melayu berkaitan rapat dengan sikap, tanggapan dan tindakan kita sebagai pengguna bahasa itu. Kita sendirilah yang menentukan nilai ekonominya. Untuk memberikan nilai ekonomi yang tinggi kepada bahasa Melayu, kita perlu menggunakannya dalam semua ranah dan bidang. Menguasai bahasa Melayu perlu dijadikan syarat utama untuk mendapat peluang pekerjaan, tidak kira dalam mana-mana sektor. Bahasa Melayu perlu digunakan dengan meluas sebagai bahasa pengantar di semua peringkat, meliputi pelbagai bidang atau kursus.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.