Oleh JENIRI AMIR
Makkah t idak pernah tidur. Negeri yang paling digemari Allah SWT dan Rasul-Nya ini sentiasa hidup. Makkah bukan sahaja menjadi tumpuan ketika musim haji, tetapi juga pada waktu lain ketika umat Islam dari seluruh dunia bertumpu ke tanah haram itu untuk mengerjakan umrah. Allah memberikan nama kota suci ini dengan lima nama, iaitu Al Balad, Al Qaryah, Bakkah, Makkah dan Ummul Qura.
Pahala solat di Kaabah dan Masjidilharam sama dengan seratus ribu solat di tempat lain. Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda “Satu solat di masjidku ini lebih utama daripada seribu solat di tempat lain, kecuali Masjidilharam, dan solat di Masjidilharam sekali lebih baik daripada seribu solat di tempat lain.” Hal ini bermaksud, satu solat di Masjidilharam sama dengan solat selama 55 tahun enam bulan dan 20 hari, dan solat sehari semalam, iaitu lima waktu solat, sama dengan 277 tahun, sembilan bulan dan sepuluh hari. Sementara itu, Hassan Al Bashrui rahimahullah pula berkata, “Puasa sehari di Makkah sama dengan puasa seribu hari, sedekah satu dirham sama dengan seribu dirham, dan setiap kebajikan digandakan menjadi seribu.”
Namun begitu, bagi penulis yang berpeluang mengerjakan umrah pada bulan Mei 2012, selain kehebatan tersebut, satu lagi perkara yang mengagumkan ialah penggunaan bahasa Melayu yang begitu meluas dalam kalangan pekedai dan penjual. Tidak keterlaluan dikatakan, inilah kota yang bahasa Melayu paling meluas digunakan di luar Nusantara. Mengapakah bahasa Melayu begitu meluas digunakan bukan sahaja di Makkah tetapi juga di Madinah?
Pada hakikatnya, selain digunakan dalam kalangan jurujual dan pekedai, bahasa Melayu juga digunakan di pelbagai tempat, termasuklah di tempat lain seperti di Perkuburan Baqi, yang terletak tidak jauh dari Masjid Nabawi, tempat sekitar 10 ribu sahabat dimakamkan, termasuklah isteri Nabi Muhammad, kecuali Maimunah dan Khadijah, dan anak-anaknya, serta sahabat besar Baginda, seperti Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan, dan Saad bin Abi Waqas. Di Perkuburan Baqi, terdapat papan kenyataan dalam bahasa Melayu yang memberitahu adab dan panduan serta bacaan salam kepada ahli kubur.
Orang Melayu dan bahasa Melayu bukan asing di Makkah dan Madinah. Tokoh Melayu yang dicatatkan mengerjakan haji pada abad ke-17 ialah Sheikh Abdul Malek Abdullah atau Tok Pulau Manis dari Terengganu pada sekitar 1670-an. Walau bagaimanapun, tiada rekod yang ditemui mengenai orang Melayu yang mengerjakan haji pada kurun ke-18, namun begitu dikatakan bahawa Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa II, dipercayai mengerjakan haji dari 1710 hingga 1760. Selain itu, pada abad ke 19 pula, terdapat pula kisah pelayaran Haji Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir yang merupakan kisah pelayaran haji yang menarik. Beliau dikatakan melakukan pelayaran dari Singapura ke Makkah dengan menaiki kapal, Subulus Salam milik Sheikh Abdul Karim pada tahun 1854.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012.