All posts by Peristiwa bahasa

Memartabatkan Bahasa Melayu di Selatan Thailand

Oleh SURAIYA CHAPAKIYA

Usaha memartabatkan bahasa Melayu merupakan perkara penting bagi semua pihak tidak kira lelaki, perempuan, bangsa dan suku kaum. Hubungan sesama manusia merupakan perkara yang sangat mulia di sisi Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Menyayangi. Firman Allah dalam al-Quran 49: 13 bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan keadaan dan amalan kamu”.

Di negara Thailand, majoriti masyarakat menggunakan bahasa Thai sebagai bahasa komunikasi harian. Bahasa Thai merupakan bahasa yang paling penting dan berfungsi sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ibu kota, bahasa pendidikan, bahasa kesusasteraan dan bahasa Lingua franca antara kaum. Namun begitu, majoriti pengguna bahasa Melayu ialah masyarakat yang tinggal di selatan Thailand. Bahasa Melayu yang digunakan itu terbahagi kepada dua dialek, iaitu dialek Melayu Patani dan dialek Melayu Satun. Dialek Melayu Patani digunakan di empat wilayah selatan Thailand, iaitu di wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan meliputi beberapa daerah wilayah Songkhla. Bahasa Melayu yang dituturkan oleh masyarakat di selatan Thailand hampir sama dengan bahasa Melayu dialek Kelantan. Manakala dialek Melayu Satun pula ialah dialek yang digunakan oleh masyarakat Melayu di beberapa daerah di wilayah Satun.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Bahasa Melayu: Hala Tuju Selepas Merdeka

Oleh TENGKU FAUZIAH KU MAT dan AZLINA MD. SADIK

Cendekiawan dan ilmuwan umumnya maklum bahawa kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia atau bahasa antarabangsa merupakan fakta yang tercatat dalam sejarah perkembangan dan kebangkitan tamadun Melayu sejak zaman Sriwijaya pada abad ketujuh Masihi dengan kemuncaknya pada zaman Kesultanan Melayu. Kedudukan dan taraf bahasa Melayu diperkasakan lagi dengan termaktubnya Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tidak dapat dipersoalkan, apatah lagi dicabar.

Perjuangan meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang tinggi dan bermartabat perlu dikuatkan dengan iltizam dan pendekatan yang kreatif dan berani, agar bahasa Melayu bukan sahaja menjadi milik orang Melayu, malah menjadi milik rakyat Malaysia dan penduduk Nusantara. Namun begitu, perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu sejak hampir enam dasawarsa ini memperlihatkan pelbagai cabaran dan kendala. Tempias daripada proses globalisasi mula memberikan kesan terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penduduk di negara ini. Persoalan dan polemik bahasa semakin hangat diperdebatkan. Kehangatan ini amat terasa apabila isu keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah mula goyah. Wujud usaha untuk mengubah persepsi gemilang bahasa Melayu, yang kononnya lemah, layak digunakan di pasar malam, malah jauh sekali mampu digunakan di peringkat tinggi, apatah lagi di persada antarabangsa!

Sejajar perkembangan mutakhir , tiba masanya untuk masyarakat mengamati dan menghayati perubahan, pencapaian dan masa depan bahasa Melayu di bumi tercinta ini. Usaha melihat ke belakang seharusnya dijadikan landasan bagi menjana fikiran dalam usaha menegakkan maruah dan kedaulatan bahasa Melayu agar wahana komunikasi ini dapat digunakan dengan penuh penghayatan dan keyakinan dalam semua bidang.

Sesi forum “Dilema dan Hala Tuju Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka” juga telah diadakan sebelum pembentangan resolusi persidangan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Martabatkan Bahasa Kebangsaan Kita

Oleh DIARANI MAT ADAM

Dengan tema “Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara”, sekali lagi Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Kebangsaan dilancarkan pada 10 Oktober 2012. Pelancaran BBK ini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan. BBK merupakan salah satu acara tahunan negara yang dianjurkan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Tema BBK tahun ini berkaitan secara langsung dengan Dasar Bahasa Kebangsaan yang membentuk satu bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan.

Dalam ucapan pelancarannya, Muhyiddin menegaskan bahawa tema BBK 2012 ini bertepatan dengan usaha kerajaan yang menyeru warga Malaysia untuk menghargai bahasa kebangsaan sebagai tonggak tamadun negara dan budaya Malaysia. Katanya, penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca perlu diberi penekanan supaya bahasa itu benar-benar menjadi tali pengikat semua rakyat berbilang kaum.

Muhyiddin menambah, “Kita perlu memartabatkan bahasa kebangsaan secara menyeluruh, selain memartabatkannya di peringkat kebangsaan. Kerajaan sentiasa menyokong penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa demi menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. Dalam mengharungi dunia globalisasi kini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dilihat semakin terpinggir. Sering kali ejaan dan sebutan tidak digunakan dengan betul dalam siaran radio, televisyen, Internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan dalam laman sosial, seperti facebook dan twitter.”

Muhyiddin juga mengharapkan agar semua pihak mengambil inisiatif untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Tegas beliau, penggunaan “bahasa rojak” yang berleluasa menggambarkan situasi kehilangan bahasa dalam kalangan masyarakat, yakni apabila sejumlah besarnya tidak fasih berbahasa Melayu sepenuhnya, sama ada secara lisan ataupun tulisan. Jika perkara ini tidak dibendung, kekuatan bahasa Melayu akan terhakis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012.

Program BBK Memperkukuh Perpaduan Bangsa

Oleh ZAITON DAROIS

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) kembali lagi. Tahun ini merupakan tahun keempat sambutan BBK diadakan sejak 2009. Sambutan BBK peringkat Kebangsaan pada tahun ini akan diadakan di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan dengan tema “Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara”. Tujuan utama pelaksanaan BBK adalah untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia; menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan; mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan; dan menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa. Menerusi BBK, bahasa Melayu diharapkan menjadi wahana yang mengeratkan dan memperkukuh perpaduan pelbagai kaum di Malaysia, sekali gus menjadi tunjang pembinaan Negara bangsa.

BBK yang dilaksanakan sepanjang bulan Oktober setiap tahun, telah melalui pelbagai perubahan nama. Bermula dengan Kempen Minggu Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960-an, kemudiannya bertukar kepada Gerakan Cintai l a h Bahasa Kita (GCBK) pada tahun 1987 hingga 1996, Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) pada tahun 1996 hingga 2005 dan Minggu Sastera pada tahun 1987 hingga 1998. Namanya bertukar lagi, iaitu sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) pada tahun 1999 yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, akhirnya pada tahun 2009, BBSN menjadi BBK.

Pelancaran Minggu Bahasa Kebangsaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pusat ketika itu, Tun Syed Nasir telah diadakan pada 30 Januari 1960. Pada waktu itu, pelaksanaan Minggu Bahasa Kebangsaan bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap bahasa kebangsaan serta menggalakkan penggunaannya. Tempoh pelaksanaannya dilanjutkan sehingga 6 Februari 1960 dengan menukarkan namanya menjadi Bulan Bahasa Kebangsaan dan berlangsung sehingga tahun 1966.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

BBK Semarakkan Bahasa Kita

Oleh MOHD SYUKRI ANWAR

Sesebuah tamadun hanya akan berkembang menerusi perkembangan bahasanya. Jika runtuh sesuatu bahasa, maka akan runtuhlah tamadun sesebuah bangsa. Jika hal ini berlaku, bukanlah perkara mudah untuk membangunkan semula bahasa yang sudah musnah. Dalam konteks Negara Malaysia, bahasa Melayu tidak akan maju jika rakyatnya tidak bersatu dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Berdasarkan kajian, seseorang itu perlu didedahkan secara berkali-kali dan berulang kali supaya apa-apa yang ingin disampaikan mampu diingati dengan berkesan. Maka begitu jugalah halnya dengan bahasa. Setiap rakyat perlu sentiasa diingatkan tentang tanggungjawab mereka dalam memartabatkan bahasa Melayu serta mengamalkan penggunaannya dalam segenap urusan harian supaya rakyat tidak lupa dan lalai akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.

Sehubungan dengan hal itu, maka tepatlah apabila diwujudkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada bulan Oktober setiap tahun. Sambutan BBK ini dilaksanakan bagi mengingatkan tanggungjawab semua pihak dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan negara. Aktiviti yang menyeluruh di seluruh negeri yang antaranya termasuklah melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan beberapa agensi lain, turut bermatlamat untuk menarik khalayak yang lebih luas supaya sedar akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Kerjasama DBP – GLC Memperkukuh Bahasa Kebangsaan

Oleh DIARANI MAT ADAM

“Kita tidak mampu mendaulatkan bahasa ibunda seperti negara Rusia, Perancis dan Jepun. Oleh itu, penambahbaikan perlu dibuat dan GLC memerlukan sokongan daripada DBP dan pihak lain untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Pihak GLC memerlukan khidmat dan bantuan DBP tentang peranan mereka dalam memartabatkan bahasa Melayu.” Ucap Encik Izani Ashari, Pengarah Eksekutif, Projek Khas, Khazanah Nasional Berhad dalam kata alu-aluannya sempena Dialog Penggunaan Bahasa Kebangsaan antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Bawah Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi (PCG). Dialog tersebut telah berlangsung pada 20 Julai 2012 di Auditorium Tun Dr. Siti Hasmah, Menara SSM@Sentral, Kuala Lumpur.

Izani berkata, GLC ialah medium paling luas untuk meningkatkan bahasa Melayu kerana keterlibatan GLC dalam pelbagai sektor, termasuklah perniagaan pada peringkat negara dan antarabangsa. Cabaran yang dihadapi GLC ialah penggunaan bahasa Inggeris dalam kebanyakan urusan transaksi, sehinggakan kabinet mengeluarkan arahan supaya GLC menggunakan bahasa Melayu.

Kata Izani lagi, GLC menyokong agenda memartabatkan bahasa Melayu dengan harapan usaha ini bukanlah retorik semata-mata. GLC pernah menerima arahan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi, tetapi realitinya GLC baru sahaja menerima surat daripada pihak yang mengeluarkan arahan itu dalam bahasa Inggeris.

Izani mencadangkan supaya peranan bahasa Melayu dalam agenda nasional dan penggunaannya dalam konteks masyarakat majmuk, seperti pada paparan awam dilihat semula. Beliau berharap pengisian program penggunaan bahasa kebangsaan dan bahan dalam bahasa Melayu diperbanyakan. Bagi memartabatkan bahasa kebangsaan, program mempromosi dan mengembangkan bahasa kebangsaan perlu diadakan secara berterusan.

Selain Izani, turut hadir dalam dialog tersebut ialah Dr. Haji Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP, yang telah menyampaikan taklimat tentang sejarah perkembangan bahasa Melayu. Dalam sesi soal jawab tentang kuasa DBP dalam penguatkuasaan bahasa kebangsaan, Awang menjelaskan bahawa DBP tidak ada kuasa penguatkuasaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT). DBP bekerjasama dengan PBT, contohnya pengiklan perlu mendapatkan pengesahan bahasa daripada DBP sebelum permohonan lesen iklan diluluskan. Selain itu, DBP melaksanakan audit bahasa dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). JPA meminta DBP membuat pengauditan di JPA dan DBP mengalu-alukan jika ada pihak yang berminat supaya pengauditan dilaksanakan di jabatan atau syarikat mereka untuk tujuan penambahbaikan penggunaan bahasa Melayu.

Menyentuh tentang penggunaan bahasa baku pula, Awang berkata, “Bahasa baku ialah suatu ragam bahasa yang digunakan dalam konteks rasmi. Lebih kurang 500 institusi di seluruh dunia menggunakan bahasa Melayu, oleh itu bahasa Melayu ialah bahasa “supra-Malay” tidak terbatas pada geopolitik. Malaysia perlu bergerak ke arah menyatukan penggunaan bahasa Melayu dan mencari persamaan sebanyak mungkin. Kita ada kerjasama Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) di peringkat serantau. Dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) ditubuhkan untuk mempromosi serta mengembangkan bahasa Melayu di seluruh dunia. Maka, apakah bentuk bahasa yang perlu digunakan? Baku tidak terbatas pada aspek sebutan sematamata, malah tatabahasa, ejaan dan laras yang digunakan haruslah baku. Proses pengukuhan sedang diusahakan. Sebutan baku dihentikan pada tahun 2000 (bermula pada 1998) tanpa ada alasan yang kukuh. DBP tetap berpegang pada sebutan baku kerana salah satu fungsi DBP ialah membakukan sebutan, ejaan dan istilah. Jika semua bahasa ada sebutan baku, maka bahasa Melayu juga harus ada sebutan baku.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Semangat Juang Memperkasakan Bahasa Melayu

Oleh NUR ALWANI SHAFIE

Pada 14 Ogos 2012 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, telah berlangsung Majlis Memperkasakan Perjuangan Bahasa dan Persuratan Melayu. Sempena majlis tersebut, syarahan yang berkaitan dengan pemerkasaan bahasa dan persuratan Melayu telah disampaikan oleh Tuan Haji Yahaya Ismail.

Menurut Yahaya, semangat memperkasakan perjuangan bahasa Melayu bermula sejak terbitnya akhbar Jawi Peranakan di Singapura dan majalah Al-Ikhwan di Pulau Pinang. Malah akhbar Saudara turut menyemarakkan minat orang Melayu untuk melakukan transformasi minda bagi memperjuangkan nasib bangsa, bahasa, agama dan politik Melayu. Sebahagian besar majalah dan akhbar Melayu sebelum perang dunia kedua banyak mempersoalkan kepentingan Melayu, hak orang Melayu dan kebimbangan orang Melayu terhadap kebanjiran orang asing ke Tanah Melayu. Jelas beliau, penjajah British ketika itu tidak pernah menggalakkan kegiatan bahasa dan persuratanbMelayu kerana mereka tidak berniat untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Sekolah Melayu yang didirikan hanya untuk mengajar orang Melayu menulis, membuat kira-kira yang mudah dan membaca sesuai dengan taraf sebagai petani, penoreh getah dan nelayan.

Kata Yahaya lagi, dengan tertubuhnya Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1922, semangat nasionalisme Melayu semakin membara. Ditambah pula dengan penerbitan buku tentang tatabahasa bahasa Melayu dan rencana yang ditulis oleh Pendeta Za’ba semasa beliau bertugas di Jabatan Karang Mengarang MPSI ketika itu. Tulisan Za’ba telah membuka minda orang Melayu dan menyedarkan mereka daripada khayalan sebagai pewaris penanam padi, nelayan dan buruh di ladang. Semangat nasionalisme pelajar MPSI juga telah dipengaruhi oleh semangat kemerdekaan yang dicetuskan pejuang Indonesia. Perkembangan Sumpah Pemuda Indonesia pada tahun 1928 telah diikuti oleh pelajar MPSI melalui karya sastera yang sampai ke pesisir Tanah Melayu.

Golongan guru dan wartawan Melayu juga telah membakar semangat dan mencetuskan kesedaran orang Melayu untuk membela agama, bangsa dan negara melalui pelbagai rencana dalam majalah atau akhbar. Contohnya, novel Faridah Hanum karya Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi ialah novel pertama yang mencetuskan reformasi dalam agama dan pendidikan bagi kaum wanita. Begitu juga novel karya Ahmad Rashid Talu, Kawan Benar yang mempunyai watak dan latar belakang Tanah Melayu, dan Iakah Salmah, memperjuangkan hak dan kepentingan pendidikan wanita Melayu. Antara penulis lain yang sama-sama turut mencetuskan kesedaran orang Melayu ketika itu termasuklah Harun Aminurrashid, Ahmad Bakhtiar, Raja Mansor dan Ishak Haji Mohamad.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.